Archive for the ‘Tokoh Islam’ Category

5 ciptaan terhebat Ilmuan Islam

AKHBAR terkemuka di United Kingdom (UK), The Independent pada edisi 11 Mac 2006 pernah menyiarkan sebuah artikel tulisan Paul E. Vallely bertajuk, Bagaimana Para Pereka Cipta Muslim Mengubah Dunia menarik untuk dikongsi. Apa tidaknya, tulisan tersebut wajar diambil perhatian, khasnya kepada umat Islam agar tidak terlalu berkiblatkan kepada tokoh-tokoh barat acap kali membicarakan soal dunia penciptaan inovasi baharu.

Sungguhpun akhbar tersebut telah menyenaraikan sekitar 20 penemuan penting yang mampu mengubah peradaban umat manusia, namun di ruangan yang agak terhad ini akan diketengahkan lima ciptaan inovasi terhebat umat Islam pada abad pertengahan.

Menariknya lagi, ciptaan tersebut sehingga ke hari ini masih berguna dan popular.

Kopi

KIRA-kira 1.6 juta cawan kopi diminum setiap hari di seluruh dunia. Berbilion-bilion orang bergantung kepadanya sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. Namun, tidak ramai yang mengetahui kaitan minuman popular itu dengan masyarakat Islam.

Menurut rekod sejarah, dalam tahun 1400-an, kopi menjadi minuman yang sangat popular dalam kalangan umat Islam di Yemen yang terletak di selatan Semenanjung Arab.

Legenda itu bermula apabila seorang gembala (ada yang mengatakan di Yemen, ada yang mengatakan di Ethiopia) menyedari bahawa kambingnya menjadi sangat bertenaga dan resah apabila memakan biji kopi dari sebatang pokok.

Penggembala itu memberanikan dirinya untuk merasai bahan itu dan ternyata, ia memberi rangsangan tenaga yang luar biasa. Lama-kelamaan, tradisi memanggang biji kopi dan merendamkannya di dalam air untuk menghasilkan minuman berkuasa itu telah wujud dan hasilnya, minuman kopi dilahirkan.

Tanpa mengira, sama ada kisah penggembala itu benar-benar berlaku atau tidak, budaya minum kopi telah meresap dari kawasan tanah tinggi di Yemen ke seluruh Empayar Uthmaniah iaitu empayar Islam yang terulung di abad ke-15 Masihi. Serentak itu, kedai-kedai yang khusus menjual minuman kopi telah muncul di beberapa buah bandar utama dalam dunia Islam iaitu seperti di Kaherah, Istanbul, Damsyik dan Baghdad.

Dari dunia Islam, minuman kopi telah menyelinap masuk ke Eropah melalui bandar tumpuan saudagar besar iaitu Venice. Walaupun pada mulanya, kopi itu dianggap sebagai sebagai “minuman Muslim” oleh pihak gereja Katolik, tetapi kini ia telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Eropah.

Kedai-kedai kopi pada era 1600-an telah menjadi tempat ahli-ahli falsafah bertemu dan membincangkan isu-isu seperti hak-hak manusia. peranan kerajaan dan demokrasi. Perbincangan itu telah melahirkan satu pergerakan intelektual yang paling berkuasa di dunia moden hari ini.

Daripada seorang gembala kambing di Yemen atau Ethiopia kepada pembentukan pemikiran politik masyarakat Eropah, minuman kopi yang kini mencatatkan lebih satu bilion cawan setiap hari itu merupakan satu inovasi Islam yang paling penting dalam sejarah kehidupan manusia hari ini.

Pemberian ijazah universiti

DALAM sejarah awal Islam, masjid turut memainkan peranan sebagai sekolah. Orang sama yang mengetuai solat akan mengajar kumpulan pelajar tentang sains Islam seperti al-Quran, fiqh (perundangan) dan hadis.

Sejajar dengan perkembangan tamadun Islam, wujud keperluan untuk mewujudkan satu institusi formal yang dikenali sebagai madrasah yang dikhususkan untuk bidang pendidikan.

Madrasah formal pertama adalah al-Karaouine, yang diasaskan pada 859 Masihi oleh Fatima al- Fihri di Fes, Maghribi.

Sekolahnya berjaya menarik beberapa ulama terkemuka dari Afrika Utara serta pelajar-pelajar pintar. Di al-Karaouine, pelajar diajar oleh guru-guru untuk beberapa tahun di dalam pelbagai subjek daripada sekular kepada agama.

Pada akhir program itu, mana-mana pelajar yang berjaya akan diberikan sijil yang dikenali sebagai ijazah yang mengiktiraf bahawa pelajar itu memahami apa yang diajarkan dan juga layak untuk mengajar pelajar lain.

Pemberian ijazah yang pertama oleh institusi pendidikan itu telah tersebar dengan cepat di seluruh dunia Islam. Antara yang terawal mengambil langkah sama adalah Universiti Al-Azhar yang ditubuhkan di Kaherah, Mesir pada 970 Masihi dan kerajaan Seljuk telah menubuhkan puluhan madrasah di seluruh Asia Barat pada tahun 1000-an.

Konsep institusi pendidikan yang memberikan ijazah itu turut merebak ke Eropah melalui orang Islam Sepanyol. Universiti Bologna di Itali dan Oxford di England yang diasaskan pada abad ke-11 dan ke-12 telah meneruskan tradisi Islam memberikan ijazah kepada pelajar yang berjaya, dan menggunakannya sebagai penentu kepada tahap kelayakan seseorang dalam mata pelajaran tertentu.

Pancaragam tentera

RAMAI pelajar yang belajar di sekolah dan universiti di dunia Barat sudah biasa dengan pancaragam. Ia sekumpulan pemuzik yang berarak ke padang semasa acara sukan untuk menghiburkan penonton dan bersorak kepada para pemain.

Pancaragam yang dibangunkan berasaskan semasa Gunpowder Age di Eropah itu, diwujudkan bagi menyemarakkan semangat anggota tentera dalam peperangan .

Pun begitu, tradisi itu berasal daripada kumpulan pancaragam mehter Uthmaniah pada tahun 1300-an yang berjaya membantu tentera Uthmaniyyah menjadi antara angkatan bersenjata paling berkuasa di dunia pada masa itu.

Sebagai sebahagian daripada kor elit Janissary Empayar Uthmaniah, tujuan pancaragam mehter diwujudkan adalah untuk memainkan muzik keras bagi menakut-nakutkan musuh dan menyemarakkan lagi semangat tentera sekutu.

Akhirnya, orang Kristian di Eropah turut menggunakan konsep pancaragam yang sama untuk menakutkan musuh mereka.

Lagenda mengatakan bahawa selepas kegagalan menawan Vienna pada 1683, tentera Uthmaniah telah meninggalkan berpuluh-puluh alat muzik dan kemudiannya orang Austria mengumpul, mengkaji dan menggunakan alat muzik itu untuk kegunaan sendiri.

Selepas kejadian itu, angkatan tentera di seluruh Eropah turut menggunakan konsep pancaragam itu dan ini secara tidak langsung mengubah cara peperangan di Eropah selama berabad-abad.

Kamera

PASTINYA sukar untuk membayangkan dunia tanpa fotografi. Syarikat berbilloin dolar seperti Instagram dan Canon diasaskan berdasarkan idea untuk merakam cahaya dari tempat kejadian, mewujudkan imej daripadanya dan menghasilkan semula imej itu.

Tetapi berbuat demikian adalah sesuatu mustahil tanpa usaha dan sumbangan daripada saintis Islam abad ke-11, Ibnu al-Haitham, yang membangunkan bidang optik dan mengambarkan bagaimana kamera berfungsi.

Apabila Ibnu al-Haitham diletakkan di bawah tahanan rumah oleh Fatimid pemerintah al-Hakim, beliau mempunyai masa dan keupayaan untuk mengkaji kerja-kerja bagaimana cahaya berfungsi. Sebahagian besar kajiannya itu memberi tumpuan kepada bagaimana lubang kamera berfungsi.

Ibnu al-Haitham adalah saintis pertama yang menyedari bahawa apabila lubang kecil ditebuk pada kotak tahan cahaya, sinaran cahaya dari luar akan melalui lubang itu hingga ke dinding kotak itu.

Beliau sedar bahawa makin kecil lubang itu, maka lebih jelas imejnya dan ini membolehkan beliau membangunkan sebuah kamera yang boleh menangkap imej yang jelas.

Penemuan Ibnu al-Haitham mengenai kamera dan bagaimana untuk menangkap imej telah membawa kepada pembangunan kamera dengan menggunakan konsep yang sama.

Tanpa penyelidikan bagaimana cahaya bergerak melalui lubang itu, mekanisme moden yang ada dalam kamera hari ini tidak akan wujud.

Algebra

WALAUPUN ramai pelajar sekolah menengah bertungkus-lumus mempelajari matematik, mereka tidak mungkin menghargai kepentingan algebra yang merupakan salah satu sumbangan paling penting semasa kegemilangan Tamadun Islam kepada dunia moden.

Algebra telah dibangunkan oleh ahli sains dan ahli matematik, Muhammad ibnu Musa al- Khawarizmi yang hidup antara tahun 780 hingga 850 Masihi di Parsi dan Iraq.

Dalam buku monumentalnya, Al- Kitab al- Mukhtasar fi hisab al -jabr wa -l- muqabala (The Compendious Book on Calculation by Completion and Balancing), beliau menetapkan empat prinsip-prinsip asas algebra.

Malah, dalam buku itu, al-Khawarizmi turut menerangkan bagaimana untuk menggunakan persamaan algebra dengan pemboleh ubah yang tidak diketahui bagi menyelesaikan masalah dunia seperti pengiraan zakat dan pembahagian harta pusaka.

Buku al-Khawarizimi itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin di Eropah pada tahun 1000-an dan 1100-an, yang mana beliau dikenali sebagai Algoritmi (perkataan algoritma itu berdasarkan nama dan kerja-kerja matematik beliau).

Tanpa usaha beliau dalam membangunkan algebra, aplikasi praktikal matematik moden seperti kejuruteraan, adalah sesuatu yang tidak mungkin wujud. Karya-karya beliau telah digunakan sebagai buku teks matematik di universiti-universiti sekitar Eropah selama beratus-ratus tahun selepas kematiannya

Pak Hamka Ulama’ tersohor Indonesia

Bicara Hamka seringkali menusuk setiap yang membaca hasil karyanya

TOKOH ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah terkenal serta berpengaruh di Asia Tenggara. Nama penuh beliau ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Hamka.

Ketika berusia 16 tahun, Hamka pergi merantau ke Jawa. Di sana beliau menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.

Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936, beliau berpindah ke Medan. Di situ beliau memulakan kerjaya keulamaannya dan menulis banyak novel. Hamka dikenali kerana berpengetahuan luas.

Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang berpandangan sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majelis Ulama Indonesia (MUI) ditubuhkan, Hamka terpilih sebagai presiden.

Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari Jumaat, 24 Julai 1981.

 

Mahir dengan sendiri

Hamka tidak pernah mendapat pendidikan formal. Beliau belajar agama di sekolah agama Padang Panjang dan Parabek (dekat Bukit Tinggi) serta daripada keluarganya. Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa dan mampu membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.

Dunia antarabangsa mengakui keahliannya dalam bidang keislaman yang diperoleh dengan belajar sendiri. Beliau memperolehi gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung Hamka ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).

Beliau menyiapkan tafsir al-Quran ini ketika dipenjarakan selama beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.

Ulama sederhana

Pandangan sederhana Hamka membuatkan beliau diterima oleh semua pihak. Dalam kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya yang menyejukan hati dan mengobarkan semangat serta optimistik. Sebagai tokoh pembaharu, beliau menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama, terutama di Minangkabau, seperti pola hubungan kekeluargaan yang bersifat matriarki (berdasarkan kuasa ibu).

Ulama pujangga

Hamka juga dikenali sebagai pengarang novel. Beliau pernah diberi nama julukan Kiai Novel kerana kegiatannya yang dianggap menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan itu berubah menjadi Ulama Pujangga.

Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.

Beliau juga meninggalkan lebih daripada 100 karya dalam pelbagai bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keIslaman.

Muhammadiyah

Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan Hamka aktif dalam organisasi ini. Beliau beberapa kali memangku jawatan sebagai pemimpin Muhammadiyah , di antara lain Majelis Konsul Muhammadiyah di Sumatera Tengah (1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan anggota pemimpin pusat Muhammadiyah (1953).

Sejak 1971, beliau dilantik sebagai penasihat pemimpin pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama Hamka diabadikan sebagai nama pusat pengajian tinggi kepunyaan Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti HAMKA.

ABD. ar-Rahman Al-Sufi Saintis Muslim tersohor

ABD. ar-Rahman Al-Sufi, salah seorang ahli sains Islam tersohor, merupakan seorang ahli astronomi Parsi (Iran) yang juga dikenali sebagai Abd al-Rahman Abu al-Hussain. Di Barat beliau dikenali sebagai Azophi.

Lahir pada 7 Disember 903 dan meninggal dunia pada 25 Mei 986, AL-Sufi tinggal di kawasan Emir adud ad-Daula di Isfahan.

Beliau melakukan tugas menterjemah dan mengembangkan kerja-kerja ahli astronomi Greek, terutama Ptolemy.

Sebagai seorang ahli astronomi terkenal pada zaman pertengahan, Al-Sufi melakukan beberapa sumbangan dengan membetulkan senarai bintang Ptolemy dan melakukan anggaran magnitud dan kejelasan yang menyimpang daripada kerja Ptolemy.

Beliau mengenal pasti Awan Besar Magellanic yang kelihatan di Yaman dan bukan di Isfahan yang tidak dapat dilihat atau ditemui oleh bangsa Eropah sehingga pengembaraan Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Penterjemah

Al-Sufi merupakan penterjemah utama ke Bahasa Arab mengenai Astronomi Hellenistic yang berpusat di Iskandariah.

Beliau memerhatikan dan dapat mengira panjangnya tahun tropika dan menerangkan mengenai bintang, posisi, magnitud dan warna dan menghasilkan keputusan mengenai buruj demi buruj. Bagi setiap buruj, beliau menghasilkan dua lukisan, satu daripada luaran cakerawala dan satu lagi dari sebelah dalam yang dilihat dari Bumi.

Al-Sufi juga menulis mengenai astrolab dan mencari beberapa kegunaan mengenainya. Beliau menerbitkan buku yang terkenal Book of Fixed Stars pada 964 Masihi yang memaparkan kerjayanya dalam bentuk teks dan gambar.

Dalam keterangan dan gambar mengenai Andromeda, beliau memasukkan A Little Cloud yang sebenarnya adalah Andromeda Galaxy M31. Beliau menggambarkannya berada dalam mulut ikan yang besar, yang merupakan buruh Arab dan ‘awan’ berkenaan telah dikenali oleh ahli astronomi di Isfahan sebelum 905 Masihi.

Dalam bukunya, beliau juga menerangkan mengenai gugusan Omicron Velorun IC 2391 sebagai bintang nebulous di Vulpecula, satu gugusan atau asteris yang kini dikenali sebagai Al-Sufi atau Gugusan Brocchi atau Collinder 399.

Beliau juga menggambarkan Awan Magellan sebagai Al-Bakr, lembu jantan putih di selatan Arab yang mana ia tidak kelihatan dari utara Arab kerana latitudnya. Al-Sufi menyediakan carta langit daripada pemerhatiannya dan mengubah mengubah magnitudnya dengan cermat.

Bukunya, Kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar merupakan hasil karya yang unggul dalam astronomi stellar. Bukunya boleh didapati dalam Bahasa Arab dan diterjemah ke Bahasa Peranchis oleh Schjellerup dan dikatakan penting sehingga kini bagi kajian pergerakan dan kepelbagaian. Kerja-kerja Al-Sufi tidak diketahui di Eropah.

Pada masa penciptaan teleskop, Andromeda Nebula telah ditemui oleh Simon Marius pada 1612 menggunakan teleskop. Al-Sufi juga menjelaskan mengenai warna Sims (satu bintang) tidak berubah yang kemudian disahkan melalui pemerhatian.

Seneca melaporkan melihat Sirms berwarna merah di Rom, Ptolemy pula melihat warna kemerahan di Iskandariah dan Schmidt pada 1841 nampak warna putih selepas warna kuning beberapa hari sebelumnya. Warna yang berlainan dianggap hasil daripada perubahan cuaca dari satu tempat ke tempat lain.

Kawah Azophi

Oleh sebab sumbangannya yang besar dalam bidang astronomi, sebuah kawah di bulan dinamakan Kawah Azophi yang mempunyai diameter 47 kilometer dalam sembilan bahagian peta bulan dan terletak 22.1 selatan 12.7 timur. Bear dan Madler dalam tugasannya terkenal Der Mond pada 1837 menyebut kawasan permukaan bulan sempena nama al-Sufi (Azophi)

Pengasas mazhab Maliki

IMAM Malik ibnu Anas, pengasas suatu aliran dalam perundangan Islam yang terkenal dengan nama Mazhab Maliki.

Nama penuhnya Abu Abdullah Malik bin Anas bin Abi Amr bin Haris bin Gaiman bin Kutail bin Amr bin Haris al-Asbahi.

Berasal dari negeri Yaman. Salah seorang datuknya berpindah ke Madinah. Beliau seorang tokoh ilmu fikah yang terkemuka di Hijaz.

Banyak ulama besar yang mempelajari hadis daripada beliau. Mereka datang dari segenap wilayah Islam pada waktu itu.

