UKE: Kadang-kadang kita tidak suka kepada penceramah tetapi yang jadi mangsa boikot ialah masjid.

 

Apa salah masjid? Masjid ialah tempat penyatuan ummah, bukan tempat untuk bermusuh dan menunjukkan kuasa kepartian.

Kalau dia pergi sembahyang di masjid lain pun, dia sembahyang juga. Yang penting sembahyang.

Kadang-kadang terpaksa pergi sembahyang ke masjid lain kerana bacaan imam tidak betul atau di masjid berdekatan tidak ada pengajian, sedangkan masjid lain ada pengajian ilmu. Maka, itu tiadalah menjadi apa kesalahan.

Yang menjadi kesalahan ialah berpindah masjid kerana faktor yang tidak munasabah seperti berselisih faham dengan ahli jawatankuasa (AJK) masjid, tidak dilantik ke jawatan atau perbezaan politik.

Ini semuanya membawa kepada perpecahan. Kalau jemaah lari kerana tidak suka penceramah, maka hendaklah dikaji kenapa mereka lari? Adakah salah penceramah atau jemaah yang mudah terasa?

Kalau penceramah kasar sangat dalam berceramah, maka nasihatlah penceramah agar jangan kasar sangat. Kalau penceramah bercakap dengan amanah, malah baik akhlaknya, tetapi jemaah yang buat hal, maka jemaah begini kalau hendak berpindah masjid, itu hak mereka.

Apapun, hendaklah dipupuk masyarakat supaya mencintai masjid. Penceramah kena elakkan berpolitik berlebihan. Lebih berakhlak dan beretika ketika mengajar. Jemaah pula kenalah lebih berlapang dada apabila ditegur dan AJK masjid hendaklah menjadi perantara yang baik kepada masyarakat.

Jangan marah kepada masyarakat kalau mereka tidak berjemaah ke masjid kalau AJK masjid menjadikan masjid sunyi daripada aktiviti atau masjid riuh tapi sayang riuh yang seronok sendiri tapi tiada sambutan daripada jemaah.