Archive for the ‘Tinta Pena’ Category

Rebutlah Keistimewaan Ramadhan

Kedatangan Ramadhan dialu-alukan bersama dengan peningkatan dalam menambahkan kuantiti dan kualiti bagi setiap amalan soleh disamping jihad yang bersungguh dan berterusan di dalam menangkis segala serangan nafsu serta mengikis segala sifat mazmumah yang masih bersarang dalam diri. Ketibaan Ramadhan dengan segala  tawaran istimewa yang berbentuk pengampunan dosa, penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka. Peluang keemasan yang datang janganlah dilepaskan begitu sahaja tanpa ada di sana usaha untuk mendapatkannya demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jika kita berebut dengan tawaran murah yang memenuhi pasaraya dan kedai-kedai terutama menjelang hari raya sedangkan ramai di kalangan kita tertipu dan rambang mata mengapakah kita tidak begitu tertarik dengan tawaran Allah yang semenangnya jelas dan benar. Tawaran berharga yang dibuat ini untuk dikecapi oleh seluruh makhlukNya yang taat dan bertaqwa. Adakah kita akan berasa rugi jika kita sama-sama berlumba untuk menggapainya. Adakah kita akan menjadi makhluk yang tolol dan bodoh kerana terlalu percaya kepada tawaran yang dijanjikan oleh Allah ini.

Jika kita berasa rimas apabila kurang mandi yang menyebabkan badan dipenuhi daki dan rambut berlumuran kelimumur maka mengapakah kita tidak merasa diri ini begitu bersalah dan rimas apabila disaluti najis dosa dan hati pula dipenuhi bintik dosa. Jika kita sentiasa mencari sabun dan syampu yang terbaik untuk menanggalkan daki dan kelimumur mengapakah kita tidak menggunakan doa dan zikir yang terbaik untuk menanggalkan segala najis dosa yang ada pada diri yang hina. Mengapa kita merasa hina jika tubuh badan kita kotor dengan najis dan bauan yang memualkan sedangkan kita boleh berasa selesa dengan najis dosa yang menyaluti diri. Mengapa kita berasa hina di hadapan manusia dengan keadaan badan yang tidak terurus sedangkan kita tidak merasa apa-apa kesalahan terhadap Allah Tuhan  Pencipta kita dengan dosa yang bertambah. Janganlah sekali-kali kita memandang maksiat itu sebagai suatu yang kecil sebagaimana orang munafik yang melihat dosa seperti lalat yang akan terbang dari hidung yang dihinggap dengan hanya perlu menggunakan tangan sahaja. Kita hendaklah melihat dosa itu sebagaimana pandangan mukmin sejati di mana dosa dilihat seperti gunung besar yang mahu menghempap diri.

Kita dalam mencari keuntungan dalam sebarang perniagaan yang diceburi semtiasa memerhati kepada saingan dan faktor yang boleh membawa keuntungan atau kerugian. Biasanya seorang yang berjaya akan mengetahui dan sentiasa berhati dengan sebarang risiko yang membahayakan diri dan perniagaannya.Jika risiko kerugian itu datang daripada seorang yang bernama manusia maka dia sentiasa menjauhi manusia tadi. Tetapi kita sebagai manusia sentiasa menjaga perkara tersebut demi mencari keuntungan yang tidak seberapa sedangkan dalam masa yang sama kita kita terus berdegil dan alpa walau pun telah tahu bahawa nafsu dan syaitan merupakan musuh utama yang jelas yang akan membawa kita kepada kerugian hidup di dunia dan akhirat sehingga kita dengan mudah menurut jejak dan ajakannya yang menyebabkan segala suruhan dan larangan Allah diketepikan tanpa merasa bersalah dan rugi. Kita boleh mengelak daripada terpedaya dengan risiko yang bakal merugikan kita dengan perniagaan dunia tetapi kita tidak mampu menahan diri daripada terheret dengan godaan nafsu yang mahu merosakkan kita sehingga kita akan menyesal di kemudian hari iaitu di alam akhirat pada hari pembalasan di atas segala amalan kita selama ini.Mengapa kita begitu berhati-hati dengan risiko berbentuk keduniaan tetapi kita memandang enteng terhadap kehidupan akhirat yang bakal ditempuhi. Mengapa kita mengabaikan nasihat nabi yang menyatakan bahawa kita di dunia ini seperti musafir yang hanya melalui kehidupan dunia bagi mencari bekalan sebelum sampai ke destinasi yang sebenar iaitu akhirat. Adakah kita berasa cukup dengan kemewahan dunia sedangkan di hari akhirat nanti kita akan papa kedana daripada amalan soleh. Sudah cukupkah kita ketawa gembira kerana memperolehi keuntungan dunia yang tidak seberapa malah akan ditinggalkan sebagai pesaka sedangkan kita bakal menangis menyesal di akhirat sana kerana tidak mampu membawa bekalan akhirat yang mencukupi.

Umat Islam seluruh dunia sama-sama mengerjakan ibadat puasa bagi menunjukkan ketaatan terhadap perintah Allah. Seluruh umat Islam tanpa mrngira pangkat dan harta, warna kulit dan bangsa, bahasa dan budaya sama-sama berpuasa dengan menahan lapar dahaga di siang hari dan menghidupkan malamnya dengan amalan sunat terutama solat terawih. Adakah kita merasakan bagaimana laparnya kita kerana berpuasa merupakan suatu perkara biasa yang telah dihadapi oleh saudara seagama kita di tempat yang lain yang kebuluran kerana kekurangan bekalan makanan akibat kemarau atau peperangan. Adakah tidak pernah terdetik di hati bagaimana susahnya si miskin yang hidup melarat dan memerlukan bantuan daripada kita. Atau kita hanya mampu merasakan lapar untuk diri kita sahaja sehingga tidak pernah memikirkan hal saudara kita yang lain. Ingatlah amaran Allah bahawa bukan daripada golongan orang yang beriman mereka yang tidak memikirkan hal saudaranya yang lain. Kita sebagai umat Islam yang hidup bersaudara mesti menanamkan sifat kasih sayang dan bertanggungjawab kepada saudara kita yang lain. Ingatlah dua perkara dan lupakan dua perkara. Dua perkara yang mesti diingati ialah kesalahan kita terhadap orang lain dan hutang dibuat yang mesti kita tunaikan. Dalam masa yang sama kita mesti melupakan dua perkara iaitu jasa kita terhadap orang dan kesalahan orang lain terhadap kita agar terhindarnya rasa dendam yang boleh merosakkan kita.

Marilah kita sama-sama menggunakan peluang yang terbuka ini untuk menghidupkan Ramadhan agar kedatangannya tidak disia-siakan.Rebutlah tawaran Allah ini dengan sebaiknya bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Hitunglah Kualiti Puasa Kita

Ramadhan kini telah masuk kepada 10 hari terakhirnya di mana waktu inilah mengikut beberapa hadis Rasulullah s.a.w merupakan waktu yang akan ada di antaranya lailatul qadar iaitu suatu malam yang dijanjikan gandaan pahala dan keampunan serta maqbulnya doa bagi hamba yang meminta kepada Allah dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Oleh itu kita sebagai umat yang percaya kepada janji Allah dan cinta kepada Rasulullah s.a.w mestilah mengunakan sebaik mungkin kedatangan waktu keemasan ini untuk kita menambah saham akhirat. Gandakan ibadat kita berbanding awal Ramadhan agar kita dapat menggapai kelebihan yang dijanjikan. Jangan pula kita semakin lalai dan malas untuk mendiri serta melakukan amalan-amalan sunat kerana terlalu sibuk dengan persiapan untuk menyambut ketibaan hari raya. Atau pun kita dilalaikan dengan rancangan-rancangan di tv terutama dalam mengisi program sempena hari Krismas yang datang lebih awal daripada eidil fitri. Mengapakah kita begitu ghairah dan bersungguh apabila mendengar tawaran dan peluang untuk menambah saham keuntungan dunia yang tidak kekal tetapi agak kurang semangat apabila mendengar peluang untuk menambah bekalan akhirat yang kekal abadi.
        Disamping itu tanya dan hitunglah keadaan diri kita setelah berada dipenghujung Ramadhan samada segala amalan kita bertambah atau sebaliknya. Adakah akhlak dan setiap gerak geri kita bertambah baik ke arah menjadi mukmin yang soleh atau sebaliknya. Adakah laungan Allahu Akbar setiap kali mahu mendirikan solat fardhu dan sunat turut meresap dalam jiwa untuk untuk mengakui secara bersungguh-sungguh bahawa hanya perlembagaan, perundangan dan agama Allah iaitu Islam sahajalah yang tertinggi berbanding agama dan ideologi ciptaan manusia sesat yang lain. Adakah keyakinan kita kepada seluruh ajaran agama serta semangat kita untuk memastikan sistem-sistem Islam dilaksana semakin tinggi atau pun menurun.
        Ibadat puasa merupakan mengikut fitrah atau menghormati keupayaan insan itu sendiri yang mempunyai pelbagai kelemahan. Jika kita lihat bagaimana puasa dalam Islam mempunyai waktu yang tetap bagi menjadi garis panduan masa bermula dan berakhirnya berbanding puasa yang diamalkan oleh agama lain.  Malah hukum sunat menyegerakan berbuka puasa dan makruh melengah -lengahkannya merupakan suatu hukum yang meraikan kemahuan insan itu sendiri yang semenangnya menunggu-nunggu saat berbuka. Ini akan memudahkan latihan kepada  mereka yang baru belajar berpuasa untuk terus bersemangat dan rasa mudah melaksanakan rukun Islam yang ketiga ini. Islam juga membawa hukum sunat melewatkan makan sahur di mana perkara ini juga disukai oleh insan kerana dengan melewatkan sahur maka membolehkan mereka tidak merasa begitu letih apabila berpuasa. Islam merupakan agama fitrah yang merai serta menjaga keupayaan manusia dan ia merupakan agama yang mudah cuma manusia sahaja yang menyusahkannya. Oleh itu gandakanlah ibadat kita, perelokkan akhlak kita, ikhlaskan segala amalan kita, niatkanlah segala pekerjaan kita seharian di dalam apa jua bidang adalah untuk Allah dan meninggikan martabat Islam…..Kita hamba Allah…dariNya kita datang kepada Allah jualah kita kan kembali…siapkan bekalan akhirat sebelum datangnya hari kematian…..

