Cuma saya ingin bertanya benarkah semut mati dianggap najis dan sekiranya berada dalam kocek baju tidak sah digunakan untuk bersolat? Mohon penjelasan ustaz?

* ADIB, Temerloh

UKE: Menurut mazhab Syafie, bangkai haiwan yang darahnya tidak mengalir atau tidak ada darahnya hukumnya tetap najis akan tetapi dimaafkan dalam keadaan tertentu. Misalnya, apabila ia jatuh ke dalam air atau benda cair.

Dengan sendirinya keadaan itu tidak menajiskan selagi air dan benda cair tersebut tidak berubah. Bagaimanapun jika bangkai berkenaan dimasukkan ke dalam air atau benda cair dengan sengaja sekali gus mengubah keadaannya maka hukumnya menjadi najis.

Tentang bangkai semut termasuk dalam kocek seperti mana soalan yang anda kemukakan, ia sukar untuk dilihat malah kadang-kadang kita tidak tahu pun ada semut maka dimaafkan kerana kesukaran melihatnya. Namun jika bangkai tersebut senang dilihat maka hendaklah anda membuangnya sebelum bersolat.

Sungguhpun begitu ada juga mazhab yang mengatakan bangkai semut itu termasuk dalam najis dimaafkan kerana tergolong dalam kategori binatang yang tidak mengalir darahnya.