Archive for 7 Mei 2018

Hukum letak tangan atas bahu isteri orang

1) Apakah hukum seorang suami bergambar berdua dengan isteri orang dengan meletakkan tangan di atas bahu perempuan itu?
2) Makan dan minum isteri, suami yang bayar. Adakah itu dikira sebagai nafkah bulanan yang sepatut suami beri kepada isteri?
3) Apakah hukum bermain WhatsApp dengan isteri orang sampai berkali-kali sehari?
* Ayu, Kelantan.

UKE: 1) Nak bergambar, bergambarlah tapi janganlah sampai bergambar dengan cara yang haram dan boleh mendatangkan fitnah.
Tidak ada sebab yang membolehkan menyentuh perempuan, kenapa perlu disentuh iaitu meletakkan tangan atas bahu perempuan lain? Lainlah kalau kemalangan, sakit atau pengsan maka perlu disentuh kerana ingin memberi bantuan maka ia haruslah. Kalau saja-saja letak tangan maka ia dilarang.
2) Termasuk dalam nafkah yang suami kena tunaikan kepada isterinya menyediakan makan minum kepada isteri.
3) Kenalah tengok isi kandungan WhatsApp. Kalau isi kandungannya haram, lucah, memaki, mengumpat, memfitnah dan segala yang haram, ia menjadi haram.
Kalau WhatsApp kerana urusan kerja yang tidak dapat tidak kena selesaikan maka tidaklah salah menggunakan WhatsApp. Maka anda kena teliti apa isi kandungan mesej WhatsAppnya.