Suami terlampau berkira


Suriany Awaludin

 

SUAMI saya seorang yang sangat berkira. Dia tidak boleh lihat saya dapat lebih sedikit daripadanya.

Contohnya, pada akhir tahun, saya dapat bonus daripada syarikat. Sekiranya dia mendapat tahu saya mendapat bonus, dia akan minta sedikit wang itu untuk kegunaannya.

Padahal dia pun turut dapat bonus daripada syarikatnya. Begitu juga dengan perbelanjaan lain untuk keluarga, dia kerap kali minta saya bayar separuh seperti bayaran rumah, bil, upah pengasuh dan yuran sekolah anak.

Suami sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah buat keluarga manakala isteri hanya sekadar membantu.

Bukan tidak mahu bersama-sama mengurangkan bebanan keluarga, tetapi saya kecewa dan tertekan dengan sikapnya yang terlalu berkira.

Adakah tindakan suami itu dikira tidak melunaskan tanggungjawabnya memberi nafkah? Seandainya seorang isteri tidak reda, adakah suami itu dianggap berdosa?

Nita

Wangsa Maju

Dalam institusi rumah tangga, suami atau isteri mempunyai bidang tugas masing-masing. Isteri tidak dipertanggungjawabkan mengambil tugas suami dalam mencari nafkah.

Begitu juga suami tidak terlepas tanggungjawabnya menyediakan nafkah buat isteri dan anak walaupun isterinya turut bekerja.

Cuma nafkah yang wajib disediakan suami itu berdasarkan kemampuannya serta bersesuaian dengan keperluan isteri dan anak.

Nafkah itu termasuk menyediakan tempat tinggal, makan minum, pakaian, kebajikan, kesihatan dan keselamatan seluruh ahli keluarganya.

Asas kepada kadar kemampuan itu disebutkan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak meletakkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” (Surah at-Talaq, ayat 7)

Dalam konteks undang-undang keluarga Islam di Malaysia, diperuntukkan kewajipan menanggung nafkah di bawah Seksyen 59 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 iaitu:

l Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Seksyen 72 (1) akta sama iaitu:

l Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandangkan kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

Terdapat hadis yang menjelaskan betapa pentingnya seorang suami mengetahui tanggungjawab dan hak isterinya.

Antaranya, hadis daripada Hakim bin Muawiyah, daripada ayahnya Muawiyah bin Haidah, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami? Sabda Rasulullah SAW: “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)

Walau bagaimanapun, disebabkan maksud nafkah itu tidak mutlak kerana bergantung kepada keadaan dan kemampuan suami, maka wujud dalam masyarakat Islam suami terlalu berkira dan kedekut.

Ia bukan wujud pada zaman kini sahaja, malah sejak zaman Nabi SAW lagi. Satu kisah yang masyhur mengenai isu itu seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan mengenai Hindun binti ‘Utbah.

Hindun binti ‘Utbah adalah isteri Abu Sufyan. Beliau datang menemui Rasulullah SAW untuk mengadu perihal suaminya: “Sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ambillah daripada hartanya dengan cara baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menjelaskan keharusan seorang isteri mengambil duit sekadar perlu untuk keperluan diri dan anak jika suami tidak memberikan nafkah yang sepatutnya.

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis itu menyatakan, antara faedah yang boleh diambil daripada hadis berkenaan ialah sesiapa yang ada hak sepatutnya diberikan kepadanya dalam keadaan suami tidak memberikan haknya (iaitu nafkah), maka harus bagi isteri mengambil sekadar keperluan tanpa izin suaminya. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim – 6/141)

Merujuk kepada masa-lah puan, suami seorang yang berkira dan mahukan isteri turut sama menanggung setiap perbelanjaan keluarga.

Jelas, perbelanjaan yang ditanggung bersama oleh isteri adalah tugas atau tanggungjawab suami dan ia bukannya tugas isteri.

Walaupun isteri bekerja, tanggungjawab nafkah ke atas isteri tetap tidak terlepas.

Dalam situasi suami memerlukan bantuan isteri, dia perlu meminta keredaan isteri terlebih dahulu atau ia menjadi hutang buat suami.

Kegagalan suami menanggung nafkah akan menjadi bebanan dosa ke atas dirinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: