Archive for 12 Ogos 2019

Hukum Agih daging korban kepada bukan Islam

Ibadah korban ini cukup besar pahalanya dan merupakan salah satu sunat muakkad iaitu sunat yang amat digalakkan bagi umat Islam.

Mudah-mudahan dengan melaksanakan ibadat ini, dapat membersihkan jiwa kita dan dapat kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Seperti yang kita ketahui, hukum korban menetapkan sebahagian besar daripada daging yang kita korbankan adalah untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan, yang termasuk di dalam golongan asnaf.

Namun sejak kebelakangan ini, satu persoalan yang sering timbul menjelang kedatangan hari yang penuh barakah ini ialah soalan sama ada daging korban hanya boleh diberikan kepada umat Islam sahaja atau pun boleh juga diberikan kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Ramai yang menyoal apakah hukumnya jika kita agihkan daging korban kepada orang bukan Islam yang termasuk di dalam golongan yang memerlukan?

Malah tidak kurang juga yang berbahas dan memberi pelbagai pendapat mereka sendiri tentang persoalan ini, terutamanya di media sosial.

Namun dalam menentukan hukum, kita tidak boleh membuat fatwa sendiri tetapi kita mesti merujuk kepada mereka yang alim dan ditauliahkan untuk mengeluarkan fatwa, jika di Malaysia kita perlu merujuk kepada mufti-mufti negeri.

Mufti bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, Tan Sri Harussani Zakaria yang merupakan seorang mufti kanan dan sangat dihormati telah mengeluarkan kenyataan bahawa daging korban tidak harus diberi kepada orang bukan Islam kerana ibadat korban adalah perkara `ta’abbudiy’ iaitu hal ehwal ibadat bagi umat Islam.

Menurut beliau, fatwa ini dikeluarkan setelah mengambil kira pandangan yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e, pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa.

Mufti bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi pandangan yang sama seperti Tan Sri Harussani Zakaria tentang perkara ini.

Merujuk kenyataan Datuk Dr. Zulkifli di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan; untuk soalan, “Apakah hukum memberi makan orang yang bukan Islam daripada daging korban?”, jawapan yang diberi ialah, “Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan unuk mendekatkan diri kepada Allah SWT”.

Jelas kedua-dua tokoh ilmuan Islam yang sangat alim tentang hukum-hukum Islam ini berpendapat bahawa berdasarkan Mazhab Syafi’e, yang masyhur daging korban tidak dibolehkan diberi kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban ialah hal ehwal ibadat bagi umat Islam.

Perkara ini patut diambil berat oleh umat Islam di Malaysia memandangkan Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah berpandukan Mazhab Syafi’e.

Umat Islam mesti berhati-hati akan soal ini kerana ianya melibatkan soal kesempurnaan ibadah kita.