Archive for 25 Ogos 2018

Haram pemilik korban jual daging korban

Oleh Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

SOALAN: Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkorban seekor lembu. Hampir setengah daripadanya saya sedekahkan kepada fakir miskin. Hari ini, masih terdapat banyak lagi saki-baki daging korban dan tulang dalam peti sejuk rumah saya. Soalannya, bolehkah saya menjual daging dan tulang itu.

JAWAPAN:

Hukum pemilik korban menjual daging korban adalah haram kerana falsafah di sebalik pensyariatan ibadah korban oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan fakir miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makanlah kamu daripada hasil korban itu serta berikanlah ia kepada golongan susah dan fakir.” (Surah al-Hajj, ayat 38)

Ingin saya tekankan di sini, jika Islam membenarkan tuan empunya korban menjual daging korban mereka, nescaya falsafah itu tidak akan tercapai kerana semua mereka akan berkejaran untuk meraih keuntungan daripadanya.

Atas asas itu, hampir semua ulama mazhab seperti Maliki, Syafie dan Hanbali mengharamkan perbuatan menjual daging ibadah korban sama ada ia korban sunat atau wajib.

Bagi menguatkan lagi hujah ini, terdapat riwayat daripada Abdul Rahman ibn Abi Layla, beliau telah dimaklumkan oleh Ali sesungguhnya Nabi SAW telah mengarahkan menantunya itu supaya mengorbankan seekor anak unta.

Daging, kulit, tubuh dan sebagainya diarahnya juga supaya disedekahkan semuanya. Baginda turut melarang upah kepada penyembelih atau pemotong diambil daripada bahagian korban.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).