Archive for the ‘Sejarah Islam’ Category

Ulama Ahlul Bait martabatkan tulisan jawi, jati diri Islam

latifah

 

SERAMAI lebih 400 juta umat Islam wujud di Asia Tenggara sehingga kini tetapi angka itu mungkin tidak dicapai tanpa kehadiran ulama besar yang memainkan peranan dalam perkembangan awal Islam di alam Melayu sejak 900 tahun lalu.

Pembentukan pemikiran penduduk Melayu Nusantara khususnya dalam bidang falsafah, tasawuf dan usuluddin, pandangan terhadap dunia serta kehidupan mereka diwarnai ajaran ulama terutama berbangsa Arab keturunan Rasulullah SAW yang sinonim dengan istilah Ahlul Bait menerusi kitab karangan yang diajar di surau, masjid, institusi, pondok dan madrasah.

Pengkaji tamadun Islam di alam Melayu, Tun Suzana Tun Othman, berkata era keemasan Nusantara dikuasai oleh golongan ulama yang turut menjadi pencetus kepada tulisan jawi, melahirkan generasi tinggi leluhur dan adab serta bangsa kaya dengan budaya.

[gn4id:8269270]

Selain usaha penyebaran Islam, ulama juga antara pencetus kepada kelahiran bahasa Melayu klasik bagi memperjelaskan konsep Islam dalam pelbagai bidang seperti falsafah, tauhid, tasawuf dan feqah.

“Sebelum muncul bahasa dan tulisan jawi, orang Melayu menggunakan bahasa Melayu rencong tetapi ia hanya setakat untuk berdagang dan bahasa yang digunakan itu pula tidak mengandungi falsafah, apatah lagi ilmu ketuhanan serta ketauhidan.

“Apabila ulama datang untuk mengislamkan penduduk di alam Melayu dan membawa kefahaman Islam, mereka tidak mengambil rencong atau sanskrit, sebaliknya membentuk bahasa baharu yang banyak perkataannya dipinjam daripada bahasa Arab dan campuran Parsi.

“Selepas itu, kita meninggalkan tulisan rencong dan palava kerana menggunakan sepenuhnya tulisan jawi yang mirip al-Quran, cuma ada penambahan lima huruf seperti nga dan nya,” katanya.

[gn4id:8269397]

Tambahnya, masih ada perkataan daripada bahasa Melayu rencong yang masih digunakan antaranya sembahyang bermaksud menyembah nenek moyang, namun pengertian itu berubah daripada aspek falsafahnya apabila ulama menyuntik nilai tauhid bagi mengelakkan unsur syirik dalam masyarakat.

Selain itu, perkataan rencong yang tidak lagi digunakan adalah seperti ‘dewata mulia raya’ yang membawa maksud tuhan yang Esa dan terpahat pada Batu Bersurat Terengganu yang diiktiraf sebagai ukiran dan tulisan Jawi pertama ditemui di Tanah Melayu.

Katanya, tulisan jawi yang dibentuk ulama juga menjadi ejen yang menyatukan pelbagai kaum di nusantara seperti di Kemboja walaupun mempunyai bahasanya tersendiri tetapi kitab lama yang dijumpai memperlihatkan ia dihasilkan dalam jawi.

Ia secara tidak langsung menunjukkan bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan sebagai bahasa ‘lingua franca’ di alam Melayu dalam pelbagai bidang penting termasuk pendidikan, perdagangan, agama, budaya dan falsafah.

[gn4id:8269429]

Tun Suzana turut berkongsi mengenai peradaban orang Melayu yang mempunyai nilai unik dan tersendiri dan tidak diamalkan dalam kalangan bangsa lain juga banyak dipelajari serta diamalkan menerusi pembacaan kitab agama yang dihasilkan oleh ulama besar Arab.

