Bukan sahaja mempunyai kepakaran tersebut, malah wilayah itu turut dianugerahkan dengan sumber batu permata berharga dan berwarna warni seperti berlian, delima, nilam, intan serta zamrud. Sumber dan kemahiran yang tinggi menghasilkan barangan kemas kundan menjadi antara lambang kemewahan Empayar Mughal.

Daripada segi sejarah, teknik pembuatan barangan kemas ini dipercayai berkembang dari sebuah kota yang dikenali sebagai Jaipur iaitu terletak di negeri Rajasthan.

Rajasthan mempunyai kaitan dengan empayar Mughal apabila seorang puteri kepada pemerintah pada waktu itu yang bernama Jodha Bai berkahwin dengan Maharaja Mughal bernama Akbar pada abad ke-16 Masihi. Baginda dikatakan membawa pengaruh teknik kundan ini ke dalam Empayar Mughal.

Kundan merupakan istilah merujuk kepada kepingan emas tulen dan amat lembut yang digunakan dalam pembuatan barangan kemas ini. Dua ciri paling ketara dan unik dalam teknik kundan ialah saiz batu permata yang digunakan adalah besar dan kedua keterlihatan emas digunakan adalah minimum.

Antara barangan kemas masyarakat India paling menonjol dengan penggunaan teknik ini ialah kalung atau rantai leher. Kalung yang menggunakan teknik ini menghasilkan satu gaya unik di mana rekaan dan susunannya nampak agak kasar tetapi penuh dengan sinaran permata.

Ini disebabkan oleh batu permata bersaiz besar dan mempunyai pelbagai bentuk dalam satu susunan yang harmoni.

Secara teknikal, kundan merupakan satu hasil kerja tangan melibatkan kemahiran logam dalam membentuk bingkai luar daripada jalur logam yang ditempa menjadi bentuk bulat atau bujur kecil sebelum bingkai ini dicantumkan bagi mendapatkan bentuk lebih besar.

Ia kemudiannya dilekatkan atas kepingan emas sebagai tapak yang membentuk sarang atau tempat batu permata. Lalu sejenis ketulan lilin dimasukkan ke dalam sarang yang telah siap dan dipanaskan supaya lilin memenuhi bahagian dalam sarang.

Batu permata yang telah dipilih dan dipotong diletakkan di atas lilin dan ditekan sedikit sebelum lilin dipanaskan sekali lagi. Seterusnya penggunaan kundan yang merupakan kepingan emas nipis dan sangat lembut digunakan bagi menutup bahagian tepi bingkai emas selepas siap ditatah dengan batu permata.

Setelah semua bahagian bingkai telah siap ditutup, haba digunakan untuk melembutkan emas supaya ia kelihatan licin dan sekata. Tiada sebarang cangkuk kelihatan atas batu permata seperti yang sering digunakan dalam teknik tatahan batu permata dari Barat bagi memastikan batu permata tidak jatuh.

Ini kerana kombinasi sarang, lilin dan kundan telah menjadikan tatahan batu permata dapat bertahan lama.

Selepas teknik ini berkembang dalam empayar Mughal, maka percubaan turut dilakukan bagi logam yang lebih murah harganya berbanding emas iaitu perak. Batu permata separa berharga turut digunakan bagi menghiasi barangan kemas ini.

Ini menjadikan harga perhiasan ini lebih murah dan mampu milik bagi golongan rakyat biasa. Kebanyakan perhiasan sebegini digunakan dalam majlis perkahwinan sebagai perhiasan mahupun hantaran dan hadiah.

Teknik ini juga digunakan dalam pembuatan butang baju yang banyak digunakan oleh kaum lelaki Melayu, India dan Punjabi pada potongan leher pakaian dikenali sebagai cekak musang di Malaysia.

Teknik ini memerlukan kemahiran kerja tangan yang sukar untuk diganti dengan mesin kerana ia memerlukan ketelitian dalam setiap peringkat penyediaannya.