Archive for the ‘Tokoh Islam’ Category

9 Jeneral Perang Terhebat Dalam Sejarah Islam

1. Khalid Bin Walid Khalid ibn al-Walid (584 – 642)

Khalid bin Walid, adalah seorang panglima perang pada masa pemerintahan Khulafa ArRasyidin yang termahsyur dan ditakuti di medan perang serta dijuluki sebagai Saifullah Al-Maslul (pedang Allah yang terhunus). Dia adalah salah satu dari panglima-pangli­­ma perang penting yang tidak terkalahkan sepanjang kariernya.

 

 

2. Muhammad Al-Fatih ( Mehmed II )

Sultan Mehmed II atau juga dikenal sebagai Muhammad Al-Fatih juga dikenal sebagai el-Fatih, “Sang Penakluk”. Kejaya­­annya dalam menaklukkan Konstantinopel menyebabkan banyak kawan dan lawan kagum dengan kepimpinannya serta taktik & strategi peperangannya yang dikatakan mendahului pada zamannya dan juga kaedah pemilihan tenteranya. Ia merupakan anak didik Syekh Syamsuddin yang masih merupakan keturunan Abu Bakar As-Siddiq.

3. Salahuddin Ayyubi ( Saladin ) Salahuddin Ayyubi atau Saladin atau Salah ad-Din (1138 – 4 Mac 1193)

Adalah seorang jeneral dan pejuang muslim Kurdi dari Tikrit (daerah utara Iraq sekarang). Ia mendirikan Dinasti Ayyubiyyah di Mesir, Syria, sebahagian Yaman, Iraq, Mekah Hijaz dan Diyar Bakr. Salahuddin terkenal di dunia Muslim dan Kristen karena kepemimpinan, kekuatan tentera, dan sifatnya yang satria dan pengampun pada saat ia berperang melawan tentara salib. Sultan Salahuddin Al Ayyubi juga adalah seorang ulama. Ia memberikan catatan dan berbagai macam penjelasan dalam kitab hadits Abu Dawud
4. Abu Ubaidah bin al-Jarrah.

Abu Ubaidah bin al-Jarrah adalah Muhajirin dari kaum Quraisy Mekah yang termasuk antara yang paling awal memeluk agama Islam. Ia ikut berhijrah ke Habasyah (saat ini Ethiopia) dan kemudian, beliau berhijrah ke Madinah. Ia mengikuti setiap pertempuran dalam membela Islam. Setelah wafatnya Nabi Muhammad saw, beliau merupakan salah satu calon Khalifah bersama dengan Abu Bakar dan Umar bin Khattab. Setelah terpilihnya Abu Bakar sebagai Khalifah, beliau dilantik untuk menjadi panglima perang memimpin pasukan Muslim untuk berperang melawan kerajaan Rom. Beliau meninggal disebabkan oleh wabak penyakit.
5.Sa’ad bin Abi Waqqas.

Sa`ad bin Abī Waqqās merupakan salah seorang yang awal masuk Islam dan salah satu sahabat penting Muhammad. Kepahlawanan Sa’ad bin Abi Waqqas tertulis saat memimpin pasukan Islam melawan tentara Persia di Qadissyah. Peperangan ini merupakan salah satu peperangan terbesar umat Islam.
6. Tariq Bin Ziyad.

Tariq bin Ziyad, dikenal dalam sejarah Sepanyol sebagai legenda dengan sebutan Taric el Tuerto (Taric yang memiliki satu mata), adalah seorang jeneral dari dinasti Umayyah yang memimpin penaklukan muslim atas wilayah Al-Andalus (Spanyol, Portugal, Andorra, Gibraltar dan sekitarnya) pada tahun 711 M
7. Syurahbil bin Hasanah (583-639)

Adalah sahabat Muhammad saw. Dia merupakan salah satu komander terbaik dalam pasukan Rasyidin, bertugas di bawah Khalifah Rasyidin Abu Bakar dan Umar bin Khattab. Dia merupakan salah satu komander lapangan utama selama penaklukan Muslim di Syria, bertugas sejak tahun 634 hingga kematiannya pada tahun 639 akibat wabak.
8. Abdullah bin Aamir.
Abdullah bin Aamir adalah gabenor Busrha (647–656) dan merupakan jeneral tentera yang sangat berjaya pada masa pemerintahan Khalifah Rasyidin Othman bin Affan. Dia terkenal atas kehebatannya dalam pengurusan ketenteraan.
9. Amru Bin Ash.

Pada awalnya beliau pernah mengambil bahagian dalam peperangan menentang Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslim namun masuk Islam bersama Khalid bin Walid. Enam bulan setelah memeluk Islam, beliau bersama Rasulullah SAW menakluk Mekah dalam peristiwa Fathul Mekkah. Ia adalah panglima perang yang bijak dalam mengatur strategi perang.Beliau adalah panglima perang yang menaklukan Baitul Maqdis dan Mesir dari cengkaman Romawi. Ia kemudian dilantik sebagai gabenor Mesir oleh Umar bin Khattab, tetapi kemudian dipecat oleh Khalifah Usman bin Affan. Selanjutnya Muawiyah bin Abu Sufyan melantik kembali beliau menjadi gabenor Mesir. Panglima Amru mengerahkan tentera agar menjujung Al Quran dihujung tombak, ia menggunakan cara ini dalam pertempuran dengan Ali bin Abi Thalib agar Ali bin Abi Thalib menghentikan serangan.

 

ABU Al-Wafa’ Al-Buzjani Ahli matematik, astronomi

Orang pertama memisahkan ilmu hitung trigonometri dengan ilmu astronomi

ABU Al-Wafa’ Al-Buzjani adalah salah seorang ilmuwan Muslim terkemuka dalam bidang matematik. Di samping itu, beliau juga adalah ahli astronomi. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Yahya bin Ismail, manakala nama gelarannya ialah Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani Al-Hasib.

Al-Buzjani adalah namanya yang diambil daripada nama tempat kelahirannya, iaitu Al-Buzjan iaitu sebuah desa kecil yang terletak di daerah Khurasan di Iran, atau antara Nishapur dan Harrah. Manakala gelaran Al-Hasib adalah gelaran umum yang diberikan kepada orang yang menekuni bidang ilmu matematik.

Dalam kesusasteraan Arab, namanya biasa disebut dengan nama-nama berikut, iaitu Abu Al-Wafa’, Abu Al-Wafa’ bin Al-Abbas, Al-Buzjani, Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani.

Abu Al-Wafa’ dilahirkan di sebuah desa bernama Buzjan pada 328 Hijrah (940 Masihi). Tidak banyak rujukan sejarah yang menyebutkan secara lengkap tentang sejarah pendidikannya. Namun yang jelas, ketika usianya masih muda dia pernah mengunjungi Baghdad pada 348 Hijrah (959 Masihi).

Di situ, beliau belajar ilmu matematik dan ilmu astronomi. Beliau kemudiannya mengajar dan menulis dalam bidang tersebut, di samping mengadakan penelitian astronomi melalui teropong bintang milik pemerintah.

Al-Buzjani termasuk salah seorang ilmuwan Muslim yang mengembangkan penelitiannya untuk pertumbuhan ilmu hitung kalkulus. Kerana itu, beliau banyak memberikan tumpuan bagi kebangkitan industri yang ada pada masa kita sekarang. Ini kerana gambar geometri dan kalkulus dianggap sebagai tumpuan dasar bagi pengembangan industri dan teknologi, selain sebagai cara untuk mengukur berbagai-bagai bentuk dan ukuran yang sulit.

Kitab Al-Madkhal ila Al-Aritsmatiqi, membincangkan tentang aritmetik iaitu sebahagian daripada cabang ilmu matematik.

Sementara itu, kitab Ma Yahtaju Ilaihi Amal Wa Al-Kitab Min Shina’ati Al-Hisab, secara ringkasnya dikenal dengan nama Al-Manazil Fil Hisab atau Kitab Al-Manazil. Buku ini ditulis oleh Al-Buzjani untuk digunakan oleh pegawai negeri.

Dalam buku itu juga, beliau menerangkan tentang kaedah ilmu hitung India, seperti goresan pada pasir dan bagaimana menghapuskannya.

Ilmu hitung

Pada kenyataannya, ilmu hitung ini didasarkan pada cara hitung yang disebut “hitungan Romawi dan Arab” menurut cara penyelesaian penghitungannya. Kadang-kadang juga hanya dilakukan di dalam benak seseorang dan dalam keadaan tertentu ada langkah penyelesaian dengan cara menghitung jari.

Inilah yang saat dikenal dengan nama “hitungan tangan,” “hitungan akad,” dan “hitungan udara.” Kemudian untuk berinteraksi dengan bilangan pecahan, hitungan tangan menggunakan ukuran enam puluhan atau pecahan itu diubah menjadi mata wang atau satuan ukuran.

Kitab Al-Manazil telah menjadi dasar dalam menghitung pada masa Al-Buzjani. Penamaan buku Al-Manazil didasarkan pada keadaan aslinya, iaitu bahawa buku ini terbahagi menjadi tujuh manzilah (tingkatan) dan masing-masing manzilah terbahagi menjadi tujuh bab.

Keunggulan Al-Buzjani dalam ilmu astronomi dan matematik telah membuat para astronomi dan ahli matematik barat merasa kagum, sekali gus iri hati kepadanya.

Bahkan, kerana didorong perasaan itu, salah seorang daripada mereka mengaku apa yang ditemukan oleh Al-Buzjani sebagai penemuannya sendiri. Misalnya, ahli astronomi dari Denmark, Tycho Brahe (1546-1601).

Sepanjang penglibatan Al-Buzjani dalam bidang astronomi, tujuh risalah utama daripada Almagest (Kitab al-Majisti) masih wujud hingga kini. Kerja-kerjanya merangkumi banyak topik dalam bidang satah dan sfera trigonometri, teori planetari dan penyelesaian dalam menentukan arah kiblat.

