Tun Ahmad Fairuz dilaporkan berkata sedemikian dalam seminar ‘Islam As The Law of The Land’ pada 25 Mac lalu anjuran bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Malaysian Lawyers Circle, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Concerned Lawyers For Justice, iPeguam dan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).

Saya terpanggil untuk mengulas dua isu yang dibangkitkan kerana ia amat penting untuk difahami rakyat Malaysia.

Pelbagai kritikan dilontarkan terhadap bekas Ketua Hakim tersebut berkaitan pandangannya.

Pada masa ini Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 menyatakan tentang pemakaian undang-undang lazim di England sekiranya berlaku lompong dalam undang-undang negara.

TERPAKAI JIKA WUJUD LOMPONG

Ini bermakna undang-undang lazim England mestilah dipakai jika terdapat lompong dalam undang-undang di Malaysia. Namun apa yang menyedihkan seperti dibangkitkan Tun Ahmad Fairuz ialah undang-undang tersebut adalah undang-undang lazim di England pada 7 April 1956 untuk Malaysia Barat, 1 Disember 1951 (Sabah) dan 12 Disember 1949 (Sarawak) dan bukan undang-undang lazim di England pada hari ini.

Sudahlah England sendiri tidak lagi menggunakan undang-undang lazim tersebut, Malaysia masih dikongkong untuk memakai undang-undang zaman pramerdeka tersebut.

Mana logiknya undang-undang ini masih mahu dikuatkuasakan? Tidakkah ia merupakan undang-undang lapuk ketinggalan zaman?

Oleh itu Tun Ahmad Fairuz menyarankan agar kita menanggalkan pakaian kolonial tersebut dengan memakai undang-undang lazim Malaysia yang berpaksikan kepada undang-undang syariah.

PERLU DIBANGUNKAN MENGIKUT ACUAN TEMPATAN

Secara peribadi saya sangat mengalu-alukan pandangan ini kerana undang-undang lazim Malaysia lebih dekat dengan rakyat Malaysia, teras Islam yang dicadangkan pula merupakan teras dan paksi yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam merupakan antara jati diri atau struktur asas yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak dapat dinafikan lagi. Sewajarnya selepas tarikh-tarikh yang disebutkan itu, undang-undang lazim di Malaysia dibangunkan mengikut acuan tempatan.

Jika undang-undang lazim England yang begitu asing dan berpuluh-puluh ribu batu dari tanah air boleh diambil kenapa tidak undang-undang Islam yang sudah sebati dalam kalangan rakyat tempatan.

Malah pada 25 Mei 1999 Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Eusoff Chin dalam satu surat menegaskan undang-undang lazim England hanya boleh dipakai di Malaysia jika tidak ada apa-apa undang-undang bertulis di Malaysia mengenai sesuatu perkara itu; prinsip-prinsip undang-undang lazim di England selepas tarikh yang disebutkan di atas tidak mengikat Mahkamah Malaysia dan pemakaian prinsip undang-undang lazim adalah tertakluk kepada adat resam dan budaya penduduk-penduduk Malaysia.

Tun Eusoff seterusnya menasihati para hakim agar tidak terburu-buru untuk menerima pakai tanpa mengkaji dengan mendalam keputusan-keputusan dibuat oleh mahkamah di England selepas tarikh tersebut.

Oleh itu, pandangan Tun Ahmad Fairuz adalah selaras dengan saranan Ketua Hakim sebelumnya itu.

KENAPA MASIH ENGGAN BERUBAH?

Persoalannya kini, kenapa Kerajaan walaupun setelah hampir enam dasawarsa mencapai kemerdekaan peruntukan di atas masih belum dimansuhkan walaupun teguran memansuhkannya telah lama diperkata termasuk oleh tokoh perundangan negara seperti Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim suatu ketika dahulu.

Isu kedua berkenaan dengan undang-undang syariah. Ramai mengkritik Tun Ahmad Fairuz dengan menyatakan Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntuk walaupun kedudukan Islam itu tinggi tiada apapun yang boleh menidakkan ketinggian Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengatakan pandangan Tun Ahmad Fairuz tersasar daripada prinsip Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Saya sangat bersetuju kedudukan undang-undang sekarang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi. Tiada sesiapapun yang boleh pertikaikan kedudukan tersebut. Begitu juga peruntukan jelas dalam Perkara 3(4) di atas.

Namun perkataan Islam dalam Perkara 3 mestilah diberikan makna yang sebenar iaitu merangkumi segala aspek kehidupan seperti yang diputuskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.