UKE: Berkali-kali saya sebut tentang perkara ini dalam ceramah-ceramah saya. Agaknya si suami ini tidak pernah dengar ceramah saya. Jika Rasulullah SAW melakukan kerja-kerja rumah dan membantu isteri-isteri baginda, maka mengapa si suami tidak mahu membantu isterinya?

Isteri sudah melakukan pelbagai kerja. Macam-macam tugas yang dibuat. Apalah salahnya suami bantu mana-mana yang patut untuk meringankan beban isteri.

Allah berfirman dalam surah an-Nisa ayat 19 bermaksud:“Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata, dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Lelaki yang terbaik ialah yang paling baik kepada isterinya. Bagi si isteri, anda suruh sahaja si suami membantu membuat kerja-kerja rumah. Jangan asyik main handphone.