UKE: Dalam hal ini kita berpandukan kepada mazhab Syafie kerana di Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat, tidur dalam keadaan rapat papan punggungnya di tempat duduk tidaklah membatalkan wuduk. Mereka berdalilkan kepada hadis berikut:

Hadis riwayat Anas yang bermaksud: “Pernah para sahabat Rasulullah SAW menunggu waktu untuk solat Isyak lalu mereka terlena sambil duduk. Kemudian mereka bangun melakukan solat tanpa wuduk. (Hadis riwayat Syafie, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Yang mewajibkan seseorang berwuduk kembali kerana tidur ialah hilangnya fungsi akal, baik tidur ringan mahupun tidur nyenyak. Adapun orang yang fungsi akalnya tidak hilang dengan kepala yang tersengguk-sengguk kerana mengantuk atau adanya bisikan hati maka hal itu tidak mewajibkan berwuduk kembali sehingga dia yakin bahawa dia telah berhadas.