1. Tidak berniat ihram di Miqat

Sering terjadi dalam kalangan jemaah haji terutama apabila melakukan umrah. Kebiasaannya miqat umrah bagi haji adalah di Bir Ali iaitu bagi jemaah yang memasuki Mekah dari Madinah. Sementara itu, Qarnul Manazil adalah tempat miqat umrah bagi jemaah yang terus ke Mekah. Kejadian ini terjadi akibat tertidur atau terlupa semasa bas atau kapal terbang melalui miqat.

2.Tawaf tanpa wuduk

Tawaf merupakan ibadat yang memerlukan jemaah mempunyai wuduk. Jika terbatal wuduk hendaklah mengambil yang baharu dan mengulangi tawaf di tempat berhenti sebelumnya.

3.Tawaf tidak menutup aurat

Sama ada haji atau umrah ibadah itu tidak sah. Jemaah perlu menutup aurat terutama lelaki ketika memakai ihram dan wanita iaitu di bawah dagu dan pergelangan tangan. Selain itu, jemaah haji wanita perlulah memakai stoking tebal dan pakaian bersesuaian semasa berihram.

4. Lupa pusingan tawaf atau sa’ie

Antara dua perkara yang sering berlaku. Jika ragu-ragu sama ada pusingan tawaf empat atau lima, maka pilihlah yang kurang dan tambahkannya bagi mencukupkan tujuh pusingan. Bagi sa’ie pula pusingan ganjil adalah dari Bukit Safa ke Marwah manakala pusingan genap adalah dari Bukit Marwah ke Bukit Safa. Jika ragu-ragu berapa pusingan, maka ambil bilangan yang kecil dan pastikan pengakhiran sa’ie di Bukit Marwah.

5. Bergunting sebelum masa

Jika tidak sempurna bilangan tawaf dan sa’ie tetapi kita bergunting awal maka umrah dikira belum selesai. Kita perlu menyelesaikan tawaf dan sa’ie semula kemudian menyempurnakan dam tergunting tadi iaitu Takhir dan Taqdir.

6. Bersentuhan lelaki dan wanita tanpa membatalkan wuduk

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 menetapkan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita tanpa syahwat semasa di Tanah Haram tidak membatalkan wuduk atas illah masyaqqah. Ini pandangan Muqabilul Asah, dalam Mazhab Shafie juga memandang kesukaran yang dihadapi jemaah semasa menunaikan haji dan umrah.

7. Waktu tahrim solat

Di Mekah tiada waktu tahrim solat sama ada selepas subuh atau asar. Namun di Madinah masih terpakai waktu tahrim solat iaitu selepas subuh atau asar.

8. Daimul hadas

Bagi jemaah yang menghidapi penyakit kencing tidak lawas atau keluar darah atau nanah tidak berhenti, maka ia akan menyukarkan untuk solat atau melaksanakan tawaf. Alternatifnya, 
apabila masuk waktu maka bersihkan 
najis, balut dan berwuduk, kemudian teruskan solat. Mereka hanya boleh melaksanakan satu solat fardu dan beberapa solat sunat sahaja. Begitu juga dengan satu ibadat wajib sahaja dalam satu-satu masa seperti umrah.

9.Perkara yang membatalkan tawaf wada’

Wajib bagi mereka yang hendak meninggalkan Kota Mekah. Ia bukan daripada syarat mengerjakan haji atau umrah. Bagaimanapun jemaah sering melakukan perkara yang membatalkan tawaf wada’ selepas melaksanakannya seperti mengambil gambar dalam Masjidilharam, mencari peminta sedekah, solat selain solat sunat tawaf dan membeli-belah bukan keperluan musafir.

10.Tahiyyatul masjid

Tahiyyatul masjid bagi Masjidiliharam adalah tawaf. Walau bagaimanapun, kita boleh melakukan solat tahiyyatul masjid sebagai menghormati masjid. Selain itu, banyak lagi isu atau kemusykilan jemaah haji yang sering dilakukan. Mudah-mudahan panduan ringkas ini dapat membantu bakal jemaah membuat persiapan untuk menunaikan haji atau umrah.

Terdapat beberapa isu yang sering 
dihadapi, antaranya:

  • Tidak berniat ihram di miqat
  • Tawaf tanpa wuduk
  • Tawaf tidak menutup aurat
  • Lupa jumlah pusingan tawaf atau sa’ie
  • Bergunting sebelum masa
  • Persentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk
  • Waktu tahrim solat di Mekah dan Madinah
  • Daimul hadas
  • Perkara yang membatalkan tawaf wada’
  • Tahiyyatul masjid