Imam Malik dilahirkan di Madinah pada 94 Hijrah/716 Masihi dan tidak pernah meninggalkan kota itu hingga beliau meninggal dunia pada 179 Hijrah/795 Masihi, ketika berusia sekitar 85 tahun.

Ketinggian ilmu beliau dalam urusan fikah dan hadis telah diakui oleh semua ulama. Keimanannya sangat kuat. Tidak gentar kepada pemerintah. Sentiasa mengeluarkan pendapat bagi kepentingan ilmu dan agama, walaupun menyebabkan orang marah.

Kitab al-Muwattak karangannya adalah yang terbaik dalam bidang fikah dan hadis. Kitab inilah yang pertama mengumpulkan hadis-hadis ulama Hijaz, pendapat-pendapat sahabat dan tabiin. Beliau menyusunnya secara susunan kitab fikah. Dinamakan al-Muwattak, mungkin kerana para ulama masa itu telah sepakat tentang kebenaran isinya.

Khalifah Harun ar-Rasyid pernah meminta Imam Malik supaya pergi ke Iraq agar beliau dapat memerintahkan rakyat mengikut isi al-Muwattak seperti Khalifah Uthman memerintahkan seluruh rakyat memakai mashaf yang dibukunya.

Perintah ini ditolak oleh Imam Malik dengan alasan: “Menyuruh seluruh rakyat mengikut isi al-Muwattak adalah perkara yang tidak wajar, kerana para sahabat sesudah Rasulullah SAW wafat berselerak ke serata pelosok. Mereka telahpun meriwayatkan hadis di tempat mereka berada.”

Oleh itu, berkemungkinan di tempat mereka itu ada ilmu yang tidak ada dalam al-Muwattak. Pergi mengikut perintah khalifah pun tidak mungkin dilakukan, kerana Nabi SAW pernah berkata: “Ada orang kelak yang meninggalkan Madinah kerana kepentingan dunia, sedangkan Madinah lebih baik bagi mereka jika mereka mengetahui.”

SYEIKH Abdul Fattah Mirsafi Tokoh Qiraat Libya

SYEIKH Abdul Fattah Mirsafi mempunyai latar pengajian Quran yang kukuh dengan bertalaqqi daripada guru yang bersanad sampai ke Rasulullah SAW. Setelah itu, beliau memberi sumbangan yang besar dalam pengajaran al-Quran. Tempat pertama beliau mengajar ialah Universiti Imam Muhammad Ibnu Ali al-Sanusi al-Islamiyyah, Libya.

Di sana, Syeikh Abdul Fattah telah mengajar al-Quran kepada masyarakat Islam Libya. Uniknya bacaan Quran di Libya ialah satu-satunya negara yang mengamalkan bacaan riwayat Qalun daripada Imam Nafei.

Walaupun begitu, Syeikh Mirsafi adalah seorang yang berkebolehan, menjadi rujukan dan telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Islam Libya dengan menghasilkan satu kitab bertajuk, al-Tariq al-Makmun Ila riwayat Qalun.

Sambutan pengajaran al-Quran beliau amat menggalakkan. Ramai yang datang bertalaqqi Quran dan Qiraat. Selepas 16 tahun menabur bakti mengajar al-Quran, kerajaan Libya membuat satu keputusan menghantar balik semua tenaga pengajar dari luar termasuk Syeikh al-Mirsafi.

Seorang muridnya, Dr. Salim al-Jakani bercerita kepada penulis, ketika menerima keputusan tersebut Syeikh Mirsafi amat sedih. Pada malamnya, beliau bermimpi melihat Rasulullah SAW dan bertanya kesedihannya? Lantas beliau menjawab kerana masih ramai pelajarnya yang belum khatam. Lalu Baginda SAW memberi khabar gembira dengan mengisyarat kepadanya supaya pergi ke Madinah al-Munawwarah.

Pada 1977, Universiti Islam Madinah telah menerima Syekh Abdul Fattah al-Mirsafi sebagai pensyarah di Fakulti al-Quran dan Pengajian Islam. Ketika itu ketua jabatannya ialah al-Allamah Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi. Pensyarah dalam bidang Qiraat di fakulti tersebut kebanyakannya adalah ulama dari negara Mesir.

Dipandang tinggi

Kedudukan Syeikh Mirsafi sebagai pensyarah di pandang tinggi. Ramai pelajar universiti Islam Madinah mengambil peluang untuk bertalaqqi al-Quran dan Qiraat. Menurut muridnya, Dr. Hasan Zu’bi selepas waktu pengajian di universiti ramai pelajar pergi ke rumahnya untuk talaqqi.

Mereka bersilih ganti membaca al-Quran dan Qiraat. Sehinggakan ketika Syeikh Mirsafi menjamah makanan pun ada yang membaca al-Quran.

Sesi talaqi ini akan berterusan sehinggalah pelajar yang terakhir membaca al-Quran adalah sekitar jam 10 atau 11 malam, selepas itu Syeikh Mirsafi terus tidur. Ini menggambarkan betapa Syeikh Mirsafi menghabiskan masanya dengan mengajar al-Quran.

Antara yang bertalaqqi Qiraat dengan beliau ialah sahabat baiknya yang juga merupakan seorang alim dalam ilmu Qiraat dan merupakan pensyarah di universiti yang sama dengan Syeikh Mirsafi iaitu Syeikh Abdul Raziq Ibrahim Ali Musa.

Ini menunjukkan, rasa thiqah di kalangan sahabatnya kepada Syeikh Mirsafi adalah tinggi.

Menurut muridnya, Dr. Hazem hampir 80 pelajar yang sempat khatam al-Quran dan Qiraat di hadapan Syeikh al-Mirsafi dan diijazahkan sanad kepada mereka.

Antara yang masih aktif mengajar di Masjid Nabi sehingga ke hari ini ialah Syeikh Muhammad Tamim al-Zu’bi, Syeikh Abdul Rahim Muhammad al-Hafiz al-‘Ilmi dan lain-lain.

Keikhlasan Syeikh Mirsafi mengajar al-Quran terserlah dengan tekunnya mendidik dan mengajar. Sehinggalah pada saat akhir hayatnya beliau terus mengajar al-Quran.

Seorang pelajarnya bernama Bilal datang dari negara Imarat al-Arabiyyah untuk talaqqi al-Quran. Bilal membaca helaian demi helaian dari mula al-Quran sehinggalah surah al-Mulk.

Ketika Bilal membaca ayat 12 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Jantung Syeikh Mirsafi berhenti, hatinya khusyuk mengingati Allah dan ketika itu beliau meninggal dunia.

Hari berikutnya 18 Jamadilakhir 1409 Hijrah, jenazah Syeikh Mirsafi dibawa ke Masjid Nabi untuk disembahyangkan dan seterusnya dibawa ke perkuburan al-Baqei’ disemadikan bersama para sahabat Rasulullah SAW.

Tokoh tajwid jadi rebutan

Oleh Dr. Khairul Anuar Mohamad

Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi (tiga dari kanan) bersama pensyarah di Universiti Islam Madinah dan dengan kepakaran mereka dalam bidang lughah, tafsir dan Qiraat mereka juga dilantik sebagai ahli lajnah tashih al-Quran di Mujamma’ Malik fahd Madinah.

PERTAMA kali saya melihat karyanya bertajuk, Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari, timbul keazaman di hati untuk jadikan karyanya sebagai bahan kajian.

Walaupun ketika itu, saya adalah pelajar tahun pertama di Universiti Islam Madinah tetapi dalam diri ini amat yakin kandungan karya Syeikh Mirsafi adalah bernilai dan boleh dimanfaatkan oleh penuntut ilmu.

Nama penuhnya ialah Abdul Fattah al-Sayyid Ajami al-Mirsafi dilahirkan pada 1923 di kampung Mirsafa dalam daerah Qalyubiyyah, Mesir.

Mirsafa terkenal dalam kalangan penduduk Mesir kerana melahirkan ramai penghafaz al-Quran.

Syeikh Abdul Fattah adalah abang sulung di kalangan tiga beradik iaitu Syeikh Ibrahim dan Syeikh Hasanain yang kesemuanya adalah al-Hafiz.

Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi banyak menumpu kepada talaqqi al-Quran dan Qiraat. Antara guru Quranya ialah Syeikh Zaki Muhammad Afifi Nasr.

Selepas khatam al-Quran dengan beliau semasa berusia sembilan tahun, Syeikh Abdul Fattah meneruskan pengajian dalam bidang Qiraat Tujuh melalui talaqqi dengan gurunya Syeikh Rifaei Muhammad Ahmad al-Majuli.

Beliau telah khatam sebanyak lima kali di hadapan gurunya ini dan terakhirnya beliau membaca Qiraat Tujuh.

Bagi mencukupkan Qiraat Sepuluh, Syeikh Abdul Fattah talaqqi Tariq Durrah iaitu Qiraat Abu Ja’far, Ya’qub dan Khalaf al-Asyir dengan gurunya yang bernama Syeikh Hamid Ali al-Sayyid al-Ghundur.

Untuk mendalami Tariq Durrah dan Tariq Syatibiyyah, Syeikh Abdul Fattah bertalaqqi dengan seorang yang alim dalam Qiraat iaitu Syeikh al-Allamah Muhammad al-Anwar Hasan Syarif.

Qiraat Tujuh iaitu Syatibiyyah ditambah dengan Tiga Qiraat iaitu Durrah dikenali sebagai Asyarah Sughra. Manakala Qiraat Sepuluh yang berada dalam matan Tayyibah oleh Ibnu al-Jazari terkenal dengan Asyarah Kubra.

Asyarah Kubra

Justeru, selepas mendalami Asyarah Sughra dengan beberapa guru yang hebat dan menguasainya dengan sempurna, Syeikh Abdul Fattah telah melengkapkan penguasaannya dalam Asyarah Kubra dengan seorang guru yang terkenal.

Beliau yang dimaksudkan ialah al-Allamah al-Muqri Syeikh Ahmad Abdul Aziz al-Zayyat. Melalui Syeikh Zayyat, Syeikh Abdul Fattah telah talaqi Asyarah Kubra Tariq Tayyibah membaca dari awal al-Quran hingga akhirnya dalam tempoh 44 hari. Setelah khatam, Syeikh Zayyat telah mengijazahkanya sanad.

Dalam pengenalan gurunya ini, Syeikh Abdul Fattah menyatakan “…beliau adalah salah seorang guruku dalam Qiraat Asyarah Sughra dan Qiraat Asyarah Kubra melalui Tariq Tayyibah, Allamah dan Imam dalam ilmu Qiraat tanpa tandingan, hebat pada zamannya, terunggul pada masanya dalam ilmu dan kelebihan, hatinya bersih, fikirannya tulus, beliau adalah antara ulama yang mulia dalam ilmu syariah dan bahasa Arab..”.

Sanad Syeikh Zayyat adalah antara yang tertinggi dengan maksud antara beliau hingga ke Rasulullah SAW mempunyai 27 atau 28 perawi. Jika diteliti senarai guru Syeikh Abdul Fattah kesemua mereka mempunyai kemahiran dalam ilmu Qiraat.

Dan Syeikh Abdul Fattah telah berjaya mendapatkan sanad dari semua gurunya. Dari satu sudut, telah memadai ilmu Qiraat yang dikuasainya melalui guru-gurunya terdahulu.

Namun kesungguhannya untuk memiliki sanad yang lebih tinggi mendorong beliau mencari Syeikh Zayyat. Dan jika dilihat usianya ketika talaqqi dengan Syeikh Zayyat telah melebihi 40 tahun.

Ketekunan Syeikh Abdul Fattah menimba ilmu Qiraat dengan guru yang mahir dan mencari sanad yang tinggi membuahkan hasil yang baik.

Keilmuan Syeikh Abdul Fattah telah menjadi rebutan di kalangan pelajar untuk talaqqi Quran dan Qiraat. Beliau juga telah menghasilkan satu karya yang menjadi rujukan dalam ilmu Tajwid yang dinamakan dengan Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari.

Imam Ghazali Hujjatul Islam

Imam Al-Ghazal dilahirkan di Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran telah menjalani kehidupan zuhud dengan mengembara selama 10 tahun, sebelum kembali ke Nishapur, Iran.

SETIAP peradaban melahirkan tokoh besar. Peradaban Islam telah melahirkan banyak ilmuwan ternama dunia sejak abad ke-9 hingga abad ke-20. Mereka meneliti dan berusaha menjelaskan tentang alam semesta, mulai dari galaksi yang sangat jauh hingga hal-hal terdekat dengan kehidupan mereka.

Umumnya, mereka menguasai lebih daripada satu bidang ilmu, baik ilmu agama mahupun ilmu sosial. Apa pun bidang ilmunya, para ilmuwan Muslim adalah tokoh-tokoh hebat yang mencipta penemuan baru di mata dunia.

Sebagai contoh pada abad ke-9, lahir Al-Khawarizmi yang terkenal sebagai tokoh matematik dan astronomi dan Al-Kindi yang terkenal sebagai tokoh falsafah. Pada abad ke-10 lahir Al-Farabi yang terkenal sebagai tokoh falsafah dan pada abad ke-11 lahir Ibnu Haitam yang terkenal sebagai tokoh fizik dan matematik.

Ibnu Sina yang terkenal sebagai tokoh falsafah dan hampir semua bidang ilmu yang berkembang pada ketika itu. Pada abad ke-12 lahir Ibnu Rusyd yang terkenal sebagai tokoh perubatan, biologi, fizik dan astronomi.

Sementara Ibnu Tufail yang terkenal sebagai tokoh perubatan matematik dan falsafah, manakala Umar Khayyam pula terkenal sebagai tokoh matematik, astronomi dan kesusasteraan.

Pada abad ke-13 lahir Ibnu Nafis yang terkenal sebagai tokoh perubatan dan kimia. Abad ke-14 lahirlah pula Ibnu al-Munzir yang terkenal sebagai tokoh perubatan haiwan.

Pada abad ke-15, Ibnu Majid yang terkenal sebagai tokoh astronomi dan geografi, seterusnya pada abad ke-19 lahir Ja’afar Syarif yang terkenal sebagai tokoh perubatan dan pada abad ke-20 lahir Abdus Salam yang terkenal sebagai tokoh fizik.

Mungkin di kalangan kita umat Islam tidak lupa, bahkan pernah mendengar ataupun sudah membaca karya terbesar Imam Al-Ghazali iaitu Ihya’ Ulum Ad Din. Mari kita sejenak menghayati tokoh besar yang telah melahirkan hasil karya yang tersohor dan hingga kini ditatapi dan dikaji oleh umat Islam di sepanjang masa dan zaman.

Al-Ghazali merupakan seorang ahli teologi, falsafah dan sufi besar dalam Islam. Beliau dilahirkan pada 450 Hijrah/1058 Masihi di kota Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran. Namanya dinisbahkan kepada tempat kelahirannya. Nama lengkapnya adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali.

Di bidang keilmuan, pada mulanya beliau mendalami ilmu fiqh, kemudian mempelajari secara mendalam ilmu kalam dan ilmu falsafah. Setelah namanya harum sebagai seorang sarjana, pada 1091 Al-Ghazali dilantik menjadi Guru Besar Undang-Undang oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), perdana menteri Sultan Maliksyah (1072-1092) dari dinasti Seljuk di Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Beliau sempat mengajar di madrasah itu selama empat tahun dan pada zaman itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah.

Al-Ghazali dianggap sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar Hujjatul Islam atau “pembela Islam”. Sehingga sekarang orang Muslim tetap tekun membaca karyanya yang terbesar, Ihya’ Ulum Ad din (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama).

Disebabkan kehidupannya ‘terganggu’ oleh krisis kepercayaan dan keraguan, pada 1095 Al-Ghazali meninggalkan Baghdad dan mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Pada mulanya beliau pergi ke Damsyik, kemudian ke Hebron dan Baitulmaqdis, kemudian ke Mekah dan Madinah.

Beliau menjalani kehidupan zuhud dengan mengembara selama 10 tahun. Setelah itu beliau kembali ke Nishapur pada 1106, menjadi tenaga pengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah.

Tidak berapa lama kemudian, beliau meninggalkan Nisabur, pergi ke Tus dan mendirikan halaqah (sekolah calon sufi) di tempat kelahirannya dan menguruskannya sehingga akhir hayat.

Perjalanan intelektual dan spiritual dalam menemukan kedamaian batin serta mengikuti jalan sufi telah beliau abadikan menerusi autobiografi berjudul al-Munqiz min ad-Dalal (Pembebas daripada Kesesatan).

Al-Ghazali dianggap paling berjasa dalam ‘mendamaikan’ antara tasawuf dengan syariat sehingga tasawuf dapat diterima oleh sebahagian besar umat Islam. Beliau juga berjasa mengembangkan serta menyebarkan aliran Asy’ariyah yang dianut oleh majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Al-Ghazali mengkritik pandangan dan penemuan para ahli falsafah dan akhirnya memilih tasawuf sebagai jalan menuju Tuhan. Dalam kritikannya terhadap para ahli falsafah menerusi karyanya, Tahafut al Falasifah, beliau mengatakan bahawa ada tiga pendapat para ahli falsafah yang telah membawa mereka kepada kekufuran, iaitu bahawa alam ini adalah qadim, dalam erti tidak bermula dalam waktu; Tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecilnya dalam segala kejadian alam ini dan tidak ada kebangkitan jasmani pada hari kiamat.

Akhir sekali mari kita renungi sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Mujaadalah ayat 11 yang bermaksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.