“Kita dikenali sebagai kaum yang beradab dan antara rahsianya adalah penggunaan yang meluas kitab al-Ghazali, iaitu Ihya’ Ulumuddin yang banyak mengajar mengenai ilmu adab.

“Tidak ada bangsa seperti orang Melayu yang tinggi budi pekerti seperti tidak mencelah dan mencium tangan orang yang lebih tua daripada kita.

“Kesan pendidikan yang dibawa oleh ulama alam Melayu dengan menekankan tasawuf yang tinggi akhirnya melahirkan masyarakat yang berakhlak,” katanya.

Tambahnya, pengaruh Islam yang begitu kuat di Nusantara juga turut memberikan tempias kepada penjajah Barat yang akhirnya tidak dapat menyebarkan agama Kristian dalam masyarakat Melayu dengan berjaya sehingga diakui oleh orientalis seperti Stamford Raffles yang mengakui sukar untuk menyebarkan agama Kristian di Tanah Melayu.

Kedatangan Islam di alam Melayu tidak dapat dipisahkan dengan pengaruh Arab kerana kebanyakan ulama yang berhijrah adalah daripada golongan Sayyid, Syarif dan Habib terutama dari Hadhramaut, Yaman.

Menurut Tun Suzana, walaupun ada beberapa pendapat berlainan terutama oleh orientalis Barat termasuk menganggap Islam diperkenalkan di alam Melayu oleh ulama berketurunan India Muslim, namun banyak sumber membuktikan sumbangan orang Arab mengataasi bangsa lain.

“Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat juga sumbangan dari bangsa lain, ia tidak dapat sampai mengatasi peranan bangsa Arab yang datang secara besar-besaran ke alam Melayu untuk berdakwah khususnya di awal perkembangan Islam di rantau ini, iaitu bermula pada kurun ke-13 Masihi.

[gn4id:8269479]

Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas berkata, jika dirujuk kepada penulisan bercorak agama di alam Melayu, hampir kesemuanya ditulis oleh pengarang Arab.

“Begitu juga manuskrip lama termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh dan Salasilah Maguindanao adalah sumber sejarah tradisi yang membuktikan sumbangan ulama Arab kepada perkembangan Islam di alam Melayu,” katanya.

Beliau berkata, dalam bidang kesusasteraan pula, muncul hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nur Muhamamd.

“Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan TunSeri Lanang yang masyhur ada mencatatkan mengenai kitab bertajuk Hikayat Muhammad Hanafiah yang dibacakan kepada hulubalang Melaka pada malam terakhir sebelum perang dengan Portugis dalam tahun 1511 sebagai membakar semangat jihad,” katanya.

Kesenian Islam atau kesenian Arab?

KEUNIKAN seni bina masjid Ulul Albab, Jerteh, Terengganu bercirikan
KEUNIKAN seni bina masjid Ulul Albab, Jerteh, Terengganu bercirikan seni bina Islam tempatan yang menggunakan kayu.

ISLAM merupakan agama universal atau sejagat yang sesuai diamalkan oleh semua umat manusia pada sepanjang zaman.

Konsep Islam sejagat ini telah difahami, diterima dan diamalkan oleh jutaan umat manusia yang memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka. Sehinggakan seni dan budaya yang lahir dalam masyarakat Islam turut dikenali sebagai seni serta budaya Islam.

Walaupun berlatar belakang dan geografi berbeza, setiap wilayah Islam mampu memperlihat serta menyumbang kepada kekayaan warisan seni Islam sama ada dari segi rupa, bentuk dan nilai estetika yang unik bawah teras agama Islam.

Faktor ini menjadikan Islam agama yang indah dan sesuai dengan kehidupan manusia. Namun begitu, konsep Islam sejagat yang luas dan dihiasi dengan pelbagai keindahan ini semakin mengecil dari hari demi hari pada zaman ini.

Seni dan budaya Islam hari ini terutama di Malaysia dilihat lebih menjurus kepada penyeragaman mengikut acuan masyarakat Timur Tengah yang dianggap sebagai acuan Islam sebenar.

Penyeragaman seni dan budaya Islam kepada sesuatu wilayah adalah bertentangan dengan konsep kesejagatan Islam yang mengalu-alukan kepelbagaian berteraskan ajaran Islam. Seni Islam dan seni Arab adalah dua aspek yang berbeza. Kesenian masyarakat Arab merupakan satu daripada seni Islam yang luas.

PENCIPTAAN BERSESUAIAN PERSEKITARAN

Allah SWT melengkapkan kejadian sesebuah masyarakat itu dengan kreativiti dan keperluan bersesuaian dengan persekitaran yang diciptakan untuk mereka.

Sebagai contoh, Allah menjadikan bumi ini mempunyai pelbagai jenis iklim seperti panas dan kering, sejuk, empat musim, hujan atau lembab dengan keperluan pakaian berbeza.

Dalam perkara ini, Islam menggariskan asas berpakaian bagi kaum lelaki dan wanita dengan menyatakan bahagian mana perlu ditutup tetapi tidak menetapkan keseragaman potongan dan warna pakaian mesti dipakai.

Begitu juga dalam bidang seni bina, Allah menjadikan bahan-bahan semula jadi sesuai dengan persekitaran di sesebuah tempat. Antaranya kayu-kayan berkualiti di alam Melayu yang sesuai digunakan sebagai bahan binaan bersifat mesra alam.

Penggunaan bahan yang tidak bersesuaian secara meluas akan mengakibatkan rantaian masalah dan pembaziran.

Ramai daripada masyarakat di negara kita masih lagi keliru dengan istilah seni Islam dengan menganggap seni Islam adalah seni serta budaya masyarakat Timur Tengah atau Arab.

Ini akan menyebabkan seni dan budaya tempatan semakin dilupakan, sekali gus pupus. Manakala dalam skala lebih besar, tiada pertambahan dan kreativiti baru dalam bidang seni Islam.

Jika ini berterusan, bidang kesenian Islam akan menjadi satu bidang yang kaku dan seragam di mana semua umat Islam akan mempunyai gaya hidup sama seperti masyarakat Arab di Timur Tengah.

Apabila ini terjadi maka keindahan sifat kesejagatan Islam juga akan turut terjejas.

Seni Islam adalah seni yang luas dan perlu berkembang serta diperkayakan dengan kreativiti atau inovasi baru bertunjangkan ajaran Islam oleh setiap generasi supaya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Kundan: Warisan empayar Islam Mughal

BARANGAN kemas yang bertatah permata berwarna-warni menggunakan
BARANGAN kemas yang bertatah permata berwarna-warni menggunakan teknik kundan.

EMAS dan permata merupakan lambang kemewahan serta kekayaan dalam tamadun manusia. Antara tamadun Islam yang mempunyai warisan teknik pembuatan barangan kemas dengan unik ialah Empayar Mughal di benua India.

Bukan sahaja mempunyai kepakaran tersebut, malah wilayah itu turut dianugerahkan dengan sumber batu permata berharga dan berwarna warni seperti berlian, delima, nilam, intan serta zamrud. Sumber dan kemahiran yang tinggi menghasilkan barangan kemas kundan menjadi antara lambang kemewahan Empayar Mughal.

Daripada segi sejarah, teknik pembuatan barangan kemas ini dipercayai berkembang dari sebuah kota yang dikenali sebagai Jaipur iaitu terletak di negeri Rajasthan.

Rajasthan mempunyai kaitan dengan empayar Mughal apabila seorang puteri kepada pemerintah pada waktu itu yang bernama Jodha Bai berkahwin dengan Maharaja Mughal bernama Akbar pada abad ke-16 Masihi. Baginda dikatakan membawa pengaruh teknik kundan ini ke dalam Empayar Mughal.

Kundan merupakan istilah merujuk kepada kepingan emas tulen dan amat lembut yang digunakan dalam pembuatan barangan kemas ini. Dua ciri paling ketara dan unik dalam teknik kundan ialah saiz batu permata yang digunakan adalah besar dan kedua keterlihatan emas digunakan adalah minimum.

Antara barangan kemas masyarakat India paling menonjol dengan penggunaan teknik ini ialah kalung atau rantai leher. Kalung yang menggunakan teknik ini menghasilkan satu gaya unik di mana rekaan dan susunannya nampak agak kasar tetapi penuh dengan sinaran permata.

Ini disebabkan oleh batu permata bersaiz besar dan mempunyai pelbagai bentuk dalam satu susunan yang harmoni.

Secara teknikal, kundan merupakan satu hasil kerja tangan melibatkan kemahiran logam dalam membentuk bingkai luar daripada jalur logam yang ditempa menjadi bentuk bulat atau bujur kecil sebelum bingkai ini dicantumkan bagi mendapatkan bentuk lebih besar.

Ia kemudiannya dilekatkan atas kepingan emas sebagai tapak yang membentuk sarang atau tempat batu permata. Lalu sejenis ketulan lilin dimasukkan ke dalam sarang yang telah siap dan dipanaskan supaya lilin memenuhi bahagian dalam sarang.

Batu permata yang telah dipilih dan dipotong diletakkan di atas lilin dan ditekan sedikit sebelum lilin dipanaskan sekali lagi. Seterusnya penggunaan kundan yang merupakan kepingan emas nipis dan sangat lembut digunakan bagi menutup bahagian tepi bingkai emas selepas siap ditatah dengan batu permata.

Setelah semua bahagian bingkai telah siap ditutup, haba digunakan untuk melembutkan emas supaya ia kelihatan licin dan sekata. Tiada sebarang cangkuk kelihatan atas batu permata seperti yang sering digunakan dalam teknik tatahan batu permata dari Barat bagi memastikan batu permata tidak jatuh.

Ini kerana kombinasi sarang, lilin dan kundan telah menjadikan tatahan batu permata dapat bertahan lama.

Selepas teknik ini berkembang dalam empayar Mughal, maka percubaan turut dilakukan bagi logam yang lebih murah harganya berbanding emas iaitu perak. Batu permata separa berharga turut digunakan bagi menghiasi barangan kemas ini.

Ini menjadikan harga perhiasan ini lebih murah dan mampu milik bagi golongan rakyat biasa. Kebanyakan perhiasan sebegini digunakan dalam majlis perkahwinan sebagai perhiasan mahupun hantaran dan hadiah.

Teknik ini juga digunakan dalam pembuatan butang baju yang banyak digunakan oleh kaum lelaki Melayu, India dan Punjabi pada potongan leher pakaian dikenali sebagai cekak musang di Malaysia.

Teknik ini memerlukan kemahiran kerja tangan yang sukar untuk diganti dengan mesin kerana ia memerlukan ketelitian dalam setiap peringkat penyediaannya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/kundan-warisan-empayar-islam-mughal-1.461107#ixzz4d3QOeMJu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isra’ dan Mikraj (Sebelum Hijrah)

 

 

Di Antara Peristiwa Yang Berlaku Pada Bulan Rejab

Isra’ dan Mikraj (Sebelum Hijrah)

 

Pada suatu hari, Jibril a.s datang berjumpa dengan Nabi s.a.w dengan membawa bersamanya seekor Buraq (sejenis binatang tunggangan yang lebih kecil dari baghal dan lebih besar dari keldai). Lalu Jibril membawa Nabi s.a.w ke Baitulmuqaddis di Palestine di mana Nabi s.a.w dapati kesemua para Nabi alaihimussolatu wassalam menyambut ketibaan baginda. Di antara mereka ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa alaihimussalam kemudian baginda mengimami mereka mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Selepas itu baginda Mikraj ke langit, di sana baginda berjumpa dengan beberapa orang Nabi dan sempat bercakap dengan mereka serta mereka mengalu-alukan kedatangan baginda ke sana. Nabi s.a.w juga melihat syurga dan pelbagai jenis nikmat yang telah disediakan oleh Allah kepada orang-orang yang bertakwa, di samping itu baginda juga melihat neraka dan pelbagai jenis seksaan yang disediakan kepada orang-orang yang kafir. Kemudian baginda naik ke atas Arasy untuk bermunajat kepada Allah, tempat tersebut tidak pernah dinaiki oleh Nabi atau Rasul yang lain begitu juga malaikat yang paling rapat dengan Allah s.w.t.

Setelah itu Nabi s.a.w kembali semula ke Mekah pada malam yang sama dalam keadaan dibekalkan dengan tenaga rohani yang sangat hebat. Peristiwa tersebut menjadi perangsang kepada Nabi supaya hati baginda tetap teguh, juga sebagai penghibur hati baginda di dalam menghadapi penyeksaan Quraisy selepas kematian Khadijah isteri baginda dan juga selepas kematian Abu Talib bapa saudara baginda pada tahun tersebut yang dinamakan dengan “Tahun Kesedihan”.

Diambil daripada http://www.al-islam.com

Peristiwa besar bulan Rejab

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

APABILA berada di bulan Rejab, kita perlu sentiasa merenungi peristiwa besar yang pernah berlaku ke atas nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Israk dan Mikraj iaitu bukti kekuasaan Allah mengurniakan mukjizat kepada Rasulullah.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu yang mungkin tidak mampu difikirkan oleh akal manusia secara logik.

Selain daripada ujian terhadap keimanan kita, ia juga bukti kehebatan Allah yang mampu melakukan apa saja dengan kehendak-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah al-Israak ayat 1).

Ternyata perjuangan dakwah yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w begitu getir sebelum mencapai kemenangan.

Antara ujian dan tekanan hebat yang pernah dilaluinya ialah bertambahnya penentangan terhadap dakwah Islam.

Selain itu, terdapat beberapa peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan Rejab antaranya, pembebasan Al-Quds di Baitulmaqdis daripada golongan musuh Islam oleh Imam Salehuddin Al-Ayyubi, peperangan Tabuk yang Baginda sendiri menjadi panglima tentera serta berlakunya hijrah Rasulullah ke Habsyah bagi meluaskan dakwah Islamiah.

Ketika mengingati peristiwa Israk Mikraj, umat Islam perlu sentiasa berusaha dalam memerdekakan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman yahudi.

Antara yang boleh dilakukan ialah memperteguhkan pendirian serta meniup semangat jihad memperjuangkan dan mempertahankan Islam dengan menjaga solat yang juga menjadi rukun Islam yang diterima Nabi Muhammad s.a.w ketika peristiwa Israk Mikraj.

Bulan Rejab ini juga boleh diibaratkan waktu untuk umat Islam menyemai benih, kemudian Syaaban membajai tanaman supaya terus subur sebelum tibanya Ramadan bagi menuai hasil yang diusahakan.

Mereka yang sentiasa melakukan latihan dan persiapan rapi pastinya merasai kelebihan dan nikmat ibadat apabila tibanya Ramadan berbanding mereka yang hanya menunggu Ramadan baru hendak melipatgandakan amalan.

Antara amalan sunat umum yang boleh dilakukan di bulan Rejab sebagai persediaan menanti Ramadan ialah berpuasa sunat Isnin dan Khamis, memperbanyakkan zikir, beristighfar, qiamullail serta bertadarus al-Quran.

Semua amalan sunat itu amat digalakkan supaya tubuh badan kita dapat bersedia menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadan.

Tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan Rasulullah s.a.w daripada hadis sahih. Amalan tertentu seperti puasa Rejab atau solat sunat Rejab adalah bersandarkan kepada hadis lemah.

Justeru, untuk melipatgandakan amalan tidak hanya pada bulan Rejab ini, tetapi boleh dilakukan pada bulan lain bagi menghadapi bulan paling mulia iaitu Ramadan yang di dalamnya terdapat ‘lailatul qadar’.

Khayamiya – seni sulaman tampal Mesir

SULAMAN sering kali dikaitkan dengan kemahiran menjahit yang dipelopori oleh kaum wanita. Namun di Mesir, kebanyakan sulaman tampal yang dihasilkan merupakan kerja tangan penyulam lelaki yang kebanyakannya menjadikannya sebagai mata pencarian utama mereka.

Pekerjaan ini dilakukan sejak turun temurun. Mereka merupakan pewaris generasi pembuat khemah yang pernah menghasilkan khemah digunakan sewaktu pemerintahan Dinasti Uthmaniyah. Pemerintah pada zaman berkenaan banyak menggunakan khemah untuk aktiviti luar mereka seperti pemburuan, perkelahan di musim panas atau musim bunga, peperangan dan sebagainya. Khemah yang digunakan sewaktu pemerintahan Uthmaniyah boleh diteliti dalam lukisan miniatur yang dihasilkan pada zaman tersebut.

Khayamiya merupakan nama yang digunakan merujuk kepada panel sulaman tampal yang dihasilkan di Mesir. Panel sulaman ini sering digunakan sebagai hiasan khemah yang menjadi peralatan utama dalam sebarang aktiviti luar atau majlis dan keraian yang diadakan dalam masyarakat Arab khususnya di Mesir.

Antara keraian dan majlis yang menggunakan khemah dalam kehidupan masyarakat Mesir ialah seperti majlis keagamaan, perkahwinan, jamuan, dan juga pengebumian. Khemah digunakan sebagai tempat para tetamu duduk dan menjamu makanan sewaktu majlis berlangsung dan ia akan dibuka dengan segera sejurus selepas sesuatu majlis selesai.

 

MOTIF SULAMAN

Panel khayamiya dijahit menggunakan kain-kain pelbagai warna yang dipotong untuk membentuk corak tertentu seperti corak geometri, corak bunga-bungaan dan juga kaligrafi yang bersesuaian dengan sesuatu majlis. Panel ini berfungsi sebagai hiasan struktur khemah utama. Bahagian yang sering menjadi tumpuan dalam khemah yang dihiasi khayamiya ialah bumbung, dinding dan pintu khemah. Corak khayamiya dikatakan berasal daripada corak digunakan pada seni bina Islam yang merupakan khazanah berharga diwarisi oleh masyarakat Islam Mesir daripada pelbagai dinasti Islam.

Pada pertengahan abad ke-19 sehingga awal abad ke-20 Masihi, pembuat panel sulaman tampal khayamiya menggunakan panel tekstil daripada benang kapas yang diwarnakan dengan tangan dalam tona warna seperti merah, putih dan biru. Kadangkala lebihan tekstil turut digunakan dalam membuat khayamiya. Namun begitu pada hari ini, kain-kain yang dicetak menggunakan mesin telah menjadi saingan kepada kemahiran dan kepandaian tempatan masyarakat Islam Mesir sejak zaman berzaman itu.

Pada hari ini, khayamiya telah menjadi salah satu produk pelancongan yang dikeluarkan dalam pelbagai bentuk selain untuk digunakan sebagai hiasan khemah. Ia juga telah boleh diperoleh sebagai hiasan sarung kusyen dan tirai hiasan dinding. Panel khayamiya ini telah menarik perhatian dan menjadi cenderamata pilihan pelancong Barat yang sampai ke Mesir pada abad ke-19. Para peminat seni Islam boleh mengunjungi Muzium Kesenian Islam Malaysia bagi menyaksikan pameran khayamiya yang dibuka sehingga bulan Januari 2016.

