Archive for Ogos 2019

Terminum air yang mengandungi semut

USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

 

KATA orang, kita akan menjadi seorang yang pelupa jika terminum air yang mengandungi beberapa ekor semut.

Malah, kata-kata itu sudah sebati dalam diri hingga melekat di minda kebanyakan masyarakat.

Namun, sejauhmana kebenarannya tidak diketahui.

Apakah pandangan menurut perspektif Islam dan bolehkah air itu diminum?

Menjawab persoalan itu, kita perlu fahami dahulu tentang jenis binatang.

Para ulama membahagikan binatang kepada dua jenis iaitu binatang yang mempunyai darah mengalir dan yang tiada darah mengalir, seperti dinukilkan daripada kitab al-Iqna’ oleh Imam Khatib al-Syirbini dalam Mazhab Syafie.

Binatang jenis serangga seperti penyengat, lalat, semut dan selainnya mempunyai jenis darah yang tidak mengalir.

Adapun semut ialah binatang yang selalu ada di samping kita dan sukar dielakkan khususnya dalam masakan, gula dan selainnya, termasuk sebagai ummu balwa (perkara yang dimaafkan syarak dan sukar dielakkan).

Tambah Imam al-Syirbini lagi: “Jika binatang tadi masuk ke dalam air, maka ia tidak menajiskan dengan dua syarat; tidak dimasukkan dengan sengaja dan tidak merubah bau, rasa dan warna.”

Tentang persoalan makan semut akan menjadi pelupa dan selainya, tiada dalil yang jelas berkenaan perkara itu dan perlu dirujuk kepada pakar perubatan.

Hukum lunaskan hutang dengan wang haram

USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

 

APABILA sudah berhutang, kita wajib membayarnya meskipun kadangkala ia tidak dituntut si pemiutang.

Ia diperintahkan ALLAH SWT kepada hamba-Nya kerana hutang merupakan satu bentuk perjanjian antara penghutang dan pemiutang yang mesti dipatuhi.

Namun, bagaimana jika kita membayar hutang itu dengan menggunakan wang hasil daripada sumber yang haram?

Adakah ia sudah dikira membayar hutang?

Hukum asal membayar hutang ialah wajib sehingga Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai duit, lalu tidak membayar hutangnya, maka ia ialah satu kezaliman.” (Sahih al-Bukhari)

Di samping itu, ada hadis sahih lain yang menyebutkan roh orang Mukmin itu tergantung dengan sebab tidak melangsaikan hutangnya.

Imam al-Suyuthi dan al-Iraqi menyatakan, maksud tergantung itu ialah tertahan daripada mendapat manfaat atau tempat yang mulia di barzakh.

Adapun hukum membayar hutang dengan duit yang haram ialah tidak dibenarkan pada asalnya kerana wang itu tidak boleh disucikan disebabkan hukum asalnya ialah haram lizatihi (haram zatnya tersendiri) dan hutang tidak terlunas dengannya.

Sementara itu, jika pemiutang mengetahui sumber yang digunakan oleh penghutang untuk membayar hutangnya daripada sumber yang haram dan dia menerimanya, maka hukumnya juga ialah haram kerana bersubahat.

Kesimpulannya, carilah sumber yang halal untuk membayar hutang di samping memastikan juga sumber pendapat yang diredai syarak.

Berzikir kuat selepas solat

Ustaz Kazim Elias

 

Biasanya imam selepas solat akan berwirid. Adakah wiridnya perlu dibaca kuat atau perlahan memandangkan ada makmum masbuk yang masih bersolat. – JAYA, Seremban

UKE: Daripada Ibnu Abbas RA:“Sesungguhnya zikir dengan suara keras setelah selesai solat wajib, adalah biasa pada masa Rasulullah. Ibnu Abbas RA berkata lagi;“Aku segera tahu bahawa mereka telah selesai solat, jika suara mereka telah kedengaran.”-Riwayat al-Bukhari #805 dan Muslim #563.

Dalam mazhab Syafie harus dikuatkan suara untuk mengajar begitu jugak dengan pandangan ulama-ulama lain. Yang dibahaskan ialah bukan hukum berzikir selepas solat tetapi yang menjadi khilaf ialah sama ada kuat secara berjemaah atau bersendirian.

Maka tidaklah perlu bertelagah dalam hal ini. Berzikirlah, bertahmidlah, bertakbirlah selepas solat bersama-sama jemaah tetapi tidak perlulah menggunakan pembesar suara jika ada makmum yang masih bersolat. Jika mahu juga menggunakan pembesar suara maka berzikirlah dengan kadar suara sederhana asalkan tidak mengganggu orang yang bersolat.

Solat bagi terlantar sakit

Ustaz Kazim Elias

 

Seorang sahabat saya terlantar di hospital akibat pelbagai komplikasi penyakit dan pada badannya terdapat berbagai jenis alatan. Saya ingin bertanya kepada ustaz tentang kaedah atau cara terbaik untuk sahabat saya ini menunaikan solat memandangkan terdapat juga kantung kencing di katilnya.

ASRI, Kuala Pilah.

UKE: Solat itu wajib dikerjakan selagi mana ada sempurna akal walau dalam apa keadaan sekalipun seperti sakit atau ketiadaan air untuk berwuduk dan sebagainya. Bagi masalah org sakit maka solat hendaklah dikerjakan mengikut keadaan si pesakit seperti dalam keadaan duduk, berbaring atau isyarat. Sungguhpun beegitu diberikan juga beberapa rukhsah (kelonggaran) seperti keharusan untuk bertayammum.

Jika dilihat kepada soalan anda saya dapat rasakan si pesakit berada dalam keadaan sakit yang tidak membolehkannya bergerak memandangkan peralatan yang penuh pada badan dan juga kesusahan kerana menanggung najis. Maka laksanakanlah solat menghormati waktu jika keadaan yang susah begitu.

Kadar rukun boleh tertinggal daripada imam

Ustaz Kazim Elias

 

Berapakah kadar rukun perbuatan yang boleh tertinggal daripada imam sekiranya seseorang itu menjadi makmum. Sebagai contoh imam sudah sujud tetapi ada makmum yang masih belum rukuk. Adakah ini dibolehkan? – IJAM, Putrajaya

UKE: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Oleh itu, jika dia bertakbir maka kamu pun ikut bertakbir dan jika dia rukuk maka kamu pun ikut ruku dan jika dia bangkit (daripada rukuk) maka kamu pun bangkit dan jika dia membaca:”Sami’Allahu li man Hamidah”maka kamu pun baca:“Rabbana wa lak al-Hamd” dan jika dia sujud maka kamu pun sujud.”-Riwayat al-Bukhari.

Maka janganlah makmum mendahului atau tidak mengikuti pergerakan imam kerana apabila berlaku beberapa keadaan maka solat itu boleh terbatal.

Dalam bab makmum ketinggalan bersama imam maka hendaklah dilihat mengapa makmum itu ketinggalan pergerakan fi’li (perbuatan) bersama imam? Adakah kerana sengaja atau kerana keuzuran?

Antara sebab uzur yang diterima ialah seperti imam terlampau laju, makmum takut akan sesuatu, keadaan terlampau sesak, makmum sakit, lupa dan lain-lain yang diterima. Dalam perkara ini Imam an-Nawawi menyebut, si makmum boleh memutuskan solat dirinya bersama imam (mufaraqah) atau yang terpilih menurutnya adalah solat tidak batal dan boleh terus sahaja bersama imam (dengan menuruti tertib solat yang asal) dan menggantikan rakaat selepas imam tamat solat. (Rawdah at-Tolibin, hlm 166)

  • Makmum yang lambat mengikut imam pada satu rukun fi‘li sama ada rukun fi‘li itu panjang atau pendek dengan sengaja atau disebabkan keuzuran, tidaklah membatalkan sembahyang kerana ketinggalan yang sedikit.
  • Makmum yang lambat mengikut imam pada dua rukun fi‘li, sama ada rukun fi‘li yang panjang ataupun pendek dengan sengaja iaitu bukan disebabkan keuzuran yang dinyatakan di atas adalah membatalkan sembahyang kerana terlalu banyak ketinggalan.

Makmum muwafik (mengikut imam pada waktu kadar dia sempat membaca fatihah) yang dikira uzur hendaklah menyempurnakan bacaan fatihahnya tetapi tidak boleh ketinggalan dengan imam melebihi tiga rukun panjang (rukun perbuatan) sebagai syarat mendapat rakaat.

  • Jika makmum tiada uzur yang dimaafkan maka tidaklah boleh dia ketinggalan dua rukun fi’li bersama imam.
  • Jika ada keuzuran yang dibenarkan maka janganlah sampai ketinggalan tiga rukun fi’li yang panjang. Jika makmum terlambat juga sehingga tiga rukun fi‘li yang panjang, maka hendaklah dia terus mengikut perbuatan sembahyang imam dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang dia terlambat itu.

Tonjolkan kebaikan agama dalam filem, drama

Oleh Latifah Arifin

 

PERSOALAN kewajaran karya seperti filem dan drama yang menyentuh sensitiviti agama dengan alasan ‘berdakwah’ atau menegur realiti dalam masyarakat, termasuk institusi keagamaan, terus menjadi polemik di negara ini.

Malah, ia turut mengundang teguran daripada ilmuwan atau tokoh agama yang menekankan konsep niat tidak menghalalkan cara.

Polemik itu kembali mendapat perhatian ramai susulan tersiarnya poster penerbitan telefilem yang didakwa memaparkan babak tidak bermoral lelaki berperwatakan wanita di pusat tahfiz, sekali gus dianggap mencalarkan imej agama dan institusi pendidikan.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian, berkata penerbitan karya berunsurkan agama secara komersial adalah dakwah baik, tetapi ia perlu adil dan tidak bersifat menghukum.

“Perkara ini baik cuma ada sebahagian karya tidak digambarkan dengan cara betul.

“Sepatutnya, pembikin filem perlu menonjolkan sisi baik agama supaya boleh menjadi contoh. Jika tidak, dikhuatiri penonton akan percaya terhadap karakter negatif ditonjolkan,” katanya ketika dihubungi BH.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian. Foto Iqmal Haqim Rosman

Yasmin Hanani memberi contoh, ada karya mewujudkan karakter penunggang agama dalam kalangan ustaz hingga tidak adil kerana seolah-olah memberi persepsi negatif kepada ahli agama.

“Jika ustaz atau ahli masjid digambarkan watak tidak boleh dipercayai, akan ada masyarakat bersikap menghukum secara melulu dengan mengaitkan orang agama dengan perwatakan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, jika paparan dalam drama atau filem dibuat untuk menonjolkan realiti dalam masyarakat, alasan itu tidak cukup kukuh untuk dipertahankan, apatah lagi apabila ia mengangkat isu agama.

“Orang kita sangat suka menunjukkan sisi buruk untuk menggambarkan kehidupan masyarakat, bahkan gemar mengambil contoh apa dilakukan segelintir orang berbanding majoriti yang lain.

“Sebagai contoh, dalam 10,000 umat Islam, hanya ada seorang terbabit dalam salah laku di pusat tahfiz, itulah yang diambil untuk dijadikan cerita.

“Begitu juga kerana seorang pemimpin bersikap jahat, maka rakyat mengambil sikap pukul rata hingga ketidakpuasan hati menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam negara,” katanya.

Yasmin Hanani berkata, sekiranya perkara itu terus berlaku terutama membabitkan hal agama, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap agamawan dan institusi agama.

“Bukan tidak boleh kita ‘mengkomersialkan’ agama sebagai subjek dalam karya filem dan drama, cuma jangan sampai mengundang fitnah kepada Islam dan pendukung agama.

“Saya berharap penggiat seni boleh melakukan kajian lebih terperinci sebelum menghasilkan karya dan boleh belajar daripada filem dan drama Iran yang menonjolkan jalan cerita menarik.

