Tulisan Jawi bukti kebijaksanaan ulama


Oleh Siti Haliza Yusop

 

Kemunculan tulisan Jawi yang memiliki disiplin ilmu dan sistem bahasa, tatabahasa serta nahu tersendiri membuktikan kebijaksanaan ulama terdahulu dalam menangani kemasukan istilah Arab ke bahasa Melayu.

Pengerusi Kafilah Buku dan Akademi Jawi Malaysia, Muhammad Syukri Rosli, berkata ulama pada waktu itu terpaksa mencipta lima huruf baharu, pa, cha, ga, nya dan nga untuk menyesuaikannya dengan sebutan tempatan ketika proses Islamisasi.

Muhammad Syukri berkata, ia membabitkan proses peralihan dan penciptaan melalui penggabungan beberapa huruf asal hijaiyah.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan berikutan beberapa sebutan dalam bahasa Melayu tidak dimiliki dalam bahasa Arab.

“Proses itu turut membabitkan ilmu tajwid kerana dalam disiplin ilmu berkenaan terkandung makhraj yang menentukan tempat keluar bunyi berasaskan huruf berkenaan.

“Huruf cha misalnya dibentuk daripada gabungan dua huruf hijaiyah, iaitu jim sebagai asas dan ta sebagai tambahan.

“Titik tiga pada huruf cha pula diperoleh daripada jumlah titik bagi kedua-dua huruf jim dan ta yang masing-masing mempunyai satu dan dua titik,” katanya pada Wacana Jawi dan Pameran Pustaka Jawi @ Akademi Jawi Malaysia di sini.

Empat lagi huruf baharu yang dicipta daripada huruf hijaiyah ialah pa hasil gabungan huruf fa dan ba; ga (kaf/jim); nya (nun/ya) serta nga (ghayn/nun/ga).

Muhammad Syukri berkata, penggunaan tulisan Jawi daripada huruf hijaiyah berlaku disebabkan Islamisasi di Tanah Melayu dan tempiasnya tidak hanya melanda bangsa Jawi saja, iaitu gelaran dalam bahasa Arab kepada orang yang datang dari wilayah Asia Tenggara.

Masyarakat Tamil menurut Muhammad Syukri, turut mempunyai bahasa Arwi yang dipengaruhi huruf Arab begitu juga dengan Cina yang memiliki Xiao Er Jing untuk bangsa Han.

“Afrika juga mempunyai bahasa Ajami, ia bukan sebahagian daripada bahasa Arab, tetapi ditulis dalam bahasa Arab.

“Kesan Islamisasi menyebabkan kebanyakan bahasa utama di dunia yang pernah menerima Islam turut menggunakan bahasa Arab dan bukan hanya membabitkan bangsa Jawi,” katanya.

Menurut Muhammad Syukri, Islamisasi bukan saja menyebabkan berlaku pengambilan perkataan Arab, bahkan membolehkan pengubahan bahasa dalam bahasa setempat, kemudian menjadikannya sebagai binaan baharu.

Beliau memberi contoh lafaz al-Ahad dalam al-Quran termasuk surah al-Ikhlas diterjemah sebagai Esa kerana sifat perkataan itu yang tiada perbandingannya.

Allah Yang Maha Esa katanya, tidak boleh diterjemahkan sebagai Allah Yang Satu kerana perkataan satu mempunyai kesinambungan dan boleh diikuti dengan angka dua, tiga dan seterusnya.

“Begitu juga dengan perkataan tunggal yang tidak boleh digunakan kerana mempunyai perkataan berlawanan menyebabkan ia tidak dipilih ulama untuk menterjemahkan maksud al-Ahad.

“Esa pula bermaksud yang satu, satunya satu dan ia akhirnya digunakan bagi menterjemahkan maksud itu.

“Perubahan ini menunjukkan selepas Islam datang, ia tidak menjadikan orang Melayu sebagai Arab tetapi mengisi perkataan yang tiada dalam bahasa ini dan kemudian mengangkatnya,” katanya.

Menurut Muhamad Syukri, tulisan Jawi atau lebih tepat lagi bahasa Jawi perlu sentiasa dipertahankan kerana ia sebahagian daripada kalimah ulama.

“Bahasa Jawi memiliki sistem ilmunya tersendiri. Ia melalui pelbagai proses membina huruf, malah memiliki kitab nahu bahasa Jawinya tersendiri,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: