Archive for September 2019

Tidak boleh ambil al-Quran yang diwakaf

Oleh Zainal Abidin Sulaiman

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj, ayat 27)

Daripada Zaid bin Sabit, Rasulullah SAW bersabda: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu yang hanya sekali saja (bagi seseorang Islam yang cukup syarat) bolehlah engkau kerjakan mana satu dulu (sama ada haji ataupun umrah).”

Apabila dapat ‘jemputan’ ke Tanah Suci, sewajarnya kita mengambil peluang untuk menunaikan ibadat sebaik mungkin. Bukan senang untuk dapat peluang kerana bagi menunaikan haji, memerlukan belanja kira-kira RM10,000 dan belanja umrah pula minimum RM5,000.

Beribadat di Tanah Suci mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda seperti membuat tawaf sunat, bersolat dan membaca al-Quran. Bagaimanapun, tawaf sunat amat digalakkan kerana ibadat lain boleh dilakukan di mana-mana sedangkan tawaf hanya boleh dibuat di Baitullah. Segala doa boleh dimohon ketika bertawaf.

Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. Enam puluh rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah.”

Kebiasaan kita lihat, selain ibadat tawaf, ramai jemaah membaca al-Quran sementara menunggu masuk waktu solat fardu atau selepas solat. Ada yang rajin sehingga khatam 30 juzuk.

Sambil membaca al-Quran dan atau duduk-duduk saja, kita akan melihat petugas dalam masjid menyusun kemas kitab suci al-Quran yang diletakkan oleh jemaah secara tidak sempurna setelah membacanya.

Dalam pada itu, kita boleh melihat petugas masjid menarik keluar beberapa naskhah al-Quran daripada rak dan terus dibawa keluar dari masjid. Kenapa mereka berbuat demikian sedangkan kebanyakan kitab suci itu diwakafkan oleh jemaah yang datang ke masjid berkenaan?

Penulis ajukan soalan itu kepada sahabat yang hampir setiap tahun bertugas di Tanah Suci, Ahmad Shukri Mohamad Amin, yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pengurus Bimbingan, Tabung Haji Travel.

Beliau memaklumkan, naskhah al-Quran yang ditarik keluar itu tidak diluluskan oleh pihak berkuasa masjid. Mereka hanya membenarkan naskhah al-Quran yang dicetak di percetakan dan mendapat kelulusan Arab Saudi saja yang diwakafkan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Ahmad Shukri difahamkan, naskhah al-Quran yang tiada cop wakaf itu akan dihantar ke masjid lain atau dihantar ke luar negara.

Oleh itu, jemaah dinasihatkan untuk mewakafkan al-Quran yang ada kelulusan di kedai kitab berhampiran masjid atau meminta bantuan mutawif jika tidak yakin kitab al-Quran yang ada kelulusan untuk diwakafkan.

Biasanya naskhah al-Quran yang murah, berharga kira-kira 20 riyal tiada kelulusan dan kebanyakan dijual peniaga jalanan. Naskhah yang boleh diwakafkan berharga 50 riyal atau 60 riyal.

Penulis sendiri pernah terbeli naskhah berkenaan dan diberitahu yang naskhah berkenaan tidak bertahan dalam masjid sebaliknya akan ditarik keluar oleh petugas masjid.

Ramai jemaah mewakafkan al-Quran untuk dibaca jemaah lain yang mengunjungi masjid dengan berniat jika diberi pahala, ia akan disedekahkan kepada arwah ibu bapa, datuk nenek dan seseorang yang disayangi.

Di sebalik amalan mewakaf al-Quran, ada pula cerita segelintir jemaah yang tidak faham maksud wakaf. Mereka mengandaikan oleh kerana al-Quran itu diwakafkan, maka sesiapa saja boleh membawa pulang al-Quran wakaf.

Dalam kejadian dua tahun lalu, ada jemaah umrah kita ketika di Madinah, telah mengambil al-Quran wakaf daripada Masjid Nabawi. Dia beranggapan itu boleh diambil. Jemaah berkenaan telah membawa naskhah al-Quran itu ke Makkah dan seterusnya untuk dibawa balik ke tanah air.

Kejadian itu dimaklumi jemaah lain dan mutawif menasihatkan beliau supaya memulangkan kembali al-Quran berkenaan. Kebetulan, penulis sudah selesai menunaikan ibadat umrah dan akan berangkat ke Madinah pula.

Ketua rombongan umrah meminta bantuan penulis untuk membawa naskhah al-Quran berkenaan yang kebetulan bersaiz besar ke Madinah. Tiba di Madinah penulis meletakkan semula naskhah al-Quran berkenaan di Majid Nabawi.

Jemaah yang ingin berbuat sesuatu yang ia tidak pasti boleh atau tidak seperti membawa balik batu dari tanah haram, mengambil al-Quran wakaf, sebaiknya bertanya kepada yang lebih arif seperti guru agama dan mutawif.

Hukum makan daging landak

Oleh Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

 

Apakah pandangan Islam berhubung hukum memakan landak?