“Mereka masih boleh membina karakter tanpa perlu ada adegan bertentangan syarak seperti babak bapa merogol anaknya sendiri hingga hamil, tidak memerlukan adegan ranjang,” katanya.

Justeru, menurut Yasmin Hanani, adalah lebih baik menutup mana-mana ruang yang boleh mendatangkan kemudaratan untuk mencegah masyarakat daripada terdedah kepada keburukan.

Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar, Rohidzir Rais. – Foto Khairull Azry Bidin

Sementara itu, pendakwah, Rohidzir Rais, berkata penghasilan karya yang menjadikan Islam dan institusi agama sebagai pesalah, seolah-olah menghukum mereka tanpa bicara, sekali gus menunjukkan pengaruh Islamofobia turut ada dalam kalangan umat Islam.

“Islamofobia bukan hanya melanda Barat yang anti-Islam, sebaliknya dalam umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan dakyah liberalis dan orientalis dalam penulisan serta media.

“Sikap sinis dan memandang serong terhadap orang agama, melahirkan karya drama dan filem yang umpamanya memaparkan wanita bertudung labuh atau lelaki berjubah serta berserban sebagai watak antagonis jelik, keji, lucah dan menyakitkan hati.

“Sebaliknya watak yang kelihatan kurang beragama atau meninggalkan agama seperti pelacur dan gay diangkat sebagai watak protagonis mulia dan ikhlas,” katanya.

Rohidzir yang juga Mudir Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR) berkata, Islam digunakan tanpa sedar untuk menghasilkan keuntungan bersifat material.

“Hakikatnya, kesedaran masyarakat kepada apa sahaja produk Islam memaksa stesen televisyen dan penerbit berlumba-lumba menghasilkan produk yang boleh menarik lebih ramai penonton.

“Pada satu sisi, ia kelihatan amat baik kepada penonton yang mendapat peluang menimba ilmu dan menjadi saingan kepada program lain yang lebih bersifat hiburan.

“Bagaimanapun, program yang terlalu menjurus kepada populariti dan keuntungan memberikan impak negatif apabila muncul ‘pendakwah segera’ yang tidak berilmu hingga ada filem seolah-olah menggambarkan Islam sebagai pengganas,” katanya.

Antara saranan Rohidzir, pengkarya seni yang mahu menghasilkan karya berkaitan Islam perlu ikhlas mengasihi agama terlebih dahulu dan mendapat gambaran mendalam dalam terhadap subjek yang ingin diketengahkan.

“Tepuk dada tanya iman. Jika benar menghasilkan drama dan filem untuk dakwah, mengapa Islam diletakkan ke dalam kandang pesalah hingga menjauhkan masyarakat daripada Islam.

“Niat baik tidak bererti jika pelaksanaannya adalah bertentangan daripada hasilnya,” katanya.

Rohidizir mencadangkan supaya badan dianggotai lepasan agama dengan minat dan kemahiran dalam karya kreatif diwujudkan.

“Badan yang boleh diwujudkan di bawah stesen televisyen atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu, bertujuan menilai kesan diperoleh penonton daripada karya ini.

“Sekurang-kurangnya, lantiklah penasihat syariah yang mampu menilai dan memberikan penambahbaikan kepada karya dihasilkan,” katanya.

e-Wallet patuh syariah?

Ledakan revolusi industri 4.0 menyaksikan pelbagai teknologi terkini menggantikan urusan tradisional. Ia bukan hanya menyentuh aspek teknologi pengkomputeran dan komunikasi, bahkan menyerap dalam semua aspek kehidupan termasuk kejuruteraan, perubatan, sosial, ekonomi, kewangan serta politik.

Istilah ‘fintech’ merujuk kepada teknologi kewangan terkini dengan blok rantai (blockchain), teknologi lejar teragih, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IOT), analisis data raya adalah sebahagian teknologi sedang mengadaptasi kewangan konvensional dan tradisional. Industri kewangan dan perbankan tidak lagi dilihat eksklusif dalam menyediakan produk kewangan komprehensif.

Apabila konsep pembayaran elektronik (e-payment) diperkenalkan, ia mempercepatkan banyak transaksi tradisional. Pengguna tidak perlu beratur panjang untuk tujuan pembayaran bil, yuran dan pemindahan, sebaliknya cukup melayari aplikasi atau web pembayaran bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Namun inovasi itu tidak terhenti begitu sahaja. Penggunaan e-payment masih ada kekangan kerana belum cukup pantas dan prosesnya memiliki birokrasi tersendiri kerana masih dipegang sektor perbankan. Pemain teknologi belum berpuas hati dengan sistem itu, sebaliknya mahu lebih cepat dan terus kepada pengguna.

E-dompet (E-wallet) diperkenalkan pemain teknologi yang menjadikan sebarang bentuk pembayaran semakin mudah. Pengguna perlu memiliki kod tersendiri dan pemindahan kepada pihak lain hanya menggunakan kod. Pengguna dan pedagang hanya perlu satu imbasan untuk memindahkan wang, sekali gus berperanan seperti dompet tradisional. Apabila pengguna membeli barang di kedai, pengguna memindahkan wang daripada dompet mereka ke dompet pekedai dalam bentuk maya.

Kecanggihan teknologi e-wallet memungkinkan inovasi masa hadapan. Tidak mustahil, kita tidak lagi memerlukan aplikasi dalam telefon bimbit, tetapi cukup cap jari atau retina mata untuk pemindahan wang. Teknologi blockchain menggunakan retina mata sebagai identiti sudah digunakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar bantuan kemanusiaan bagi memastikannya telus, selamat dan sampai kepada pihak sepatutnya.

Namun, sejauh manakah teknologi e-wallet mematuhi prinsip syariah?

Islam tidak pernah menghalang sebarang bentuk teknologi baharu, bahkan mengiktiraf dan menggalakkan penggunaan akal pada tahap maksimum untuk kemaslahatan manusia. Islam memandu prinsip akal agar tidak bercanggah dengan kehidupan manusiawi. Apapun jenis teknologi dicipta, ia mesti bertujuan kebaikan kehidupan manusia, bukannya mencabar kekuasaan Tuhan.

Prinsip syariah dalam mualamat dan transaksi moden hari ini ialah halal selagi tidak mempunyai unsur riba, gharar (penipuan), judi, haram dan zalim. Ia tidak semestinya terikat akad seperti zaman dahulu. Evolosi dan inovasi manusia tetap perlu diraikan sesuai zamannya. Imam Malik RA menyatakan: “Setiap perkara yang dianggap jual beli oleh manusia adalah dikira jual beli.”

Apakah transaksi melalui e-wallet memiliki unsur boleh membawa kepada pengharamannya?

Sebelum membahaskan unsur itu, kita wajar meletakkan beberapa prinsip sebagai panduan. Pertama, setiap aplikasi e-wallet unik dan memiliki ciri tersendiri. Sudah pasti tahap sekuriti, kaedah pemindahan dan pengeluaran serta had berbeza.

Kedua, sejarah dan objektif kewujudannya juga berbeza. Tidak dinafikan asal penggunaan aplikasi terhad tetapi semakin berkembang dan keluar daripada maksud asal. Contohnya, Touch n Go asalnya terhad kepada pembayaran tol tetapi kini kaedah pembayaran meluas. Lazada asalnya platform jual-beli tetapi berkembang kepada e-wallet yang bukan sahaja untuk pembelian di platform terbabit.

Ketiga, e-wallet sejenis penyedia perkhidmatan prabayar. Untuk menggunakan e-wallet, kita perlu mengisinya dengan sejumlah wang dan akan terbit dengan nilai untuk membuat pembayaran. Umum mengetahui model perniagaan prabayar bukan baharu di negara ini, sebaliknya bermula lebih 30 tahun lalu.

Keempat, e-wallet tidak sama dengan deposit perbankan, meskipun masih menggunakan perkhidmatan perbankan bagi tujuan perekodan dan pembayaran. Bank Negara Malaysia (BNM) juga membezakan senarai bank dan syarikat dibenarkan untuk pengoperasian e-money (termasuk e-wallet).

Syarikat penyedia e-wallet tidak dibenarkan menggunakan wang deposit e-wallet untuk apa jenis tujuan melainkan transaksi dilakukan pengguna sahaja. Contohnya, A mendepositkan RM100 ke e-wallet tetapi tidak berbuat apa-apa, jumlah itu tidak boleh digunakan syarikat penyedia e-wallet untuk apa-apa tujuan. Ia perlu kekal dalam akaun khas milik pelanggan.

Sekiranya A melakukan transaksi pemindahan kepada B sebanyak RM100, barulah syarikat penyedia melakukan pemindahan deposit itu. Di situ mungkin syarikat penyedia e-wallet akan mengenakan caj pemindahan sebagai upah perkhidmatan transaksi.

Umumnya, perkhidmatan e-wallet tidak dilihat mempunyai unsur bercanggah dengan prinsip syariah selagi barangan dan perkhidmatan dibeli patuh syariah. Adaptasi Fiqh (takyif fiqhi) mungkin menimbulkan persoalan namun ia masih tidak terkeluar daripada prinsip dibenarkan syariah. Ia boleh dikira akad moden yang diterima syariah.

Bagaimanapun, ada beberapa isu dibangkitkan sebagai peringatan kepada syarikat penyedia e-wallet. Pertama, promosi bonus isi semula. Ada syarikat menawarkan bonus bagi setiap isian semula sebagai promosi menggunakan e-wallet mereka, contohnya isi RM100 dan dapat bonus tambahan RM5. Apakah itu termasuk riba?

Pada pandangan penulis, ia perlu diperhalusi, iaitu apakah RM100 isian semula adalah bentuk pinjaman pelanggan kepada syarikat penyedia e-wallet? Sekiranya ya, maka bonus dikira faedah ke atas pinjaman dan sudah pasti menjadi riba yang diharamkan.

Bagaimanapun, penulis tidak melihat ia satu bentuk pinjaman kerana syarikat penyedia e-wallet tidak mempunyai apa-apa hak penggunaan terhadap isian semula. Ia tidak sama seperti bank yang mempunyai hak melakukan pelaburan dan aktiviti dibenarkan.

Kebanyakan syarikat penyedia e-wallet mensyaratkan pembelian bagi menggunakan bonus itu. Ini kerana biasanya mereka menggunakan keuntungan caj transaksi pembelian bagi membayar bonus itu kepada pelanggan. Dengan kata lain, bonus itu diambil daripada keuntungan caj pembelian, bukan wang pelanggan.

Kedua, syarikat penyedia e-wallet menyediakan peruntukan khas bagi memasarkan e-wallet mereka untuk menarik ramai pelanggan. Maka, kebarangkalian ia akad pinjaman agak jauh.

Namun, jika syarikat penyedia e-wallet menggunakan wang milik pelanggan bagi aktiviti selain yang dibenarkan dan memberi bonus kepada pelanggan, ia termasuk bentuk pinjaman dan terdedah kepada riba. Sekiranya berlaku, mereka melanggar peraturan sebagai penyedia e-wallet dan boleh ditarik ‘lesen’.

Kedua, promosi yang bercanggah syariat. Ada syarikat penyedia e-wallet menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan yang menggunakan e-wallet mereka yang bertujuan menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan itu.

Contohnya, mereka perlu membayar RM1 dari e-wallet untuk menyertai cabutan bertuah yang sekiranya menang, mereka akan menerima hadiah berupa gajet bernilai ribuan ringgit. Mereka yang tidak berjaya akan dipulangkan kembali wang masing-masing.

Komitmen RM1 itu adalah satu bentuk perjudian walaupun dipulangkan kembali jika tidak berjaya kerana ia sama seperti menyertai perjudian tetapi tidak mengeluarkan duit sendiri.

Kesimpulannya, perkhidmatan e-wallet tidak melanggar prinsip syariah, apatah lagi ia membantu manusia memudahkan urusan harian. Bagaimanapun, terdapat proses teknikal dan kaedah promosi perlu diteliti sekiranya syarikat penyedia e-wallet ingin memastikan perkhidmatan patuh syariah.