Archive for 1 Februari 2019

Perlukah samak tayar kereta terkena air bangkai anjing

Dr Mohd Izhar  Ariff

 

SOALAN: Saya melalui satu kawasan perumahan di Damansara dan kebetulan di tengah bahu jalan ada bangkai seekor anjing yang beberapa hari mati. Masa itu hujan renyai hingga menyebabkan jalan raya basah dan berair. Adakah saya wajib menyamak kereta kerana dirasakan air bangkai anjing itu terkena kereta saya.

JAWAPAN: Untuk pengetahuan saudara, memang tidak dinafikan dalam mazhab Syafie anjing adalah haiwan yang bernajis dan diwajibkan samak ke atas sesiapa sahaja menyentuhnya atau disentuh olehnya khususnya menerusi jilatan.

Ini dapat dibuktikan menerusi sabda Nabi SAW: “Apabila anjing menjilat peralatan makanan salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia sebanyak tujuh kali bilasan dan dimulakan dengan air tanah.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini sangat jelas menunjukkan arahan Baginda SAW kepada umat Islam supaya menyamak perkakas makanan atau minuman yang dijilat anjing. Prof Dr Wahbah Zuhaili dalam bukunya al-Fiqh al-Islami juga menegaskan, perkara ini boleh dikiaskan hukumnya kepada peralatan untuk kegunaan ibadah seperti sejadah, permaidani musala, masjid, lantai rumah dan sebagainya.

Semua perkakas dan tempat terbabit wajib disamak kerana ia akan digunakan untuk makanan dan ibadah. Manakala kereta pula, ia tidak digunakan untuk solat maka tidak perlulah kereta itu disamak.

Najis anjing itu hanya sekadar andaian sahaja. Berkemungkinan kena kenderaan anda atau sebaliknya. Maka, pakai sahaja kaedah ‘keyakinan tidak mampu digoyahkan oleh sesuatu yang tidak pasti seratus peratus’.

Jika najis itu terkena luaran kenderaan anda sekalipun, ia tetap tidak perlu samak kerana saudara sendiri tidak tahu tempat sebenar terkena najis.

Walaupun begitu, jika saudara benar-benar tidak tenang dan waswas akibat tidak menyamak kenderaan, maka adalah tidak salah untuk menyamak dengan membasuhnya menggunakan air tanah sebelum ia dicuci dan dibilas dengan sabun serta air bersih. Perbuatan itu akan menyusahkan dan berkemungkinan merosakkan kenderaan anda.