Sebahagian sejarawan mengatakan bahawa ini adalah penemuan Brahe. Bagaimanapun, sebahagian yang lain ada yang juga membantah perkara itu. Masalah ini sempat menjadi perdebatan yang panjang, hingga dapat diyakinkan pada masa sekarang bahawa penemuan ketidaksempurnaan ketiga pada pergerakan bulan adalah penemuan Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani, bukan Tycho Brahe.

Akhirnya, para ilmuwan Barat mengembalikan penemuan hak Al-Buzjani kepadanya. Beliau juga merupakan orang pertama kali memisahkan ilmu hitung trigonometri dengan ilmu astronomi.

Abu Al-Wafa’ telah mencapai kedudukan yang paling tinggi dalam ilmu matematik. Karya-karya atau tulisan Al-Buzjani memiliki banyak keistimewaan dan segala karyanya dapat dimanfaatkan oleh semua orang. Malah segala isi karyanya begitu lengkap dan tidak mungkin dapat dilakukan oleh mereka yang bukan pakar atau ahli khusus dalam bidang tersebut.

Nama lengkap: Muhammad bin Muhammad bin Yahya bin Ismail

Gelaran: Abu Al-Wafa’ Al-Buzjani Al-Hasib

Lahir: 10 Jun 940 Masihi di Buzhgan, (sekarang Torbat-e Jam) di Khurasan (sekarang Iran)

Meninggal dunia: 15 Julai 997 Masihi atau 998 Masihi di Baghdad

Era: Zaman Keemasan Islam

Bidang kepakaran: Matematik dan Astronomi

Idea-ideanya yang paling terkesan: Fungsi tangen, peraturan sinus dan beberapa identiti trigonometri

AL-MAS’UDI Sejarawan Muslim terkenal

AL-MAS’UDI merupakan ahli geografi, sejarah, geologi, zoologi, tokoh ensiklopedia sains Islam dan dikenal sebagai seorang pengembara dunia. Beliau juga mempelajari ilmu kalam, akhlak, politik, dan bahasa.

Nama lengkapnya ialah Abu Hasan Ali bin Husein bin Ali al-Mas’udi. Beliau mendapat gelaran Imam al-Mu’arrikhin (pemimpin para sejarawan) oleh Ibnu Khalikan (608 Hijrah / 1211 M-681 Hijrah / 1282 Masihi), seorang sejarawan Muslim yang terkenal. Selain itu ia juga dikenali sebagai “Herodotus” (ahli sejarah Yunani).

Setelah menyelesaikan pendidikan pertama yang diterima daripada ayahnya, al-Mas’udi segera merancang untuk mendalami sejarah, adat istiadat, dan cara hidup setiap negeri. Beliau juga banyak mempelajari ajaran Kristian dan Yahudi, serta sejarah Barat dan Timur yang berlatar belakang Kristian dan Yahudi.

Ia menulis banyak karangan, namun sebahagian besar tidak ditemui lagi. Dan yang sampai ke tangan generasi sekarang ini pun ada yang hanya berupa ringkasan. Antara karyanya yang termasyhur adalah Zakha’ir al-Ulum wa Ma Kana fi Sa’ir ad- Duhur (Khazanah Ilmu Pada Setiap Kurun) dan al-Istizkar Lima Marra fi Salif al-A’mar, tentang peristiwa-peristiwa masa lalu.

Kedua-dua buku tersebut telah diterbitkan kembali di Najaf pada 1955. Selain itu, banyak lagi buku beliau yang berkaitan dengan sejarah telah diterbitkan. Ia merangkumi sejarah umat masa lampau dan bangsa-bangsa sekarang serta kerajaan-kerajaan mereka.

Buku yang terdiri daripada 30 jilid ini tidak seluruhnya sampai ke tangan generasi sekarang. Yang ada hanyalah dalam bentuk ringkasan, namun tidak diketahui pengarangnya. Beberapa manuskrip menyebutkan bahawa ringkasan itu merupakan jilid pertama daripada kitab ini.

Kitab ini terdiri daripada dua bahagian besar. Pertama, berisi sejarah penciptaan alam dan manusia, sifat-sifat bumi, laut, peristiwa-peristiwa luar biasa, riwayat nabi-nabi, sejarah bangsa-bangsa kuno dengan agama dan alirannya, serta adat istiadat dan tradisi.

Al-Mas’udi banyak mengutip karya para sejarawan sebelumnya. Kedua, berisi sejarah Islam, mulai akhir masa Khulafa’ ar-Rasyidin (empat khalifah besar) sampai awal masa pemerintahan Khalifah al-Muti daripada Dinasti Abbasiyah.

Selain itu, al-Mas’udi juga memaparkan pembahagian bumi ke dalam beberapa wilayah. Menurutnya, bentuk daratan dan lautan menyerupai segmen sebuah/sebiji bola. Kitab yang sekarang dianggap sebagai kitab turas (khazanah Islam klasik) ini diterbitkan kembali pada 1866 di Bulaq dan 1895 di Kaherah.

Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh C.B de Meynard dan P. de Courteille, menjadi 9 jilid (Paris, 1861-1877). Sebelumnya, jilid satu daripada kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh A. Sprenger (London, 1841).

Selain kitab-kitab tersebut, beberapa karya al-Mas’udi yang tidak sampai kepada generasi sekarang adalah al-Istinsar (Kebangkitan), az-Zahi (Masa kecemerlangan), al-Qadaya wa at-Tajarib (Peristiwa dan Pengalaman).

Dalam penulisan sejarah, berbeza dengan sejarawan lainnya yang kebanyakan pada masa itu menggunakan pendekatan al-hauliyyat (penulisan berdasarkan tahun), al-Mas’udi menggunakan pendekatan at-tasnif al-maudu’i (tematik).

Tema-temanya meliputi bangsa, raja dan dinasti. Dalam pemaparan sejarah, beliau menyajikan bahan dengan menarik, diramu bersama peristiwa politik, peperangan dan informasi tentang masyarakat dan adat-istiadatnya, di samping pembahasan geografi. Dalam hal ini banyak diikuti oleh sejarawan terkemudian, termasuk Ibnu Khaldun.

Secara keseluruhan, karya al-Mas’udi dapat dipakai sebagai sumber untuk memahami pandangan umum Muslim mengenai dunia dan juga sebagai bahan penyelidikan pengetahuan tentang geografi dan sejarah alam. Informasi dalam karyanya tentang negeri yang dikunjunginya diperoleh daripada sumber primer, terutama wilayah-wilayah Islam.

 

Abu Yazid Al-Bustami Tokoh sufi terkenal

KOMPLEKS Abu Yazid Al-Bustami.

ADA seorang sufi yang terkenal dengan ucapannya yang luar biasa tentang fahaman ittihad. Sufi tersebut bernama Abu Yazid bin Isa bin Surusyan al-Bustami.

Beliau lahir di Bistam, di bahagian utara Iran. Tahun kelahiran dan masa kecil al-Bustami tidak banyak di ketahui, kecuali beliau berasal daripada keluarga terhormat dan terpelajar. Ayahnya, Isa bin Surusyan adalah pemimpin masyarakat di Bistam.

Ibunya dikenali sebagai seorang yang zahid (meninggalkan keduniaan) dan al-Bustami sangat patuh kepadanya. Datuknya seorang penganut agama Majusi yang kemudiannya memeluk Islam.

Al-Bustami mengenal tasawuf daripada seorang India, Abu Ali al- Sindi yang mengajarnya ajaran al-fana’ fi ai-tauhid (tenggelam dalam tauhid). Beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Al-Bustami meninggal dunia pada 261 Hijrah / 875 Masihi di Bistam, Iran.

Dihormati

Meskipun ucapannya kadangkala dianggap tidak biasa dan kafir, ajaran al-Bustami banyak dikaji dan disebarkan oleh para sufi lain. Fahamannya dijadikan rujukan dan beliau dihormati guru sufi. Nama Abu Yazid sering dikaitakan dalam salasilah (garis kerohanian) guru sufi dalam banyak tarekat.

Seorang sufi terkenal, al-Junid, pernah menterjemahkan ucapan al-Bustami ke dalam bahasa Arab yang disertai ulasan dalam kitab al-Luma’al-Sarraja melalui seorang murid yang juga anak saudara al-Bustami, iaitu Abu Musa Isa bin Adam.

Pengalaman rohani al-Bustami dikumpulkan, disimpan dan disebarkan oleh muridnya kerana beliau tidak meninggalkan suatu karya pun.

Menurut pandangan sufi, kata-kata yang diucapkan al-Bustami bukanlah kata-kata yang keluar daripada diri sendiri tetapi daripada Allah SWT melalui pertuturan al-Bustami ketika beliau sedang dalam keadaan ittihad.

Kecaman

Ajaran al-Bustami mendapat kecaman sejumlah ulama. Bagi mereka, ajaran al-Bustami tentang ittihad merupakan ajaran yang sesat dan menyimpang daripada syariat dan akidah.

Mereka menganggap ucapan al-Bustami sebagai cercaan terhadap Tuhan. Antara ucapannya adalah: “Sesungguhnya aku adalah Allah. Tidak ada Tuhan selain aku. Maka sembahlah aku.”

Ucapan ini secara harfiah bererti al-Bustami ialah Tuhan, sehinggalah beliau dianggap kafir. Meskipun mendapat kecaman, tasawuf al-Bustami kemudian dikembangkan oleh pengikutnya dengan membentuk satu aliran terekat bernama Taifuriyah.

Pembelaan

Menurut tafsiran yang membela al-Bustami, ucapan aneh al-Bustami ketika mencapai tingkat ittihad adalah pengalaman rohaninya yang diliputi perasaan bahawa dirinya bersatu dengan Tuhan.

Dalam ittihad, yang dirasakan hanyalah satu kewujudan yang berbeza, iaitu sufi dan Tuhan. Pada peringkat ini, sufi tidak sedarkan dirinya dan segala sesuatu selain Tuhan. Fahaman ini tetap mempertahankan perbezaan di antara tuhan dengan manusia.

 

Gagasan Ibnu Khaldun

IBNU Khaldun atau nama sebenarnya Abd. Al-Rahman Ibnu Muhammad Ibnu Khaldun, bukanlah nama yang asing dalam dunia pemikiran Islam. Pemikiran Ibnu Khaldun sangat terkenal tentang sosiologi, ilmu sejarah dan politik. Ia menjadi bahan kajian penting para pemikir dan ahli ilmu Muslim di Timur dan Barat.

Pemikiran Ibnu Khaldun terus dimanfaatkan ke dalam pelbagai bidang kajian ilmu, sosial, ekonomi, kajian sejarah, peradaban, pemerintahan dan bidang-bidang pentadbiran kepolitikan. Dimanfaatkan oleh, sama ada daripada kalangan ilmuan Muslim mahupun yang kafir.

Ibnu Khaldun turut dikenali sebagai bapa sosiologi dan ahli sejarah yang banyak membuka lembaran baru corak berfikir dalam dunia kepolitikan. Tatkala menyelami pemikiran Ibnu Khaldun, maka kita akan ditarik untuk mengimbas ke belakang, iaitu pada abad 14 Masihi.

Pada ketika itu kebudayaan Arab-Islam sedang dilanda kemunduran. Krisis ini kemudian merebak ke jaringan-jaringan politik sebagai kesan dan akibat atas pecahnya imperium Islam menjadi negara-negara kecil yang dikendalikan oleh penguasa lemah dan tidak memiliki wawasan kerakyatan.

Idea kritis

Bermula daripada pengalaman dan penelitiannya yang tajam, Ibnu Khaldun mengutarakan idea-idea kritis tentang isu berkaitan kemasyarakatan dan kenegaraan. Akhirnya lahirlah karya besarnya, Muqaddimah. Sebuah karya yang merupakan pengantar daripada kitab Al-’Ibar yang diselesaikannya pada usia beliau 45 tahun.

Muqaddimah Ibnu Khaldun membahaskan fungsi dan peranan besar ilmu sejarah. Beliau memuatkan di dalamnya tentang makna dan hakikat sejarah serta method beberapa mazhab atau aliran pembukuan sejarah.

Kemudian beliau mengkritis beberapa perkara lalu membentangkan pula kecerobohan, kesilapan-kesilapan dan kesalahfahaman para periwayat dan penulis kitab-kitab sejarah di dalam menukil peristiwa-peristiwa sejarah secara semberono. Beliau jabarkan (pecahkan) antara periwayatan sejarah yang boleh diterima pakai dan yang tidak.

Sejarah menurut Ibnu Khaldun, memiliki fungsi yang besar dan tujuan yang mulia. Kerana melalui sejarah kita mengenal asal keadaan bangsa-bangsa terdahulu dari sudut tamadun, moral, akhlak, budaya, pentadbiran, dan tokoh-tokoh yang berjasa. Mereka yang mahu melakukan pelbagai kajian dan membuat tindakan dalam sesuatu perkara, dia pasti akan merasakan perlunya merujuk dan meneliti informasi dalam sejarah.

Menurut Ibnu Khaldun, pembukuan sejarah bukanlah sekadar mengetahui kisah-kisah, dokumentasi, mengenal penguasa dan tokoh, atau meraih ilmu, tetapi lebih daripada itu iaitu demi mengenal peristiwa-peristiwa masa lampau dalam rangka memahami dan membina masa depan yang lebih baik.

Kuasa politik

Selain itu, Ibnu Khaldun juga membahaskan topik kepolitikan, kekuasaan, penaklukan, dan tanggungjawab dalam pemerintahan. Kekuasaan dan politik menurut Ibnu Khaldun memiliki kedudukan dan tujuan yang seharusnya diformalasikan untuk kemanusiaan dalam menjalankan amanahnya kepada Allah SWT.

Ini kerana, kedu-duanya secara naluri berkait dengan fitrah manusia dan pola fikirannya yang condong meraih kemaslahatan. Dalam rangkuman maksud ini, keperluan manusia terhadap keamanan, perlindungan, kesejahteraan, kestabilan dan selainnya yang seumpama adalah termasuk dalam bahagian tanggungjawab pemerintahan dan kekuasaan.

Terlalu banyak untuk disebutkan di sini tentang gagasan Ibnu Khaldun melalui Muqaddimah-nya yang cukup masyhur ini. Di antara lain di dalam buku ini, beliau mengupas tentang ashabiyah, kemasyarakat, budaya dan negara, pembinaan bangsa dan negara, kependidikan, ilmu-ilmu dan sumbernya, peradaban, ketamadunan, kekhilafahan serta kerajaan-kerajaan dan pemerintahan silam, penjanaan ekonomi dan sumbernya serta banyak lagi.

Beliau, hidup di keadaan politik dan kesukuan yang rumit. Ketika itu, Ibnu Khaldun berpindah-randah antara Maghribi, Andalusia dan Mesir tempat kewafatannya. Beliau adalah individu bernama besar yang muncul tatkala dunia Islam sedang bergolak dan berpecah-belah menjadi negeri-negeri kecil.

