Archive for April 2019

Hukum isteri belanja makan

Soalan: APA hukum jika isteri belanja makan ketika keluar makan bersama suaminya?

Jawapan: SUAMI wajib memberi nafkah kepada isteri. Namun tidak menjadi kesalahan dalam syarak jika isteri membayar duit makan. Ia adalah sikap ihsan dan berbuat baik, bukan kewajipan si isteri

 

Amalan bertemu roh?

Soalan: ADA seorang guru mengajar amalan untuk bertemu dengan roh ibu bapa yang sudah meninggal dunia ialah dengan berselawat sebanyak mungkin selepas solat dua rakaat. Solat itu pula dengan hajat bertemu roh ibu bapa.

Adakah amalan ini benar?

Jawapan: KEMUNGKINAN amalan ini berdasarkan pengalaman orang sebelum kita yang dipanggil tajribah. Dalam nas al-Quran, saya tidak menemukan lagi amalan ini. Begitu juga dengan riwayat hadis yang saya belajar.

Apa yang lebih penting ialah berdoa kepada Allah agar roh ibu bapa diampuni dosanya dan dicucuri rahmat Allah.

Amalan berdoa ini jauh lebih mudah diamalkan. Begitu juga bersedekah dan diniatkan pahala untuk ibu bapa. Ia juga sesuatu yang baik dilakukan.

 

Bagaimana untuk membersihkan duit riba

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

Bagaimana untuk membersihkan faedah (interest) dalam akaun bank konvensional?

JAWAPAN: Sewajibnya sebagai Muslim menggunakan akaun bank yang patuh syariah.

Walau bagaimanapun, wang simpanan dalam akaun bank konvensional adalah wang yang halal. Ini kerana ia adalah wang kita, cuma disimpan di tempat yang tidak patuh Syariah.

Oleh itu, dividen dan interest yang diberikan hendaklah disalur kepada individu dan pihak lain bagi menyucikan harta.

Syaratnya ia tidak digunakan untuk perbelanjaan dan keperluan diri sendiri, tetapi disalurkan kepada NGO dan badan kebajikan.

Hukum merokok ketika puasa

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

 

Adakah merokok membatalkan puasa sedangkan menghisap rokok tidak mengenyangkan seperti makanan?

JAWAPAN: Pendapat yang diterima pakai ialah merokok membatalkan puasa. Ya merokok tidak sama seperti makan. Walau bagaimanapun, antara hikmah berpuasa ialah menahan diri daripada keinginan nafsu.

Merokok adalah dorongan keinginan. Pada masa yang sama, merokok juga tidak baik untuk kesihatan, maka merokok membatalkan puasa.

Ini mungkin sedikit berbeza dengan ubat yang dimasukkan ke dalam rongga badan.

Ia kerana hajat dan keperluan perubatan, maka mungkin ada kelonggaran penggunaan ubat tertentu yang tidak membatalkan puasa.

 

Akademi Pondok Sempena Ramadhan 1440H (kelas intensif kitab untuk umum)

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1440H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ke-11 setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan terutama siswa/wi yang sedang cuti semester.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
019-9388902/ Paklong 014-5481907 atau untuk muslimat  013-9943099 (Ustazah Hidayah)

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik atau menginap di pondok

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
  • Harga kitab Jami’ Masail as-Soum RM7.00 edisi jawi/rumi
  • Harga Kitab Hidayah Sibyan Edisi jawi  RM 6.00 / edisi rumi RM15
  • Harga kitab Hidayah Salikin edisi jawi RM5.00
  • Harga Kitab Mazari’ al-Muttaqin edisi jawi/rumi RM9.00
  • Bagi peserta muslimin/muslimat bujang yang ingin menetap di asrama yuran daftar RM50.00 (meliputi daftar, penginapan) tidak termasuk harga kitab dan makan minum. Datang daftar mulai 2 Ramadhan / 7 Mei nanti
  • Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri (majlis berbuka puasa disediakan di Masjid pondok setiap petang manakala pelajar muslimat bujang makanan berbuka disedia di asrama tempat mereka menginap
  • Bagi pasangan kelamin atau warga emas kena cari pondok atau bilik sewa sendiri jika mahu tinggal kawasan pondok kerana pihak pejabat tidak menguruskan urusan tersebut

Tarikh & Masa Mula Daftar Diri

Mulai 2 Ramadhan 1440H bersamaan 7 Mei 2019M (Selasa)
jam 8.30 pagi

Kelengkapan peribadi bagi yang ingin menginap di asrama

sila bawa perkara tersebut :

1. Pelajar lelaki kena bawa Jubah sekurang sehelai(jika ada) / banyakkan baju melayu dan kain atau kemeja lengan panjang
2. Pelajar perempuan kena bawa Jubah
2. Pakaian tidur/selimut/toto@tilam/bantal
3. alat tulis
4. Fotostat kad pengenalan
5. Gambar ukuran passport sekeping

JADUAL AKADEMI PONDOK 1440H

TARIKH Masa Kitab

Mulai

9.00– 11.30 am Kitab : Jami’ Masail as-SoumKitab : Hidayah Sibyan

7 Mei 2019M

2 Ramadhan 1440H

 2.00 – 3.00 pm  Kitab : Hidayah Salikin
hingga 27 Mei 2019M bersamaan 22 Ramadhan 1440H 3.30 – 4.30 pm Kitab : Mazari’ al-Muttaqin

Setiap Jumaat cuti

 

Harga Kitab

# Harga kitab Jami’ Masail as-Soum melibatkan bab puasa

# Kitab Hidayah Sibyan melibatkan beberapa bab daripada ilmu Feqah

# Kitab Hidayah Salikin pula menyentuh ilmu tasawwuf

# Kitab Mazari’ al-Muttaqin berkenaan ilmu Tauhid

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah,
Pondok Pasir 
Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :019-9388902 Ust. Ahmad Shairazi  / Paklong 014-5481907

atau untuk muslimat  013-9943099 (Ustazah Hidayah)

Hukum sepanjang tempoh iddah isteri

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

 

Bagaimana keadaan aurat suami isteri ketika dalam idah perceraian?

JAWAPAN: Apabila seorang suami melafazkan cerai, pasangan suami isteri ini masih diikat dengan hukum sebagai suami isteri pada sebahagian besar perkara.

Contohnya isu aurat. Walaupun sudah bercerai, namun pasangan ini masih mempunyai ikatan pernikahan selama tempoh idah.

Oleh itu, pasangan ini masih menetap dalam satu rumah.

Manakala si isteri dalam idah tidak diwajibkan untuk menutup aurat sepenuhnya.

Harus bagi si isteri untuk tidak memakai tudung kepala.

Bahkan bahagian badan antara pusat dan lutut sahaja tidak harus ditunjukkan kepada suaminya yang telah melafazkan talak.

Adapun bahagian badan lain seperti betis, lengan, leher dan kepala adalah harus dizahirkan kepada suaminya. 
Ini semua dalam tempoh idah.

 

Hukum tutup aurat

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR AL-JARUMI

 

Adakah harus digunakan hujah bahawa menutup aurat tidak disebut dalam undang-undang negeri dan perlembagaan maka aurat tidak perlu ditutup?

JAWAPAN: Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam negara. Dalam Rukun Negara dinyatakan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

Namun ia bukan bermaksud bahawa halal untuk Muslim membuka aurat hanya kerana tidak disebut dalam undang-undang negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya, solat fardu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka adakah harus bagi Muslim untuk tidak solat fardu? Keharaman babi tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan maka adakah harus bagi Muslim untuk makan daging babi?

Kita sebagai Muslim tidak makan daging babi kerana ia dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, walaupun tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka begitulah tuntutan menutup aurat bukan kerana Perlembagaan Persekutuan tetapi kerana perintah Tuhan.