JAWAPAN

Keberkatan adalah sabit dengan izin dan kehendak Allah. Masjidilaqsa adalah berkat kerana Allah memberkatinya. Nabi Isa a.s. dinyatakan sebagai diberkati kerana Allah memberkatinya, begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW. Sama juga dengan apa-apa jua yang berkaitan secara langsung dengan Nabi SAW seperti jubah, rambut, kasut dan sebagainya adalah berkat.

Namun begitu, replika atau sesuatu dibentuk menyamai asli tidak sama dengan yang asal. Replika tidak sama dengan benda asal. Replika kasut nabi tidak sama dengan kasut nabi yang asal. Ia sekadar replika sahaja, kita melihat replika untuk sekadar maklumat sahaja.

Jika replika diambil keberkatan dengan dicium, dijunjung dan sebagainya, maka kemungkinan selepas ini kita wajar membuat replika Hajar al-Aswad. Maka tidak perlu lagi berebut-rebut di hadapan Kaabah untuk menciumnya. Cukup sekadar dibuat replika batu itu di negara kita. Adakah ini betul?

Sudah tentu perbuatan ini salah. Replika Hajar al-Aswad sekadar replika. Ia tidak sama dengan yang asal. Maka tidaklah sewajarnya kita berlebih-lebihan dalam memuliakan replika barang Nabi SAW. Cukuplah sekadar melihat untuk menambahkan ilmu sahaja.

Bagi Muslim yang mencium replika kerana cintakan Nabi SAW, maka seeloknya cinta itu dialirkan dengan mengikut ajaran baginda. Bacalah al-Quran dan hadis, belajarlah ilmu. Insya-Allah ia berkat dan banyak kebaikan.