Archive for Julai 2019

Makmum baca al-Fatihah agak kuat

Ustaz Kazim Elias

 

Apakah hukumnya makmum membaca surah al-Fatihah agak kuat sehingga mengganggu jemaah di sebelahnya. Situasi ini sering berlaku di mana-mana surau atau masjid. Mohon penjelasan ustaz. – ABU, Maran

UKE: Makruh bagi seorang makmum membaca kuat ketika solat berjemaah kerana ia boleh mengganggu orang lain dan mereka hanya disunatkan membaca dengan perlahan sekadar didengari oleh diri sendiri. Janganlah disebabkan membaca al-Fatihah agak kuat makmum lain menjadi tidak khusyuk.

  • Haram:Jika makmum membaca kuat sehingga mengganggu orang lain dan juga mengganggu bacaan orang yang berada di sebelahnya.
  • Harus: Jika tidak mengganggu orang lain dan terdapat keuzuran yang memerlukan makmum terbabit membaca dengan kuat seperti bunyi bising yang berada di sekelilingnya. Sungguhpun begitu tidak diwajibkan untuk menguatkan suara jika terdapat bunyi bising. Memadai membaca al-Fatihah dengan kadar suara semasa suasana tenang iaitu bacaan ketika normal.
  • Sunat: Makmum sunat menguatkan suara apabila mengucapkan amin selepas imam selesai membaca al-Fatihah dalam solat jahriyyah (subuh, maghrib dan isyak) termasuk sewaktu qunut, juga bagi makmum yang menjadi mubaligh.

Hukum guna pakaian tidur semasa solat

SEBAGAI insan biasa, pastinya perasaan malas sering menghantui diri terutama ketika ingin melakukan ibadat, malah ramai yang mengambil mudah termasuk melaksanakan perintah wajib daripada Allah SWT.

Antaranya, bangun pada awal pagi bagi menunaikan solat fardu subuh dianggap berat kepada mereka yang berjaga malam atau terlewat tidur.

Selain ingin terus segera menunaikan ibadat fardu tersebut, ada sebilangan kita yang tidak membersihkan diri terlebih dahulu dan memakai pakaian tidur semasa menunaikan solat subuh.

Namun perlu diingatkan bahawa syarat sah solat ada enam perkara antaranya adalah bersihnya badan, tempat solat dan pakaian seseorang yang ingin menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

Selain itu, seseorang itu perlu juga memastikan pakaian mahu digunakan semasa solat adalah bersih daripada segala jenis najis, sekali gus memastikan solat itu sah dan diterima Allah.

Perkara itu berdasarkan firman Allah bermaksud: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (al-Muddatthir)

Maka seelok-eloknya, kita pilihlah pakaian terbaik untuk bertemu dengan Allah, pemilik segala alam. Hendak jumpa raja pun kita pakai cantik-cantik, inikan pula hendak bertemu Pencipta kita.

Bolehkah minum berdiri?

Antara yang menjadi perbualan adalah bolehkah kita minum sambil berdiri? Ini kerana ada situasi tertentu yang tidak memungkinkan kita mencari tempat duduk untuk minum. Tambahan pula ada sesetengah kafe yang menawarkan khidmat segera dan ‘take away’ yang memang tidak menyediakan kerusi untuk pelanggan duduk.

Ada tiga hadis menceritakan Nabi Muhammad SAW minum sambil berdiri. Antaranya hadis yang bermaksud: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, beliau menceritakan; “bahawasanya nabi SAW minum air zamzam sambil berdiri”. (Sahih Muslim)

Dalam satu hadis lagi yang bermaksud: Diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqqas r.a, beliau menceritakan: “Bahawasanya nabi SAW minum air sambil berdiri”. (Kasyfu al-Atsar, Imam al-Bazzar-status hadis isnadnya daif tetapi matannya mempunyai hadis yang menyokong sebelum ini).

Bagaimanapun, ada juga beberapa hadis yang menunjukkan baginda SAW melarang umatnya minum sambil berdiri. Antaranya sabda nabi SAW yang bermaksud: Nabi SAW menegah daripada minum sambil berdiri. (Sahih Muslim)

Untuk menyelaraskan antara hadis-hadis yang kelihatan bertentangan itu, dinukilkan beberapa pandangan ulama. Hadis yang melarangnya telah dimansuhkan oleh hadis yang mengharuskannya. Ini adalah pandangan al-Atsram dan Ibu Syahin.

Adapun hadis yang mengharuskan minum secara berdiri juga ialah dimansuhkan oleh hadis yang melarangnya. Ini adalah pandangan Ibnu Hazm. Hadis yang melarang ini menunjukkan amalan yang sebaik-baiknya iaitu yang terbaik adalah minum sambil duduk.

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan yang rajih, minum sambil berdiri adalah harus. Bagaimanapun yang terbaik adalah minum sambil duduk.

* sumber: Buku Kenali Rasul Kita Muhammad SAW terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Hukum membaca al-Quran tulisan rumi

RAMAI menyedari kelebihan membaca al-Quran dalam kehidupan harian dan ganjaran di akhirat kelak, kerana itu, umat Islam digalakkan untuk membaca dan memperelokkan bacaan agar tergolong dalam kalangan mereka yang dimuliakan.

Dengan hanya membaca satu huruf al-Quran seseorang itu akan memperoleh 10 ganjaran pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada aal-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” – Sunan Tirmizi

Selain itu terdapat pelbagai kelebihan bagi mereka yang membaca al-Quran, namun terdapat isu dalam kalangan umat Islam yang memilih untuk membaca kitab suci tersebut melalui tulisan rumi ekoran wujud perasaan was-was berkaitan bacaan dan hukum tajwid.

Mengikut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 berkenaan Hukum Penulisan Ayat-Ayat al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin dengan sighah seperti berikut :

i. Setiap orang Islam wajib mempelajari al-Quran dalam Bahasa Arab Rasm Uthmani

ii. Haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran kecuali:

– Penulisan akademik (petikan/phrasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul serta mengikut kaedah standard.

– Bertujuan menarik orang membaca al-Quran dan pembelajaran dalam jangka masa sementara. Teks/nas al-Quran hendaklah disertakan.

iii. Haram menerbit dan menjual tafsir dan terjemahan al-Quran tanpa disertakan teks asal.

Sementara itu Iman Muda Asyraf ketika ditemubual dalam sebuah program di Radio Sinar memberitahu tulisan Jawi adalah sama dengan tulisan Arab, namun ejaan dan bahasanya berbeza kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.

“Kerana itu kita perlu belajar bagaimana al-Quran diturunkan daripada Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad SAW dan dapat ganjaran bagi orang yang membaca Al-Quran.

“Jika disebut baca al-Quran maka bacalah sebagaimana Jibril, kerana itu kita belajar tajwid, cara baca dan sebutan yang betul akan mendapat pahala,” katanya.

Bagi yang tidak boleh membaca Jawi dan hanya mampu membaca dalam tulisan rumi atau penterjemahan, beliau menjelaskan, bacaan tersebut tidak sama kerana tafsirannya berbeza tetapi berhubung isu ganjaran adalah urusan Allah SWT.

“Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab seperti mana dilafazkan dan dipelajari secara Musyafahah iaitu mulut ke mulut agar memahami sebutan yang betul. Sudah pasti ada lebih (ganjaran) bagi orang yang membaca secara betul,” katanya.

Hukum ke masjid dengan mulut bau durian

KEBELAKANGAN ini ramai yang memuat naik status berkaitan durian dalam media sosial lebih-lebih lagi sekarang ini merupakan musim ‘raja buah’ tersebut.

Dalam keseronokan menikmati durian, harus diingati bahawa buah itu boleh mendatangkan rasa tidak senang orang di sekeliling terutama daripada baunya.

Apatah lagi ketika hendak mengerjakan solat. Pengambilannya perlulah dielakkan sebelum mengerjakan ibadat tersebut, tidak kira sama ada berjemaah atau tidak.

Bau durian boleh mengganggu kekhusyukkan sesiapa sahaja dalam solat. Bukankah Allah SWT telah berpesan bahawa, apabila solat, kita perlu meletakkan dunia dan isinya di luar agar tidak mengganggu ibadah kita.

Firman Allah: “Dan berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al-Mu’minun, 23: 1-2)

Malah, dalam satu hadis juga ada disebut bahawa mereka yang memakan makanan kuat baunya perlulah dibersihkan mulutnya terlebih dahulu sebelum bersolat.

“Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kamu atau jarakkanlah daripada masjid kami.” – Riwayat Bukhari

Menurut tafsir Al-Allam Syarh ‘Umdatul Ahkam, makruh hukumnya memakan benda-benda yang berbau jika selepas itu hendak mengerjakan solat.

Ia bukan sahaja untuk mengelakkan daripada jemaah lain tidak terganggu, malah malaikat dan makhluk lain juga yang turut berada dalam masjid tersebut.

Oleh itu, adalah dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada memakan durian atau makanan yang berbau seperti petai dan bawang sebelum menunaikan solat.

Sekiranya tidak dapat dielakkan,bersihkan dahulu mulut dengan bersugi atau menggosok gigi sehingga hilang baunya.

Hal ini adalah untuk menjaga kesucian dan maruah diri sendiri selain memberi keselesaan kepada jemaah lain.

SUMBER: https://tzkrh.com/penangan-durian-hukum-datang-ke-masjid-dengan-mulut-berbau/

Harta wakaf tidak boleh diambil semula

NURULFATIHA MUAH

 

HUKUM istibdal (tukar ganti wakaf) pada asalnya tidak diharuskan melainkan oleh sebahagian pendapat yang membenarkannya atas tujuan memberi manfaat kepada harta wakaf.

Pandangan itu dilontarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menjawab persoalan tentang hukum tukar ganti harta wakaf.

“Perkara itu seharusnya dirujuk kepada pihak yang berautoriti dalam pengurusan harta wakaf.

“Namun, kami lebih cenderung supaya harta wakaf dipertahankan tetapi untuk menyelesaikan masalah dengan mencari alternatif lain tanpa dijual harta wakaf tersebut,” katanya dipetik daripada artikel Al-Khafi #1164: Hukum Tukar Ganti Harta Wakaf yang disiarkan menerusi portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Jelas beliau, menurut pandangan Mazhab Syafie, tidak harus istibdal masjid yang rosak ke tempat yang lain.

“Harta wakaf merupakan hak milik ALLAH SWT yang tidak boleh ditukar ganti. Ini merupakan pendapat yang asoh dalam mazhab ini.

“Adapun pendapat berlawanan dengan asoh mengharuskan jual beli sekiranya harta itu tidak dapat memberi manfaat dan menjualnya merupakan perkara yang lebih utama. Namun, jual beli itu mestilah dengan bertujuan untuk membangunkannya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir menegaskan, harta wakaf tidak boleh diambil semula oleh pewakaf atau warisnya.

“Cuma ada konsep istibdal wakaf iaitu ganti semula. Katakan wakaf surau, jadi gantikan dalam bentuk yang sama adalah lebih baik dan lebih tepat,” katanya.

Wakaf mendekatkan diri dengan ALLAH

NURULFATIHA MUAH

 

APABILA berbicara tentang wakaf, ingatan penulis terarah kepada sikap dermawan khalifah Islam ketiga, Usman bin Affan RA.

Beliau sanggup membeli perigi dan diwakafkan untuk kegunaan penduduk Madinah tatkala berlaku bencana kekeringan di kota berkenaan.

Sungguh mulia sikap sahabat Rasulullah SAW itu membantu dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Madinah.

Satu lagi kisah juga berkaitan dengan telaga. Ia merupakan satu kisah benar yang berlaku di Melaka seperti diceritakan rakan penulis.

Seperti yang dikisahkannya, sewaktu zaman kemarau di negeri bersejarah itu pada tahun 1991, telaga milik seorang lelaki tua menjadi tumpuan seluruh penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Sebenarnya, pada asalnya perigi itu terletak di dalam bilik air rumahnya. Namun, bangunan itu dipecahkan demi kemudahan orang ramai. Dipendekkan cerita, sebelum meninggal dunia, beliau telah mewasiatkan agar telaga itu diwakafkan kepada semua penduduk.

Cerita itu sudah puluhan tahun lamanya, namun jasa arwah masih dikenang sehingga ke saat ini. Ya, sehingga kini telaga itu masih digunakan.

Berdasarkan perkongsiaan kisah murni itu, kita lihat kebanyakan wakaf dilakukan hanya dengan ‘cakap mulut’ dan tiada hitam putih.

Namun, kini zaman sudah berubah. Kepentingan wakaf telah mendorong banyak pihak membantu untuk memudahkan pengurusan harta wakaf yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan ekonomi umat Islam.

Rukun

MOHD TAMYES
Bagi berbincang lanjut mengenai wakaf, Sinar Islam mendapatkan pandangan daripada ilmuan agama yang dihormati, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid yang juga merupakan Mufti Selangor.

Menurut Mohd Tamyes, wakaf yang berasal daripada perkataan Arab iaitu waqf merujuk kepada sesuatu pemberian untuk tujuan keagamaan, kekeluargaan, kebajikan dan lain-lain.

“Dari segi istilah, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal ainnya dan tidak terputus hak pengurusan harta tersebut daripada pewakaf dan selainnya bagi tujuan perbelanjaan sama ada diambil daripada hasil wakaf itu sendiri atau menggunakan hasil wakaf itu bagi tujuan kebajikan yang mendekatkan diri kepada ALLAH,” jelas beliau dengan penuh ketelitian.

ALLAH SWT berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu mahu nafkahkan, sesungguhnya ALLAH mengetahui-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 92)

Ujar tokoh agama itu lagi, hukum wakaf ialah sunat. Terdapat beberapa rukun yang perlu dipenuhi iaitu:

1. Wakif iaitu individu atau organisasi yang mewakafkan harta.

2. Mawquf iaitu harta yang diwakafkan sama ada harta alih atau harta tidak alih.

3. Mawquf Alaih iaitu penerima manfaat wakaf atau pihak yang diwakafkan harta kepadanya.

4. Sighah iaitu dokumen berkaitan dengan pewakafan atau lafaz pewakaf itu sendiri.

Antara kelebihan wakaf disebutkan di dalam sebuah hadis.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang manusia, maka terputus semua amalannya (dan hartanya) kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (iaitu wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Siapakah yang boleh memberikan wakaf? Jawab Mohd Tamyes, sebenarnya semua orang boleh berwakaf tidak kira sama ada individu tersebut kaya atau kurang berkemampuan.

“Walaupun pada asalnya wakaf dilaksanakan oleh golongan yang berada, namun kini wakaf dapat dibuat menggunakan tunai yang tidak tertakluk kepada sebarang jumlah minimum mahupun maksimum,” katanya.

Dua kategori
Mohd Tamyes menjelaskan, wakaf terbahagi kepada dua kategori iaitu wakaf am dan wakaf khas.
Katanya, wakaf am merujuk kepada penggunaan hartanya yang lebih kepada untuk kebajikan umat Islam khususnya golongan fakir, miskin dan fisabilillah atau kepentingan umum yang diharuskan oleh syarak. “Wakaf itu merupakan wakaf asal dan ‘thabit dalam nas. Pengurusannya dikendalikan pemerintah dan hasilnya diagihkan kepada saluran-saluran kebajikan ummah.

“Ia boleh digunakan untuk sebarang tujuan yang tidak bertentangan dengan syarak,” katanya.

Mohd Tamyes menambah, bagi wakaf khas, penggunaannya lebih kepada tujuan-tujuan tertentu dan tidak boleh digunakan untuk tujuan selain daripada yang ditentukan oleh pewakaf.

“Contohnya, tanah yang diwakafkan untuk didirikan masjid. Ia tidak boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain,” ujar beliau.

Selain itu, Mohd Tamyes turut berkongsi pandangan Dr Muhamad Kamaluddin Imam yang dinukilkan di dalam kitab Al-Wasoya Wal-Awqaf, ulama Fiqh dengan jelas membahagikan harta wakaf kepada dua bentuk:

1. Harta alih (manqul) – Harta yang boleh dipindah alih seperti al-Quran, wang, baju, kenderaan dan lain-lain.

2. Harta tidak alih (I’qar) – Harta yang kekal pada asalnya seperti rumah, tanah atau bangunan.

Kepada satu soalan, Mohd Tamyes memberitahu: “Terdapat nas dalam al-Quran atau hadis yang menjelaskan bentuk harta alih dan harta tak alih yang boleh diwakafkan seperti mewakafkan kuda dan senjata perang.”

Historiografi

USTAZ MK AZMAN
Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman berkongsi ilmu tentang historiografi wakaf.

Ujar beliau, wakaf merupakan salah satu ibadah awal dalam Islam yang diizinkan syarak. “Amalan wakaf telah menjadi satu tradisi kepada pemerintah dan hartawan-hartawan Muslimin pada abad-abad lalu dan pertengahan Islam secara meluas khususnya di negara-negara Arab dan Asia Tengah.

“Sehinggakan di kebanyakan negara Arab, ditubuhkan satu kementerian khas untuk mengendalikan urusan harta wakaf disebabkan harta wakaf yang terlalu banyak dan tidak terurus,” jelasnya.

Meskipun kebanyakan orang dahulu berwakaf hanya dengan ‘cakap mulut’, Ustaz MK Azman menjelaskan, wakaf mereka sah jika ia menepati rukun wakaf.

Begitupun, beliau berpesan kepada mereka yang mahu berwakaf agar memiliki dokumen ‘hitam putih’ sebagai bukti kesahihan bagi mengelak masalah lain timbul pada kemudian hari.

“Urusan wakaf melibatkan nilai hartanah yang besar. Jika sekadar wakaf tunai, tiada masalah tetapi apabila melibatkan wakaf hartanah, pasti akan menimbulkan masalah pada kemudian hari jika tiada rekod, dokumen dan saksi,” jelas beliau.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai prosedur wakaf yang berbeza. Ia tertakluk kepada standard amalan kerja Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing.

Teliti
Ustaz MK Azman berkata, harta wakaf hendaklah diuruskan oleh badan atau organisasi yang amanah dan bertanggungjawab. Merujuk kepada undang-undang harta wakaf di Malaysia, jelas beliau, ia sepatutnya berada di bawah seliaan dan hak kawalan MAIN.
“MAIN bertindak sebagai pemegang amanah terhadap setiap harta wakaf. Hanya Majlis Agama saja yang ada hak untuk tentukan sama ada wakaf boleh dijual atau diganti, bukan orang lain.

“Membiarkan harta wakaf di bawah pengurusan individu atau pihak tidak berautoriti hanya akan menyebabkan ruang penyelewengan terbuka atas nama agama demi kepentingan peribadi,” katanya.

Sebelum mengambil keputusan membuat sumbangan wakaf, kata beliau, dapatkan info lengkap mengenai organisasi yang menguruskan harta atau dana wakaf, penerima manfaat dan pada masa sama, dibolehkan untuk kita menyemak perkembangan dan kemajuan harta yang telah diwakafkan.

Bagi penerima harta wakaf pula, jelas beliau, mereka wajib menguruskannya dengan penuh amanah dan melaksanakan tujuan ia diwakafkan.

“Harta wakaf hendaklah dimajukan berdasarkan niat pemberi harta wakaf seperti membina surau, masjid, dijadikan tanah perkuburan dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Penerima wakaf boleh sewakan bangunan yang dibina dan hasilnya boleh digunakan untuk kebajikan.

“Jika penerima tidak melaksanakan apa niat yang diwakafkan oleh seseorang individu tanpa mempunyai halangan dan alasan kukuh, ia dikira berdosa,” katanya.