Contohnya, Nobel Laureates ada­­lah anugerah berprestij yang mengiktiraf sumbangan signifikan di peringkat dunia. Bagaimanapun, sejak diperkenalkan pada tahun 1901 sehingga kini, hanya 12 penerima Muslim daripada 900 orang yang menerima anugerah. Antaranya pe­ne­rima anugerah itu dalam bidang Fizik pada 1979, Muhammad Abdussalam dari Pakistan, Aziz Sancar dari Turki (Kimia) pada 2015 dan penerima Anugerah Nobel Keamanan termuda berumur 17 tahun, Malala Yousafzai dari Pakistan.

Ke manakah perginya cendekia­wan Islam? Tidak adakah sumbangan mereka yang signifikan kepada dunia yang layak diiktiraf dengan Hadiah Nobel?

Jurang sains dan teknologi antara negara Islam dan negara maju begitu ketara. Sumbangan 57 buah negara Islam di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sebuah badan antarabangsa mewakili 1/4 populasi dunia, hanyalah 2.4% daripada perbelanjaan dunia untuk penyelidikan dan pembangunan(R&D). Jumlah penyelidik dalam kalangan umat Islam juga secara puratanya masih rendah iaitu 457 orang bagi setiap sejuta penduduk berbanding purata dunia 1,549.

Jelas negara-negara Islam begitu jauh ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi dengan hasil saintifik yang sangat minimum. Mungkinkah kerana umat Islam masih skeptikal dan menolak sains atas alasan tidak selari dengan kehendak agama? Sains adalah ilmu duniawi dari barat yang tidak perlu diberikan keutamaan sebagaimana ilmu agama?

Jika kita sorot kembali sejarah per­kembangan ilmu dalam Islam bermula daripada Nabi Adam lagi seperti yang dijelaskan dalam al-Quran,: Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!” (Surah Al-Baqarah ayat 31 )

Jelas, apabila Allah SWT mengutus­kan umat manusia ke bumi sebagai khalifah, Allah menganugerahkan ilmu pengetahuan yang lengkap termasuk ilmu pertanian, pengiraan, ke­­mahiran pelbagai bahasa serta keimanan yang kemudian tersebar ke seluruh dunia dalam kalangan Bani Adam.

Nabi Adam ialah pelopor dan pe­rin­tis kewujudan ilmu sains dan teknologi. Nabi Idris pula dianugerahkan dengan ilmu astronomi, matematik dan perubatan. Menurut Ibnu Abi Usaibia’ah dan Ibnu Nadim, Nabi Idris yang pertama membina piramid di Mesir. Nabi Nuh juga dibekalkan de­ngan ilmu fizik dan matematik serta mahir dalam teknologi pembuatan kapal. Nabi Daud contohnya diajar ilmu mengenai besi.

Kemuncak kegemilangan sains dan teknologi adalah pada abad kelapan hingga ke-12 yang dikenali sebagai Era Emas Tamadun Islam. Ilmuwan Islam ketika itu ialah tokoh-tokoh yang mempunyai kesepaduan ilmu naqli (sains wahyu) dan ilmu aqli (sains tabii) sehingga dipanggil kesepaduan itu sebagai ilmu (al-ulum) tanpa dipisahkan ilmu agama dan ilmu sains. Atas gabungan dan kesepaduan ilmu naqli dan aqli dalam diri seorang ilmuwan maka umat Islam ketika itu menjadi pene­raju kemajuan sains dan teknologi serta pemikiran falsafah dan saintifik.

Maka lahirlah tokoh ilmuwan seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Haitham, Jabbair Ibnu Hayyan, Al-Jazari, Ibnu Nafis dan Ibnu Firnas yang merupakan perintis pelbagai ilmu asas dalam matematik, kejuruteraan, biologi, fizik, kimia, perubatan dan sebagainya.

Persoalannya, apakah yang berlaku selepas kegemilangan tersebut? Kenapa umat Islam begitu ter­corot dalam sains dan teknologi masa kini walhal banyaknya ilmu sains moden ini berasaskan penemuan-penemuan fundamental orang Islam terdahulu?

Menurut Abdussalam, penerima Muslim pertama Hadiah Nobel Fizik dari Pakistan, beliau mendapat banyak inspirasi daripada al-Quran dalam memahami hukum alam contohnya, fenomena kosmologi, biologi dan perubatan. Jelas Islam tidak memisahkan ilmu agama dan ilmu sains. Justeru apakah langkah yang patut diambil oleh umat Islam bagi menguasai semula sains dan teknologi dalam era globalisasi ini?

Kita lihat kini budaya Korea dan Jepun, tersebar di seluruh dunia se­iring dengan teknologi yang dikembangkan. Siapa tidak tahu Samsung, Hyundai, Kia mahupun K-Pop, Gangnam Style dan Running Man, bahkan artis-artis Korea menjadi kegilaan remaja? Penguasaan sains dan teknologi memberikan impak kepada nilai sosial dan intelektual yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat global.

Dalam hal ini, usaha gigih adalah perlu agar lebih besar takungan kelompok saintifik terdiri daripada penyelidik, tenaga pakar dan profesional dalam sains dan teknologi dilahirkan. Ini bukan sahaja meliputi modal insan tetapi juga dasar pembangunan sains dan teknologi yang mampan sebagai tulang belakang yang akan menyokong pelbagai inisiatif dan insentif.

Semua negara Islam harus bersatu untuk menyediakan satu sumber ilmu berpusat yang bertanggungjawab menterjemah dan mengolah buku-buku ini kepada bahasa ibunda setempat. Sudah sampai masanya saintis Muslim bekerjasama untuk membina jaringan penyelidikan contohnya dengan menggalakkan program mobiliti agar berlaku pemindahan ilmu dan kemahiran.

Akhir sekali, halangan terbesar yang menyumbang kepada jurang sains dan teknologi dalam kalangan umat Islam adalah sikap. Sikap prejudis dan skeptikal terhadap ilmu sains harus dibuang. Salah faham ini menyebabkan lahirnya ahli saintis Islam yang tidak arif ilmu agama atau ahli agama yang tidak arif mengenai ilmu sains, sedangkan kedua-duanya perlu berjalan seiring untuk kemaslahatan ummah.

Menginsafi perkara ini, maka USIM bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Saintis Muslim Malaysia aktif menganjurkan program jangkauan bagi memberi inspirasi dan membangkitkan motivasi generasi muda terhadap ilmu sains dan teknologi atau sekarang dikenali sebagai STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts and Mathematics), satu peningkatan nilai kepada STEM (Science, Technology, Enginee­ring and Mathematics).

Sokongan agensi lain di dalam negara seperti Akademi Sains Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Pusat Sains Negara, serta dari luar negara seperti OIC mampu meningkatkan keyakinan pelbagai pihak terhadap tenaga profesional yang dilatih dengan kesepaduan ilmu naqli dan aqli yang sebati. Pihak berwajib dalam membina polisi pendidikan harus menilai dan melihat semula pedagogi pengajaran sains dan matematik agar menarik minat generasi muda dan tidak dimomokkan dengan kesukaran subjek mahupun konotasi bahawa subjek yang diajar tiada relevan dengan dunia realiti. Islam tidak menolak ilmu sains. Peranannya cukup penting seperti tercatat dalam sejarah para nabi serta ramai ilmuwan Islam