Archive for the ‘Aqidah’ Category

Percaya bomoh, tukang tilik boleh jejas akidah

Aisyah berkata, “Ada orang bertanya kepada Rasulullah berkenaan bomoh. Baginda menjawab: Mereka tidak mampu buat apa-apa pun. Sahabat Baginda berkata: Wahai utusan Allah, tetapi kadang-kadang mereka beritahu sesuatu kepada kami dan ia benar-benar berlaku.

Rasulullah bersabda: Itulah perkataan benar yang dicuri oleh jin, dibisikkannya pada telinga bomoh itu, dan mereka menokok tambah dengan 100 dusta.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan rekod Bukhari, Aisyah berkata, beliau mendengar Rasulullah bersabda: “Malaikat turun ke awan dan menyebut keputusan yang dibuat di langit. Syaitan mencuri dengar dan memberitahu kepada bomoh. Bomoh itu pun menipu dengan menokok tambah sendiri pula dengan 100 dusta.”
Tegahan jumpa bomoh, tukang tilik

Umat Islam ditegah berjumpa bomoh dan tukang tilik malangnya perbuatan itu masih dilakukan sesetengah masyarakat untuk mendapat rawatan khususnya yang dikaitkan dengan sihir atau ilmu ghaib.

Adalah menyedihkan bagi umat Islam yang mengakui beriman kepada Allah SWT, mengakui kekuasaan-Nya, tetapi masih percaya kepada kemampuan manusia lain untuk mengetahui perkara yang tidak tercapai ilmunya oleh manusia.

Lebih mendukacitakan, disebabkan mempercayai kata-kata bomoh dan tukang tilik, berlaku pergaduhan serta salah faham yang akhirnya menyebabkan terputus persaudaraan. Sedangkan sejauh mana kebenaran maklumat disampaikan tidak diketahui.
Disebabkan itu, manusia perlu kembali kepada ajaran agama yang melarang menemui bomoh atau tukang tilik kerana mempercayai apa dikatakan boleh menjurus kepada syirik, menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

Safiyyah binti Abu Ubaid berkata daripada sebahagian isteri Nabi Muhammad, Baginda bersabda: “Sesiapa berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya sesuatu kepadanya, kemudian percaya pula kepadanya, sembahyangnya tidak diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim)

Sudah tentu kita tidak mahu sembahyang yang dilaksanakan dengan niat kerana Allah SWT menjadi sia-sia. Hanya sekali berjumpa bomoh, sembahyang 40 hari tidak diterima. Ini satu kerugian besar dan umat Islam harus mengelak terjerumus dalam lembah kerugian.

Al-Quran sebut kisah buah terlarang

Jawapan disediakan oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

Saya ingin kepastian daripada ustaz mengenai kisah Adam dan Hawa di syurga. Adakah benar Hawa yang memujuk Adam supaya makan buah khuldi sehingga mereka terusir dari syurga kerana ada penceramah membuat hujah itu seolah-olah merendahkan wanita.
Shima,Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pokok ini yang menyebabkan kamu termasuk orang zalim” (Surah al-Baqarah-ayat 36)

 

Jawapan:

Pendapat yang ditanya oleh saudari mengenai wanita yang harus bertanggungjawab atas kesengsaraan hidup manusia dengan mengatakan Hawa yang menggoda Adam supaya memakan buah terlarang adalah pendapat tidak tepat.

Sumber pendapat ini ialah kitab Taurat dengan segala penambahan. Ini pendapat yang diimani oleh kaum Yahudi dan Nasrani serta sering menjadi bahan rujukan pemikir, penyair serta penulis mereka. Bahkan ramai juga penulis Muslim yang bertaklid buta dengan pendapat itu.
Namun bagi orang yang membaca kisah Adam dalam al-Quran yang ayatnya (mengenai kisah itu) terhimpun dalam beberapa surah, tidak akan bertaklid buta, sebaliknya akan mengambil kisah itu secara fakta.

Pertama, taklif Tuhan untuk tidak memakan buah terlarang itu ditujukan kepada Adam dan Hawa, bukan Adam saja. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pokok ini yang menyebabkan kamu termasuk orang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 35)

Syaitan punca segalanya

Mendorong dan menyesatkan kedua-duanya dengan tipu daya, pujuk rayu, sumpah palsu ialah syaitan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu kedua-duanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan daripada keadaan semula.” (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Dalam surah lain terdapat keterangan terperinci mengenai tipu daya dan pujuk rayu syaitan iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga). Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu da yanya. Selepas mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua daripada pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata? Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-A’raf, ayat 20-23)

Adam bertanggungjawab

Surah Taha menceritakan bahawa Adam yang pertama kali diminta bertanggungjawab di atas pelanggaran itu, bukan Hawa, kerana itu, peringatan daripada Allah SWT ditujukan kepada Adam sebagai prinsip dan secara khusus.

Kekurangan itu dinisbahkan kepada Adam yang juga dipersalahkan kerana pelanggaran itu. Meskipun isterinya bersama melakukan pelanggaran, namun petunjuk ayat mengatakan peranan Hawa tidak seperti peranan Adam dan Hawa makan serta melanggar kerana mengikuti Adam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: Wahai Adam, sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan berasa panas matahari. Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.” (Surah Taha, ayat 115-122)

Al-Quran telah menegaskan bahawa Adam diciptakan oleh Allah untuk suatu tugas yang sudah ditentukan sebelum diciptakannya. Malaikat pada waktu itu sangat ingin mengetahui tugas berkenaan, bahkan mereka mengira bahawa mereka lebih layak daripada Adam.

Perkara seperti ini sudah disebutkan dalam beberapa ayat dalam surah al-Baqarah sebelum Allah SWT menyebutkan ayat-ayat yang membahaskan tempat tinggal Adam dalam syurga dan memakan buah terlarang.

Tidak jaga perkataan, perbuatan jejaskan akidah

MENJADI sifat semula jadi bagi setiap individu mempunyai pegangan dan ego tersendiri. Oleh itu, lahirlah pelbagai alasan yang sering diberikan apabila mendapat teguran daripada orang lain, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perintah agama.

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang beranggapan, selagi mana masih melakukan solat dan ibadah serta tidak meninggalkan perintah Allah SWT dalam rukun Islam, mereka akan selamat dan imannya terpelihara.

Namun ramai yang masih tidak menyedari, bukan sahaja dengan penyataan atau perbuatan zahir yang menduakan Allah SWT serta melakukan perbuatan syirik, sebaliknya dengan sepatah ayat yang dilafazkan mampu menjejaskan iman.

Hakikatnya, ia adalah bermula daripada sekecil-kecil perkara yang sering diambil ringan dengan menyatakan pelbagai alasan bagi mengelakkan daripada mengikuti perintah Allah SWT yang secara jelas termaktub di dalam al-Quran dan sunah.

Perkara itu tanpa disedari, boleh menjejaskan akidah dan tidak mustahil boleh mencapai sehingga ke tahap syirik.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara kamu menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang diturunkan Allah kepada kamu.

Jika mereka berpaling (daripada hukum yang diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. (al-Maidah: 49)

Justeru, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, sebagai individu yang mengaku Islam, tidak dapat tidak wajib untuk mengikuti segala perintah Allah SWT.

Ini katanya kerana, segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan hadis Rasulullah SAW kepada umat Islam mempunyai pelbagai hikmah di sebalik suruhannya tanpa kita sedari.

Mengambil contoh bermula daripada sekecil perkara seperti menutup aurat, umat Islam yang sering memberikan alasan untuk mengelak daripada mengikuti perintah Allah SWT itu boleh terjejas pegangan imannya.

Ia kerana, seperti mengingkari suruhan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Begitu juga katanya, terhadap perkara-perkara yang besar.

“Sebagai umat Islam, kita wajib beriman dengan hukum Allah SWT, sekurang-kurangnya menetapkan di dalam hati bahawa akan sentiasa cuba dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan perintah tersebut.

“Di dalam surah Maidah ayat ke 44, 45, dan 47 menjelaskan bahawa terdapat tiga golongan bagi mereka yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah SWT iaitu kafir, zalim dan fasik.

“Kafir secara umumnya boleh berlaku apabila umat Islam secara jelas menentang hukum Allah dan melakukan perkara syirik. Tetapi, dalam kategori kedua dan ketiga pula adalah sesiapa yang mengaku kebenaran hukum Allah SWT, tetapi tidak melaksanakan maka jatuh hukum fasik dan zalim,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam perlu berhati-hati dalam setiap perkataan mahupun perbuatan bagi memelihara iman daripada terjejas dengan tanpa disedari.

Elak menghukum

Bagaimanapun tambahnya, sebagai manusia biasa, kita tidak berhak untuk menghukum atau melabel orang lain dengan panggilan tertentu sebelum diputuskan oleh pihak berkuasa yang menetapkan status tersebut.

“Jika mengikut kaedah dakwah, tidak boleh melabelkan seseorang itu dengan label tertentu seperti kafir walaupun terang-terangan dia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama.

“Ini merupakan strategi psikologi dalam usaha mengembalikan individu tersebut kepada kebenaran. Begitu juga, ia bagi mengelakkan tanggapan negatif agama lain terhadap Islam yang dilihat bersifat keterlaluan kepada penganutnya,” jelasnya.

Sebaliknya Irwan berkata, sebagai umat Islam diharuskan untuk saling mengingati antara sesama insan, serta memperbanyakkan pendedahan mengenai sesuatu perkara dalam usaha memperbaiki dan melaksanakan hukum Allah SWT.

“Bukan dengan melakukan kaedah paksaan, tetapi pelbagai program berkonsep pendedahan dan perbincangan perlu dilakukan seperti forum, muzakarah, seminar dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada umum mengenai sesuatu perkara tersebut.

“Sebagaimana dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan menyampaikan berita yang gembira bukan sahaja yang menakutkan.

“Menerusi kaedah yang bijaksana dan perancangan kepada pelaksanaan yang teliti, tidak mustahil segala hukum yang ditentukan Allah SWT itu dapat kita laksanakan,” ujarnya.

-MOHD. SHAH CHE AHMAD

 

Daripada Muktazilah ke Ahli Sunnah

SALAH satu aliran terpenting dalam teologi Islam ialah Asy’ariyah. Tokoh aliran atau doktrin ini ialah Abu Hasan al-Asy’ari yang membuat pembaharuan menerusi aliran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Aliran ini wujud pada abad kesembilan untuk menolak pandangan golongan Muktazilah yang menyesatkan umat Islam.

Kaum Muktazilah pada masa khalifah Abbasiah yang dipimpin oleh al-Makmun (813-833) melakukan minhaj atau ujian akidah dan mendapat tanggapan negatif daripada orang ramai.

Pandangan Asy’ari yang menolak pandangan Muktazilah ini disokong oleh Khalifah al-Mutawakkil dan menetapkan aliran Asy’ariyah sebagai mazhab rasmi. Banyak ulama besar menyatakan dirinya memeluk mazhab ini termasuklah Imam al-Ghazali.

Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada 873. Semasa meningkat dewasa, Asy’ari lebih tertarik untuk mendalami ilmu teologi, khususnya ajaran Muktazilah dan sering berdiskusi bersama gurunya, Abu Ali al-Jubba’i.

Namun, setiap jawapan yang diberikan oleh gurunya itu tidak dapat memuaskan hatinya sehinggalah beliau berubah haluan pada umur 40 tahun.

Asy’ariyah beriman kepada sifat 20 bagi Allah. Pada awalnya Asy’ariyah hanya memperkenalkan 13 sifat-sifat Allah SWT tetapi akhirnya, mengembangkannya kepada 20 sifat. Asy’ariyah bersikap sederhana terhadap doktrin teologi. Pada satu sisi, Asy’ariyah menggunakan akal untuk menyingkap permasalahan teologi tetapi penuh yakin terhadap wahyu Allah SWT.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu.

Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Aliran Muktazilah menolak sifat-sifat Tuhan. Namun aliran Asy’ariyah menyatakan, Tuhan memiliki sifat tetapi sifat yang dimiliki oleh-Nya tidak perlu dipersoalkan berdasarkan daya pemikiran manusia. Ini kerana, pemikiran manusia tidak terjangkau untuk memikirkan sifat-sifat Allah SWT kerana daya pemikiran manusia adalah terbatas.

Aliran Asy’ariyah berkembang di dunia Timur iaitu India, Afghanistan, Pakistan sehinggalah ke Indonesia. Semasa era Mahmud Ghaznawi di India, aliran ini tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut.

Sejak Asy’ariyah muncul, Ahli Sunnah wal Jamaah menjadi istilah kepada penggunaan aliran ini. Secara falsafahnya, Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sekelompok orang Muslim yang menyakini adanya urutan hierarki empat sahabat Nabi SAW. Dan, hal ini tidak dinafikan oleh Asy’ariyah

 

Tiada dalil jelas Nabi Khidir a.s masih hidup

Sehingga sekarang saya masih lagi keliru persoalan mengenai Nabi Khidir as. Ada yang mengatakan Nabi Khidir masih hidup dan ada mengatakan Nabi Khidir sudah wafat. Saya harap dapat penjelasan ustaz berkenaan Nabi Khidir. Jika masih hidup, di manakah beliau sekarang.

Lan,

Kota Damansara.

Khidir adalah seorang hamba yang salih dan kisahnya disebutkan dalam surah al-Kahfi ketika beliau menemani Musa dalam perjalanan yang bertujuan untuk memberi pelajaran kepadanya supaya bersabar.

Khidir memberi syarat kepada Musa supaya bersabar dan Musa menyatakan kesanggupannya. Khidir berkata kepada Musa: “Bagaimana mungkin engkau akan bersabar terhadap sesuatu yang pengetahuanmu tidak mampu menjangkaunya?.”

Pada perjalanan itu, tiba-tiba Musa melihat Khidir membuat lubang pada perahu. Melihat keanehan itu dengan spontan Musa berkata: “Apakah engkau membuat lubang itu supaya penumpangnya tenggelam? (Dan seterusnya seperti dikisahkan Allah SWT dalam surah al-Kahfi)

Musa berasa hairan melihat perbuatan Khidir sehinggalah Khidir menjelaskan sebab ia melakukan perkara itu. Kemudian pada akhir perbicaraannya, Khidir berkata: “…dan aku tidak melakukan hal itu menurut kemahuanku sendiri. Demikianlah takwil sesuatu yang engkau tidak dapat sabar terhadapnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 26).
Maksudnya, Khidir tidak melakukan semua itu menurut kemahuannya sendiri melainkan menurut perintah Allah Taala. Sebahagian orang mengatakan Khidir masih hidup sesudah zaman Nabi Musa sehingga zaman Nabi Isa.

Hadis maudhuk

Kemudian berlanjutan hingga zaman Nabi Muhammad SAW bahkan beliau masih terus hidup hingga hari Kiamat. Daripada dakwaan itu muncullah mitos dan dongeng bahawa Khidir pernah bertemu si fulan, pernah memberikan sesuatu luar biasa kepada si anu, mengikat janji dengan si anu dan dongeng lain yang sama sekali tidak ada keterangan daripada Allah SWT.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam fatwanya: “Tidak ada satu pun dalil yang menunjukkan bahawa Khidir masih hidup atau maujud seperti dakwaan orang itu, bahkan sebaliknya terdapat dalil al-Quran dan as-Sunnah, logik dan ijmak muhaqqiq bahawa Khidir sudah tidak ada.”

