Cara kira bilangan talak selepas rujuk

Jika pasangan suami isteri telah bercerai talak dua tetapi selepas idah mereka berkahwin semula dengan akad yang baharu. Apakah situasi begini dikira pernikahan baharu yang belum ada lafaz talak lagi?
Sue Abdullah, Senawang.

UKE:  Perceraian ialah perbuatan halal yang dibenci Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Di sebalik perbuatan halal yang dimurkai Allah itu, perceraian ialah penyelesaian masalah kepada pasangan suami isteri yang tidak dapat lagi hidup bersama atas pelbagai sebab.
Namun begitu mereka boleh rujuk semula di dalam tempoh idah. Jika tempoh idah telah tamat tetapi mereka tidak juga rujuk maka jika mereka ingin bersama semula maka hendaklah dengan akad nikah yang baharu yang bermakna macam semasa bernikah dululah hukumnya.

Bilangan talak dicampur dengan bilangan talak sebelum ini iaitu menjadi tiga dalam kes ini

Amalan hindari Bisikan syaitan

Ibu saya terkena gangguan. Dia selalu ada lintasan untuk mensyirikkan Allah. Contohnya seperti nampak kelibat salib termasuk terlintas dalam kepala. Apakah yang patut dilakukan?
Anak Risau, Kuala Lumpur.

UKE: Saya risau jika ibu anda melayan apa yang dia rasa atau terlintas di fikirannya yang boleh membawa penyakit was-was atau gangguan perasaan. Suka saya menyarankan agar anda mendapatkan rawatan daripada pusat rawatan Islam atau orang alim untuk membantu ibu anda agar dapat keluar daripada gangguan tersebut.
Mungkin juga anda boleh membawa ibu anda menemui pakar kejiwaan yang mungkin dapat membantu dalam sudut kaunseling. Seterusnya, saya minta agar anda membantu ibu anda dengan beberapa kaedah seperti:
a) Selalu mengamalkan solat berjemaah,
b) Pastikan makanan dimakan bersih termasuk persekitaran luar dan dalam rumah,
c) Biasakan agar ibu anda mandi dengan beberapa biji limau nipis setiap petang,
d) Jadikan Surah al-Mulk sebagai bacaan harian bagi ibu,
e) Selalu amalkan ayat ke-56 daripada Surah Hud sebagai bacaan selepas solat

Antara zakat dan nafkah

Apakah hukumnya seorang suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri, tetapi setiap tahun membayar zakat. Dia menuduh saya boros sedangkan saya membeli keperluan dengan menggunakan wang sendiri.

Suami juga mengesyaki saya akan membolot segala hartanya dan tidak melayan saya dengan baik kerana prasangka tersebut.
Izyan, Negeri Sembilan.

UKE: Zakat adalah kewajiban suami kepada Allah apabila cukup segala syaratnya manakala nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami kepada isterinya.

Allah berfirman: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (al-Thalaq:7).

Dalam masalah pemberian nafkah kepada isteri, maka Islam tidak menetapkan dengan jumlah tertentu. Akan tetapi Allah memerintahkan suami agar bersikap kepada isterinya dengan makruf (baik, patut, adil). Nabi SAW sebagai ikutan kita, baginda juga telah menetapkan bahawa nafkah itu mencukupi untuk isteri dan anak.

Ini yang dinamakan adil. Begitu juga suami hendaklah melayani isterinya dengan baik malah menyantuninya dengan penuh kasih sayang dan bukannya untuk disakiti, diaib, atau diseksa jiwa dan raganya.
Allah berfirman: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) secara patut.” (al-Nisa’:19).

Saya sarankan agar perbelanjaan rumah tangga anda serahkan semula kepada suami anda melainkan jika dia tidak mampu. Itu adalah kewajibannya untuk menanggung keluarga anda.

Bila banyak perkara yang isteri tanggung, maka banyaklah kewajiban suami dilepaskan begitu sahaja. Anda juga boleh menuntut hak anda jika berasakan suami mampu memberinya tetapi dia tidak melaksanakannya.

Bab hendak bolot harta itu, anda kena terangkan dengan elok-elok bahawa tiada keinginan untuk anda membolot hartanya. Jelaskan elok-elok.

 

Segarkan Pendidikan Islam

REALITI masa kini untuk berkembang dengan lebih berkesan, kita perlu melakukan perubahan atau penambahbaikan agar selaras dengan tuntutan semasa. Ia amat penting bagi mengelak daripada ketinggalan dalam perkembangan pesat arus semasa.

Tidak kiralah individu atau produk. Semuanya perlu melalui proses tersebut supaya tidak kehilangan perhatian daripada khalayak. Samalah dengan kurikulum pendidikan Islam yang kualitinya pada setiap masa perlu berada pada tahap tertinggi, sekali gus melahirkan ramai modal insan Muslim berkualiti pada masa depan.

Cadangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Abdullah Din pada Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Amal Islami (MAIM) Yadim di Kuala Lumpur, baru-baru ini mungkin sesuatu yang perlu difikirkan.

Beliau membentangkan kertas kerja ‘Beberapa Cadangan Ke Arah Penambahbaikan Subjek Pendidikan Islam Di Sekolah-Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia.’

MASIH PADA TAKUK LAMA

Jelas Abdullah, jika disusuri secara mendalam terhadap kandungan kurikulum subjek Pendidikan Islam, masih terdapat banyak ruang yang belum diisi sebaik mungkin.

“Sebagai contoh, ilmu Fikah. Kebanyakan sarjana Islam membahagikan ilmu itu kepada empat bahagian iaitu ibadat, Muamalat, Munakahat dan Jinayat (jenayah).

“Tetapi pelajar Islam hanya mempelajari tiga bahagian sahaja ketika berada dalam tingkatan satu hingga lima. Barangkali ada yang akan mengatakan bahagian Jinayat dimasukkan dalam sukatan tingkatan enam.

“Soalnya berapa kerat pelajar Islam menyambung pelajaran di tingkatan enam? Sepatutnya keempat-empat bahagian itu perlu dimasukkan ke dalam kerangka asas subjek tersebut,” katanya.

Seperkara lagi mengenai tajuk-tajuk bahagian ibadat (asas bersuci hingga tajuk haji), kata Abdullah, ia dipelajari terlalu lama iaitu dari sekolah rendah hinggalah ke tingkatan empat, iaitu kira-kira 10 tahun.

“Namun bahagian Muamalat atau kewangan Islam hanya dipelajari semasa dalam tingkatan empat dan itu pun hanya menyentuh beberapa tajuk yang sangat terbatas dan kurang menepati kehidupan seharian pelajar Islam.

“Tajuk-tajuk Muamalat yang diajar di tingkatan empat ialah jual beli dan sewa, gadaian dan syarikat, hutang, insurans dan saham serta riba.

“Sedangkan banyak lagi tajuk lain yang penting berkaitan sistem kewangan Islam yang sangat diperlukan dalam kehidupan seseorang Muslim, antaranya tentang jual beli yang dipakai dalam perbankan Islam, Wadiah, kad kredit, saham amanah dan jual hutang,” katanya.

Dalil naqli berkaitan kehidupan diabai

Ia berlaku dalam bahagian ayat kefahaman dan hadis. Sepatutnya, pemilihan ayat-ayat kefahaman perlu dilakukan semula berdasarkan keperluan semasa.

Contohnya, tajuk berkaitan Nabi Isa a.s. perlu dimasukkan ke dalam sukatan kerana ia menyangkut permasalahan Kristianisasi dan ayat tentang mengutamakan generasi sahabat sebab ia menyentuh gejala syiah yang mencerca dan memaki sahabat semakin menular di negara kita.

“Jumlah hadis perlu diperbanyak agar nampak keperluan Sunah SAW dalam kehidupan. Tahukah kita berapa jumlah hadis yang dipelajari sepanjang lima tahun di sekolah menengah? Pelajar hanya mempelajari 10 hadis sahaja sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Abdullah dalam kertas kerjanya juga mencadangkan agar sebuah buku sirah Nabawiyyah dijadikan sebagai bahan bacaan wajib kepada pelajar Islam seperti mana dalam subjek Sastera, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Biarlah sebelum menamatkan pelajaran di sekolah menengah sekurang-kurangnya setiap pelajar Islam telah menghabiskan bacaan tentang sirah kehidupan Nabi SAW bermula dari kelahirannya hinggalah kewafatan baginda.

“Amatlah malang sekiranya seorang Muslim tidak pernah membaca dan mengetahui sirah kehidupan nabi yang wajib dicintainya,” katanya.

Samalah dengan aspek peruntukan masa untuk subjek Pendidikan Islam di peringkat menengah rendah tidak seharusnya dikurangkan memandangkan gejala yang mengancam akidah dan pemikiran generasi Islam semakin menjadi-jadi.

“Soalan saya, patutkah masa subjek Pendidikan Islam yang dianggap sangat penting dalam kehidupan seseorang Islam dikurangkan?” katanya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/segarkan-pendidikan-islam-1.458280#ixzz4bp0tvJtk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Indiana Jones tabarruk dengan peti Nabi Musa?

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

 

WATAK Dr. Indiana Jones lakonan Harrison Ford dalam filem Raiders of The Lost Ark sangat patuh kepada agamanya. Antara sumbangannya sebagai ahli arkeologi dalam filem itu adalah mencari dan menyelamatkan peti barang peninggalan Nabi Musa a.s. daripada jatuh ke tangan Nazi Jerman yang berhasrat menakluki dunia. Peti yang digelar “The Ark of Covenant” itu dikatakan mempunyai kuasa ketuhanan yang menjadi penghubung antara dunia dan langit. Kononnya ia juga memiliki kuasa tidak terbatas yang mahu dieksploit pihak Nazi menjadi senjata pemusnah.

Inilah fiksyen yang dibawa oleh pengarah Yahudi dari Hollywood, Steven Spielberg. Filem aksi ini pernah pecah panggung pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1981. Pun begitu, ramai yang kurang perasan bahawa kisah peti peninggalan Nabi Musa a.s. itu turut disebut dalam al-Quran.

“Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang beriman,” (al-Baqarah [2:248]).

TALUT DAN TABUT

Kisah ini disebut dalam ayat 246 – 251 surah al-Baqarah. Ringkasnya, selepas zaman Nabi Musa, Bani Israel ditindas oleh ramai penjajah antaranya Raja Jalut. Peti yang menyimpan barang peninggalan Nabi Musa yang menjadi lambang kemuliaan Bani Israel turut hilang. Ketika kegawatan ini, bangsawan Bani Israel meminta agar seorang nabi dalam kalangan mereka yang dikatakan bernama Nabi Samwil a.s. agar memohon petunjuk daripada Allah siapakah yang layak dilantik sebagai raja baharu. Allah memberikan petunjuk bahawa Talut yang bukan daripada darah bangsawan menjadi raja. Pelantikan ini pada awalnya tidak dipersetujui golongan bangsawan, sehinggalah Allah membuktikan kelayakan Talut dengan penghantaran “peti yang menyimpan barang peninggalan Nabi Musa dan Harun” di hadapan rumah Talut (Tafsir Ibn Kathir dan al-Razi).

Penghantaran peti secara ajaib kepada Raja Talut menjadi sumber inspirasi baharu bagi Bani Israel untuk kembali kepada ajaran Nabi Musa. Kisah ini menunjukkan kemuliaan Bani Israel terletak pada sejauh mana mereka mahu kembali kepada ajaran Nabi Musa. Saya juga tidak menemukan riwayat yang menceritakan Bani Israel berkumpul dalam dewan besar mencium atau menjunjung barangan dalam peti ini sebagai suatu lambang menambah keberkatan.

Perihal berkat barangan para nabi pernah disentuh Allah dalam kisah Nabi Yusuf a.s. iaitu baginda menghantar bajunya yang penuh berkat bersulam mukjizat untuk merawat sakit mata ayahandanya yang lama menderita sakit rindu:

“Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya dia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya,” (Yusuf [12:93]).

Benar sekali! Baju Yusuf mengandungi keberkatan yang langsung menyembuhkan sakit Nabi Yaakub a.s.:

“Maka sebaik sahaja datang pembawa khabar berita yang menggembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu dia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?,” (Yusuf [12:96]).

Ayuh! Marilah kita bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah SAW yang pasti asli iaitu al-Quran dan Sunah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir,” (Ali ‘Imran [3:31-32]).

Tidak harus tabarruk replika barangan Nabi

AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (AL-JARUMI)

 

Alor Setar 7 Dis 2011-Replika tapak kaki Nabi Muhammad S.A.W

Adakah harus kita mencium atau tabarruk (mengambil berkat) replika kasut Nabi SAW? Adakah ia mempunyai keberkatan?

JAWAPAN

Keberkatan adalah sabit dengan izin dan kehendak Allah. Masjidilaqsa adalah berkat kerana Allah memberkatinya. Nabi Isa a.s. dinyatakan sebagai diberkati kerana Allah memberkatinya, begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW. Sama juga dengan apa-apa jua yang berkaitan secara langsung dengan Nabi SAW seperti jubah, rambut, kasut dan sebagainya adalah berkat.

Namun begitu, replika atau sesuatu dibentuk menyamai asli tidak sama dengan yang asal. Replika tidak sama dengan benda asal. Replika kasut nabi tidak sama dengan kasut nabi yang asal. Ia sekadar replika sahaja, kita melihat replika untuk sekadar maklumat sahaja.

Jika replika diambil keberkatan dengan dicium, dijunjung dan sebagainya, maka kemungkinan selepas ini kita wajar membuat replika Hajar al-Aswad. Maka tidak perlu lagi berebut-rebut di hadapan Kaabah untuk menciumnya. Cukup sekadar dibuat replika batu itu di negara kita. Adakah ini betul?

Sudah tentu perbuatan ini salah. Replika Hajar al-Aswad sekadar replika. Ia tidak sama dengan yang asal. Maka tidaklah sewajarnya kita berlebih-lebihan dalam memuliakan replika barang Nabi SAW. Cukuplah sekadar melihat untuk menambahkan ilmu sahaja.

Bagi Muslim yang mencium replika kerana cintakan Nabi SAW, maka seeloknya cinta itu dialirkan dengan mengikut ajaran baginda. Bacalah al-Quran dan hadis, belajarlah ilmu. Insya-Allah ia berkat dan banyak kebaikan.

Permasalahan hukum 
di Masjidi lharam

Terdapat beberapa perkara yang sering diabaikan

 

PERMASALAHAN hukum di Masjidilharam sering dihadapi oleh jemaah apabila mereka menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah.

1. Tidak berniat ihram di Miqat

Sering terjadi dalam kalangan jemaah haji terutama apabila melakukan umrah. Kebiasaannya miqat umrah bagi haji adalah di Bir Ali iaitu bagi jemaah yang memasuki Mekah dari Madinah. Sementara itu, Qarnul Manazil adalah tempat miqat umrah bagi jemaah yang terus ke Mekah. Kejadian ini terjadi akibat tertidur atau terlupa semasa bas atau kapal terbang melalui miqat.

2.Tawaf tanpa wuduk

Tawaf merupakan ibadat yang memerlukan jemaah mempunyai wuduk. Jika terbatal wuduk hendaklah mengambil yang baharu dan mengulangi tawaf di tempat berhenti sebelumnya.

