Bagaimanapun gambaran stereotaip tentang Islam di dalam media Barat, dan seperti yang difahami oleh orang Barat, sebenarnya bukanlah satu perkara baru dalam pertembungan antara Islam dan Barat. Pertentangan, pada hakikatnya, telah dapat dikesan kembali kepada jangka masa yang lama, ketika Islam dan Kristian terlibat dalam perang salib, demikian juga dalam konflik empayar Othmaniah ketika Islam berjaya mengembangkan sayapnya ke Eropah yang dianggap sebagai ancaman kepada agama Kristian dan gereja serta pemerintah mereka.

Menjelang zaman moden dan ICT sekarang ini maka penentangan terhadap agama Islam, malah terhadap semua agama seluruhnya, telah berlaku, seperti yang telah saya jelaskan di dalam ruang ini dalam tulisan yang lalu. Golongan yang tidak percayakan Tuhan, ateis, menonjolkan pemikiran anti semua agama, dan semua umat yang percayakan agama, the believers. Mereka cuba mengambil kesimpulan bahawa agama tidak lagi relevan dengan zaman ini.

Pandangan sarwajagat Islam nampaknya mulai keliru dalam kalangan penganut Islam sendiri, terutamanya golongan muda Islam, kerana terdapat aliran pemikiran dan gagasan baru yang lebih moden dan liberal dalam kalangan umat Islam sendiri yang cuba mendominasikan senario Islam dengan doktrin baru tentang agama Islam.

Salman Rushdie menerbitkan bukunya The Satanic Verses pada 26 September 1988. Taslima Nasrin, penulis Bangladesh, telah menerbitkan tulisannya yang bercanggah dan berbeza pendapat dengan kefahaman majoriti umat Islam bagi pentafsiran beberapa ayat al-Quran yang tertentu.

Dalam peristiwa ini, terdapat para ulama Islam yang telah mengeluarkan fatwa bahawa darah Salman Rushdie adalah halal, dan hal yang sama juga dikatakan terhadap Taslima Nasrin, sehingga hal ini telah menimbulkan perasaan marah dan sentimen yang amat tinggi di dalam masyarakat Islam. Dalam semangat penentangan yang meluap-meluap inilah terdapat banyak demonstrasi terhadap kedua-dua penulis ini, dan akibatnya bercampur de­ngan emosi yang akhirnya berlaku pertempuran dengan pihak pemerintah dan sesama sendiri sehingga memakan korban nyawa umat Islam sendiri.

Dalam kes yang sama juga, pada 1992, seorang ahli akademik Mesir, Nasr Abu Zaid, telah dipaksa hadir di mahkamah bagi menceraikan isterinya atas tuduhan bahawa tulisannya mengenai Islam telah menjadikannya murtad, justeru dia haruslah berpisah dengan isterinya.

Banyak insiden dan contoh lain yang dapat diberikan yang telah berlaku di dalam dunia Islam, termasuk dalam isu perbezaan kefahaman mazhab, hingga mencetuskan peperangan sama sendiri yang memakan korban begitu banyak hingga ke saat ini.

Di negara kita sendiri, hal ini mulai menunjukkan bibit-bibit yang agak berbahaya, iaitu dengan timbulnya suara-suara dan beberapa amalan yang dikatakan menyen­tuh akidah dan syariah, malah mengakibatkan murtad bagi para pelaku itu.

Dalam konteks negara kita, apakah kita juga akan berhadapan dengan krisis yang pernah berbangkit di dunia Islam lain seperti yang berlaku dalam kes Salman Rushdie atau Taslima Nasrin, yang nampaknya mulai menimbulkan percikan bunga api dalam kes perbezaan kefahaman tentang Islam oleh golongan dan kumpulan tertentu dalam masyarakat kita hingga ke masa kini?

Kita memang merasa kesal dengan penentangan daripada golongan tertentu terhadap agama Islam yang cuba dikelirukan dengan pandangan moden yang agak permisif. Tetapi pada masa sama, kita juga tidak mahu melihat reaksi yang emosional dan defensif yang melampau dalam kalangan umat kita sendiri.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan beberapa elemen dalam kalangan umat Islam yang melahirkan sikap ekstremisme, antaranya:

1. Kecetekan intelektual yang mengakibatkan krisis dalaman masyarakat Islam yang tidak dapat memfokuskan kepada masalah yang menjadi keutamaan dalam strategi perjuangan umat Islam dan penghayatan ajarannya. Beliau memetik ayat 7 surah Ali-Imran tentang teks al-Quran bagi ayat-ayat yang menjelaskan kategori hukum Muhkamat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya) dan Mutasyabihat (yang sama-samar tidak terang maksudnya). Hal ini juga sering menjadikan pe­nganut Islam mengeluarkan tafsiran dan pandangan yang agak radikal ketika mentafsirkan ayat-ayat Mutasyabihat. Malah beliau menerangkan dengan agak panjang lebar dalam isu perbezaan pandangan dan penyelesaiannya itu.

2. Golongan ekstremis juga nampaknya sering mengambil sikap yang terlalu ideal dalam usaha kembali kepada ajaran as-Sunnah sedangkan Rasulullah SAW hidup di Makkah selama tiga belas tahun mengerjakan solat dan tawaf di Baitullah sedangkan Kaabah dikelilingi oleh 360 berhala kaum musyrikin. Hal ini menunjukkan bahawa baginda sentiasa mengambil sikap yang praktikal dan memberi masa untuk mengubah iklim serta persekitaran latar belakang yang tertentu.

Dalam tahun 10H (631M) Nabi Muhammad SAW telah menerima satu rombongan penganut Kristian dari Najran di dalam Masjid Al-Nabawi. Baginda telah membenarkan penganut Kristian itu menunaikan ibadat mereka di dalam masjid, diikuti dengan perbincangan tentang doktrin ketuhanan dan kenabian, termasuk kerasulan Nabi Isa, dan baginda membaca ayat al-Quran dari surah Al-Ikhlas dan ayat 59–61 surah Ali-Imran untuk menjelaskan pengajaran Islam tentang isu yang dibincangkan.

Saya berpandangan bahawa ruang untuk berbicara secara sihat dan mesra masih terbuka, yang sepatutnya dapat dilakukan dalam isu-isu perbezaan tanggapan dan tafsiran ini, terutamanya yang menyentuh masalah ijtihad dan perbezaan mazhab dalam perkara-perkara cabang dan ranting. Asalkan tidak menyentuh hal-hal yang teras dan fundamental.