Khidmat samak pelbagai premis


KAJANG: Menyamak dapur hotel, kapal dan kenderaan. Bunyi sedikit luar biasa tetapi itulah yang dilakukan Mohamad Azrie Husien bersama pasukannya.

Berhadapan dengan kesukaran membersihkan kawasan yang perlu disamak ketika menjadi kontraktor teknikal di sebuah surau, memberi ilham kepada Mohamad Azrie Husien untuk menyediakan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

Pada ketika itu, beliau sedang memasang lampu di sebuah surau apabila ternampak anjing liar memasuki surau dan sebagai seorang Islam, beliau sedar bahawa anjing serta babi adalah najis berat (mughallazoh) yang perlu disucikan dengan menyamak.

Azrie, yang juga Pengarah Global Dibagh Sdn Bhd (GDSB), berkata pada ketika itu amat sukar untuk mendapatkan perkhidmatan menyamak dan dari situlah tercetus idea menubuhkan GDSB yang memberikan khidmat itu.

Untuk menyamak premis yang besar pula ada masalah tersendiri selepas mengetahui kesukaran memperoleh tanah yang betul-betul bersih untuk menyamak terutama bagi penduduk di kawasan bandar.

Katanya pengertian samak dalam Islam ialah menyucikan kulit haiwan selain anjing dan babi manakala sertu pula adalah membasuh sesuatu benda, barangan ataupun tubuh badan yang terkena najis berat (mughalazah) seperti  babi dan anjing.

Proses penyucian adalah dengan membasuh anggota badan dan peralatan tercemar menggunakan tujuh kali air mutlak dan satu daripadanya air bercampur dengan tanah.

MOHAMAD Azrie (tengah) memberikan ceramah berkenaan proses menyamak kepada pelajar se buah universiti. – Foto Samadi Ahmad

“Kami mula menawarkan khidmat menyamak pada 2008 dan dari situ, saya mencari jalan penyelesaian mudah dengan menghasilkan produk dan Team Sertu secara kecil-kecilan. Pelbagai cara diusahakan tetapi hasilnya tidak dapat merumuskan penyelesaian yang mampu memudahkan dari segi penggunaan.

“Tidak ramai yang tahu mengenai perkhidmatan ini dan bagi memastikan proses menyamak menepati syarak, pihak kami melakukannya mengikut syarat Pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), malah kami turut melantik pakar serta penasihat yang berpengalaman dalam aspek ini.

“Berikutan tidak mempunyai kemahiran, syarikat kami menjalin kerjasama dengan sebuah universiti awam pada 2009 untuk menjalankan kajian bagi mematikan bakteria dalam air liur anjing,” katanya kepada BH.

Katanya hasil kajian itu menunjukkan apabila tanah liat dicampur air dengan kepekatan tertentu sehingga 10 peratus, ia boleh mematikan bakteria dalam air liur anjing hanya dalam tempoh seminit.

Tambah beliau, pada 2013, GDSB  memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sabun tanah liat cecair bagi memastikan ia benar-benar bermutu bukan sahaja dari segi bahan, tetapi juga cara pembungkusannya dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM500,000 untuk dikomersialkan.

Selepas dua tahun, katanya, GDSB mengeluarkan sabun Tahra pada Jun 2015 dan kini sudah berada di pasaran tempatan dengan tujuan utama untuk memudahkan umat Islam melakukan samak, tetapi dengan inovasi yang dihasilkan, ia juga boleh digunakan sebagai sabun penjagaan diri.

Team Sertu membancuh tanah yang dicampur dengan air sebelum kerja menyamak dilakukan.- Foto Samadi Ahmad

Azrie berkata sabun itu bukan sahaja mengandungi tanah liat dan air, sebaliknya turut dicampur minyak kelapa dara, aloe vera dan beberapa ramuan lain yang baik untuk kulit, yang setanding dengan produk penjagaan diri jenama antarabangsa dan pada masa sama, boleh diguna untuk melakukan samak apabila terkena najis berat.

Anak kelahiran Kampung Sungai Tangkas, Kajang itu turut menghantar contoh produk sabun berkenaan kepada TPM Biotech Sdn Bhd untuk kajian anti bakteria dan hasil kajian menunjukkan ia mampu membunuh kuman seperti e-coli, salmonella dan S Aureus sehingga 99 peratus.

Sabun Tahra, yang bermaksud suci itu boleh digunakan untuk bersuci dan menyamak dengan syarat menggunakan kaedah syarak iaitu sekali dengan air sabun diikuti dengan enam kali basuhan air bersih, tanpa perlu menggunakan tanah yang dikorek.

Kata Azrie, tanah bagi pembuatan sabun dan samak itu diperoleh dari lombong di Tapah, Perak, yang terjamin baik lagi suci dan kemudian diproses serta dibungkus di kilang sebelum dipasarkan selain untuk kegunaan GDSB.

“Tempoh melakukan samak bergantung kepada keadaan, bagi sebuah rumah biasanya mengambil masa sehari manakala dapur hotel ataupun industri besar mungkin mengambil masa antara sehari hingga dua minggu dengan dipantau oleh pegawai Jabatan Agama Islam ataupun JAKIM.

“Pernah sekali seorang pelanggan meminta kami menyamak sebuah kereta terpakai diimport yang baru dibelinya kerana bimbang pemilik kereta sebelum ini membawa anjing.

KERJA menyamak premis yang besar dilakukan dengan berhati-hati dengan campuran bahan yang betul mengikut syarak. – Foto Samadi Ahmad

“Secara peribadi, saya tidak merasakan amalan menyamak sebagai perbuatan yang membebankan, sebaliknya ia benar-benar membuatkan kita yakin dalam menunaikan amal ibadat,” katanya.

Berkongsi pengalaman kerjaya yang diceburinya, bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional Ampangan, Seremban dalam jurusan mekanikal elektrik itu menganggap kerja menyamak lima tingkat dapur sebuah hotel dan menyamak sebuah dapur yang menggunakan berus dibuat daripada bulu babi adalah antara pengalaman yang sukar dilupakan.

Bapa kepada sepasang cahaya mata itu turut menyifatkan kerjaya yang diceburinya sebagai sesuatu yang tidak sukar kerana hanya perlu mengikut kaedah yang digariskan dalam Islam di samping memberi keyakinan bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

Sepanjang hampir lapan tahun menceburi bidang unik itu, antara kerja yang berjaya dilakukan GDSB termasuk menyamak rumah, kenderaan, hotel, kapal laut, mesin makanan, kontena dan terbabit dalam tugasan di Labuan Halal Hub bagi menyamak dapur kapal.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: