Apa rasionalnya usaha ini dilakukan dengan merujuk kepada entri awal Facebook milik Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berhubung perkara tersebut. Bagaimanapun entri itu kemudiannya dipadamkan selepas mendapat keceman pelbagai pihak.

Dalam entrinya itu, Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa mengemukakan sebarang cadangan untuk tujuan penambahbaikan subjek tersebut kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Ekoran daripada entri berkenaan, pelbagai pihak terdiri daripada parti politik, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan netizen termasuk mufti mempersoalkannya kerana langkah itu dilihat cuba memberi ruang kepada pihak bukan Islam mencampuri hal ehwal orang Islam.

Seperti mana kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria adalah sangat tidak wajar untuk kerajaan membuka ruang kepada semua pihak tanpa mengira agama dalam memberi pandangan mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Perkara ini bercanggah kerana mengikut tradisi dan falsafah Pendidikan Islam, ia adalah bersumberkan hukum daripada al-Quran dan as-Sunnah serta sumber-sumber yang disepakati oleh para ulama.

“Jika penglibatan orang bukan Islam dalam cadangan penambahbaikan tersebut dibenarkan, dikhuatiri ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Apa yang ditegaskan oleh Mufti Perak itu ada asasnya dan ada benarnya. Ini memandangkan dalam Islam terdapat disiplin ilmu dan hukum yang wajib dipatuhi dengan berlandaskan al-Quran, as-Sunnah, Qiyas dan Ijmak Ulama.

Malah sebarang campur tangan daripada pihak yang tidak tahu asas tentang Islam, tidak arif tentang hukum Islam, tidak mahir tentang selok belok agama Islam hanya akan merosakkan kesucian agama itu sendiri.

Justeru, sebarang usaha melibatkan pihak bukan Islam untuk menambah baik pendidikan Islam yang kini sedang dikendalikan oleh PPKPI hendaklah dihalang. Ini bukan platformnya untuk mana-mana pihak bukan Islam melakukan uji kaji.

Mereka sememangnya tidak berhak diberi ruang walaupun sedikit kerana sebarang perkara berkaitan dengan Pendidikan Islam tanggungjawabnya terletak di atas batu jemala orang Islam. Sepatutnya semua pihak dalam Kementerian Pendidikan perlu peka memandangkan segala urusan dan hal ehwal agama Islam adalah sesuatu yang amat sensitif.

Bak kata Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd. Isa, yang disentuh ini adalah subjek Pendidikan Islam, bukan Sejarah, Geografi atau mana-mana subjek lain. Sewajarnya Kementerian Pendidikan hanya menerima cadangan daripada mereka yang benar-benar berilmu dengan subjek ini, ujar Zambri

Dalam hal ini Nie Ching seharusnya sedar akan kesan kenyataan seumpama itu. Ungkapan `menjemput individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama dan bangsa untuk berkongsi isu dan cabaran serta mengemukakan cadangan untuk menambah baik dan membawa kemajuan kepada Pendidikan Islam melalui tinjauan ini pada pautan yang tertera di bawah’ hanya akan mengundang kemarahan umat Islam negara ini . Seolah-olah pihak bukan Islam diberi mandat untuk menambah baik subjek berkenaan. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ini bukan soal fitnah tetapi persoalan tentang rasionalnya pelawaan itu. Lagipun ungkapan ini terang-terang disebut dalam entri awal Facebook Nie Ching sebelum beliau bertindak memadamkannya.

Apapun banyak iktibar yang boleh diambil terhadap perkara yang berlaku itu. Pertama, adakah kerajaan Pakatan Harapan benar-benar memelihara Islam? Kedua, adakah sudah terbit bibit-bibit `keberanian’ pihak bukan Islam cuba mencampuri hal ehwal Islam? Ketiga, adakah ini kesan daripada perpecahan umat Islam negara?

Sukar juga untuk ditelah sebab-musabab pelawaan itu dibuat. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini menegaskan, tidak timbul isu Nie Ching mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan seperti yang ditularkan dalam media sosial, baru-baru ini.

Kata Maszlee, Nie Ching hanya berkongsi maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) berhubung cadangan penambahbaikan mata pelajaran tersebut di sekolah.

Cuma penulis ingin bertanya, bagaimana pula status jemputan itu? Adakah pelawaan ini masih relevan atau beliau memang tidak kisah?