Kebanyakan ceramah agama yang dikelolakan oleh parti politik kurang menumpukan perhatian kepada pendidikan kerohanian dan pengajaran Islam secara menyeluruh berdasarkan konteks ajaran Islam yang sebenar.

Isi kandungan ceramah mereka lebih menumpukan perhatian kepada aspek untuk menarik masyarakat menyokong parti politik mereka.

Jika suasana begini menjadi amalan kepada penceramah agama maka mereka gagal untuk mendidik masyarakat dalam aspek kerohanian dan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian masyarakat.

Pendakwah Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada permasalahan masyarakat terutamanya berkaitan akidah, syariah dan akhlak.

Konteks kehidupan masyarakat Islam masa kini adalah lebih mencabar jika dibandingkan dengan masyarakat sebelumnya. Dalam era globalisasi setiap corak kehidupan berunsur hedonistik dan liberalisasi tersebar begitu pantas ke seluruh dunia di mana tidak mungkin dapat disingkirkan daripada media komunikasi yang begitu canggih.

Jika penceramah agama masih menggunakan pendekatan atau penyampaian yang jumud dan fanatik terhadap parti dan ideologi politik maka mereka kurang menarik perhatian masyarakat terhadap dakwah mereka. Perkara seperti ini jelas wujud dalam masyarakat Islam dalam negara ini masa kini.

Realiti yang wujud masa kini adalah ramai dalam kalangan ­individu yang dilantik untuk me­laksanakan kegiatan masyarakat kurang menumpukan perhatian kepada program yang boleh membentuk keperibadian dan kerohanian masyarakat.

Program keagamaan lebih tertumpu kepada jemputan penceramah yang dipilih oleh parti politik atau individu yang sering dipertontonkan dalam media bagi memenuhi program masyarakat sebagai ‘melepas batuk di tangga sahaja’ untuk dijadikan bukti kepada kerajaan bahawa mereka telah melaksanakan tugas masyarakat. Sedangkan, hakikatnya di kawasan mereka itu terdapat pelbagai jenis gejala sosial dan jenayah.

Program agama sepatutnya tidak mengikut musim tetapi perlu dilaksanakan secara berterusan dan aktif terutama di kawasan yang terkenal dengan kes jenayah dan gejala sosial. Dalam konteks masa kini setiap individu yang mem­punyai pendidikan agama sepatutnya dijemput dalam ceramah dan program agama bagi membanteras kegiatan jenayah dan sosial secara kesedaran dan penghayatan agama. Kesedaran agama sahaja yang mampu membentuk kerohanian dan keperibadian masyarakat dan menukar corak pemikiran dan kegiatan mereka daripada buruk dan jahat menjadi seorang Islam yang baik dan bertakwa.

Jika setiap penceramah yang ingin dijemput perlu mendapat kebenaran daripada ketua parti politik kawasan tertentu maka isi ­kandungan ceramah agama tidak dapat disampaikan secara menyeluruh kerana pemikiran ke­tua-ketua parti politik ialah setiap kegiatan yang ingin dilaksanakan yang menggunakan kewangan parti politik sama ada berkaitan ke­giatan ekonomi dan keagamaan mesti bermotifkan sokongan kepada parti dan individu yang dilantik sebagai ketua parti politik di kawasan tersebut. Ini adalah satu fenomena yang wujud di kawasan-kawasan luar bandar dalam negara ini.

Apabila isi kandungan ceramah agama bermotifkan sokongan kepada parti politik dan ketua-ketua parti maka kegiatan dakwah agama akan terbantut dan usaha untuk membentuk kerohanian dan ke­peribadian umat tidak akan tercapai. Kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan-kawasan tertentu sering mengikut musim di mana sebelum parti politik menentukan siapakah yang layak dilantik untuk bertanding dalam pilihan raya umum maka ketika ini jaguh-jaguh politik yang ingin nama mereka dicalonkan begitu giat mengadakan ceramah agama bagi membuktikan kepada pucuk pimpinan parti bahwa mereka adalah orang yang prihatin terhadap masyarakat.

Hakikatnya, pelantikan mereka sebagai wakil parti politik hanyalah sekadar untuk memenuhi jawatan parti politik bukan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan kegiatan kemasyarakatan yang mudah mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Kegiatan-ke­giatan kemasyarakatan dan keagamaan yang aktif sering dilaksanakan oleh kumpulan sukarelawan yang mendapat bantuan daripada dermawan dan agensi tertentu.

Dalam era di mana umat Islam kehausan kerohanian maka kegiatan keagamaan perlu dilaksanakan secara lebih terbuka dan universal bukan dikongkong oleh golongan tertentu yang mempunyai hak mutlak untuk menentukan siapa yang layak memberi ceramah agama berdasarkan kepada ideologi parti.

Individu yang mempunyai pendidikan Islam secara komprehensif perlu diberi peluang untuk menyebarkan agama Islam berdasarkan kepada ilmu pengetahuan yang dimilikinya.

Dakwah Islam adalah satu kewajipan kepada individu Islam yang mempunyai pendidikan ilmu wahyu.

Oleh itu, setiap parti politik Islam dan pendakwah perlu memainkan peranan penting bagi membentuk kerohanian dan keperibadian umat Islam sebagai satu umat yang mulia dan ideal.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN