Archive for the ‘Sembang Hukum’ Category

Berhenti solat untuk buka pintu rumah

Ustaz Kazim Alias

 

Saya bekerja sebagai pembantu rumah. Ketika majikan pulang, saya sedang bersolat. Perlukah saya buka pintu dahulu untuk majikan atau teruskan solat sehingga selesai?

*Anak Perantau Bingung, Kuala Lumpur.

UKE: Secara umum, seseorang yang sudah bersolat, wajib menyempurnakannya dan dilarang keluar daripada solat sehingga selesai. Kerana kalau saja-saja nak membatalkan solat termasuk dalam membatalkan amalan, dan termasuk dalam umum ayat al-Quran (maksudnya):
“Dan jangan kamu membatalkan amalan-amalanmu. (Muhammad: 33).
Namun begitu dibenarkan membatalkan sembahyang jika terdapat keadaan darurat atau sesuatu perkara yang berkaitan dengan tujuan syariat, seperti menjaga nyawa atau menjaga harta. Ini termasuklah kebakaran, gerak gempa, bangunan runtuh dan sebagainya. Begitu juga kerana menyelamatkan harta daripada dicuri maka bolehlah dia berhenti. Ini adalah contoh yang dibenarkan syarak. Bab tuan rumah balik itu belum dikira memenuhi kriteria syariat tersebut.

 

Tertinggal solat kerana tidak sedarkan diri

Ustaz Kazim Elias

 

Setelah menjalani pembedahan usus selama lima jam, saya dimasukkan ke ICU selama dua hari. Saya tidak sedarkan diri dari sebelum pembedahan sehingga masuk ke unit rawatan rapi (ICU).

Wajibkah saya mengqadakan waktu sembahyang yang saya tinggalkan?

n Shaari Latif, Melaka.

UKE: Seorang yang sakit dan dalam keadaan koma, maka keadaannya di sini sedang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebagaimana orang sedang tidur atau pengsan.

Rasulullah SAW bersabda: “Pena diangkat daripada tiga orang; orang yang tidur hingga dia bangun; anak kecil hingga dia besar; dan orang gila hingga dia sembuh.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Antara syarat wajib solat ialah sempurna akal. Orang yang koma ialah orang yang tiada lagi taklif ketika itu maka gugurlah wajib solatnya.

Apabila dia sedar daripada komanya atau pengsannya dan jika masih ada waktu solat ketika itu maka wajiblah dia bersolat.

Maka tidaklah perlu diqada solat selama mana waktu hilang akalnya.

 

Gugur kandungan usia tiga bulan

Ustaz Kazim Elias

Saya mengandung hampir tiga bulan tetapi disebabkan janin tidak berkembang, doktor mencuci kandungan saya sebelum tumpah darah.
Apakah anak yang keguguran dalam umur hampir tiga bulan masih dikira menanti kita di akhirat?
* Siti Musykil, Selangor.

UKE: Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,  “Sesungguhnya setiap kamu dibentuk di perut ibunya selama 40 hari, kemudian berbentuk alaqah seperti itu juga, kemudian menjadi mudhghah seperti itu juga. Kemudian Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh dan menetapkan empat masalah…” (Hadis riwayat Bukhari, Ibnu Majah, Al-Tirmidzi).

Para ulama pada dasarnya mengatakan peniupan roh kepada janin pada usia 120 hari kehamilan atau empat bulan kandungan.

Semoga Allah memberikan kesabaran dan anda reda dengan kejadian ini dan semoga dikurniakan rezeki cahaya mata lagi, insya-Allah.

 

Solat zohor lima rakaat

Saya solat zohor dan semasa di rakaat ketiga saya teringat saya lupa melakukan tahiyat awal. Jadi, di rakaat ketiga saya buat tahiyat awal. Seterusnya, saya buat rakaat ketiga dan keempat. Sebelum salam, saya buat sujud sahwi. Jadi, saya buat lima rakaat. Adakah betul?
* Raziah, Kuala Lumpur.

UKE: Yang anda buat tahiyat awal semula itu kenapa? Ia bukan rukun solat. Kalau anda terlupa maka anda teruslah solat seperti biasa dan sebelum salam lakukanlah sujud sahwi. Itulah sepatutnya. Maka batallah solat anda itu dan sila qada semula solat anda.

 

Bolehkah wang zakat diberikan kepada bukan asnaf?

Bolehkah wang zakat diberikan kepada selain daripada asnaf iaitu kepada badan atau institusi seperti sekolah anak yatim atau sekolah tahfiz? 

2) Jika saya hendak bayar zakat wang simpanan di bank atau mana-mana pelaburan, jumlah wang zakat tersebut saya guna wang lain iaitu tidak mengambil atau mencabut daripada wang simpanan tersebut, apakah ini dibolehkan?
Al-Ahmadani, Kedah

UKE: “Sesungguhnya zakat-zakat itu hanya untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dibujuk  hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu  ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al-Taubah:60).

Harus diingat anak yatim tidak termasuk dalam asnaf yang berhak mendapat zakat melainkan jika anak yatim itu termasuk dalam kategori
lapan asnaf  berhak menerima zakat.

Persoalan yang timbul ialah pemahaman tentang asnaf fi sabilillah yang menjadi perbahasan dalam kalangan ulama. Sesetengah ulama mengatakan  fi sabilillah ialah orang-orang yang berjuang dan berjihad di jalan Allah.

Mereka mengatakan zakat tidak boleh disalurkan kepada pembangunan masjid, sekolah dan seumpamanya.

Sekiranya sekolah tahfiz misalan ada menempatkan anak yatim yang fakir miskin, maka dibolehkan untuk memberikan zakat kepada rumah anak yatim tersebut untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yatim yang berhak mengikut asnaf zakat yang ditetapkan oleh syarak iaitu kerana mereka itu miskin, bukannya kerana anak yatim.

Zakat itu perlulah dibelanjakan untuk urusan makan, minum, pembelajaran serta keperluan harian yang lain bagi anak yatim yang fakir atau miskin tersebut.

Saya mencadangkan agar pembangunan bangunan sekolah menggunakan wang wakaf atau sedekah supaya keluar daripada khilaf tentang asnaf fi sabilillah.

Ini kerana terdapat juga pendapat yang meluaskan makna fi sabilillah itu sendiri sehingga dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan fi sabilillah itu bukanlah berperang dan berjihad semata-mata bahkan boleh diluaskan kepada pembangunan masjid, pusat tahfiz dan lain-lain.

Suka juga saya mencadangkan agar zakat anda diserahkan kepada pihak berkuasa agama yang menguruskan zakat agar pengagihannya betul dan tersusun.
2) Jumlahkan kesemua wang anda dari semua akaun dan buatlah pengiraan zakat dan tunaikan zakat dari mana wang simpanan anda itu dan ia tidak menjadi hal.

 

Musafir balik mengundi boleh jamak qasar solat

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi

APAKAH hukumnya bagi pengundi yang bermusafir jauh untuk mengundi. Maksudnya apakah harus bagi mereka untuk jamak qasar solat?

Pengundian adalah satu perkara penting dalam pentadbiran negara demokrasi. Demokrasi sebegini tidaklah bertentangan dengan hukum syariah. Ini kerana syariah membuka ruang yang luas dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, adalah harus bagi Muslim untuk jamak dan qasar solat apabila bermusafir dengan tujuan mengundi.

 

Tidak dapat harta pusaka

Sebelum bapa mentua saya meninggal dunia, dia telah membuat Surat Wasiat di Amanah Raya Berhad sebagai persediaan mengagihkan harta untuk anak-anaknya.

Selepas dia meninggal dunia, abang sulung menuntut harta pusaka dan mengagihkan kepada adik-adik yang lain namun isteri saya yang merupakan anak ketiga arwah hanya diberikan hibah. Bolehkah isteri saya menuntut haknya sebagai anak?

 Atok Alang, Alor Gajah.

UKE: Jika isteri anda anak kandungnya si mati, maka dia berhak menuntut harta pusaka bapanya. Silalah tuntut di mahkamah dan lantik peguam untuk menguruskan hal ini