Wujud hubungan Empayar Uthmaniyah-Kesultanan Melayu

Sultan Abdul Samad dari Selangor bersama para pengikutnya di hadapan Sultan Abdul Samad dari Selangor bersama para pengikutnya di hadapan kediaman Sultan Jugra, sekitar 1886 M dipamerkan pada aktiviti Karnival Semarak Syariah di Perkarangan Kompleks Islam, Kuala Lumpur. Gambar Digital: Nasirruddin Yazid / Pemberita: Roziana , Atif , Faizah (S2)

Dalam pameran persenjataan yang diadakan di Muzium Kesenian Islam, terdapat beberapa senjata yang dipamer dipercayai telah digunakan oleh kerajaan di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pengaruh Empayar Uthmaniyah telah berlaku sejak kurun ke-15 apabila berlaku penyebaran Islam sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pengaruhnya telah datang melalui aktiviti perdagangan.

Selain penyebaran Islam, pengaruh kerajaan tersebut di Tanah Melayu juga dilihat begitu penting untuk melindungi agama Islam dan ideologi-ideologi barat yang disebut sebagai anti-Islam.

Menurut Pengerusi Projek Pameran Simbol Kuasa dan Keindahan: Koleksi Muzium Kesenian Islam, Zulkifli Ishak, diakui bahawa telah wujud hubungan dua hala antara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Empayar Uthmaniyah.

“Perdagangan adalah medium yang menghubungkan antara Tanah Melayu dan Turki dan kedatangan Islam menjadi salah satu bukti diplomasi yang wujud antara dua kerajaan tersebut.

“Kewujudan hubungan melalui perdagangan itu wujud seperti sekarang cuma membezakan hanyalah barang perdagangan dan teknologi pelabuhan yang moden.

“Kerajaan Kesultanan Melaka terkenal sebagai pelabuhan antarabangsa sekitar kurun ke-15 dan 16. Pada waktu itu, kerajaan turut mempunyai hubungan dagang dengan China, India dan negara-negara Arab,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, wujud aktiviti perdagangan senjata api dan dipercayai Melaka menerima senjata api dari China, India dan negara-negara lain.

“Memang tidak dinafikan wujud perdagangan senjata seperti pistol, meriam dan sebagainya dari India dan China termasuklah Empayar Uthmaniyah.

“Selain Melaka, terdapat dakwaan mengatakan Empayar Uthmaniyah berhasrat untuk menghantar bantuan ketenteraan kepada Acheh yang diserang oleh Belanda. Namun, akibat masalah dalaman, mereka hanya menghantar pakar-pakar membuat senjata.

“Kita juga kurang didedahkan dan jarang mendengar cerita sebenar tentang penggunaan senjata api oleh Kerajaan Melayu Melaka dan diasak dengan sejarah penggunaan keris, tombak dan parang sewaktu berperang dengan Portugis pada kurun ke-16 seterusnya kalah pada tahun 1511,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kuratorial Muzium Kesenian Islam, Dr. Heba Nayel Barakat turut mengakui terdapat penggunaan senjata api dalam peperangan antara Melaka dan Portugis.

“Pengaruh Empayar Uthmaniyah begitu luas dan kekuatannya sehingga dapat menawan Kerajaan Parsi (Iran) dan menghantar bantuan kepada Acheh.

“Empayar Uthmaniyah juga terkenal dengan teknologi senjata api yang menggunakan belerang. Mereka menggunakannya sewaktu hendak menakluk wilayah Afrika Utara. Menariknya orang Afrika tidak tahu tentang teknologi tersebut.

“Justeru, saya tidak menafikan terdapat penggunaan senjata oleh tentera Kesultanan Melayu Melaka untuk menahan serangan dari Portugis. Senjata tersebut kini ada di salah sebuah muzium di Portugis,” katanya.