3.Tawaf tidak menutup aurat

Sama ada haji atau umrah ibadah itu tidak sah. Jemaah perlu menutup aurat terutama lelaki ketika memakai ihram dan wanita iaitu di bawah dagu dan pergelangan tangan. Selain itu, jemaah haji wanita perlulah memakai stoking tebal dan pakaian bersesuaian semasa berihram.

4. Lupa pusingan tawaf atau sa’ie

Antara dua perkara yang sering berlaku. Jika ragu-ragu sama ada pusingan tawaf empat atau lima, maka pilihlah yang kurang dan tambahkannya bagi mencukupkan tujuh pusingan. Bagi sa’ie pula pusingan ganjil adalah dari Bukit Safa ke Marwah manakala pusingan genap adalah dari Bukit Marwah ke Bukit Safa. Jika ragu-ragu berapa pusingan, maka ambil bilangan yang kecil dan pastikan pengakhiran sa’ie di Bukit Marwah.

5. Bergunting sebelum masa

Jika tidak sempurna bilangan tawaf dan sa’ie tetapi kita bergunting awal maka umrah dikira belum selesai. Kita perlu menyelesaikan tawaf dan sa’ie semula kemudian menyempurnakan dam tergunting tadi iaitu Takhir dan Taqdir.

6. Bersentuhan lelaki dan wanita tanpa membatalkan wuduk

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 menetapkan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita tanpa syahwat semasa di Tanah Haram tidak membatalkan wuduk atas illah masyaqqah. Ini pandangan Muqabilul Asah, dalam Mazhab Shafie juga memandang kesukaran yang dihadapi jemaah semasa menunaikan haji dan umrah.

7. Waktu tahrim solat

Di Mekah tiada waktu tahrim solat sama ada selepas subuh atau asar. Namun di Madinah masih terpakai waktu tahrim solat iaitu selepas subuh atau asar.

8. Daimul hadas

Bagi jemaah yang menghidapi penyakit kencing tidak lawas atau keluar darah atau nanah tidak berhenti, maka ia akan menyukarkan untuk solat atau melaksanakan tawaf. Alternatifnya, 
apabila masuk waktu maka bersihkan 
najis, balut dan berwuduk, kemudian teruskan solat. Mereka hanya boleh melaksanakan satu solat fardu dan beberapa solat sunat sahaja. Begitu juga dengan satu ibadat wajib sahaja dalam satu-satu masa seperti umrah.

9.Perkara yang membatalkan tawaf wada’

Wajib bagi mereka yang hendak meninggalkan Kota Mekah. Ia bukan daripada syarat mengerjakan haji atau umrah. Bagaimanapun jemaah sering melakukan perkara yang membatalkan tawaf wada’ selepas melaksanakannya seperti mengambil gambar dalam Masjidilharam, mencari peminta sedekah, solat selain solat sunat tawaf dan membeli-belah bukan keperluan musafir.

10.Tahiyyatul masjid

Tahiyyatul masjid bagi Masjidiliharam adalah tawaf. Walau bagaimanapun, kita boleh melakukan solat tahiyyatul masjid sebagai menghormati masjid. Selain itu, banyak lagi isu atau kemusykilan jemaah haji yang sering dilakukan. Mudah-mudahan panduan ringkas ini dapat membantu bakal jemaah membuat persiapan untuk menunaikan haji atau umrah.

Terdapat beberapa isu yang sering 
dihadapi, antaranya:

  • Tidak berniat ihram di miqat
  • Tawaf tanpa wuduk
  • Tawaf tidak menutup aurat
  • Lupa jumlah pusingan tawaf atau sa’ie
  • Bergunting sebelum masa
  • Persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk
  • Waktu tahrim solat di Mekah dan Madinah
  • Daimul hadas
  • Perkara yang membatalkan tawaf wada’
  • Tahiyyatul masjid