Pemimpin Pilihan

 

  
  

           Sudah sunnatullah di mana setiap yang bernyawa pasti menemui mati tanpa mengira darjat dan pangkat, usia dan harta. Setiap sesuatu pertemuan turut ada waktu perpisahnya. Pemimpin pula ada yang datang dan ada pula yang pergi di mana yang datang dirai dan yang pergi ditangisi. Pemimpin ada perbezaan dari banyak sudut keperibadiannya terutama dari segi sikap dan akhlaknya di mana pemimpin yang amanah disanjung tinggi dan yang zalim dimaki dan dibenci.Rakyat juga ada pelbagai ragam dan keadaannya di mana bagi yang bijak sentiasa peka dengan keadaan negara di mana mereka sedia bangun mengkritik apabila ada kesilapan pemimpin dan bersedia berkhidmat dalam membangunkan negara. Ada pula rakyat hanya sanggup menjadi pak turut sehingga mereka turut bersekongkol dengan pemimpin yang zalim. Sesebuah negara tidak mampu membina tamadun yang tinggi jika rakyat terkongkong dan terpenjara daripada menegur apa yang silap sedangkan pemimpin terus bermaharajalela melakukan pembaziran dengan duit amanah rakyat          Pemimpin terdiri daripada beberapa golongan di mana yang pertama daripada kalangan orang kaya sebelum menjadi pemimpin dan terus kaya selepas dilantik menjadi pemimpin.Pemimpin jenis ini ada yang amanah dan ramai juga yang tidak jujur ketika melaksanakan amanah kepimpinan. Golongan kedua ialah pemimpin yang miskin sebelum menjadi pemimpin sebaliknya menjadi orang kaya baru selepas berada di atas takhta kepimpinan sesebuah negara. Pemimpin jenis ini begitu merbahaya serta mempunyai bilangan yang ramai pada hari ini di mana pemimpin dari jenis ini kebanyakannya tidak amanah kerana membina kekayaan hasil rompakan terhadap harta rakyat jelata. Pemimpin jenis ketiga pula ialah pemimpin yang kaya sebelum memimpin dan menjadi miskin selepas dilantik kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan dan amanah rakyat sehingga kekayaannya turut disumbangkan kepada rakyat. Pemimpin jenis ini agak kurang jumlahnya pada hari ini dan begitu sukar dilahirkan pada akhir zaman ini yang sememangnya penuh dengan pelbagai fitnah dunia.Jenis pemimpin yang keempat ialah pemimpin yang keadaanya miskin sebelum dan selepas menjadi pemimpin di mana tidak terdetik di hatinya untuk membina kekayaan bagi melarikan daripada kemiskinan yang membelenggunya selama ini sebaliknya dia lebih rela memimpin dalam keadaan miskin asalkan rakyat terus kaya dan Allah sentiasa redha dengan kepimpinannya. Oleh itu fikir dan timbangkanlah kita dengan keadaan pemimpin kita pada hari ini di manakah kedudukan dan jenis mereka. Jika dioa seorang yang amanah maka berjuanglah bersamanya tetapi jika dia seorang pengkhianat maka nasihatkannya agar segera bertaubat atau ditarik daripada tampuk pemerintahan jika terus berdegil.          Pemimpin adalah salah satu golongan yang bakal duduk di bawah bayangan ‘Arasy pada hari di mana tiada lagi bayangan lain yang mampu melindungi manusia daripada kepanasan terik mentari di tengah-tengah padang mahsyar. Kelebihan ini hanya mampu diraih oleh pemimpin yang adil dan bertaqwa yang mampu memberi khidmat dan menunaikan amanah kepada rakyat sesuai dengan kedudukan pemimpin itu sendiri sebagai khadam bagi rakyat bukannya rakyat menjadi hamba abdi kepada pemimpin.Kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah begitu tinggi sesuai dengan amanah besar kepemimpinan yang terpaksa dipikul. Tetapi perlu diingat bahawa daripada 3 orang pemimpin atau hakim hanya seorang sahaja yang terpilih sebagai orang yang benar-benar layak untuk merasai nikmat Syurga Allah sedangkan 2 yang lain bakal menghuni neraka yang begitu berat siksaannya. Oleh itu bagi mereka yang benar-benar memahami tugas berat yang bakal menimpa pemimpin di mana dalam kehidupan dunia ini terpaksa memikul betapa beratnya tanggungjawab dan di akhirat pula terpaksa menjawab segala soalan yang begitu hebat terhadap segala amanah yang telah dilaksanakan. Jika benar amanah maka beruntunglah dia sebaliknya jika mengkhianati amanah maka betapa ruginya dia. Melihat kepada besarnya tanggungjawab sebagai  seorang pemimpin di dunia dan akhirat maka bagi mereka yang begitu memahaminya di mana dia sentiasa lari daripada dilantik menjadi pemimpin sebaliknya bagi mereka yang jahil tentangnya serta hanya tahu mengejar takhta demi mengumpul kekayaan dunia maka dia sentiasa mengejar pangkat dan jawatan yang ada tanpa memikir tentang pahala dan dosa.          Setelah melihat betapa penting dan besarnya amanah kepimpinan maka kita mestilah berhati-hati dalam memilih pemimpin kerana kita turut akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti tentang sebab kita memilih seseorang  itu sebagai pemimpin. Jika kita memilih pemimpin yang soleh dan adil maka kita akan bahagia dunia dan akhirat sebaliknya apabila tersilap memilih pemimpin sesat dan zalim maka kita akan tersiksa dunia dan akhirat di mana di dunia kita akan tertindas dengan kezalimannya manakala di akhirat pula kita mungkin akan digolongkan bersama pemimpin zalim kerana terpedaya dengan fatwa palsu mereka semasa di dunia sehingga kita mengenepikan hukum Allah. Ingatlah bahawa kepimpinan dan amanah buka semata-mata amalan dunia tetapi ia akan ditanya di hadapan Allah pada hari akhirat nanti. Tepuklah dada tanyalah siapakah pemimpin yang benar dan siapa pula yang salah dari segi agama bukannya mengikut selera nafsu kita.

Ramadhan Bulan Pesta Ibadat

Allahu Akbar Allahu Akbar!!…Kedengaran suara azan menandakan masuknya waktu Maghrib dari corong radio dan masjid terdekat. Umat Islam buat sekian kalinya bergembira menjamah juadah berbuka setelah seharian mengerjakan ibadat puasa Ramadhan. Perut yang sudah lama berkeroncong menyanyi lagu lapar minta diisi dan kerongkong yang sudah lama haus minta diairi air kini ditunaikan haknya. Pelbagai juadah berbuka sebagai pembuka selera terhidang dan menunggu untuk dijamah. Keletihan sepanjang hari mula dilupakan apabila makanan dan minuman  mula masuk ke perut untuk dikisar bagi menghasilkan tenaga baru untuk menghidupkan malam Ramadhan pula. Alangkah besarnya nikmat yang dianugerahkan oleh Allah ini. Larangan makan dan minum sepanjang mengerjakan ibadat puasa bukan larangan buat selamanya tetapi berbentuk sementara bagi melatih diri untuk bersabar dan merenungi nasib mereka yang malang. Betapa meriah mereka yang berkeluarga menjamu selera diselangi dengan suara anak kecil penghias suasana. Tidak kurang meriahnya mereka yang berbuka bersama-sama dengan teman sekerja atau sepengajian. Anak-anak perantau terutama di luar negara tidak ketinggalan berbuka puasa dengan juadah yang bercampur antara makanan tradisi dan makanan masyarakat tempat mereka berada. Inilah salah satu nikmat bagi mereka yang berpuasa iaitu bergembira ketika berbuka. Jika kita benar-benar menghayati ibadat puasa dengan sebaiknya insya Allah nikmat yang lebih besar iaitu apabila bertemu Allah di akhirat nanti dapat dicapai.

             Kegembiraan ketika mengadap juadah berbuka puasa janganlah memadamkan ingatan kita kepada mereka yang menderita kebuluran dan mangsa peperangan. Keseronokan mengadap makan yang memenuhi meja janganlah melupakan kita kepada saudara seagama yang sedang dihadap oleh musuh yang bersedia memamah mereka bila-bila masa sahaja. Kongsikan penderitaan mereka dengan menghulurkan bantuan yang termampu sekali pun doa kesejahteraan mereka. Si kenyang jarang mengingati si lapar tetapi si lapar sentiasa mengenang bilakah si kenyang mahu menghulurkan bantuan kepada mereka. Gunakanlah waktu senang dan rezeki yang ada untuk membantu mereka yang susah kerana ini semua merupakan amalan mulia yang bakal ditimbang di atas neraca hadapan Allah di akhirat kelak. Jangan jadikan diri ini manusia tidak berguna yang sanggup membiarkan jiran terdekat yang susah tidur dalam kelaparan sedangkan kita tidur dalam kekenyangan.

             Jika kita mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari berpuasa maka janganlah kita kotori malam Ramadhan dengan perkara haram. Jika kita mampu melawan nafsu untuk terus menunaikan kewajipan berpuasa maka kita juga mesti kuat melawan nafsu malas bagi menghidupkan malam Ramadhan dengan sunat terawih dan selainnya. Jangan penuhi malam Ramadhan dengan perkara yang tidak berfaedah sehingga amalan puasa pada siang hari tidak lagi berguna dalam mendidik diri. Jika nafsu mampu dikekang sepanjang hari maka jangan biarkan ia menggans di malam hari. Isikan perut kita dengan makanan yang halal sewaktu berbuka serta jangan berlebihan ketika menjamu selera. Jadikanlah makanan yang di makan sebagai pembekal tenaga yang cukup untuk mendirikan malam Ramadhan dengan amalan soleh. Jangan biarkan diri kita hanya menjadi manusia yang mampu bergembira ketika berbuka sahaja sedangkan kita tidak mampu meraih kegembiraan yang lebih besar ertinya apabila bertemu Allah kelak.Jangan biarkan bulan Ramadhan dijadikan bulan berpesta untuk makan sebaliknya dijadikan bulan berpesta untuk memperbanyakkan amalan soleh bagi sama-sama merebut tawaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah. 

             Jangan hanya terlalu bersungguh untuk mendapatkan tiket bas bertujuan untuk beraya di kampung sedangkan kita tidak turut berebut untuk mendapatkan tiket dengan amalan soleh bagi bekalan untuk pulang kampung yang sebenar iaitu kampung akhirat. Jangan hanya mampu duduk lama dalam pasaraya semata-mata mencari hiasan dan pakaian raya yang bermutu sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mampu untuk beriktikaf dalam masjid bagi sama-sama membuat amalan soleh yang berkualiti sebagai persiapan hari akhirat. Jangan terlalu mengejar dunia sehingga melupakan kita hari akhirat. Ingatlah bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan sementara sebelum menuju alam akhirat yang kekal selamanya.

Sambut Ramadhan Dengan Ibadat

Umat Islam sedunia sedang menyambut bulan penuh keberkatan dan pengampunan dengan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Umat Islam tersenyum riang tanda gembira menyambut bulan kemenangan yang banyak dijanjikan kelebihan oleh Rabbul ‘Izzati yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Bagaimana rasa gelisah iblis syaitan yang bakal diikat sepanjang Ramadhan dan betapa risaunya nafsu yang bakal tergugat kerja mereka dalam melawan dan menggoda jiwa insan yang berpuasa. Cuma yang menjadi masalahnya ialah diri insan itu sendiri samada dia bersedia untuk berhadapan bukan sahaja dengan ujian lapar dan dahaga tetapi turut bersedia untuk diuji dari segi keimanan dan kesabarannya dalam menjaga pancaindera yang lain terutama hati untuk turut berpuasa. Betapa malangnya manusia yang terus terheret dengan pujukan nafsu sedangkan syaitan telah pun dirantai. Betapa hinanya manusia yang terus dilalaikan oleh nafsu yang buas untuk terus mengetuk agar dibuka pintu neraka sedangkan pada waktu itu pintu syurga dibuka seluas-luasnya mengalu-alukan kemasukan manusia yang taat. Betapa malangnya manusia yang begitu bencikan kedatangan bulan Ramadhan yang dianggap bulan penuh azab dan penderitaan sedangkan pada bulan ini telah dijanjikan penggandaan pahala serta pengampunan dosa disamping dianugerahkan pula malam al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Menjadi suatu yang kurang bijak apabila seseorang itu begitu berduka apabila datangnya tawaran yang begitu istimewa daripada Allah sebagai anugerah kepada hambaNya yang taat.

        Tarbiah Ramadhan yang tiba ini merupakan rentetan daripada proses pentarbiahan Ramadhan sebelum ini. Semoga ia dapat digunakan sebaik mungkin dalam melahirkan jiwa dan diri yang lebih baik daripada sebelumnya. Tarbiah Ramadhan ini mesti dilalui dengan penuh sabar dan kerelaan yang lahir daripada hati nurani yang suci agar ia benar-benar memberi kesan yang positif pada diri ini.Kita mesti sentiasa berlumba dalam menambahkan amal kebajikan serta meningkatkan lagi kualitinya bukannya dilakukan secara sambil lewa sahaja. Semangat  di dalam mengejar kebahagiaan hidup di akhirat nanti mestilah disemai dan dibajai sebaik mungkin agar segala godaan dunia dapat diketepikan.

        Pentarbiahan diri yang dijalani mestilah digunakan sebaik mungkin dalam menghasilkan keperibadian yang tinggi. Ini adalah kerana sebagai orang yang mengaku sebagai pejuang Islam maka tidak dapat tidak mesti berhadapan dengan cabaran dalaman dan luaran. Kita dapat perhatikan betapa ramainya mereka yang terbantut dalam perjuangannya kerana tidak terdaya untuk melawan godaan nafsu yang sentiasa bergelora.Kesan daripada kurang daya tahan dalam diri yang menyebabkan hati sentiasa disaluti dengan sifat mazmumah atau tercela telah menyebabkan ramai orang yang terkandas dalam perjuangan suci yang didokong selama ini. Inilah pentingnya proses tarbiah yang berterusan sehingga segala sifat mazmumah dan kekurangan daya tahan da;am diri terhadap godaan dunia dapat dikikiskan sedikit demi sedikit sehingga memungkinkan diri ini lahir sebagai pejuang yang sabar dan istiqamah. Oleh itu gunakanlah peluang keemasan dengan kedatangan Ramadhan untuk dijadikan medan sebenar di dalam meletakkan diri sebagai hamba yang sentiasa hampir kepada Tuhannya dan pejuang yang sentiasa yakin dan thabat dalam berjuang.

        Kita di negara ini menghadapi cabaran yang belum lagi begitu tercabar dalam mengembangkan lagi dakwah Islam serta mengembalikannya ke singgahsananya yang sebenar sebagai agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah.Kita disini lebih banyak menghadapi celaan orang yang mencela berbanding deraan dan siksaan terhadap tubuh badan walau pun tidak dapat dinafikan ada yang terpaksa merengkok dalam penjara kerana berjuang, tidak kurang yang terbunuh ketika berjuang dan tidak sedikit yang ditekan daripada pelbagai sudut semata-mata mahu melihat segala perjuangan mereka terus terkubur. Tanpa melalui proses tarbiah yang baik maka ramai orang boleh terhenti daripada berjuang. Itu belum diuji dengan penyiksaan dan kezaliman yang lebih dahsyat sebagaimana yang terpaksa dialami oleh para mujahidin di Palestin, Kashmir, Cechnya, Afghanistan, Selatan Filiphina dan selainnya. Jika kita di sini apabila menunaikan ibadat puasa masih merasa kegembiraan ketika berbuka setelah hampir sehari bergelut dengan godaan nafsu sedangkan saudara kita di tempat-tempat tadi terpaksa bergelut pula dengan keganasan musuh Islam yang bersedia untuk nmenghancurkan perjuangan Islam.Oleh itu gunakanlah peluang waktu senang yang dikecapi dalam meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah dan janganlah kita menunggu sehingga berlalunya masa senang ini barulah kita sibuk untuk menambahkan amalan ibadat seharian.Tiada erti lagi segala penyesalan pada waktu itu melainkan kerugian dan kehinaan yang menimpa diri.

        Semoga ketibaan Ramadhan kali ini disambut dengan penuh kegembiraan sebagai tetamu yang dihormati. Gunakanlah kehadirannya sebagai kilang yang mampu memproses ketahanan jiwa di dalam meniti hari-hari hidup yang mendatang demi mencari keredhaan Allah ke arah menggapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ilmu dan Amal Pandu Hidup Berguna

Usia dan peringkat umur sering dikaitkan dengan tingkah laku seseorang individu. Begitu juga dengan suasana dan keadaan sekeliling yang turut menjadi faktor utama dalam mempengaruhi tindak tanduk seseorang. Oleh itu perjalanan masa jika gagal dimanfaatkan maka ia akan merosakkan manusia yang seterusnya membawa kepada kerugian dan penyesalan. Seseorang turut akan mengalami keruntuhan akhlak dan terjebak dalam pelbagai masalah sosial jika gagal mengawal diri dengan suasana dan keadaan masyarakat sekeliling yang hidup dalam suasana sosial yang teruk. Apakah ubat mujarab dalam mencegah diri kita daripada dipengaruhi oleh usia dan keadaan sekeliling. Setelah meneliti dengan jiwa yang murni dan pemikiran yang matang maka tiada jawapan selain daripada ilmu agama sahaja yang mampu dijadikan benteng daripada dihakis oleh gelombang arus deras keruntuhan akhlak yang semakin menjadi-jadi tanpa mengira di mana kita berada samada di kota atau di desa. Apabila seseorang dilengkapi dengan ilmu agama maka setiap tindak tanduknya akan cuba diselaraskan dengan kehendak wahyu bukannya terus hanyut dengan bisikan nafsu. Begitu juga suasana sesebuah masyarakat yang menghidupkan budaya ilmu di kalangan mereka serta memartabatkan tugas amar makruf dan nahi munkar maka setiap individu yang hidup dalam masyarakat ini dapat diselamatkan daripada tenggelam dalam banjir masalah sosial.

    Ilmu agama adalah begitu penting untuk membawa diri ke arah mencapai keimaman yang lebih mendalam serta melahirkan diri yang tidak jemu untuk tunduk patuh kepada segala perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya. Jika manusia tanpa makanan dan minuman boleh mati kebuluran maka begitulah juga dengan manusia tanpa agama boleh mati kesesatan. Ilmu agama bukan sekadar berperanan sebagai pengetahuan yang dipelajari hanya untuk diketahui sahaja tetapi ia dituntut agar diamalkan dalam kehidupan seharian. Ilmu sahaja tanpa pengamalan tidak mampu memberi kesan kepada perubahan manusia ke arah yang terbaik. Begitu juga amalan sahaja tanpa ilmu akan membawa kepada banyak penyelewengan yang menyebabkan manusia mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa dan bagaimana ianya mampu dicapai. Ilmu agama yang dimiliki dan diamalkan oleh setiap individu akan berperanan besar bermula daripada diri sendiri seterusnya mempengaruhi masyarakat sekeliling dan terus berkembang ke peringkat yang lebih luas. Ini bersesuaian dengan sifat agama Islam itu sendiri yang meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terhad kepada masalah peribadi tetapi turut berperanan dalam mengawal gerak geri masyarakat dan pemerintahan negara yang lebih besar.

    Kadang-kadang Islam dipersoalkan tentang kemampuannya dalam menangani masalah keruntuhan akhlak akibat daripada jumlah umat Islam yang terlibat dengan pelacuran melebihi 60% , najis dadah, arak dan sebagainya. Ramai yang mendakwa bahawa jika ilmu agama mampu mengawal umat Islam daripada kerosakan dan keruntuhan akhlak ini maka mengapakah perkara negatif ini bukan sahaja terus terjadi malah semakin bertambah. Adakah jawapan yang biasa didengar iaitu mereka yang terlibat kurang memahami atau mempelajari ilmu agama boleh terus menjadi alasan sedangkan mata pelajaran agama di peringkat sekolah dan universiti semakin dikurangkan. Ilmu tanpa amalan adalah sesuatu yang menjadi jenayah besar dalam Islam. Mengapa ilmu Islam banyak tidak diamalkan. Adakah salah individu semata-mata atau banyak kesalahan disebabkan oleh pengabaian pemimpin dalam memartabatkan ilmu dan pengamalan Islam dalam negara. Manusia tidak boleh hidup tanpa peraturan di mana ilmu boleh memahamkan mereka tentang halal dan haram tetapi dalam kebanyakan waktu ia tidak mampu mengawal manusia melainkan ada undang-undang pencegah yang menggerunkan mereka daripada terlibat dengan jenayah sosial. Undang-undang pencegah hanya ada pada hukum Islam kerana ada jaminan daripada Allah sedangkan hukuman manusia bukan sahaja tiada jaminan daripada Allah malah dimurkai oleh Allah. Apabila apa yang diguna pakai samada dari segi pemerintahan, ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya bercanggah dengan Islam maka di sana timbul krisis keyakinan ilmu yang menyebabkan ilmu Islam terabai dan kurang diamalkan di peringkat yang lebih luas.  Apabila ilmu Islam dilihat pada pandangan yang sempit iaitu rukun Islam, nikah kahwin sahaja maka umat Islam terus menjauhi ajaran Islam yang menyeluruh. Perkara ini menyebabkan umat Islam sendiri mudah hanyut dengan nafsu serta ditenggelamkan oleh godaan dunia. Akhirnya umat Islam hanya beribadat khusus sahaja mengikut ajaran Islam sedangkan cara hidup mereka bertentangan dengan kehendak Allah. Bagi golongan ini melihat bahawa cukup sekadar ibadat khusus untuk mengejar kebahagiaan akhirat sedangkan mereka lupa bahawa amalan dunia yang lain turut dihisab oleh Allah di akhirat nanti

Lahirkan Umara’ dan Ulama’ Soleh

Umara’ atau pemimpin yang adil dijanjikan ganjaran yang besar di akhirat nanti dan dia bakal dibayangi oleh bayangan ‘Arasy Allah di hari Mahsyar yang tiada lagi pelindung daripada kepanasan terik mentari melainkan ‘Arasy Allah. Begitu juga dengan ulama’ yang taqwa sentiasa dipayungi rahmat Allah serta dijanjikan syurga dengan segala kenikmatannya. Kedua golongan ini iaitu umara’ dan ulama’ jika baik keduanya akan membawa kebahagiaan kepada umat tetapi jika rosak keduanya maka akan membawa keburukan dan kerosakan kepada umat. Oleh itu pastikan umara’ yang memimpin merupakan orang yang alim tentang hukum hakam Allah dan amanah dalam menjalankan tugasannya manakala ulama’ pula mesti benar-benar faham agama dan menunaikan segala tugas yang terpikul di atas bahunya bersesuaian dengan tugas sebagai pewaris nabi yang merupakan penerus kepada tugasan yang ditinggalkan oleh para nabi dan rasul. Kuasa yang ada pada umara’ adalah amanah bukannya suatu anugerah untuk digahkan di mana setiap tugasannya bakal dihitung di hadapan Allah nanti. Ilmu yang dianugerahkan kepada ulama’ merupakan amanah yang mesti disampaikan kepada umat walau pun pahit untuk ditelan dan ia akan disoal di padang Mahsyar nanti. Tugas dan amanah yang dipikul oleh kedua golongan ini begitu besar terutama dalam mengurus urusan dunia berasaskan Islam dan menjaga kesuciaan agama agar tidak diselewengkan. Bila tugas dan amanah yang dipikul begitu besar maka ganjarannya di akhirat nanti juga begitu besar dengan syarat mereka menjalankan tugas mengikut apa yang wahyu pinta bukannya berdasarkan apa yang nafsu minta. Kegagalan dalam melaksanakan amanah menyebabkan mereka terjerumus ke lembah neraka yang begitu dahsyat penyiksaannya.

        Pada hari ini kebiasaannya apabila disebut umara’ dan ulama’ maka akan terbayang diruang mata dua jawatan yang berbeza dipikul oleh dua orang yang berlainan. Berbeza dengan zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin dan beberapa khalifah di zaman khilafah selepas mereka di mana umara’ terdiri daripada golongan ulama’ yang menyebabkan tiada banyak pertikaian dan pertembungan yang berlaku. Khulafa’ ar-Rasyidin terutamanya begitu jelas keilmuan mereka dalam masalah ilmu agama dan mampu pula mentadbir urusan dunia berasaskan apa yang disuruh oleh syarak yang membawa kepada kurangnya pertembungan antara umara’ dan ulama’. Keadaan agak berlainan apabila umara’ dipilih samada melalui amalan monarki atau pilihanraya dan sebagainya terdiri daripada mereka yang jahil maka pertembungan golongan ini dengan golongan ulama’ begitu jelas dan ketara sekali. Apabila umara’ terdiri daripada mereka yang jahil tentang hukum hakam agama menyebabkan ulama’ turut berpecah di mana ada ulama’ yang bangun menentang kezaliman dan kesesatan yang berlaku dan ada pula ulama’ yang mengambil sikap berdiam diri serta ada juga ulama’ yang berdamping dengan umara’. Ulama’ yang berdamping dengan umara’ pula terbahagi kepada ulama’ yang mampu memberi nasihat kepada pemimpin atau pun ulama’ yang hanya bertindak mendengar nasihat dan mengampu pemimpin sahaja. Tindakan ulama’ yang berdamping dengan umara’ yang jahil akan memberi kesan positif dan negatif bergantung kepada sikap umara’ samada mahu menerima pakai nasihat ulama’ atau menentangnya. Apa yang paling banyak berlaku dalam sejarah Islam ialah apabila terlantiknya umara’ jahil maka banyak nasihat ulama’ yang tidak berkenan dengan nafsu mereka ditolak. Apa yang lebih malang ialah apabila terlantiknya umara’ jahil didampingi pula oleh ulama’ palsu atau jahat maka keadaan bertambah buruk apabila ulama’ jahat ini bertindak menghasut umara’ jahil untuk melakukan kezaliman dan kesesatan termasuk memenjara malah membunuh golongan ulama’ yang bangun menentang kezaliman dan kesesatan mereka sebagaimana pernah di hadapi oleh imam Syafie, imam Ahmad bin Hanbal dan selainnya dalam berhadapan dengan golongan sesat muktazilah yang berselindung di sebalik khalifah yang dikuasai oleh mereka.Oleh itu umat Islam mestilah menambah ilmu setakat yang termampu dalam mengenali siapakah yang dimaksudkan dengan umara’ jahil dan ulama’ palsu.

         Umat Islam hari ini berpecah akibat kejahilan yang membawa kepada kedegilan untuk tunduk di bawah panji Islam. Perpecahan bertambah celaru akibat pemimpin yang jahil dan ulama’ yang terlalu ditekan sehingga banyak kesesatan dan kezaliman tidak mampu ditangani dengan sebaiknya. Perpaduan boleh dicapai apabila pemimpin turut bersatu dengan mengikut kehendak Allah dan rasulNya dan golongan ulama mestilah dibebaskan untuk bersuara dalam menyatakan kebenaran. Ulama’ boleh bersatu atas kebenaran dan boleh bertindak sebagai penasihat dalam pembinaan tamadun kebendaan dan kemanusiaan. Sebaliknya apabila ulama’ yang tiada kuasa ditambah dengan umara’ jahil yang menekan mereka akan menyebabkan suara ulama’ tidak mampu direalisasikan. Ulama’ boleh bersatu untuk mengharamkan arak, judi, zina, murtad, riba dalam memastikan kerosakan akhlak dan aqidah serta kemunduran ekonomi dapat ditangani tetapi kuasa untuk melakukannya terletak pada tangan umara’ di mana jika umara’ mendengar kesatuan suara ulama’ maka sudah tentu masalah ini dapat diselesaikan dengan jaya tetapi jika ulama’ sahaja bersatu memberi pendapat sedangkan umara’ bersatu menentang resolusi yang dibuat maka tiada hasil yang dapat dilihat malah kerosakan dan kezaliman terus bertambah melarat. Ulama’ sentiasa membuka jalan untuk bersatu dan memang ulama’ wajib berlapang dada dalam menyatukan umat dengan syarat kesatuan pemikiran dan tindakan mestilah berlandaskan al-Quran dan Sunnah bukan selainnya. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah golongan umara’ yang terus memerangi ajaran Islam yang lengkap walau pun telah dinasihat secara lembut atau ditegur secara terang. Oleh itu masalah perpecahan umat bukan salah ulama’ tetapi akibat kejahilan umat dan tindakan keras umara’ dalam memerangi ajaran Islam yang menyeluruh.