Archive for April 2018

Second opinion menurut al-Quran

Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz

 

KADANGKALA kita merasakan diri ini benar, tapi belum tentu kebenaran benar-benar memihak kepada kita. Boleh jadi ia nampak seperti benar kerana mata kita sudah diwarnai oleh kaca mata pilihan sendiri. Itulah sifat manusia, sentiasa berasa diri yang paling benar walaupun kebenaran itu masih samar. Sikap sebegini adalah fitrah manusia sebagaimana firman Allah SWT:

“(Jangan kamu jadi seperti orang Musyrikin), iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisih mengikut kecenderungan masing-masing dan mereka pula jadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (fahaman dan amalan yang terpesong itu),” (al-Rum [30:32]).

Cukup ironi apabila para penyembah berhala di Mekah turut yakin mereka benar dan orang Islam sebenarnya yang sesat:

“Sesungguhnya orang yang derhaka, (dahulunya) selalu tertawakan orang yang beriman. Dan apabila orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang yang beriman, mereka berkata: “sesungguhnya orang itu adalah golongan yang sesat!,” (Al-Mutaffifin [83:29-32]).

Bukan hanya mereka, Firaun yang menjuarai carta manusia paling zalim sepanjang sejarah manusia pun turut berasa dirinya benar dan Nabi Musa a.s. yang paling jahat. Perhatikan firman Allah ini:

“Dan Firaun berkata (kepada pengikutnya): “Biarkan aku bunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi,” (Ghafir [40:26]).

PENYELESAIANNYA?


Oleh kerana semua pihak berasa dirinya benar, apa penyelesaiannya?

Pastinya neraca benar atau sesat ditimbang melalui hujah dan fakta. Pun begitu bagi manusia yang dangkal, hujah fakta mudah sahaja mereka sangkal, walaupun tanpa diketahui hujung pangkal. Hujah fakta bukanlah makanan minda yang mampu mereka hadam. Akibatnya kedegilan dan kebodohan mereka sukar dipadamkan.

Antara alternatif mudah saranan al-Quran bagi menangani manusia malas berfikir adalah mendengar pandangan orang lain atau second opinion. Pandangan kedua lebih berkesan jika yang meluahkan pandangan adalah golongan pakar lagi terpelajar.

Ketika Musyrikin Mekah menyimpan ‘otak dalam almari’ kerana risau terkena jangkitan kebenaran hujah Rasulullah SAW, Allah cadangkan agar mereka menerima pandangan kedua daripada golongan Ahli Kitab.

Mengapa Ahli Kitab? Tidak lain kerana mereka adalah pakar perihal kitab langit dan agama wahyu. Ahli Kitab juga sudah sekian lama dikagumi oleh orang Arab Mekah:

“(Al-Quran diturunkan) Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka. Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka,” (al-An’am [6:156-157]).

Pandangan kedua sebenarnya agak selamat untuk dijadikan makanan minda kerana ia bebas daripada kecenderungan pihak bertelagah. Apabila telagah Musyrikin Quraish dengan Rasulullah SAW berlaku dengan sengit, Allah mencadangkan orang Mekah merujuk pandangan kedua daripada golongan yang mereka kagumi. Benarkah dakwaan wahyu oleh Muhammad ini? Berikutan itu Allah menurunkan ayat ini:

“Oleh sebab itu, sekiranya engkau berasa ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyalah kepada orang yang membaca kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau jadi daripada golongan yang ragu,” (Yunus [10:94]).

Dalam firman lain Allah turut menyarankan perkara sama:

“Dan Kami tidak utus para rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka tanyalah kamu kepada Ahluzzikri (orang yang mengetahui seperti Ahli Kitab adakah pernah ada para Rasul diutus dalam kalangan malaikat. Mereka pasti menjawab – tidak ada) jika kamu tidak mengetahui. Dan Kami tidak jadikan para rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia),” (al-Anbiya’ [21:7-8]).

FITRAH MANUSIA


Manusia itu perbagai ragam. Ada yang hatinya lembut senang menerima siraman wahyu, ada pula yang keras bak batu menolak apa sahaja siraman padanya. Untuk itu Allah memberi alternatif agar mereka bertanya pandangan orang lain untuk lebih memahami.

Bak kata, ada yang mudah percaya jika ada orang memberitahunya ada sesuatu melekat pada hidungnya. Ada pula yang keras kepala tidak mempercayainya sehingga mengatakan individu itu menipu untuk mengejeknya.

Oleh itu, manusia jenis kedua ini memerlukan cermin sebagai ‘pandangan kedua’ untuk membuktikan hidungnya bersih daripada sebarang cacat adalah salah dan temannya itu ikhlas menegur.

Perkara sama patut diamalkan dalam hidup bersosial dan beragama. Bukan semua sudut pandang atau pegangan kita tepat 100 peratus. Mungkin ada sudut serong pada mata kita lalu perlu ada sudut pandang lurus daripada orang lain. Mungkin ada kanta mata kita yang kelabu kerana ego menutup kebenaran, lalu kita perlukan suluhan orang lain agar terang keputusan kita. Begitulah lumrah kehidupan! Beruntunglah orang yang sedia menerima teguran atau nasihat.

 

Tiada nafkah selepas iddah

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi

 

PASANGAN suami isteri telah bercerai. Mereka mempunyai anak yang tinggal bersama ibunya. Bagaimana dengan sewa rumah yang didiami wanita ini bersama anaknya?

Apabila pasangan suami isteri bercerai dan habis tempoh idah maka tiada lagi ikatan perkahwinan antara mereka. Pada saat itu, tiada lagi tanggungjawab ke atas lelaki/bekas suami untuk memberi nafkah perbelanjaan kepada wanita/bekas isteri.

Bagaimanapun, pasangan ini mempunyai anak. Lelaki itu wajib bertanggungjawab terhadap anaknya walaupun dia tidak duduk bersamanya. Oleh itu, wajib bagi bapa memberi nafkah kepada anaknya. Nafkah ini boleh diberikan melalui ibu kepada anak atau bekas isterinya.

Pemandu Grab boleh jamak?

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi

APAKAH harus bagi pemandu teksi atau Grab yang memandu sekitar Kuala Lumpur tetapi sudah melebihi 90 kilometer (km) untuk menjamakkan solat fardu?

Secara umum, apabila wujud status musafir maka wujud keharusan untuk menjamakkan solat. Contohnya bagi pemandu bas dari Perlis ke Kuala Lumpur. Jaraknya melebihi 90 km dan melebihi jarak dua marhalah dalam syarat jamak solat.

Status musafir sudah terpakai kepada pemandu bas. Maka wujud keharusan untuk jamak solat bagi pemandu bas.

Namun begitu, bagi pemandu teksi, mereka tidak bermusafir. Pemandu teksi memandu dalam sesuatu kawasan.

Contohnya, sekitar 20 km bagi pelanggan pertama, kemudian 20 km lagi pelanggan kedua, kemudian 25 km pula untuk pelanggan ketiga. Kemudian berehat dan memandu lagi 20 km untuk pelanggan keempat.

Jika dikira, sudah melebihi jarak 90 km. Maka pada pandangan saya yang daif ini, belum wujud keharusan untuk menjamakkan solat.

 

Bolehkan buat jamuan hari lahir

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi

 

Buat jamuan sesuatu yang elok

APAKAH hukumnya membuat sedikit jamuan sempena hari lahir?

Tiada masalah. Ini kerana jamuan makan adalah sesuatu yang baik. Ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Di samping itu, tetamu yang hadir dapat berdoa agar tuan rumah sihat dan dimurahkan rezeki.

 

Cara berkahwin dengan bekas isteri orang

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi

Pastikan bukan isteri orang!

SEORANG wanita yang kali pertama berkahwin telah bercerai iaitu kira-kira lima tahun lalu. Kemudian dia ingin bernikah bagi kali kedua, namun pihak pejabat agama meminta surat nikah dan surat cerai asal bagi perkahwinan pertama.

Malangnya, wanita ini kehilangan dokumen asal. Mengikut cerita, proses kelulusan perkahwinan kedua tidak akan diteruskan selagi surat nikah asal tidak ditemukan. Bagaimana dengan pernikahan wanita ini?

Saya tiada pengetahuan tentang prosedur pernikahan yang diuruskan oleh pihak jabatan agama. Dalam syariah Islam, antara syarat utama ialah wanita itu bukan isteri kepada seseorang.

Maka dalam kes wanita ini, tiada masalah baginya untuk bernikah buat kali kedua. Ini kerana dia sudah bercerai.

Dokumen surat nikah dan dokumen perceraian boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa agama, manakala pihak berkuasa agama akan mengurus dan memudahkan proses perkahwinan.

 

Musafir balik mengundi boleh jamak qasar solat

Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al-Jarumi

APAKAH hukumnya bagi pengundi yang bermusafir jauh untuk mengundi. Maksudnya apakah harus bagi mereka untuk jamak qasar solat?

Pengundian adalah satu perkara penting dalam pentadbiran negara demokrasi. Demokrasi sebegini tidaklah bertentangan dengan hukum syariah. Ini kerana syariah membuka ruang yang luas dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, adalah harus bagi Muslim untuk jamak dan qasar solat apabila bermusafir dengan tujuan mengundi.