Beliau adalah tokoh yang amat mencintai ilmu semenjak kecil lagi. Beliau menguasai al-Quran, ilmu hadis, ushul fiqh, sastera, sejarah, dan ilmu mantik. Ketika usia beliau mencecah 45 tahun, Ibnu Khaldun mengasingkan diri daripada hiruk-pikuk dan kesibukan manusia lalu berkomitmen terhadap bidang penulisan dan sejarah.

Sehinggalah akhirnya beliau berjaya menyelesaikan sebuat karya penting yang memiliki kedudukan istimewa oleh ramai kalangan ilmuan, iaitu buku Al-’Ibar Diwanul Mubtada’ wal Khabar bersama Al-Muqaddimah yang cukup masyhur hingga hari ini. – Sumber Atsar Ent.

Karya pertama ilmu tajwid

ILMU tajwid adalah ilmu yang terawal wujud berbanding dengan ilmu yang lain. Ini kerana ilmu tajwid mengiringi penurunan al-Quran dan peranannya ialah menjaga bacaan al-Quran. Dalam prinsip disiplin ilmu tajwid, dinyatakan bahawa kepentingannya ialah untuk memastikan al-Quran dibaca dengan betul dan menjaga lidah daripada melakukan kesalahan.

Pada mulanya, ilmu tajwid diamalkan dalam pembacaan tanpa dicatat di dalam penulisan. Semua hukum-hakamnya, sama ada izhar, idgham, iqlab, mad wajib, mad lazim dan lain-lain diamalkan walaupun ketika itu belum diistilah dengan nama tertentu. Jika qari salah membaca al-Quran, guru akan memberi teguran sebagaimana berlaku kepada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a.

Al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir meriwayatkan kisah Abdullah Ibnu Mas’ud yang mengajar seorang lelaki membaca al-Quran. Lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara’ dengan memendekkan sebutannya. Lalu Abdullah Ibnu Mas’ud r.a memberi teguran dengan berkata, “Bukan begitu Rasulullah SAW mengajar ku membacanya.” Lelaki itu bertanya. “Bagaimanakah Rasulullah SAW mengajar kamu membacanya wahai Abu Abdul Rahman? Lalu Abdullah Ibnu Mas’ud membacanya dengan memanjangkan suara pada al-Fuqara’.

Karya pertama dalam ilmu tajwid ditulis oleh Abi Muzahim Musa al-Khaqani dari Baghdad yang meninggal dunia pada 325 Hijrah. Penulisan pertama ini mencetus idea ulama selepasnya untuk lebih teliti dan kemas dalam penulisan tajwid. Kitab tersebut ditulis dalam bentuk syair sebanyak 51 rangkap.

Kandunganya antara lain menyebut tujuh imam Qiraat Nafei’, Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibn ‘Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaie. Dinyatakan juga beberapa kelebihan membaca al-Quran. Dalam perbahasan tajwid, penulisnya mengulas tentang huruf yang dibaca dengan tebal dan huruf yang dibaca dengan nipis.

Kaedah yang penting juga ialah keperluan pembaca al-Quran menjaga bacaannya supaya tidak berlaku penambahan dan selalulah meminta petunjuk daripada Allah SWT. Beliau juga menyebut tentang perlunya menyebut huruf mengikut kadarnya dan jangan melebihkan sebutannya kerana ia adalah sebaik-baik amalan.

Walaupun karya pertama tajwid ini ringkas tetapi kandungannya adalah berkaitan prinsip membaca al-Quran. Abu Amru yang meninggal dunia pada 444 Hijrah adalah merupakan seorang yang alim dalam ilmu tajwid dan qiraat telah membuat huraian terhadap karya Abu Muzahim tersebut.

Dalam syarahnya, Abu Amru membawa pendapat atau pandangan yang lebih luas. Dalam isu mengajar al-Quran umpamanya, Abu Muzahim menyarankan agar mengajar murid tidak melebihi 10 ayat. Namun begitu, dalam syarahnya Abu Umru al-Dani menyebut bahawa jika guru mendapati muridnya menguasai kaedah bacaan dan lidahnya lembut untuk membaca al-Quran maka diizinkan untuk membaca lebih daripada 10 ayat.

Beliau membawa sejarah ulama sebelumnya belajar al-Quran. Imam Hamzah mengajar al-Quran kepada Sufian al-Thauri. Setiap kali membaca di hadapan Imam Hamzah, Sufian al-Thauri membaca dengan 50 ayat, diikuti dengan Sulaim Ibnu Isa, al-Kisai dan rakan-rakanya yang membaca sebanyak 30 ayat dan seterusnya al-Yasykuri membaca 10 ayat. Warsy seorang perawi kepada Imam Nafie’ meriwayatkan bahawa gurunya itu mengajar al-Quran dengan 30 ayat kepada setiap seseorang.

5 ciptaan terhebat Ilmuan Islam

AKHBAR terkemuka di United Kingdom (UK), The Independent pada edisi 11 Mac 2006 pernah menyiarkan sebuah artikel tulisan Paul E. Vallely bertajuk, Bagaimana Para Pereka Cipta Muslim Mengubah Dunia menarik untuk dikongsi. Apa tidaknya, tulisan tersebut wajar diambil perhatian, khasnya kepada umat Islam agar tidak terlalu berkiblatkan kepada tokoh-tokoh barat acap kali membicarakan soal dunia penciptaan inovasi baharu.

Sungguhpun akhbar tersebut telah menyenaraikan sekitar 20 penemuan penting yang mampu mengubah peradaban umat manusia, namun di ruangan yang agak terhad ini akan diketengahkan lima ciptaan inovasi terhebat umat Islam pada abad pertengahan.

Menariknya lagi, ciptaan tersebut sehingga ke hari ini masih berguna dan popular.

Kopi

KIRA-kira 1.6 juta cawan kopi diminum setiap hari di seluruh dunia. Berbilion-bilion orang bergantung kepadanya sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka. Namun, tidak ramai yang mengetahui kaitan minuman popular itu dengan masyarakat Islam.

Menurut rekod sejarah, dalam tahun 1400-an, kopi menjadi minuman yang sangat popular dalam kalangan umat Islam di Yemen yang terletak di selatan Semenanjung Arab.

Legenda itu bermula apabila seorang gembala (ada yang mengatakan di Yemen, ada yang mengatakan di Ethiopia) menyedari bahawa kambingnya menjadi sangat bertenaga dan resah apabila memakan biji kopi dari sebatang pokok.

Penggembala itu memberanikan dirinya untuk merasai bahan itu dan ternyata, ia memberi rangsangan tenaga yang luar biasa. Lama-kelamaan, tradisi memanggang biji kopi dan merendamkannya di dalam air untuk menghasilkan minuman berkuasa itu telah wujud dan hasilnya, minuman kopi dilahirkan.

Tanpa mengira, sama ada kisah penggembala itu benar-benar berlaku atau tidak, budaya minum kopi telah meresap dari kawasan tanah tinggi di Yemen ke seluruh Empayar Uthmaniah iaitu empayar Islam yang terulung di abad ke-15 Masihi. Serentak itu, kedai-kedai yang khusus menjual minuman kopi telah muncul di beberapa buah bandar utama dalam dunia Islam iaitu seperti di Kaherah, Istanbul, Damsyik dan Baghdad.

Dari dunia Islam, minuman kopi telah menyelinap masuk ke Eropah melalui bandar tumpuan saudagar besar iaitu Venice. Walaupun pada mulanya, kopi itu dianggap sebagai sebagai “minuman Muslim” oleh pihak gereja Katolik, tetapi kini ia telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Eropah.

Kedai-kedai kopi pada era 1600-an telah menjadi tempat ahli-ahli falsafah bertemu dan membincangkan isu-isu seperti hak-hak manusia. peranan kerajaan dan demokrasi. Perbincangan itu telah melahirkan satu pergerakan intelektual yang paling berkuasa di dunia moden hari ini.

Daripada seorang gembala kambing di Yemen atau Ethiopia kepada pembentukan pemikiran politik masyarakat Eropah, minuman kopi yang kini mencatatkan lebih satu bilion cawan setiap hari itu merupakan satu inovasi Islam yang paling penting dalam sejarah kehidupan manusia hari ini.

Pemberian ijazah universiti

DALAM sejarah awal Islam, masjid turut memainkan peranan sebagai sekolah. Orang sama yang mengetuai solat akan mengajar kumpulan pelajar tentang sains Islam seperti al-Quran, fiqh (perundangan) dan hadis.

Sejajar dengan perkembangan tamadun Islam, wujud keperluan untuk mewujudkan satu institusi formal yang dikenali sebagai madrasah yang dikhususkan untuk bidang pendidikan.

Madrasah formal pertama adalah al-Karaouine, yang diasaskan pada 859 Masihi oleh Fatima al- Fihri di Fes, Maghribi.

Sekolahnya berjaya menarik beberapa ulama terkemuka dari Afrika Utara serta pelajar-pelajar pintar. Di al-Karaouine, pelajar diajar oleh guru-guru untuk beberapa tahun di dalam pelbagai subjek daripada sekular kepada agama.

Pada akhir program itu, mana-mana pelajar yang berjaya akan diberikan sijil yang dikenali sebagai ijazah yang mengiktiraf bahawa pelajar itu memahami apa yang diajarkan dan juga layak untuk mengajar pelajar lain.

Pemberian ijazah yang pertama oleh institusi pendidikan itu telah tersebar dengan cepat di seluruh dunia Islam. Antara yang terawal mengambil langkah sama adalah Universiti Al-Azhar yang ditubuhkan di Kaherah, Mesir pada 970 Masihi dan kerajaan Seljuk telah menubuhkan puluhan madrasah di seluruh Asia Barat pada tahun 1000-an.

Konsep institusi pendidikan yang memberikan ijazah itu turut merebak ke Eropah melalui orang Islam Sepanyol. Universiti Bologna di Itali dan Oxford di England yang diasaskan pada abad ke-11 dan ke-12 telah meneruskan tradisi Islam memberikan ijazah kepada pelajar yang berjaya, dan menggunakannya sebagai penentu kepada tahap kelayakan seseorang dalam mata pelajaran tertentu.

Pancaragam tentera

RAMAI pelajar yang belajar di sekolah dan universiti di dunia Barat sudah biasa dengan pancaragam. Ia sekumpulan pemuzik yang berarak ke padang semasa acara sukan untuk menghiburkan penonton dan bersorak kepada para pemain.

Pancaragam yang dibangunkan berasaskan semasa Gunpowder Age di Eropah itu, diwujudkan bagi menyemarakkan semangat anggota tentera dalam peperangan .

Pun begitu, tradisi itu berasal daripada kumpulan pancaragam mehter Uthmaniah pada tahun 1300-an yang berjaya membantu tentera Uthmaniyyah menjadi antara angkatan bersenjata paling berkuasa di dunia pada masa itu.

Sebagai sebahagian daripada kor elit Janissary Empayar Uthmaniah, tujuan pancaragam mehter diwujudkan adalah untuk memainkan muzik keras bagi menakut-nakutkan musuh dan menyemarakkan lagi semangat tentera sekutu.

Akhirnya, orang Kristian di Eropah turut menggunakan konsep pancaragam yang sama untuk menakutkan musuh mereka.

Lagenda mengatakan bahawa selepas kegagalan menawan Vienna pada 1683, tentera Uthmaniah telah meninggalkan berpuluh-puluh alat muzik dan kemudiannya orang Austria mengumpul, mengkaji dan menggunakan alat muzik itu untuk kegunaan sendiri.

Selepas kejadian itu, angkatan tentera di seluruh Eropah turut menggunakan konsep pancaragam itu dan ini secara tidak langsung mengubah cara peperangan di Eropah selama berabad-abad.

Kamera

PASTINYA sukar untuk membayangkan dunia tanpa fotografi. Syarikat berbilloin dolar seperti Instagram dan Canon diasaskan berdasarkan idea untuk merakam cahaya dari tempat kejadian, mewujudkan imej daripadanya dan menghasilkan semula imej itu.

Tetapi berbuat demikian adalah sesuatu mustahil tanpa usaha dan sumbangan daripada saintis Islam abad ke-11, Ibnu al-Haitham, yang membangunkan bidang optik dan mengambarkan bagaimana kamera berfungsi.

Apabila Ibnu al-Haitham diletakkan di bawah tahanan rumah oleh Fatimid pemerintah al-Hakim, beliau mempunyai masa dan keupayaan untuk mengkaji kerja-kerja bagaimana cahaya berfungsi. Sebahagian besar kajiannya itu memberi tumpuan kepada bagaimana lubang kamera berfungsi.

Ibnu al-Haitham adalah saintis pertama yang menyedari bahawa apabila lubang kecil ditebuk pada kotak tahan cahaya, sinaran cahaya dari luar akan melalui lubang itu hingga ke dinding kotak itu.

Beliau sedar bahawa makin kecil lubang itu, maka lebih jelas imejnya dan ini membolehkan beliau membangunkan sebuah kamera yang boleh menangkap imej yang jelas.

Penemuan Ibnu al-Haitham mengenai kamera dan bagaimana untuk menangkap imej telah membawa kepada pembangunan kamera dengan menggunakan konsep yang sama.

Tanpa penyelidikan bagaimana cahaya bergerak melalui lubang itu, mekanisme moden yang ada dalam kamera hari ini tidak akan wujud.

Algebra

WALAUPUN ramai pelajar sekolah menengah bertungkus-lumus mempelajari matematik, mereka tidak mungkin menghargai kepentingan algebra yang merupakan salah satu sumbangan paling penting semasa kegemilangan Tamadun Islam kepada dunia moden.

Algebra telah dibangunkan oleh ahli sains dan ahli matematik, Muhammad ibnu Musa al- Khawarizmi yang hidup antara tahun 780 hingga 850 Masihi di Parsi dan Iraq.

Dalam buku monumentalnya, Al- Kitab al- Mukhtasar fi hisab al -jabr wa -l- muqabala (The Compendious Book on Calculation by Completion and Balancing), beliau menetapkan empat prinsip-prinsip asas algebra.

Malah, dalam buku itu, al-Khawarizmi turut menerangkan bagaimana untuk menggunakan persamaan algebra dengan pemboleh ubah yang tidak diketahui bagi menyelesaikan masalah dunia seperti pengiraan zakat dan pembahagian harta pusaka.

Buku al-Khawarizimi itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin di Eropah pada tahun 1000-an dan 1100-an, yang mana beliau dikenali sebagai Algoritmi (perkataan algoritma itu berdasarkan nama dan kerja-kerja matematik beliau).

Tanpa usaha beliau dalam membangunkan algebra, aplikasi praktikal matematik moden seperti kejuruteraan, adalah sesuatu yang tidak mungkin wujud. Karya-karya beliau telah digunakan sebagai buku teks matematik di universiti-universiti sekitar Eropah selama beratus-ratus tahun selepas kematiannya