Memetik kitab al-Manarul Munif fil Hadisis Sahih wadh Dhaif karya Ibn Qayyim menyebut ciri hadis maudhuk (lemah) yang tidak boleh diterima dalam menetapkan suatu urusan ad-Din. Termasuk dalam kategori hadis maudhuk itu ialah hadis membicarakan Khidir dan kehidupannya.

Tiada hadis sahih

Semuanya adalah dusta dan tidak ada satu pun hadis sahih menceritakan kehidupannya. Antaranya ialah hadis yang menyebutkan Rasulullah SAW pernah berada dalam masjid, lalu Baginda mendengar suara dari belakang, kemudian orang melihatnya maka ternyata dia adalah Khidir.

Begitu juga hadis mengatakan Khidir bertemu Ilyas setiap tahun. Hadis mengatakan malaikat Jibril dan Mikail berkumpul bersama Khidir di Arafah.
Ibrahim al-Harbi pernah ditanya mengenai umur Khidir yang dikatakan masih hidup hingga sekarang. Ibrahim menjawab: “Tidak ada yang menyampaikan hal ini kepada orang ramai kecuali syaitan.”

Imam al-Bukhari pernah ditanya apakah Khidir dan Ilyas masih hidup? Beliau menjawab: “Bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan Nabi SAW pernah bersabda: “Tidak akan ada seorang pun yang masih hidup pada penghujung seratus tahun lagi di antara orang yang hidup di muka bumi pada hari ini.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perang Badar

Selain Imam al-Bukhari, banyak lagi imam lain yang ditanya mengenai masalah ini, lalu mereka menjawab dengan mengemukakan dalil al-Quran: “Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jika kamu mati, apakah mereka akan kekal?” (Surah al-Anbiya’, ayat 34)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah pernah ditanya mengenai masalah ini, lalu beliau menjawab: “Seandainya Khidir masih hidup, maka wajib baginya untuk mendatangi Nabi SAW dan berjuang bersama Baginda serta belajar daripada Baginda. Sebab, Nabi SAW pernah bermunajat pada waktu perang Badar: Ya Allah jika Engkau binasakan golongan (Islam) ini, nescaya Engkau tidak lagi disembah di muka bumi.”

Jumlah pasukan Islam pada waktu itu sebanyak 313 orang. Nama mereka sudah sangat dikenali, begitu juga nama bapa mereka serta kabilah mereka. Namun, tidak ada satu pun antara mereka yang bernama Khidir.

2 Jenis Takdir

Takdir mengikut pandangan ulama’Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah;

Taqdir Mubram: Iaitu takdir yang muktamad dan ia tertulis di Lauh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada takdir ini. Ia adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. Contohnya: Kehidupan dan Kematian.

Taqdir Mu’allaq: Iaitu takdir yang tertulis yang boleh tetap dan boleh berubah dengan kehendak Allah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia. Mu’allaq bererti tergantung. Ia adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. Contohnya: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain, seperti dalam sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Tidak boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)

Menurut ulama Ahl as-Sunnah, doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat kepada Allah. Akan tetapi perubahan yang kita pohon itupun sudah ditetapkan melalui doa. Janganlah kita menyangka apabila berdoa, bererti meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa kita telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga telah tertulis.

Begitu juga penyakit yang merupakan taqdir Allah boleh disembuhkan melalui rawatan dan pegharapan yang bersungguh-sungguh kepada-Nya, ia juga termasuk dalam Taqdir Mu’allaq. Rasulullah SAW pernah ditanya;

“Ya Rasulallah, bagaimana pandanganmu terhadap ruqyah-ruqyah yang kami gunakan untuk jampi, ubat-ubatan yang kami gunakan untuk menyembuh penyakit, perlindungan-perlindungan yang kami gunakan untuk menghindari daripada sesuatu, apakah itu semua boleh menolak taqdir Allah? Jawab Rasulullah SAW; ‘Semua itu adalah (juga) taqdir Allah.”
(Riwayat Tirmizi)

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah ar-Ra’du : ayat 11)

Maka, apa yang tercatat dalam Taqdir Mu’allaq boleh diubah oleh Allah atas sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia dengan kehendak Allah. Namun perubahan itu tidak terkeluar daripada apa yang Allah sedia ketahui dan tulis dalam Taqdir Mubram. Dalil untuk dua jenis taqdir ini ialah firman Allah Taala, maksudnya:

“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki, dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab.” (Surah ar-Ra’d : ayat 39)

“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki),” ia merujuk kepada Taqdir Mu’allaq.

“Dan di sisi-Nya-lah terdapat Umm al-Kitab,” merujuk kepada Taqdir Mubram.

Ibnu Kathir r.hm menafsirkan “Umm al-Kitab” tersebut adalah perkara yang halal dan yang haram. (Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir)

Allah Taala telah menjadikan kepada ketentuan ini beberapa sebab yang boleh menolak dan mengangkatnya seperti berdoa, sedekah jariah, pengetahuan, perubatan, dan sebagainya. Kerana makna beriman terhadap Qada’ dan Qadar sama sekali tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Allah pemilik Zat Yang Maha Adil, tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya, barang siapa yang jujur dalam melaksanakan amal soleh pasti akan dimudahkan jalan menuju Syurga.

“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.”
(Surah al-Lail : ayat 5-7)

Firman Allah lagi, maksudnya:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh (kerana memenuhi kehendak agama Kami), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut : ayat 69)

Dengarkan pula firman Allah tentang penduduk neraka yang mereka kekal di dalamnya mengharapkan kembali ke alam dunia, Allah Maha Mengetahui apa yang akan mereka lakukan seandainya dikembalikan ke dunia di dalam surah al-An’am ayat 27 hingga 28, maksudnya;

“Dan jika kamu (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata; ‘Kiranya kalau kami dikembalikan (ke dunia) dan tentulah kami tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman (tentulah kamu melihat suatu peristiwa yang mengharukan).”

“Bahkan (sebenarnya) telah nyata bagi mereka kejahatan yang mereka dahulu selalu menyembunyikannya. Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka.”

Demikianlah ilmu Allah, tidak ada sedikitpun yang terluput daripada pengetahuan-Nya. Berdasarkan ilmu Yang Maha Sempurna itu Allah menulis segala sesuatu yang akan terjadi, yang belum terjadi dan yang sudah terjadi di Lauh Mahfuzh, 50,000 tahun sebelum Allah ciptakan langit dan bumi. Rasulullah SAW bersabda;

“Allah telah mencatatkan taqdir-taqdir sekalian makhluk-Nya 50,000 tahun sebelum diciptakan langit-langit dan bumi.”
(Riwayat Muslim)

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu.”
(Surah ar-Ra’d : ayat 11)

Apa-apa yang telah tercatat dalam Lauh Mahfuzh berlaku menurut kehendak Allah dengan penuh perincian melangkaui akal manusia, satu-persatu, tiada satupun yang terlepas daripada ilmu, kehendak dan penciptaan Allah Taala. Tiada sesuatu di alam ciptaan-Nya ini yang terjadi berlawanan dengan kehendak-Nya. Kerana Maha Luasnya pengetahuan Allah, maka tiada siapapun mampu menghitungnya secara tuntas sehingga hal ini diperhatikan oleh Imam Ja’afar as-Sodiq r.hm, sebagaimana katanya;

“Orang yang terlalu memikirkan masalah Qadar ibaratnya seperti orang memandang terik mentari, semakin kuat ia melihat semakin bertambah ia merasa hairan.”
(Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih, Ibn ‘Abd al-Barr)

Oleh sebab manusia tidak mengetahui Qada’ dan Qadar-nya, maka manusia perlu kepada usaha dan doa tanpa berputus asa. Ambillah pengajaran tentang kesilapan masa lalu, agar kita tidak mengulanginya pada masa kini. Usah menyalahkan taqdir kerana semuanya itu mengandungi rahsia Allah yang tiada siapapun mampu merungkainya. Batasan tersebut diingatkan Rasulullah SAW kepada umatnya:

“Jika ada yang menyebut perkara takdir, maka hentikanlah mereka (membahas takdir).” (Riwayat at-Tabarani)

Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan inayah-Nya kepada kita.

http://www.tarbawi.my

3 Perkara merealisasi iman kepada Qada’ dan Qadar

Keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah memerlukan seseorang melaksanakan tiga perkara;

Pertama: Hendaklah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan baginya untuk mendapat kesenangan dan menjauhkannya daripada kesusahan dan segala larangan-Nya di samping bertawakkal kepada Allah dan meminta perlindungan daripada-Nya, maka jadilah ia sentiasa bergantung dengan Allah untuk mendapatkan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan.

Firman Allah, maksudnya:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (surah al-Baqarah : ayat 186)

Kedua: Hendaklah berusaha mencapai tujuan akhirat sebagaimana usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan dunia. Adalah sangat menghairankan jika dalam urusan akhirat segala amal usaha ditinggalkan sementara dalam urusan dunia masing-masing sedar bahawa hanya beristirehat tanpa usaha dan perancangan adalah salah satu bentuk amalan menuju pengangguran dan kemiskinan.

Sabda Nabi SAW, maksudnya:

“Hendaklah kamu melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, dan mintalah pertolongan kepada Allah, jangan kamu mudah berasa lemah (malas). Sekiranya musibah menimpa kamu maka janganlah kamu berkata; ‘Kalaulah dulu aku lakukan begitu tentu ia akan jadi begini’, tetapi katakanlah, ‘Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya’. Lantaran kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka peluang kepada syaitan.”
(Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW membimbing umatnya untuk bersemangat menempuh usaha yang bermanfaat dalam urusan dunia dan juga akhirat. Perintah Rasulullah SAW kepada umatnya untuk berusaha itu, baginda gabungkan dengan iman kepada taqdir, ini menunjukkan bahawa beriman kepada taqdir tidak menafikan keperluan strategi dan usaha untuk mencapai sesuatu hajat.

Ketiga: Hendaklah bersabar di atas perkara yang telah ditentukan ke atasnya dan tidak meratap atau menyesal, setelah dia mengetahui bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah maka dia redha dan berserah diri. Dia seharusnya mengetahui bahawa dia tidak mungkin terlepas daripada perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad); Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
(Surah Taubah : ayat 51)

Ketika kekhalifahan Umar al-Khattab RA, beliau telah bermusafir bersama beberapa orang sahabat dari Madinah ke tanah Syam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 Hijrah, iaitu perjalanan Umar adalah untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenurnya. Setelah beberapa hari menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah dilanda wabak ta’un ‘Amwas. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para sahabat di dalam jemaah rombongan itu dan masing-masing sepakat memutuskan untuk kembali ke Madinah.

Abu Ubaidah RA yang ketika itu menjadi gabenur di Syam berkata mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab RA, “Wahai Amiral Mukminin, mengapa kamu lari daripada takdir Tuhan?”

Umar RA lantas menjawab, “Ya, aku lari daripada takdir Allah kepada takdir yang lain. Apa pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan takdir Allah? Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus, bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?”

Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata, maksudnya;

“Sesungguhnya dalam masalah ini aku memiliki ilmunya, aku telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda; ((Jika engkau mendengar wabak taun di sebuah negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan seandainya wabak taun terjadi di negeri yang engkau tinggal di dalamnya janganlah engkau meninggalkan negerimu kerana lari daripada taun).”
(Riwayat Muslim)

Menurut sejarah, taun ‘Amwas yang berlaku pada zaman kekhalifahan Umar telah mengorbankan sekitar 25’000 – 30,000 kaum Muslimin. Di antara mereka yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah Abu Ubaidah ‘Amir bin Al-Jarrah RA, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang mendapat jaminan syurga Allah Taala.