UKE: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh itu, jika dia bertakbir maka kamu pun ikut bertakbir dan jika dia rukuk maka kamu pun ikut ruku dan jika dia bangkit (daripada rukuk) maka kamu pun bangkit dan jika dia membaca:”Sami’Allahu li man Hamidah”maka kamu pun baca:“Rabbana wa lak al-Hamd” dan jika dia sujud maka kamu pun sujud.”-Riwayat al-Bukhari.

Maka janganlah makmum mendahului atau tidak mengikuti pergerakan imam kerana apabila berlaku beberapa keadaan maka solat itu boleh terbatal.

Dalam bab makmum ketinggalan bersama imam maka hendaklah dilihat mengapa makmum itu ketinggalan pergerakan fi’li (perbuatan) bersama imam? Adakah kerana sengaja atau kerana keuzuran?

Antara sebab uzur yang diterima ialah seperti imam terlampau laju, makmum takut akan sesuatu, keadaan terlampau sesak, makmum sakit, lupa dan lain-lain yang diterima. Dalam perkara ini Imam an-Nawawi menyebut, si makmum boleh memutuskan solat dirinya bersama imam (mufaraqah) atau yang terpilih menurutnya adalah solat tidak batal dan boleh terus sahaja bersama imam (dengan menuruti tertib solat yang asal) dan menggantikan rakaat selepas imam tamat solat. (Rawdah at-Tolibin, hlm 166)

  • Makmum yang lambat mengikut imam pada satu rukun fi‘li sama ada rukun fi‘li itu panjang atau pendek dengan sengaja atau disebabkan keuzuran, tidaklah membatalkan sembahyang kerana ketinggalan yang sedikit.
  • Makmum yang lambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang ataupun pendek dengan sengaja iaitu bukan disebabkan keuzuran yang dinyatakan di atas adalah membatalkan sembahyang kerana terlalu banyak ketinggalan.

Makmum muwafik (mengikut imam pada waktu kadar dia sempat membaca fatihah) yang dikira uzur hendaklah menyempurnakan bacaan fatihahnya tetapi tidak boleh ketinggalan dengan imam melebihi tiga rukun panjang (rukun perbuatan) sebagai syarat mendapat rakaat.

  • Jika makmum tiada uzur yang dimaafkan maka tidaklah boleh dia ketinggalan dua rukun fi’li bersama imam.
  • Jika ada keuzuran yang dibenarkan maka janganlah sampai ketinggalan tiga rukun fi’li yang panjang. Jika makmum terlambat juga sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang, maka hendaklah dia terus mengikut perbuatan sembahyang imam dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu.