Archive for 3 Januari 2019

Ulama bukan maksum

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

Ulama adalah insan yang mulia kerana mereka meneruskan kerja para nabi iaitu dakwah dan mengajak manusia kembali ke jalan Allah. Untuk itu, Allah SWT membezakan orang yang berilmu dan yang tidak berilmu sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat. (al-Mujadalah:11)

Negara kita sejak sekian lama telah mempunyai dan melaksana perkara ini, antaranya dengan mewajibkan para pendakwah mempunyai tauliah mengajar.

Disebabkan peruntukan agama adalah di bawah kerajaan negeri, maka tugas pemantauan dan pelaksanaannya diletakkan di bawah majlis-majlis agama Islam negeri.

Keperluan tauliah adalah bagi melindungi kesahihan ilmu Islam yang disampaikan. Pun begitu, dalam kes tertentu, pengecualian diberikan contohnya kepada para mufti dan juga pendakwah antarabangsa yang dijemput kerajaan Malaysia.

Tentang ulama, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barang siapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak. (Riwayat Abu Daud)

Namun demikian, sebagai manusia, ulama bukan maksum. Lalu muncullah golongan ulama yang disebut ulama suu atau ilmuwan yang buruk dan jahat. Jumlahnya tidak ramai tetapi ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

Rakyat menjadi rosak akibat rosaknya pemerintah dan pemerintah menjadi rosak akibat kehadiran ulama yang buruk (al-suu’) menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin.

Dalam konteks Malaysia, kita sokong usaha-usaha menyekat golongan ulama suu’yang perlu dibanteras dan dilarang bersiaran di televisyen dan radio. Sepatutnya ia diperluaskan kepada mana-mana individu atau organisasi yang sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan manhaj ASWJ.

Sekatan patut diperluaskan kepada kemunculan mereka dalam media-media sosial. Ataupun jika bersiaran menerusi media sosial, golongan ini hendaklah dilabel sebagai bukan ASWJ.

Sepatutnya semakin alim (berilmu) seseorang itu semakin dia takut melakukan perkara bercanggah dengan perintah Allah dan Nabi SAW. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. (Fathir: 28)

Imam Syafie pernah berkata, pada akhir zaman akan banyak ulama yang membingungkan umat, sehingga umat bingung memilih mana ulama warasatul anbiya (ulama pewaris para nabi) dan mana ulama suu’ (ulama buruk) yang menyesatkan umat.

“Carilah ulama yang paling dibenci oleh orang-orang kafir dan orang munafik, dan jadikanlah ia sebagai ulama yang membimbingmu, dan jauhilah ulama yang dekat dengan kafir dan munafik kerana ia akan menyesatkanmu, menjauhkanmu dari keredaan Allah,”