Islam adalah agama yang sangat manusiawi. Segala isinya mampu diikuti dan diamalkan oleh manusia. Antara bukti kemanusiaan syariat Islam adalah wujudnya kaedah rukhsah atau kelonggaran hukum ketika berhadapan dengan situasi sukar mendesak. Solat empat rakaat boleh disingkatkan menjadi dua rakaat ketika musafir yang cukup jarak dan syarat. Orang tak mampu solat berdiri dibenarkan solat duduk. Orang berpuasa dibenarkan berbuka puasa ketika musafir atau sakit. Kaedah rukhsah menjadi bukti betapa Islam adalah agama fitrah manusia.

Firman Allah SWT: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Dia yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak jadikan kamu menanggung berat dan susah payah dalam urusan ugama,” (al-Hajj 22:78).

Rukhsah juga diberikan Allah dalam ibadat puasa sebagaimana firman-Nya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari yang lain. Allah mahu memudahkan bagimu, dan tidak mahu menyukarkan kamu….” (al-Baqarah[2:185]).


PUASA ATAU BUKA?

Adakah Rasulullah SAW dan para sahabat berpuasa ketika bertempur dengan musuh dalam perang Badar? Perlu diingatkan, perang tempur pada zaman lampau sangat berbeza dengan realiti perang zaman moden. Perang zaman nabi berlaku secara berhadapan dan memerlukan ketangkasan, stamina, tenaga serta fokus yang tinggi. Agak sukar menghayun pedang, berlari mengelakkan serangan musuh dan sebagainya jika orang Islam berpuasa.

Rupanya perkara ini ada jawapannya daripada beberapa hadis nabi SAW, antaranya:

  1. “Abu Said al-Khudri berkata, kami pernah musafir dengan Rasulullah SAW ke Mekah dalam keadaan kami berpuasa. Kami pun singgah di suatu tempat, setelah itu Baginda bersabda: “Kamu sudah hampiri musuh kamu, sedangkan berbuka puasa lebih menguatkan kamu (untuk menghadapi musuh).” Cadangan nabi itu menjadi pilihan kepada kami, ada yang berbuka, manakala ada juga yang meneruskan puasa. Setelah kami sampai ke tempat persinggahan yang lain, Baginda bersabda lagi: “Kamu sedang berhadapan dengan musuh kamu, buka puasa itu lebih kuat untuk kamu maka berbukalah”.(Abu Said al-Khudri berkata): Maka itu sudah menjadi satu kewajipan, maka kami pun berbuka,” – Sahih Muslim dan Sunan Abu Daud.
  2. Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW keluar pada tahun pembukaan Kota Mekah dalam bulan Ramadan. Baginda masih berpuasa sehingga sampai ke sebuah tempat bernama Kura’ al-Ghamim ketika orang masih berpuasa. Baginda meminta segelas air, lalu diangkat dan diminumnya supaya ia dilihat orang ramai. Selepas itu, dilaporkan kepada Baginda masih ada orang yang berpuasa, Baginda lalu berkata: “Mereka itu telah derhaka (sebanyak dua kali),” – Sahih Muslim.
  3. Umar bin al-Khattab r.a. turut menceritakan perkara yang sama: “Umar r.a. berkata: Kami berperang dalam dua buah perang (Badar dan Pembukaan Kota Mekah) bersama Rasulullah SAW pada Ramadan, lalu kami berbuka puasa dalam kedua-dua perang tersebut,” – Sunan Tirmizi.

Status kuat atau lemah hadis ini masih diperdebat oleh sebahagian ulama, namun begitu kepentingan memenangi jihad sangat mendesak umat Islam untuk berbuka puasa. Selain itu, ada juga pendapat yang mengatakan perang Badar berlaku pada musim sejuk dan agak logik jika para sahabat meneruskan puasa walaupun ketika berhadapan dengan musuh.

Menurut mereka, pada malam sebelum tercetusnya perang Badar hujan turun dan sudah pasti hujan tidak berlaku ketika musim panas.

Perhatikan firman Allah ini: “(Ingatlah) ketika kamu diliputi rasa mengantuk sebagai satu (pemberian) aman daripada Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Dia turunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu serta menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan),” (al-Anfal 8:11).

Walaupun begitu, boleh sahaja pandangan ini dijawab:

  • Tujuan utama rasa mengantuk dan hujan dalam ayat di atas adalah untuk meneguhkan jiwa para sahabat.
  • Hujan itu adalah bantuan Allah yang khusus dalam peristiwa tersebut dan bukan semestinya berlaku dalam musim sejuk.
  • Perang Badar berlaku pada waktu siang, walaupun cuaca sejuk, tenaga tetap diperlukan untuk berhadapan musuh. Oleh itu, berbuka puasa lebih selamat dan menjamin kemenangan. 
l Selain itu, pihak yang mempertahann pandangan para sahabat tetap puasa dalam perang Badar menggunakan hadis:
  • “Abu Sa’id al-Khudri r.a. berkata beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah akan jauhkan wajahnya (dirinya) daripada api neraka selama 70 tahun,” – Sahih Muslim.
  • Biasanya perkataan ‘jalan Allah’ bermaksud perang jihad, namun begitu ia juga boleh merujuk kepada sebarang aktiviti mentaati dan mencari reda Allah lain seperti menuntut ilmu serta bersiap siaga di medan jihad atau sempadan negara Islam sebelum tercetusnya perang.
  • Jika maksud puasa pada jalan Allah dipegang pada makna selain jihad, puasa tidak menjadi masalah kepada sesiapa pun. Akan tetapi apabila jihad tersebut melibatkan pertempuran dalam medan perang, berbuka puasa lebih elok kerana ia lebih mudah menjamin kemenangan.

Walaupun begitu, bagi sesiapa yang mampu berpuasa ketika berperang, tiada juga masalah baginya kerana manusia mempunyai kemampuan berbeza.

KESIMPULAN

Nas yang mengatakan nabi dan para sahabat berbuka puasa dalam kedua-dua perang tersebut kelihatan lebih kuat dan logik. Bagaimanapun, apa yang penting di sebalik kisah ini bukan puasa atau tidaknya para sahabat, tetapi keluasan dan kehebatan Islam sebagai syariat yang sangat sesuai untuk manusia.

Ketika berhadapan situasi sukar, Islam meraikan kepayahan manusia. Inilah syariat yang mampu dibawa manusia.

Akan tetapi janganlah pula kita mudah mengambil rukhsah walaupun mampu berpuasa hanya kerana melihat kisah ini. Pastinya kesukaran perang Badar atau Pembukaan Kota Mekah pasti tak sama dengan musafir kita yang bermandikan penghawa dingin bas, kereta atau kapal terbang.

Puasalah! Sesungguhnya puasa dalam bulan Ramadan tidak sama berkat dan nilainya berbanding bulan lain.