Landak antara haiwan yang dihalalkan makan oleh ulama mazhab Syafie dan mazhab Maliki berdasarkan dalil firman Allah SWT dalam surah alAn’am, ayat 145 yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ayat itu secara umum menghalalkan semua haiwan kecuali yang terkandung dalam larangan ayat. Secara jelasnya juga, landak tidak termasuk dalam sifat yang tersebut dalam ayat itu. Landak tidak termasuk dalam golongan haiwan bertaring atau berkuku tajam yang bersifat pemangsa. Tidak terdapat dalil khusus sama ada daripada al-Quran dan al-Sunah yang mengharamkan landak. Kaedah fikah menegaskan: “Asal pada setiap makanan adalah halal sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.”

Hukum memukul dan mengasi kucing

Oleh Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

 

SOALAN: Saya ada membela kucing di rumah. Bolehkah saya memukulnya bagi tujuan mendidik. Sementara itu, bolehkah mengasi haiwan supaya tidak membiak hingga mengganggu jiran.

JAWAPAN: Memukul haiwan peliharaan atau haiwan ternakan sebagai langkah mendidiknya adalah dibenarkan. Namun, pukulan itu mestilah tidak menyebabkan ia luka atau mati. Jika pukulan menyebabkan haiwan berkenaan mati atau tercedera, maka hukum berbuat demikian adalah haram dan berdosa.

Buktinya ialah sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya seorang perempuan telah dimasukkan ke dalam api neraka kerana seekor kucing yang telah diikatnya tanpa memberinya peluang untuk mencari makanan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Secara dasarnya, memudaratkan semua jenis haiwan sama ada yang diternak atau dipelihara di rumah dengan perbuatan tertentu tanpa sebarang keperluan adalah haram. Perlu diketahui perbuatan mengasi haiwan terbahagi kepada dua keadaan.

Pertama, mengasi haiwan ternakan yang halal dimakan dagingnya, kedua ialah mengasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya. Mazhab Hanafi, Maliki, Shafi’e dan Hambali bersepakat mengharuskan perbuatan itu terhadap haiwan ternakan yang boleh dimakan dagingnya seperti kambing, lembu, kerbau dan sebagainya.

Hujah kepada pandangan ini ialah hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah bahawa Nabi SAW pernah mengorbankan tiga ekor kibash besar yang telah dikasi. Namun, fuqaha saling berbeza pendapat berhubung hukum mengkasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya.

Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali berpendapat mengasi haiwan peliharaan seperti kucing adalah makruh. Jika tiada sebarang keperluan untuk berbuat demikian, maka adalah lebih baik (afdal) perbuatan itu tidak dilakukan.

Mazhab Shafi’e pula mengharamkan perbuatan mengasi semua jenis haiwan peliharaan. Hujah Mazhab Shafie ialah hadis Ibn Umar yang mengatakan bahawa Nabi SAW melarang daripada perbuatan mengasi kuda. (Hadis ini disahkan sanadnya sebagai daif).

Hukum makan haiwan jalalah

Oleh Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

 

Bolehkah orang Islam di luar negara mengorbankan lembu atau kambing yang telah memakan najis.

Haiwan yang tabiatnya suka memakan najis atau diberi makan najis secara berkala adalah dikategorikan sebagai haiwan jalalah. Haiwan jalalah mempunyai hukum tersendiri kerana anggota haiwan terbabit telah dicemari dengan najis yang dimakannya itu.

Hukum memakan daging haiwan berkenaan adalah makruh sejajar sabda Nabi SAW: “Nabi Muhammad SAW melarang daripada menunggang unta jalalah (yang telah memakan najis) dan meminum susunya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya daripada meminum susu dan menunggang haiwan ternakan yang telah memakan najis. Walau bagaimanapun, ulama telah mengklasifikasikan larangan itu sebagai makruh dan bukan menunjukkan kepada haram.

Sehubungan itu, hukum memakan dagingnya juga adalah termasuk dalam larangan Nabi apatah lagi untuk diberi makan kepada umat Islam yang lain.

Justeru, bagi menyelesaikan permasalahan ini, mazhab Hanafi dan sebahagian fuqaha daripada mazhab Shafi’i seperti al-Nawawi, al-Mawardi serta al-Bujayrimi menyarankan haiwan jalalah dikurung terlebih dahulu sebelum disembelih untuk korban atau dimakan.

Tujuan haiwan itu dikurung adalah untuk memastikan supaya kesan najis seperti bau, rasa dan warna yang terdapat padanya hilang sepenuhnya. Secara umumnya tempoh kurungan yang disarankan terhadap kesemua haiwan jalalah ialah 48 jam atau dua hari dua malam.

Namun, jika kesan najis hasil daripada pemakanannya itu masih wujud pada anggota luaran dan dalamannya, maka tempoh kurungan perlu diteruskan sehingga melepasi tempoh 40 hari untuk unta, 30 hari (lembu), tujuh hari (kambing) dan tiga hari (ayam) seperti dinyatakan Ibn Umar.

Hukum makan daging arnab

Dr Mohd Izhar Arif

 

Saya ada dengar orang Islam tidak boleh makan arnab sebab ia seperti kucing. Betulkah begitu ustaz?

Pandangan yang anda dengar itu adalah tidak benar sama sekali kerana ulama dalam menentukan hukum memakan daging arnab hanya terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama, kebanyakan ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menghalalkan umat Islam memakan daging arnab. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik yang berkata: “Suatu hari, kami berada di satu tempat dan terserempak dengan seekor arnab. Sebahagian daripada kami telah mengejarnya hingga dapat. Lantas aku mengambil haiwan itu dan membawanya kepada Talhah. Talhah telah menyembelih haiwan itu dan menghantar bahagian pehanya kepada Baginda Nabi SAW. Nabi SAW menerima pemberian itu tanpa berkata apa-apa.” (Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa daging arnab halal dimakan kerana Nabi SAW tidak menegah sahabat ketika mereka menghadiahkan bahagian peha haiwan itu kepada Baginda. Jika ia haram dalam Islam, nescaya Baginda Nabi SAW akan terus menegah mereka dari terus memakannya.

Secara pastinya al-Quran akan pantas turun kepada Baginda sebagai peringatan. Namun, hal itu tidak berlaku. Maka hukum memakan daging arnab adalah halal tanpa perlu dipertikaikan lagi.

Pandangan kedua, Abdullah bin Amru berpendapat hukum memakan daging arnab adalah makruh kerana Nabi SAW sendiri tidak memakannya. Ia dapat dibuktikan menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Khuzaimah ibn Juz: “Suatu hari aku bertanya kepada Nabi SAW, apakah pandangan kamu berhubung arnab? Jawab Baginda Nabi SAW: Aku tidak makan dan tidak pula aku mengharamkannya.” (Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan dua pandangan itu, maka pandangan pertama adalah lebih tepat berdasarkan hadis sahih yang menunjukkan tiada sebarang larangan untuk memakan daging arnab. Kaedah fikah juga secara jelas menyebut: “Asal pada setiap perkara itu adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang mengharamkannya.”

Hukum makan telur ular.

Dr Mohd Izhar Arif

 

JAWAPAN! Al-Imam Jamaluddin Muhammad bin Abd Rahman al-Ahdal berpendapat segala jenis telur binatang (sama ada binatang itu jenis yang halal dimakan atau tidak) adalah halal dimakan. Tetapi jika telur itu beracun seperti telur ular, maka hukum memakannya adalah haram kerana boleh membahayakan nyawa manusia.

Perkara ini turut dijelaskan oleh al-Imam Qalyubi bahawa telur ular haram dimakan kerana ia akan membawa kerosakan kepada diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).”

Secara muktamadnya, ulama mazhab al-Syafie kebanyakannya mengharuskan hukum memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya selagi ia tidak memudaratkan manusia.

Al-Imam al-Suyuti berkata dalam bukunya al-Asybah Wal Nazair: “Tiada bagi kami (Shafi’iyyah) telur yang haram dimakan. Namun, sesetengah daripada kami telah mengecualikan telur ular dan telur serangga kerana dikhuatiri ia mendatangkan kemudaratan.”

Hukum itu agak berbeza dengan pandangan mazhab Hanbali, mazhab itu dengan tegas mengatakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya adalah haram dimakan kerana telur adalah salah satu juzuk daripada haiwan terbabit.

Seandainya haiwan itu tidak boleh dimakan, maka manamana bahagian haiwan itu juga haram dimakan. Perkara ini dikuatkan dengan kaedah ‘al-Taabi tabi’ yang bermaksud, sesuatu yang mengikut sesuatu, mestilah mengikut pada hukumnya.

Ciri makanan halal

Dr Mohd Izhar Arif

 

SOALAN: Boleh ustaz jelaskan apakah ciri makanan yang dihalalkan oleh Islam.

JAWAPAN: Makanan halal adalah makanan yang baik dari segi rupa, bau dan zatnya (substance), mempunyai unsur diperlukan oleh jasmani serta baik dari segi jasmani dan kejiwaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan barang baik yang telah dihalalkan Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah olehmu apa yang telah dikurniakan kepadamu oleh Allah, yang halal lagi baik. Dan bertakwalah kepada Allah, hanya kepada-Nyalah kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 87-88)

Pada prinsipnya, segala perkara yang dihalalkan Islam adalah benda yang baik, bersih dan memberi manfaat kepada manusia. Sebaliknya, sesuatu yang kotor, najis dan membahayakan kesihatan baik dari segi tubuh badan mahupun akal fikiran adalah diharamkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang yang mengikut rasul (Nabi Muhammad SAW) nabi yang ummi (tidak tahu menulis dan membaca) yang mereka dapati tercatat (namanya dan sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka daripada melakukan yang mungkar serta menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk.” (Surah al-A’raf, ayat 157)