Jawapan: Memang ramai orang awam terkeliru dalam perkara ini. Bagi menjawabnya, apakah dalil yang menjadi sandaran kepada haramnya zakat diberikan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh keturunannya.

Rabi’ah bin al-Harits dan al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutallib telah berkumpul dan keduanya mengutus al-Mutalib dan al-Fadhl bin ‘Abbas untuk menemui Rasulullah SAW agar baginda melantik kedua-duanya sebagai amil zakat, sehingga kedua-duanya kelak mendapat bahagian (amil) daripada zakat sebagaimana yang lainnya.

Tatkala keduanya menemui Rasulullah SAW, baginda pun bersabda:“Sesungguhnya zakat tidak dihalalkan bagi Nabi dan keluarganya. Zakat itu hanyalah merupakan kotoran manusia.” Kemudian Rasulullah SAW menikahkan keduanya dan memerintahkan petugas al-khumus (1/5 harta rampasan perang) agar memberikan harta itu kepada keduanya untuk mahar pernikahan.” – Riwayat Imam Muslim.

Berdasarkan hadis di atas, terdapat ulama menyatakan bahawa para ahli bait iaitu mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW tidak dibenarkan menerima harta zakat. Alasannya, kerana keluarga dan keturunan nabi adalah mulia, sedangkan zakat adalah lebihan (daki daripada kotoran) harta manusia, yang dikeluarkan untuk membersihkannya. Maka, tidaklah sesuai keturunan yang mulia menerima lebihan orang.

Demikian jugalah nabi dan keturunannya tidak layak menerima sedekah, seperti yang dilaporkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Hassan (cucunda Nabi Muhammad SAW) telah mengambil sebutir kurma sedekah, kemudian dimasukkannya ke dalam mulutnya. (Demi melihatnya) Nabi SAW pun menyeru kepada Hassan (yang sewaktu itu masih kecil): “Kikh! Kikh! (maksudnya agar Hassan mengeluarkan kurma daripada mulutnya). Kemudian Nabi SAW bersabda: “Sepengetahuanku, aku tidak memakan sedekah.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.