Archive for 18 September 2019

Hukum makan daging arnab

Dr Mohd Izhar Arif

 

Saya ada dengar orang Islam tidak boleh makan arnab sebab ia seperti kucing. Betulkah begitu ustaz?

Pandangan yang anda dengar itu adalah tidak benar sama sekali kerana ulama dalam menentukan hukum memakan daging arnab hanya terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama, kebanyakan ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menghalalkan umat Islam memakan daging arnab. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik yang berkata: “Suatu hari, kami berada di satu tempat dan terserempak dengan seekor arnab. Sebahagian daripada kami telah mengejarnya hingga dapat. Lantas aku mengambil haiwan itu dan membawanya kepada Talhah. Talhah telah menyembelih haiwan itu dan menghantar bahagian pehanya kepada Baginda Nabi SAW. Nabi SAW menerima pemberian itu tanpa berkata apa-apa.” (Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa daging arnab halal dimakan kerana Nabi SAW tidak menegah sahabat ketika mereka menghadiahkan bahagian peha haiwan itu kepada Baginda. Jika ia haram dalam Islam, nescaya Baginda Nabi SAW akan terus menegah mereka dari terus memakannya.

Secara pastinya al-Quran akan pantas turun kepada Baginda sebagai peringatan. Namun, hal itu tidak berlaku. Maka hukum memakan daging arnab adalah halal tanpa perlu dipertikaikan lagi.

Pandangan kedua, Abdullah bin Amru berpendapat hukum memakan daging arnab adalah makruh kerana Nabi SAW sendiri tidak memakannya. Ia dapat dibuktikan menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Khuzaimah ibn Juz: “Suatu hari aku bertanya kepada Nabi SAW, apakah pandangan kamu berhubung arnab? Jawab Baginda Nabi SAW: Aku tidak makan dan tidak pula aku mengharamkannya.” (Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan dua pandangan itu, maka pandangan pertama adalah lebih tepat berdasarkan hadis sahih yang menunjukkan tiada sebarang larangan untuk memakan daging arnab. Kaedah fikah juga secara jelas menyebut: “Asal pada setiap perkara itu adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang mengharamkannya.”