Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sayangnya ramai yang tidak mengendahkan hadis tersebut walaupun kesannya amat besar iaitu hilang pahala solat Jumaat. Maknanya, ibarat kita bekerja tanpa gaji.

Hadis itu bertujuan mengingatkan para jemaah memberi fokus kepada isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib dan juga tidak mengganggu jemaah lain. Namun demikian, jemaah masih boleh menegur anak-anak remaja yang berkata-kata semasa khutbah menggunakan bahasa isyarat seperti meletakkan jari telunjuk di mulut.

Terkini, perbuatan mengutip wang atau derma ketika khutbah turut dibahaskan sama ada termasuk dalam maksud ‘diam’. Sebabnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam Nawawi Rahimahullah: Dalam hadis itu ada larangan bermain dengan batu dan selain daripada jenis itu kerana itu adalah sebahagian daripada perbuatan sia-sia ketika khutbah (Jumaat). Di sini terdapat isyarat agar ditujukan hati dan anggota badan semata-mata kepada khutbah. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim).

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 27 Februari 2017 memutuskan haram menggerakkan tabung atau mengutip derma ketika khatib berkhutbah Jumaat.

Sememangnya solat Jumaat adalah antara peluang terbaik untuk masjid-masjid menggerakkan tabung derma kerana bilangan jemaah yang melimpah-ruah memenuhi segenap ruang dalam dan luar masjid. Ironinya, mahu digerakkan tabung derma sebelum azan, masjid masih kosong. Kebanyakan jemaah datang lewat dan ramai yang masuk selepas azan pertama dikumandangkan. Dengan kata lain, jumlah sumbangan derma ketika itu tidak seberapa berbanding ketika khatib berkhutbah.

Jabatan Mufti Negeri Selangor pula memberi pandangan kutipan tabung Jumaat ketika khatib berkhutbah adalah diharuskan dengan syarat berikut:

* Tidak menghalang para jemaah mendengar khutbah Jumaat.

* Hasil kutipan adalah untuk maslahah masjid seperti membayar bil elektrik, air dan penyelenggaraan.

* Tidak ada cara lain yang mudah untuk mendapat infak daripada para jemaah yang mencukupi bagi memakmurkan masjid.

Kadang-kadang ada baiknya juga digerakkan tabung derma semasa khutbah. Sebabnya dapat menyedarkan insan-insan yang terlena kerana terlalu ‘khusyuk’ menghayati isi kandungan khutbah.

Oleh itu, ahli jawatankuasa masjid hendaklah bijak memilih cara terbaik dalam perkara ini. Antara alternatifnya, gerakkan tabung selepas solat Jumaat selain mengambil kira lokasi yang sesuai ketika memungut derma untuk masjid. Khatib juga boleh menggalakkan derma kepada masjid dan mendoakan kepada penderma pada akhir khutbahnya sebagai salah satu kempen untuk mengga­lakkan amalan itu. Bagi menjayakannya, kita hendaklah datang awal ke masjid untuk solat Jumaat.

Dalam bab ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mandi seperti mandi janabah (mandi daripada hadas besar) pada hari Jumaat, kemudian ia pergi ke masjid pada waktu yang pertama, maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor unta. Siapa yang pergi ke masjid pada waktu kedua, pahalanya seperti berkorban seekor lembu. Siapa yang pergi ke masjid pada waktu yang ketiga, pahalanya seperti berkorban seekor kambing. Siapa yang pergi ke masjid pada waktu yang keempat, pahalanya seperti pahala berkorban seekor ayam. Siapa yang tiba di masjid pada waktu yang kelima, pahalanya seperti berkorban sebiji telur. Apabila imam telah keluar, para malaikat hadir untuk mendengar khutbah (dan tidak ada lagi yang mencatat setelah itu).” (Riwayat Muslim)