Archive for Mac 2017

Gugur kandungan kerana Isteri tidak mahu anak

Isteri saya hamil tetapi dia tidak mahu anak lagi. Dia cari ubat dan buah-buahan untuk gugurkan kandungan dalam perutnya. Apakah pandangan ustaz?
Suami kecewa, KL.

UKE: Kenapa isteri tidak mahu anak lagi? Sebab sakit? Doktor nasihat sudah cukup atau sudah banyak kali pembedahan semasa bersalin atau tidak mampu dari segi kewangan? Anda tidak menceritakan sebab musabab macam mana saya hendak jawab soalan anda?
Mesti ada sebab kenapa dia enggan bersalin lagi dan anda kena jelaskan sebab tersebut. Apa pun anak adalah anugerah daripada Allah SWT.

Cara kira bilangan talak selepas rujuk

Jika pasangan suami isteri telah bercerai talak dua tetapi selepas idah mereka berkahwin semula dengan akad yang baharu. Apakah situasi begini dikira pernikahan baharu yang belum ada lafaz talak lagi?
Sue Abdullah, Senawang.

UKE:  Perceraian ialah perbuatan halal yang dibenci Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Di sebalik perbuatan halal yang dimurkai Allah itu, perceraian ialah penyelesaian masalah kepada pasangan suami isteri yang tidak dapat lagi hidup bersama atas pelbagai sebab.
Namun begitu mereka boleh rujuk semula di dalam tempoh idah. Jika tempoh idah telah tamat tetapi mereka tidak juga rujuk maka jika mereka ingin bersama semula maka hendaklah dengan akad nikah yang baharu yang bermakna macam semasa bernikah dululah hukumnya.

Bilangan talak dicampur dengan bilangan talak sebelum ini iaitu menjadi tiga dalam kes ini

Amalan hindari Bisikan syaitan

Ibu saya terkena gangguan. Dia selalu ada lintasan untuk mensyirikkan Allah. Contohnya seperti nampak kelibat salib termasuk terlintas dalam kepala. Apakah yang patut dilakukan?
Anak Risau, Kuala Lumpur.

UKE: Saya risau jika ibu anda melayan apa yang dia rasa atau terlintas di fikirannya yang boleh membawa penyakit was-was atau gangguan perasaan. Suka saya menyarankan agar anda mendapatkan rawatan daripada pusat rawatan Islam atau orang alim untuk membantu ibu anda agar dapat keluar daripada gangguan tersebut.
Mungkin juga anda boleh membawa ibu anda menemui pakar kejiwaan yang mungkin dapat membantu dalam sudut kaunseling. Seterusnya, saya minta agar anda membantu ibu anda dengan beberapa kaedah seperti:
a) Selalu mengamalkan solat berjemaah,
b) Pastikan makanan dimakan bersih termasuk persekitaran luar dan dalam rumah,
c) Biasakan agar ibu anda mandi dengan beberapa biji limau nipis setiap petang,
d) Jadikan Surah al-Mulk sebagai bacaan harian bagi ibu,
e) Selalu amalkan ayat ke-56 daripada Surah Hud sebagai bacaan selepas solat

Antara zakat dan nafkah

Apakah hukumnya seorang suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri, tetapi setiap tahun membayar zakat. Dia menuduh saya boros sedangkan saya membeli keperluan dengan menggunakan wang sendiri.

Suami juga mengesyaki saya akan membolot segala hartanya dan tidak melayan saya dengan baik kerana prasangka tersebut.
Izyan, Negeri Sembilan.

UKE: Zakat adalah kewajiban suami kepada Allah apabila cukup segala syaratnya manakala nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami kepada isterinya.

Allah berfirman: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (al-Thalaq:7).

Dalam masalah pemberian nafkah kepada isteri, maka Islam tidak menetapkan dengan jumlah tertentu. Akan tetapi Allah memerintahkan suami agar bersikap kepada isterinya dengan makruf (baik, patut, adil). Nabi SAW sebagai ikutan kita, baginda juga telah menetapkan bahawa nafkah itu mencukupi untuk isteri dan anak.

Ini yang dinamakan adil. Begitu juga suami hendaklah melayani isterinya dengan baik malah menyantuninya dengan penuh kasih sayang dan bukannya untuk disakiti, diaib, atau diseksa jiwa dan raganya.
Allah berfirman: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) secara patut.” (al-Nisa’:19).

Saya sarankan agar perbelanjaan rumah tangga anda serahkan semula kepada suami anda melainkan jika dia tidak mampu. Itu adalah kewajibannya untuk menanggung keluarga anda.

Bila banyak perkara yang isteri tanggung, maka banyaklah kewajiban suami dilepaskan begitu sahaja. Anda juga boleh menuntut hak anda jika berasakan suami mampu memberinya tetapi dia tidak melaksanakannya.

Bab hendak bolot harta itu, anda kena terangkan dengan elok-elok bahawa tiada keinginan untuk anda membolot hartanya. Jelaskan elok-elok.

 

Segarkan Pendidikan Islam

REALITI masa kini untuk berkembang dengan lebih berkesan, kita perlu melakukan perubahan atau penambahbaikan agar selaras dengan tuntutan semasa. Ia amat penting bagi mengelak daripada ketinggalan dalam perkembangan pesat arus semasa.

Tidak kiralah individu atau produk. Semuanya perlu melalui proses tersebut supaya tidak kehilangan perhatian daripada khalayak. Samalah dengan kurikulum pendidikan Islam yang kualitinya pada setiap masa perlu berada pada tahap tertinggi, sekali gus melahirkan ramai modal insan Muslim berkualiti pada masa depan.

Cadangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Abdullah Din pada Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Amal Islami (MAIM) Yadim di Kuala Lumpur, baru-baru ini mungkin sesuatu yang perlu difikirkan.

Beliau membentangkan kertas kerja ‘Beberapa Cadangan Ke Arah Penambahbaikan Subjek Pendidikan Islam Di Sekolah-Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia.’

MASIH PADA TAKUK LAMA

Jelas Abdullah, jika disusuri secara mendalam terhadap kandungan kurikulum subjek Pendidikan Islam, masih terdapat banyak ruang yang belum diisi sebaik mungkin.

“Sebagai contoh, ilmu Fikah. Kebanyakan sarjana Islam membahagikan ilmu itu kepada empat bahagian iaitu ibadat, Muamalat, Munakahat dan Jinayat (jenayah).

“Tetapi pelajar Islam hanya mempelajari tiga bahagian sahaja ketika berada dalam tingkatan satu hingga lima. Barangkali ada yang akan mengatakan bahagian Jinayat dimasukkan dalam sukatan tingkatan enam.

“Soalnya berapa kerat pelajar Islam menyambung pelajaran di tingkatan enam? Sepatutnya keempat-empat bahagian itu perlu dimasukkan ke dalam kerangka asas subjek tersebut,” katanya.

Seperkara lagi mengenai tajuk-tajuk bahagian ibadat (asas bersuci hingga tajuk haji), kata Abdullah, ia dipelajari terlalu lama iaitu dari sekolah rendah hinggalah ke tingkatan empat, iaitu kira-kira 10 tahun.

“Namun bahagian Muamalat atau kewangan Islam hanya dipelajari semasa dalam tingkatan empat dan itu pun hanya menyentuh beberapa tajuk yang sangat terbatas dan kurang menepati kehidupan seharian pelajar Islam.

“Tajuk-tajuk Muamalat yang diajar di tingkatan empat ialah jual beli dan sewa, gadaian dan syarikat, hutang, insurans dan saham serta riba.

“Sedangkan banyak lagi tajuk lain yang penting berkaitan sistem kewangan Islam yang sangat diperlukan dalam kehidupan seseorang Muslim, antaranya tentang jual beli yang dipakai dalam perbankan Islam, Wadiah, kad kredit, saham amanah dan jual hutang,” katanya.

Dalil naqli berkaitan kehidupan diabai

Ia berlaku dalam bahagian ayat kefahaman dan hadis. Sepatutnya, pemilihan ayat-ayat kefahaman perlu dilakukan semula berdasarkan keperluan semasa.

Contohnya, tajuk berkaitan Nabi Isa a.s. perlu dimasukkan ke dalam sukatan kerana ia menyangkut permasalahan Kristianisasi dan ayat tentang mengutamakan generasi sahabat sebab ia menyentuh gejala syiah yang mencerca dan memaki sahabat semakin menular di negara kita.

“Jumlah hadis perlu diperbanyak agar nampak keperluan Sunah SAW dalam kehidupan. Tahukah kita berapa jumlah hadis yang dipelajari sepanjang lima tahun di sekolah menengah? Pelajar hanya mempelajari 10 hadis sahaja sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Abdullah dalam kertas kerjanya juga mencadangkan agar sebuah buku sirah Nabawiyyah dijadikan sebagai bahan bacaan wajib kepada pelajar Islam seperti mana dalam subjek Sastera, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Biarlah sebelum menamatkan pelajaran di sekolah menengah sekurang-kurangnya setiap pelajar Islam telah menghabiskan bacaan tentang sirah kehidupan Nabi SAW bermula dari kelahirannya hinggalah kewafatan baginda.

“Amatlah malang sekiranya seorang Muslim tidak pernah membaca dan mengetahui sirah kehidupan nabi yang wajib dicintainya,” katanya.

Samalah dengan aspek peruntukan masa untuk subjek Pendidikan Islam di peringkat menengah rendah tidak seharusnya dikurangkan memandangkan gejala yang mengancam akidah dan pemikiran generasi Islam semakin menjadi-jadi.

“Soalan saya, patutkah masa subjek Pendidikan Islam yang dianggap sangat penting dalam kehidupan seseorang Islam dikurangkan?” katanya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/segarkan-pendidikan-islam-1.458280#ixzz4bp0tvJtk
© Utusan Melayu (M) Bhd