Oleh itu, setiap manusia sejak zaman Rasulullah sehingga hari kiamat wajib beriman dan beramal dengan syariah Allah yang diwah­yukan kepada baginda. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah 34 (Saba’) ayat 28 maksudnya:“Dan Kami tidak mengutus kamu ­melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi ­peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Syariah atau perundangan Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah lebih ringan dan moderat jika dibandingkan dengan wahyu ­Allah kepada Nabi Musa AS. Orang Yahudi ketika zaman Rasulullah menggelar baginda sebagai takfif (meringankan hukum hakam).

Hukum hakam berkaitan jenayah yang diwahyukan kepada Nabi Musa AS adalah terikat kepada qisas. Qisas adalah istilah dalam perundangan Islam yang bererti pembalasan (memberi hukuman yang setimpal), mirip de­ngan istilah ‘hutang nyawa dibayar nyawa’.

Dalam kes pembunuhan, hukum qisas memberikan hak kepada keluarga mangsa untuk meminta hukuman mati kepada pembunuh. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah 5 (al-Maidah) ayat 45 yang bermaksud: “Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (al-Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata de­ngan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka dengan luka (pun) ada qisasnya. Barang siapa yang melepaskan (hak qisasnya), maka itu menjadi penebus dosa baginya. Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”

Perundangan jenayah yang diwahyukan kepada Rasulullah lebih ringan yang mana keluarga mangsa berhak memilih untuk menghukum penjenayah sama ada dalam bentuk qisas, diat (memaafkan pembunuh dan meminta penebusan dalam bentuk material) atau memaafkan penjenayah. Apabila penjenayah terlepas daripada hukuman qisas dan diat maka hukuman terhadapnya adalah berdasarkan kepada takzir. Takzir adalah salah satu daripada perundangan Allah yang memberi keistimewaan kepada pemimpin atau pemerintah Islam yang sah untuk menentukan hukum hakam terhadap kes tertentu bergantung kepada ke­perluan dan kemaslahatan.

Hukuman takzir adalah kesalahan-kesalahan yang hukumnya adalah dera iaitu penjenayah tidak dijatuhkan hukuman had atau qisas. Hukuman takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam al-Quran. Jenis, kadar dan bentuk hukuman takzir itu terserah kepada ­kebijaksanaan hakim untuk memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman takzir itu adalah bertujuan menghalang penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan bukan untuk menyeksa mereka.

Apabila diteliti dan difahami perundangan Allah maka jelas menunjukkan Allah menyeru hamba-Nya yang beriman supaya mengendalikan urusan kehidupan mereka secara bertolak ansur, bermaafan, dan menghargai kebaikan walaupun dalam kes pembunuhan dan jenayah.

Sejauh manakah umat Islam dapat merealisasikan keistimewaan perundangan Allah adalah bergantung kepada keupayaan ulama menjelaskan kepada masyarakat mengenai keindahan hukuman Allah supaya penjelasan itu dapat menyerap hati nurani dan minda masyarakat. Setiap perundangan yang ingin dilaksanakan memerlukan penelitian dan kajian mengenai konteks dan suasana masyarakat dan negara.

Mungkin pelaksanaan perundangan tersebut mudah dilaksanakan oleh negara-negara Islam tertentu kerana sosiopolitik, ekonomi dan sistem pemerintahan negara tersebut berdasarkan kepada sistem monarki tulen dan majoriti masyarakatnya adalah penganut agama Islam yang masih teguh mengamalkan tradisi kehidupan Islam yang kukuh. Kuasa raja yang mutlak dalam hal ehwal kenegaraan, pemerintahan dan kepimpinan memberi peluang yang penuh kepada ulama negara tersebut menentukan bentuk perundangan Islam bagi negara mereka.

Dalam konteks negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen setiap perundangan yang ingin dilaksanakan perlu dibentang dan dibahas dalam Parlimen. Apabila kuasa politik umat Islam lemah maka harapan untuk melaksanakan perunda­ngan Islam menghadapi kesukaran walaupun berkaitan dengan perundangan peribadi umat Islam.

Tambahan pula corak kehidupan umat Islam lebih menjurus kepada konsep kehidupan masyarakat sekular yang gemar kepada hedonistik yang mana dosa dan pahala bukan menjadi kayu ukuran dalam kehidupan masyarakat. Selama mana ke­sedaran dan penghayatan Islam tidak dapat disemai dan diserap dalam sanubari majoriti umat Islam maka selama itulah hasrat untuk melaksanakan hukum hakam Islam mendapat tenta­ngan daripada umat Islam sendiri.

Apabila sesuatu perundangan Islam ingin dilaksanakan maka pakar perundangan dalam negara sama ada berlatar belakang pendidikan agama dan konvensional sepatutnya berada dalam perbahasan tersebut. Setiap individu yang terlibat dalam perbahasan tersebut sepatutnya memiliki sikap ikhlas dan mutual understanding supaya setiap keputusan yang diambil menepati konteks dan suasana masyarakat dan negara. Sikap mengutuk, mencemuh antara satu sama lain sepatutnya dielakkan supaya perbahasan mengenai perundangan Islam tidak dijadikan sebagai isu untuk menunjukkan kelemahan perundangan Allah. Oleh itu, ­takutilah Allah dalam melaksanakan amanah-Nya di dunia ini.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN