UKE: Memperlahankan bacaan al-Fatihah adalah harus tetapi syarat ia perlu didengari oleh telinga anda sendiri. Bukannya anda tidak membaca Basmalah. Yang tidak bolehnya anda tidak membaca Basmalah langsung. Kalau diperlahankan bacaannya sekalipun pastikan telinga sendiri mendengarnya. Anda masih membaca Basmalah dan bukan menghilangkan Basmalah terus. Cuma saya hairan mengapa perlu membaca Basmalah secara sir (perlahan) ketika didirikan solat yang jahr (bacaan kuat)? Adakah anda takut digelar sebagai pengikut Mazhab Syafie atau menganggap Mazhab Syafie tidak betul? Semua mazhab yang empat adalah betul. Yang tidak betul ialah yang menganggap dia sahaja yang betul dan orang lain tidak betul.

Apabila kita belajar mengikut amalan Mazhab Syafie maka teruskan amalan dengan mazhab ini. Jangan ambil setengah atau separuh. Yang mana mudah kita ambil manakala yang susah kita amalkan pula mazhab lain tanpa mendalaminya.

Seperkara lagi bacaan Basmalah secara perlahan itu mestilah diqasadkan bahawa Basmalah itu adalah sebahagian daripada surah al-Fatihah dan jangan anda menganggap Basmalah itu cuma bacaan sunat pulak.

Dalam Mazhab Syafie, Basmalah itu termasuk tujuh ayat dalam surah al-Fatihah. Oleh itu tidak sah solat jika salah satu ayat dalam surah tersebut tidak dibaca. Namun bacaan Basmalah ini adalah masalah khilaf dalam kalangan para ulama mazhab. Ada yang meletakkannya sebagai sunat dan ada yang meletakkannya sebagai wajib.

Apa pun kita yang bermazhab Syafie maka berpeganglah kepada Mazhab Syafie tanpa menidakkan mazhab-mazhab lain kerana mazhab yang lain juga tidak menidakkan Mazhab Syafie. Yang pasti, ulama-ulama mazhab boleh bersolat sesama mereka tanpa bergaduh.