Terbaharu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin mengusulkan kepada Peguam Negara tentang kemungkinan mengusir keluarga penduduk Palestin yang didakwa melancarkan serangan terhadap anggota tenteranya di Genting Gaza. Tindakan itu boleh mengurangkan kadar serangan ‘keganasan’ yang kononnya dilakukan penduduk Palestin terhadap tentera rejim Zionis Israel .

Perkembangan itu berlaku pada hari sama tentera Israel menembak mati dua pemuda Palestin yang didakwa menyerang seorang penduduk Israel di rumahnya di kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Yang pasti, semua itu hanyalah alasan yang direka-reka untuk rejim melakukan sesuka hati terhadap rakyat Palestin. Sejak Oktober 2015, tentera dan polis Zionis telah membunuh sekurang-kurangnya 172 penduduk Palestin dengan 114 daripada mereka didakwa penyerang, manakala selebihnya ditembak mati semasa mengadakan bantahan antikeganasan.

Bagaimanapun, pembunuhan dua pemuda Palestin itu menimbulkan persoalan bagaimana mangsa boleh menyerang askar Israel memandangkan kebanyakan mereka masih remaja. Di mana letaknya perikemanusiaan? Mengapa menggunakan peluru hidup dan bukannya peluru getah?

Sebenarnya ini adalah antara strategi terbaharu rejim dalam misi membu­nuh rakyat Palestin. Mereka kini mengalihkan sasaran ke­­pa­da remaja dan pemuda. Bukan lagi menyerang atau menge­bom rumah kediaman dan tempat tumpuan awam.

Selasa lalu, Eyad Omar Sajadiya, 22, yang juga seorang pelajar terbunuh manakala 10 lagi cedera akibat tembakan menggunakan peluru hidup oleh tentera dan polis Israel dalam satu serangan secara tiba-tiba di Kem Pelarian Qalandiya berhampiran Baitulmaqdis.

Antara punca ketakutan rejim Zionis adalah kejayaan pihak Harakat al-Muqawama al-Islamiyya (Hamas) yang bermaksud Gerakan Pembela Islam. Pertubuhan itu dibentuk secara rasmi pada Disember 1987 ketika kemuncak intifada pertama yang berlangsung selama 10 tahun.

Semasa serangan tentera Yahudi terhadap Palestin pada Disember 2008 yang berlaku ketika bulan Ramadan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh melantik sekitar 3,500 kanak-kanak Palestin yang hafal 30 juzuk al-Quran. Inilah yang menjadi sumber ketakutan Zionis Yahudi.

“Jika dalam usia semuda itu mereka sudah boleh menguasai al-Quran, bayangkan 20 tahun lagi apa yang akan dikuasai oleh mereka?” demikian cara pemikiran yang berkembang dalam fikiran masyarakat Yahudi.

Ini menjadikan Semenanjung Gaza yang dipagari dari segala arah oleh Yahudi Israel terus menerus cenderung untuk diperdengarkan alunan al-Quran. Tidak ada istilah bermain PlayStation dalam kamus kehidupan anak muda ini. Ketakutan Zionis Yahudi terhadap keadaan ini menyebabkan kira-kira 500 hamalatul Quran (al-Quran yang berjalan) itu telah syahid.

Bagi kita umat Islam di Malaysia, jika tidak mampu membantu dengan kudrat dan wang ringgit marilah sekurang-kurangnya kita terus istiqamah mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk saudara kita di Palestin.

Berdoalah bersungguh-sungguh sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Jika salah seorang daripada kalian berdoa, maka hendaknya bersungguh-sungguh hati dalam meminta, dan janganlah mengatakan: Ya Allah jika engkau mahu berilah aku, kerana sesungguhnya tidak ada yang boleh memaksa Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim).