Archive for Disember 2018

Institusi fatwa sasaran seterusnya?

 

Nizam Yatim

SELEPAS kontroversi desakan pejuang hak asasi manusia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akhirnya berjaya disekat dengan bantahan pelbagai pihak, satu persoalan yang bermain dalam fikiran kita, adakah pihak berkenaan akan berdiam diri?

Betulkah golongan memperjuangkan hak asasi manusia yang cukup tegar dengan sudut pandangan mengikut kerangka Barat sudah berhenti dan tidak akan menjadikan umat Islam dan orang Melayu sebagai sasaran mereka?

Buku ini yang mengandungi artikel-artikel ditulis oleh lapan ahli akademik, meninjau kemungkinan serangan pejuang hak asasi manusia itu tidak berhenti, sebaliknya lebih giat dengan institusi fatwa menjadi sasaran seterusnya.

Pejuang hak asasi manusia itu sejak sekian lama menggelar institusi fatwa di negara ini sebagai jumud (kolot). Bagi mereka institusi itu terlalu mengongkong pemikiran umat Islam dalam menanggapi teks sumber hukum iaitu al-Quran dan hadis.

Mereka juga berhujah bahawa institusi fatwa telah menjadi alat pihak tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara dalam hal-hal agama Islam. Serangan itu, bukan hanya datang daripada dalam kalangan umat Islam bahkan turut menular melibatkan bukan Islam yang fanatik dengan perjuangan hak asasi manusia.

Mereka bukan setakat mengkritik dalam media massa, malah sampai ke tahap mencabar institusi fatwa di Mahkamah Persekutuan.

Tindakan itu, jelas mencabar amalan di Malaysia yang melihat pengeluaran fatwa oleh institusi fatwa adalah pandangan rasmi negara berkaitan hukum terhadap sesuatu isu yang berkait dengan agama Islam.

Secara umumnya, terdapat dua jenis institusi fatwa yang diwujudkan di bawah undang-undang negara ini, iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Keputusan dikeluarkan di peringkat kebangsaan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang sebaliknya hanya bersifat pandangan hukum dalam sesuatu isu melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.

Ia hanya boleh dikuatkuasa setelah diwartakan kerajaan negeri. Dalam pada itu, serangan lain melibatkan golongan yang berpandangan semua pihak bebas mengeluarkan fatwa.

Golongan ini cenderung untuk mengetengahkan pendapat sendiri mengenai hukum-hakam sambil mengkritik pendapat pihak lain secara terbuka dalam media massa. Antaranya, melibatkan persoalan Islam liberal, pluralisme agama dan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Tindakan itu dengan alasan kebebasan hak asasi manusia untuk bersuara dan mengemukakan pendapat sering kali mencetuskan kekeliruan yang boleh membawa perpecahan umat Islam yang serius.

Semuanya berpunca, kerana pendapat itu dibahaskan dalam kerangka politik yang dipengaruhi emosi sehingga masyarakat kehilangan dimensi ilmiah yang mendasari isu-isu tersebut dan akhirnya menyebabkan kedudukan sebenar perkara tersebut tidak dapat difahami dengan baik.

Sebenarnya percanggahan hal-hal hukum tidak sewajarnya dibuka kepada masyarakat awam, sebaliknya harus dibincangkan dalam kalangan para ulama yang mahir, berkemampuan dan mempunyai integriti.

Selain itu, serangan dihadapi institusi fatwa adalah daripada golongan memperjuangkan kebebasan bersuara.

Mereka mahu proses membuat fatwa turut melibatkan rundingan awam, termasuk perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memberi peluang semua pihak memberi pandangan.

Pandangan itu sekiranya diterima akan menyebabkan individu tidak berkelayakan turut berpeluang menyuarakan pendapat yang sebenarnya tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian permasalahan hukum syarak, tetapi akan mengusutkan lagi keadaan.

Serangan lain melibatkan pihak yang melihat institusi fatwa sebagai tidak sah dan hukum yang dikeluarkan tidak perlu dipatuhi. Mereka berhujah bahawa proses mengeluarkan fatwa tidak menepati kehendak demokrasi.

Ini kerana dalam sistem demokrasi, semua peraturan dan undang-undang hendaklah diluluskan sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Oleh kerana institusi fatwa tidak mengikut prosedur berkenaan, maka hukum yang dikeluarkan adalah tidak sah sebagai undang-undang dan tidak perlu dipatuhi.

Tergugatkah institusi fatwa dalam era Malaysia baharu? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

 

Hukum jaga mentua

Ustaz Kazim Elias

 

Adakah benar dalam Islam bahawa menantu lelaki mempunyai tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa mentua selain ibu bapa sendiri? – IKA, Selayang.

UKE: Kedudukan ibu kandung dengan ibu mentua bukanlah pada kedudukan yang sama. Ibu kandung adalah ibu kandung manakala ibu mertua adalah ibu mendatang disebabkan perkahwinan.

Wajib si anak berbuat baik kepada ibu bapanya apatah lagi dalam kalangan anak lelaki walaupun sudah beristeri. Namun tidaklah menjadi sepenuh kewajipan kepada si menantu lelaki untuk menjaga sepenuhnya mentua seperti menjaga ibu kandungnya.

Menjaga mentua tetap merupakan amalan mulia dan mendatangkan pahala malah berdosa jika menyakiti atau berbuat zalim kepada mereka walaupun mereka bukan ibu bapa kandung.

Harus diingat juga suami atau isteri tidak boleh melarang jika pasangan ingin menjaga dan berbakti kepada ibu bapa kandung mereka atas kedudukan sebagai anak kandung tetapi perlu juga menjaga hak dan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing. Di sinilah perlunya sikap bertolak ansur agar suami isteri dapat memberi khidmat yang terbaik kepada ibu bapa dan mentua mereka

 

Menipu elak aib

Ustaz Kazim Elias

Apakah hukum menipu untuk mengelak mendedahkan aib sendiri dan keluarga? – Lisa, Kluang

UKE: Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (al-Isra’: 36).

Dalam membahas ayat ini, Imam al-Syinqithi berkata: “Allah melarang dalam ayat yang mulia ini agar manusia tidak mengikuti apa yang dia tidak mempunyai pengetahuan di dalamnya. Termasuk dalam hal ini adalah perkataan orang yang berkata: ‘Saya telah melihat’, padahal dia belum melihatnya.

‘Saya telah mendengar’, padahal dia belum mendengarnya. ‘Aku tahu’, padahal dia tidak mengetahuinya. Demikian pula orang yang berkata tanpa ilmu dan orang yang mengerjakan amalan tanpa ilmu, tercakup pula dalam ayat ini.” (Adhwa’ul Bayan, 3/145).

Jelas bahawa berbohong adalah berdosa jika dikerjakan. Namun ada pada beberapa tempat berbohong ini dibolehkan dalam keadaan tertentu seperti riwayat Imam Muslim:“Dan aku (Ummu Kultsum) tidak mendengar bahawa beliau memberikan rukhsah (keringanan) daripada dusta yang dikatakan oleh manusia kecuali dalam perang, mendamaikan antara manusia, pembicaraan seorang suami kepada isterinya dan pembicaraan isteri kepada suaminya.”

Maka anda nilaikan sendiri tujuan anda berbohong berada dalam kategori mana.