Archive for the ‘Sembang Hukum’ Category

Tarawih menyingkir dosa silam

NURULFATIHA MUAH

 

HISYAM AHMAD bekerja dalam sektor swasta. Kerjayanya itu menuntut beliau bekerja secara syif.

Apabila tibanya bulan Ramadan, Hisyam, 28, berniat mahu melakukan solat tarawih berterusan tanpa satu hari yang tertinggal. Namun, kekangan kerjanya itu dilihat telah menjadi penghalang kepadanya meneruskan niat suci itu.

Benar, walaupun solat tarawih hanya solat sunat sahaja tetapi lelaki itu berasa sangat rugi jika beliau mengendahkannya begitu sahaja.

“Bukannya setiap hari solat tarawih ada tetapi sebulan sekali sahaja iaitu dalam bulan Ramadan. Tambahan pula, banyak pula kelebihan jika kita menunaikan solat tarawih ini,” ceritanya dengan raut wajah penuh kekesalan.

Pernah terdetik, untuk mencuri masa melakukan solat tarawih di pejabat. Namun, beliau rasa serba salah.

“Jika saya berbuat demikian, saya akan akan lambat menghabiskan kerja-kerja hakiki. Hakikatnya, ia juga akan mengganggu kerja-kerja pekerja di jabatan lain juga,” katanya.

Hisyam tidak berhenti bercerita. Ujarnya, sekitar pukul 3 pagi beliau akan sampai ke rumah dan pada waktu itulah masa yang terbaik untuk tidur. Kawan-kawannya sudah lama lena dibuai mimpi.

Fikirannya menerawang seketika dan kemudian bertanya.

“Adakah saya boleh menunaikan solat tarawih selepas habis bekerja? Adakah solat tarawih ada waktu-waktu tertentu?,” soalnya bersungguh.

Waktu panjang

IMAM MUDA ARAN
Soalan itu kemudian Sinar Islam panjangkan kepada pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran.

Jelas agamawan itu, waktu tarawih sebenarnya bermula daripada solat Isyak hinggalah sebelum Subuh.

Ini bermakna, katanya, tidak salah jika Hisyam mahu melakukan solat tarawih selepas beliau pulang daripada kerja meskipun pada lewat pagi.

Malah, jelasnya, sepanjang malam Ramadan merupakan waktu afdal tarawih. Bahkan, Rasulullah SAW dan para sahabat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam dan hampir Subuh barulah mereka berhenti. Itulah istimewanya Ramadan.

“Paling penting, tarawih mesti kita mulakan selepas solat fardu Isyak. Tak boleh tunaikan solat tarawih selagi seseorang itu tidak menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

“Jika tidak, maka, tidak diterima amalannya (solat tarawih yang ditunaikan) itu. Mana boleh kita dahulukan yang sunat dulu tetapi kita tinggalkan yang wajib,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas tentang rakaat solat tarawih, Imam Muda Aran menjelaskan, ulama berselisih pendapat dalam hal ini kerana ada banyak riwayat.

Jelas beliau, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat solat tarawih yang perlu dilakukan.

“Cuma, jika hendak ikut cara Rasulullah SAW, baginda melakukan lapan rakaat solat tarawih. Ada ulama berpendapat, kalau kita hendak memperbanyakkan atau mengurangkan rakaat itu, ia bergantung kepada panjang atau pendeknya solat itu.

“Contohnya, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, walaupun jumlah rakaat adalah pendek iaitu lapan rakaat tetapi baginda berdiri lama. Ketika itu, satu rakaat, boleh habis dalam tiga surah panjang iaitu Surah al-Baqarah, Ali ‘Imran dan al-Nisa’ iaitu lima juzuk al-Quran.

“Sementara itu, dalam mazhab Syafie, pendapat yang dipakai adalah solat tarawih 20 rakaat dan lapan rakaat,” kata beliau.

Pohon keampunan
Jelas beliau, antara kelebihan solat tarawih ialah mengharapkan keampunan daripada ALLAH SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Muda Aran, hadis itu menggalakkan supaya umat Islam melakukan ibadah dalam bulan Ramadan termasuk mengerjakan solat tarawih pada waktu malam.

Istimewanya, pendakwah itu berkata, mereka yang melakukan solat tarawih secara berjemaah dan mengikut imam sehingga selesai solat akan memperoleh ganjaran seumpama seseorang itu menunaikan ibadah sepanjang malam!

“Pernahkah kita jumpa orang beribadah sepanjang malam? Mungkin tidak, bukan? Kebanyakan mereka akan tidur kerana penat bekerja dan sebagainya.

“Kepada mereka yang memang menunaikan solat Isyak di masjid atau surau, maka, teruslah mengikut imam melakukan solat tarawih.

“Untuk mendapatkan ganjaran seperti beribadah sepanjang malam, kita perlu mengikut imam sehingga beliau selesai solat. Katakan kita ikut imam solat tarawih sampai lapan rakaat, kemudian, imam bangun untuk sambung tiga rakaat solat witir tetapi kita tidak ikut, maka, kita tidak akan peroleh kelebihan tersebut,” jelas beliau.

Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW, sabda baginda: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” (Riwayat al-Tirmizi)

Imam Muda Aran turut menegur sikap segelintir jemaah yang kadangkala meninggalkan solat witir bersama imam. Kebanyakan mereka menggunakan alasan untuk bangun malam sekitar pukul 3 pagi dan kembali melakukan solat sunat.

“Ya, memang benar witir merupakan penutup kepada solat sunat. Dalam hal ini, sekiranya kita mengikut imam sehingga selesai solat witir, tiada masalah untuk kita bangun solat malam di rumah tetapi tidak perlu mengulang semula witir tersebut.

“Satu lagi cara, kita boleh ikut imam sepenuhnya ketika tarawih. Namun, ketika imam niat melakukan solat witir, kita kena ikut juga tetapi niatkan kita melakukan solat sunat dua rakaat. Bila imam beri salam pada solat witir satu rakaat, kita bangun tambah lagi satu rakaat bagi cukupkan dua rakaat dan satu salam,” jelasnya.

Bagaimana kita hendak istiqamah dan kekal bertenaga melakukan tarawih? Dalam hal itu, agamawan tersebut berkongsi tip Nabi Muhammad SAW ketika berbuka.

Jelas beliau, dalam satu riwayat, pada 10 malam Ramadan yang terakhir, baginda SAW berbuka puasa dengan makanan yang sedikit. Makanan yang sepatutnya untuk berbuka puasa, baginda SAW bawa ke waktu sahur.

“Contohnya, makanan ruji kita adalah nasi. Sepatutnya kita buka puasa dengan makan nasi tetapi kita tangguhkan makan nasi ke waktu sahur seperti mana dilakukan baginda SAW,” ujarnya.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut mengingatkan kepada umat Islam agar berhati-hati dengan hadis palsu tentang perincian fadilat solat tarawih pada malam pertama hingga akhir Ramadan.

“Itu palsu dan Nabi Muhammad SAW tak pernah ajar atau sebut. Siapa yang mereka (hadis itu), tidak tahulah. Matlamatnya (fadilat itu disampaikan) baik untuk mengajak ajar orang buat tarawih tetapi caranya tak kena sebab ia hanya mengada-adakan. Bahaya itu.

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang Rasulullah tidak pernah cakap dan sebut, maka, bersedialah tempat di dalam neraka!,” tegasnya.

Pengertian tarawih

IMAM MUDA FAKHRUL
Sementara itu, seorang lagi pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul berkata, tarawih sebenarnya berasal daripada perkataan tarwihah yang bermaksud kerehatan.

“Jika dilakukan dalam keadaan kelam-kabut dan memaksa diri, sudah hilang maksud sebenar tarawih,” jelasnya.

Menurut agamawan itu, jika kita ‘tersepit’ dengan kekangan tugasan yang merupakan perkara sangat penting, maka, utamakanlah urusan kerja itu.

“Pada masa yang sama, solatlah tarawih seringkas yang mungkin (secara) bersendirian. Ini kerana Rasulullah SAW mengikut sirahnya, tidak sentiasa berjamaah tarawih di masjid. Ada waktunya, Nabi Muhammad SAW solat tarawih di rumah.

“Cadangan saya, jika terdesak antara tugasan dan tarawih dalam keadaan tugasan itu teramat penting, maka, lakukan tugasan tersebut dan carilah masa untuk turut bertarawih sama ada mencelah ketika tarawih atau setelah selesai tugasan.

“Jika tugasan boleh ditangguhkan, maka, tangguhkanlah kerana tarawih hanya ada di bulan Ramadan ini dan pahalanya tersangatlah besar,” ujar beliau.

Kepada satu soalan, Imam Muda Fakhrul berkata: “Berniaga ketika solat tarawih hukumnya harus tetapi jika, kita fokus pada solat tarawih maka, ia adalah lebih baik,” katanya mengulas tentang galakan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menutup kedai makan ketika waktu tarawih.

Apapun, beliau mengucapkan tahniah kepada negeri itu kerana mengambil berat tentang ibadah rakyatnya walaupun pelbagai pihak mengeluarkan pandangan susulan tindakan mereka. “Saya difahamkan pekeliling tersebut telah di ubah daripada diwajibkan kepada digalakkan. Bagi saya, itulah yang terbaik kerana solat tarawih berbeza dengan solat Jumaat. Solat Jumaat adalah fardu dan ada pekeliling khas di dalam al-Quran.

“Sementara, solat tarawih merupakan solat sunat yang tergantung kepada situasi sesorang untuk melaksanakannya sama ada berjamaah atau tidak dan lapan rakaat atau 20 rakaat. Malah, waktunya juga luas jika hendak dibandingkan dengan solat Jumaat,” ujarnya.

Imam Muda Fakhrul turut memberikan pandangannya tentang solat tarawih pada kadar sangat pantas yang dilakukan di sebuah masjid di Bandung, Indonesia bagi menggalakkan anak muda melakukan solat sunat itu.

“Bagi saya, alasannya adalah baik tetapi cara pelaksanaannya tidak menepati maksud tarawih itu sendiri.

“Tarawih bermaksud rehat. Bagaimana mungkin solat sebegitu suatu kerehatan? Ada banyak lagi cara untuk menarik golongan muda ke masjid selain dari bersolat cepat sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan di dalam solat seperti tamakninah dan khusyuk,” jelasnya.

Hukum perguna anak yatim

Ustaz Kazim Elias

 

Apakah hukumnya mereka yang sengaja mengeksploitasi (mempergunakan) anak-anak yatim untuk kutip derma atas pelbagai nama termasuk tahfiz dan kebajikan? – Faizah, Klang

UKE: Mempergunakan anak-anak yatim kepada yang bukan hak atau menganiaya anak-anak yatim termasuk dalam perkara menzalimi mereka, ia adalah haram di sisi agama.

Apapun persoalan yang anda kemukakan pula hendaklah dilihat dari sudut yang lebih luas sama ada berlaku kezaliman atau tidak?

Pertama, anda perlu tanya betul atau tidak mereka itu anak-anak yatim atau hanya mengaku anak yatim?

Kedua, adakah mereka bekerja 24 jam hanya sebagai penjual produk dan mereka tidak belajar di sekolah seperti pelajar lain?

Ketiga, wujudkah penderaan fizikal dan mental terhadap mereka?

Keempat, sebaik-baiknya dapatkan penjelasan daripada sumber yang sahih untuk menentukan kedudukan perkara sebenar.

Maka jika terdapat pelanggaran hak dan pengabaian kebajikan kepada pelajar-pelajar tersebut malah sekiranya berlaku penderaan fizikal terhadap mereka maka sudah pasti ia adalah dilarang dalam agama.

Seterusnya isu penderaan anak yatim bukan hanya boleh dikaitkan dengan sekolah tahfiz malah sesiapa yang mendera dan menzalimi anak yatim juga adalah berdosa walau berlaku dalam rumah sendiri contohnya ibu atau ayah tiri yang mendera anak yatim walau tidak disuruh berniaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya.

Mungkin anda tidak bersetuju terdapatnya pusat tahfiz atau rumah kebajikan yang menyuruh pelajar mereka membantu meringankan beban perbelanjaan sekolah dengan berniaga atau menjual produk, maklumlah yuran adalah percuma. Bagaimana pula pendapat anda jika mereka berkebun, memelihara ikan atau menternak binatang di pusat jagaan. Pada pendapat anda adakah mereka juga dieksploitasi?

Sungguhpun begitu nasihat saya kepada pengusaha tahfiz dan kebajikan janganlah anda mendedahkan prasangka kurang enak kepada institusi tahfiz dengan aktiviti sedemikian. Sebagai pengusaha andalah yang perlu mencari dan bukan pelajar-pelajar itu disuruh mencari sehingga menimbulkan rasa malu sesama Islam dan juga terhadap penganut agama lain. Bagi kita pula marilah bersama-sama membantu mengikut keupayaan masing-masing.

Cuci pakaian bercampur najis

Soalan: HARUSKAH membasuh pakaian anak yang terkena air kencing bersama pakaian lain dalam mesin basuh?

Jawapan: SEBELUM dimasukkan ke dalam mesin basuh, hendaklah dibilas pakaian yang terkena air kencing. Jika tidak dibilas dan dibuang air kencing maka akan menyebabkan pakaian lain terkena air kencing apabila dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Oleh itu, basuh dan bilas dengan air bersih. Apabila didapati hilang bau air kencing pada pakaian tersebut maka bolehlah dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Begitu juga dengan najis yang lain. Contohnya pakaian terkena tahi, perlu terlebih dahulu dibuang najis, kemudian dicuci pakaian terkena najis sehingga hilang warna, bau dan rasa pada pakaian itu, kemudian barulah dibasuh bersama pakaian lain dalam mesin basuh.

 

Amalan bertemu roh?

Soalan: ADA seorang guru mengajar amalan untuk bertemu dengan roh ibu bapa yang sudah meninggal dunia ialah dengan berselawat sebanyak mungkin selepas solat dua rakaat. Solat itu pula dengan hajat bertemu roh ibu bapa.

Adakah amalan ini benar?

Jawapan: KEMUNGKINAN amalan ini berdasarkan pengalaman orang sebelum kita yang dipanggil tajribah. Dalam nas al-Quran, saya tidak menemukan lagi amalan ini. Begitu juga dengan riwayat hadis yang saya belajar.

Apa yang lebih penting ialah berdoa kepada Allah agar roh ibu bapa diampuni dosanya dan dicucuri rahmat Allah.

Amalan berdoa ini jauh lebih mudah diamalkan. Begitu juga bersedekah dan diniatkan pahala untuk ibu bapa. Ia juga sesuatu yang baik dilakukan.

 

Bagaimana untuk membersihkan duit riba

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

Bagaimana untuk membersihkan faedah (interest) dalam akaun bank konvensional?

JAWAPAN: Sewajibnya sebagai Muslim menggunakan akaun bank yang patuh syariah.

Walau bagaimanapun, wang simpanan dalam akaun bank konvensional adalah wang yang halal. Ini kerana ia adalah wang kita, cuma disimpan di tempat yang tidak patuh Syariah.

Oleh itu, dividen dan interest yang diberikan hendaklah disalur kepada individu dan pihak lain bagi menyucikan harta.

Syaratnya ia tidak digunakan untuk perbelanjaan dan keperluan diri sendiri, tetapi disalurkan kepada NGO dan badan kebajikan.

Hukum merokok ketika puasa

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

 

Adakah merokok membatalkan puasa sedangkan menghisap rokok tidak mengenyangkan seperti makanan?

JAWAPAN: Pendapat yang diterima pakai ialah merokok membatalkan puasa. Ya merokok tidak sama seperti makan. Walau bagaimanapun, antara hikmah berpuasa ialah menahan diri daripada keinginan nafsu.

Merokok adalah dorongan keinginan. Pada masa yang sama, merokok juga tidak baik untuk kesihatan, maka merokok membatalkan puasa.

Ini mungkin sedikit berbeza dengan ubat yang dimasukkan ke dalam rongga badan.

Ia kerana hajat dan keperluan perubatan, maka mungkin ada kelonggaran penggunaan ubat tertentu yang tidak membatalkan puasa.

 

Hukum tutup aurat

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

 

Adakah harus digunakan hujah bahawa menutup aurat tidak disebut dalam undang-undang negeri dan perlembagaan maka aurat tidak perlu ditutup?

JAWAPAN: Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam negara. Dalam Rukun Negara dinyatakan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Namun ia bukan bermaksud bahawa halal untuk Muslim membuka aurat hanya kerana tidak disebut dalam undang-undang negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya, solat fardu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka adakah harus bagi Muslim untuk tidak solat fardu? Keharaman babi tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan maka adakah harus bagi Muslim untuk makan daging babi?

Kita sebagai Muslim tidak makan daging babi kerana ia dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, walaupun tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka begitulah tuntutan menutup aurat bukan kerana Perlembagaan Persekutuan tetapi kerana perintah Tuhan.