Archive for 8 September 2018

Rotan bukan menghukum semata-mata, tapi mendidik

SEBAT atau rotan tidak sewajarnya dilihat sebagai hukuman semata-mata, sebaliknya dalam pandangan alam keadilan Islam, ia sebahagian daripada kaedah mendidik dan memberi pengajaran.

Bagaimanapun, wujud salah tanggapan terhadap hukuman sebat atau rotan yang perlu diperbetulkan kerana ia sepatutnya dijadikan jalan terakhir selepas tunjuk ajar penuh hikmah diambil seperti menegur dan menasihati.

Pertikaian mengenai wajar atau tidak hukuman sedemikian dilaksanakan sewajarnya dilihat dalam kerangka yang lebih menyeluruh.

Perbuatan menghukum dengan cara sebegini turut disebut dalam al-Quran dan hadis termasuk untuk kanak-kanak sekiranya mereka enggan melaksanakan ibadat solat.

Sabda Rasulullah SAW: “Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun.” (HR Abu Daud)

Dalam norma kehidupan masyarakat sendiri pun, merotan bukanlah satu isu besar apabila ibu bapa menggunakan jalan ini untuk membentuk keperibadian anak-anak, manakala satu masa dulu menjadi salah satu bentuk hukuman bagi pelajar sekolah yang mempunyai masalah disiplin.

Rotan bukan hukuman dera

Pendakwah kelahiran Indonesia, Muhammad Amirul Hasbi Syukur, berkata pukulan atau sebatan bukan untuk menyeksa tetapi lebih bermatlamat memberi pengajaran.

“Adab merotan dalam Islam mempunyai syarat yang perlu dipatuhi, iaitu ia tidak seharusnya meninggalkan bekas.

“Isunya di sini, banyak kes membabitkan hukuman rotan sehingga meninggalkan bekas, jadi ia membuatkan masyarakat sukar menerimanya.

“Pukulan dalam hadis mengenai pukul anak yang tidak solat bukan bermaksud mendera tetapi memberi pengajaran pentingnya solat dan kesan jika meninggalkannya,” katanya.

Muhammad Amirul berkata, antara pertikaian masyarakat disebabkan ada ibu bapa yang menghukum anak yang tidak bersolat sedangkan mereka sendiri culas melaksanakannya.

“Lebih baik sekiranya pengajaran itu dimanfaatkan dengan mengajak anak untuk solat berjemaah.

“Ini kerana ramai orang menyuruh anak supaya bersolat tetapi ibu bapa sendiri tidak bersolat,” katanya.

PROF Madya Dr Abdul Manan Ismial. – Foto NSTP

Usah pertikai hukum Allah

Begitu juga dengan kes sebatan membabitkan pesalah syariah. Sebatan terutama bagi pelaku mesti mematuhi adab yang ditetapkan termasuk tidak sehingga melukakan kulit pesalah, sebatan dengan kekuatan sederhana dan tidak menyentuh bahagian badan tertentu seperti muka, kepala atau bahagian sulit.

Muhammad Amirul berkata, dalam kes penzinaan, firman Allah SWT: “Penzina perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah dijatuhkan hukuman sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya dengan 100 kali sebat. (An-Nur: 2)

Ia jelas menjadi petunjuk sebatan ialah hukum Allah SWT yang ditetapkan dan tidak seharusnya dipertikaikan atas apa juga alasan termasuk yang mengaitkannya sebagai satu bentuk kezaliman.

“Jika dilihat semula pada zaman Rasulullah SAW, hukuman qisas dan hudud sudah dilaksanakan, bahkan ia turut dipertontonkan kepada khalayak ramai supaya pelakunya bertaubat, selain pengajaran kepada orang awam yang melihatnya.

“Bagaimanapun dalam konteks hari ini, seperti di Aceh, hukuman tertentu seperti bagi pelaku zina yang sudah bernikah tidaklah sehingga direjam dengan batu, sebaliknya digantikan dengan sebatan atau penjara,” katanya.

Lihat maslahah majoriti masyarakat

Menyentuh soal pelaksanaan sebatan dibuat di khalayak ramai seperti kes terbaru membabitkan pasangan lesbian yang dikenakan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Isnin lalu, Muhammad Amirul, berkata ia perlu dilihat semula dengan melihat kepada maslahah (kebaikan) semua.

“Pandangan peribadi saya, lebih baik ia tidak dipertontonkan. Bagaimanapun, kita mesti mencari yang mana paling banyak maslahahnya.

“Banyak perkara yang perlu dilihat, ia termasuk kepada orang yang menontonnya. Bagi kanak-kanak umpamanya, tidak sesuai kerana mereka boleh mengalami gangguan termasuk trauma.

“Bagi kerajaan pula, mungkin akan ada kesan daripada sudut ekonomi. Kerajaan Aceh misalnya, memutuskan supaya sebatan tidak lagi dibuat di khalayak ramai kerana ia memberi kesan langsung kepada pendapatan apabila berlaku penarikan saham oleh pelabur asing,” katanya.

Tujuan sebat untuk mendidik

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Abdul Manan Ismail, berkata Islam sebagai agama yang memberi rahmat kepada semua makhluk, setiap ajaran itu mempunyai nilai kesejahteraan kepada alam ini.

“Ia termasuklah peraturan dan hukuman terhadap pesalah. Antara hukuman yang diperuntukkan ialah hukuman sebat.

“Ia dikenakan sebagai hukuman bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan,” katanya.

Bagaimanapun Abdul Manan mengingatkan sebatan dalam Islam berbeza dengan hukuman sebat di penjara pada masa kini seperti dari sudut cara sebatan, alat sebatan, anggota yang boleh disebat.

“Tujuan sebatan bukanlah untuk mencederakan, menyeksa atau memudaratkan pesalah, sebaliknya ia adalah proses mendidik kepada pesalah dan masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan jenayah sekali gus dapat mencegahnya,” katanya.

Tidak membebankan pesalah

Beliau berkata, tujuan sebatan itu sebagai ta’dib atau mendidik pesalah dan menjadi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah serta masyarakat awam.

“Keistimewaan hukuman sebatan syariah ini, ia tidak membebankan kerajaan dan tidak menghalang pesalah sesudah menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaannya.

“Ia sama sekali tidak sama dengan hukuman penjara dalam jenayah sivil kerana selepas disabitkan kesalahan dan hukuman sebatan dijalankan, pesalah syariah dibebaskan bagi membolehkannya menjalani kehidupan seperti biasa dengan keluarga.

“Seterusnya ia tidak membebankan membiarkan ahli keluarganya menempuh pelbagai kesusahan mencari nafkah,” katanya.

Malah kata Abdul Manan, hukuman sebat syariah juga terbahagi dua, iaitu sebat dalam masalah hudud dan sebat dalam masalah takzir.

Katanya, kesalahan membabitkan masalah hudud, hukuman terhadap pesalah zina dan minum arak sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah-Nya.

“Sebat dalam permasalahan takzir, hukuman terhadap kesalahan yang tidak ditetapkan oleh syarak sebaliknya diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukuman yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri,” katanya.

Bukan kezaliman terhadap wanita

Menyentuh mengenai hukuman sebatan yang dijalankan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu itu, Abdul Manan berkata, polemik hebat yang berlaku disebabkan hukuman sebatan itu dikenakan terhadap kaum wanita.

Katanya, sebatan terhadap wanita bukanlah satu kezaliman terhadap mereka sebaliknya ia adalah keadilan untuk wanita.

“Sebagaimana kita maklum, keadilan diletakkan sesuatu pada tempatnya. Justeru menjadi keadilan bagi seorang pesalah wanita dihukum seperti yang dituntut oleh hukum Syarak dan bukannya dilepaskan dari hukuman apabila membuat kesalahan disebabkan dia wanita.

“Bahkan cara sebatan terhadap wanita sangat beradab dan meletakkan status wanita sebagai golongan terhormat. Antara cara yang diajar oleh Islam bagi sebatan terhadap wanita ialah pesalah wanita dipakaikan pakaian yang menutup aurat mengikut hukum syarak serta dibuat dalam keadaan pesalah duduk,” katanya.

Hukuman syariah berperikemanusiaan

Abdul Manan juga berkata, dengan terlaksananya hukuman syariah itu dan juga mendapat liputan yang meluas secara tidak langsung segala persepsi negatif terhadap hukuman Islam yang disifatkan zalim serta tidak berperikemanusiaan oleh sebahagian masyarakat dapat dihilangkan dalam pemikiran mereka.

Katanya, ia harus dilihat sebagai tindakan positif yang sebenarnya bertunjangkan kedaulatan undang-undang yang mana setiap negeri di Malaysia mempunyai kuasa dan sepatutnya diberi kebebasan untuk melaksanakan peraturan yang digubal secara sah.

“Hukuman yang diajar oleh Islam adalah hukuman yang sangat berperikemanusiaan contohnya dalam membuat hukuman sebat, penyebat akan menggunakan rotan yang tiada ruas, perotan merotan dengan tidak mengangkat rotan melebihi paras bahu dan tidak menyeret rotan ketika merotan pesalah,” katanya.