Jawapan

Soalan ini memang sering ditanya, namun atas dasar menjaga hati sesama Muslim, ada yang cuba memejamkan mata dengan isu orang malas ini. Justeru, semoga jawapan ini mampu membuka suatu horizon baharu dalam pemikiran umat Islam, sama ada di pihak pembayar mahu pun penerima zakat, bahawa Islam mempunyai sisi pandang khusus kepada pemalas dan apakah sikap Islam kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek (bakhil), aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia,” – Riwayat Abu Dawud.

Doa ini dirangkumkan oleh Imam Hassan al-Banna dan dijadikan wirid harian yang disebut sebagai al-Ma’thurat. Antara perkara yang sangat ditakuti oleh nabi ialah sifat malas iaitu musuh kepada kemajuan, sekali gus menjadikan Islam itu lemah, jumud dan mundur. Pemalas akan menconteng arang ke wajah Islam. Nabi SAW dan para sahabatnya merupakan golongan yang rajin dan kerajinan mereka terbukti dengan gemilangnya Islam sehingga mampu menaungi dua pertiga dunia.

Cuba bayangkan jika generasi awal Islam ini dahulunya bersifat malas, mana mungkin Islam akan tersebar hingga seluruh pelosok dunia. Al-Imam Abu Zur’ah ar-Razi, seorang ulama hadis yang merupakan guru Imam Muslim menyatakan, semasa Nabi Muhammad SAW wafat di Madinah, jumlah sahabat di Jazirah Arab ada lebih daripada 100,000 orang. Namun begitu, seandainya hari ini kita ke Mekah dan Madinah serta mengunjungi perkuburan di Ma’la dan Baqi’, maka apa yang kita dapati jumlah kuburan para sahabat hanya ada kira-kira 20,000 buah sahaja.

Di manakah kuburan sahabat yang lain? Itu menunjukkan, ramai daripada kalangan sahabat bertebaran di seluruh dunia untuk menyebarkan Islam. Itu juga menjadi dalil betapa mereka orang yang rajin, dan tidak hairanlah sehingga ke era Khilafah Uthmaniyyah, umat Islam zaman dahulu telah berjaya memberikan citra yang sangat positif kepada Islam. Semuanya bermula dengan sifat rajin dan tekun.

 

NASIB PEMALAS

Berbalik kita kepada persoalan di atas, bagaimanakah Islam mendepani golongan miskin yang malas? Adakah Islam mengharamkan zakat kepada pemalas? Bukankah fakir dan miskin itu sememangnya mempunyai hak ke atas zakat, tanpa mengira sama ada mereka malas atau rajin?

Dalam menjawab persoalan ini, mari kita lihat apakah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berhadapan dengan situasi sama di zaman baginda.

Ternyata, memang ada. Disebutkan di dalam kitab ‘Anasirul quwwati fil Islam’ (Elemen Kekuatan Dalam Islam) oleh Syed Sabiq, tentang satu hadis yang sangat panjang. Hadis berkenaan diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. iaitu suatu hari telah datang seorang lelaki daripada kaum Ansar menemui baginda di masjid. Lelaki berkenaan meminta sedikit makanan untuk diri dan keluarganya.

Nabi sebaliknya tidak memberikan dia makanan, melainkan nabi bertanya apakah dia mempunyai sesuatu di rumahnya untuk dijual. Lelaki berkenaan mengaku ada, iaitu sehelai kain dan sebuah mangkuk. Nabi meminta dia pulang mengambil barangan itu. Kemudian nabi menolong menjual barangan berkenaan dan laku dengan harga dua dirham. Nabi membahagikan wang dua dirham dan mengarahkan lelaki itu membeli makanan untuk keluarganya dan satu dirham lagi untuk dibeli sebilah kapak dan tali.

Lelaki berkenaan mengikuti arahan nabi. Kemudian nabi memberikan arahan kepadanya, hendaklah dia mencari kayu dan hendaklah datang lagi berjumpa dengan nabi setelah berlalu 14 hari berikutnya. Ternyata, setelah berlalu 15 hari lelaki berkenaan datang kembali dengan senyuman. Daripada asal satu dirham sebagai modal, kini dia sudah ada 10 dirham, keuntungan hasil jualan kayu apinya. Ternyata, Nabi telah memberikan dia satu didikan halus, iaitu mesti rajin berusaha dan jangan cepat meminta-minta.

Hakikatnya, hadis di atas menjadi isyarat betapa Nabi Muhammad SAW sendiri tidak meraikan pemalas, jika lelaki tersebut sakit, pastilah dia tidak mampu bekerja dan nabi tidak akan memaksanya mencari kayu api. Ingatlah, mencari kayu api di Madinah (kawasan padang pasir) bukanlah mudah, namun ternyata berkat ketekunan dan kerajinan, lelaki berkenaan mampu melakukannya.

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyatakan: “Tidak ada hak zakat untuk orang kaya, mahu pun orang yang masih kuat bekerja.” – Riwayat an-Nasa’i dan Abu Daud.

Mengulas mengenai hadis di atas, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya: “Sesungguhnya diharamkan zakat bagi orang yang sihat dan kuat, kerana dia masih mampu bekerja untuk mencukupkan keperluan dirinya sendiri, tanpa harus menunggu dan menggantungkan harapannya pada sedekah.” (Hukum Zakat, hal. 678)

Dalam nada yang lebih keras, Yusuf al-Qaradhawi memetik pandangan Syafie dan Hanbali: “Apakah orang yang hidup menganggur (tanpa pekerjaan) diberi bahagian zakat, padahal dengan begitu hanya akan menjadi beban masyarakat, di mana dia hanya akan menggantungkan dirinya kepada sedekah dan pertolongan, sedangkan dia berbadan kuat dan sanggup berusaha menghidupi dirinya? Menurut pendapat yang tegas daripada golongan Syafie dan Hanbali, zakat daripada bahagian fakir dan miskin tidak boleh diberikan kepada orang kaya, juga kepada orang yang mampu berusaha secara layak sehingga mampu mencukupi diri dan keluarganya.” (ibid, hal. 521)

Maka, dari sinilah sebahagian besar fuqaha (termasuk sebahagian pengikut Maliki) menyatakan, haram disalurkan zakat kepada pemalas yang bertujuan untuk mendidik mereka agar menjadi rajin dan tidak menjadi ‘parasit’ yang hidup menumpang di atas usaha orang lain.

 

KELONGGARAN

 

Namun begitu, Nabi Muhammad SAW masih ada pertimbangan sekiranya orang yang kuat dan sihat tubuh badan itu memohon zakat, dalam keadaan mereka sebenarnya sudah berusaha. Di dalam sebuah hadis diceritakan bagaimana dua orang lelaki telah datang meminta zakat sehingga Nabi bersabda kepada mereka: “Jika kalian menghendaki akan aku beri, tetapi zakat bukan bahagian orang kaya dan orang yang kuat bekerja.” – Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie.

Di dalam kes di atas, Nabi SAW telah memberikan harta zakat kepada kedua-dua lelaki berkenaan. Namun ulama membahaskan, punca Nabi menyerahkan juga zakat kepada mereka kerana baginda tidak mengetahui dengan tepat keadaan diri mereka. Boleh jadi mereka sudah bekerja namun penghasilannya masih tidak cukup, atau mereka sudah mencari pekerjaan namun belum mendapatkannya (ibid, hal. 524).

Penulis sendiri melihat, nabi tetap memberikan zakat itu lantaran nabi yakin mereka memerlukannya. Para sahabat zaman nabi dididik secara langsung oleh Rasulullah SAW. Sekiranya mereka tidak memerlukan zakat, pastilah mereka malu untuk meminta langsung kepada nabi. Mereka juga sudah pasti sedar implikasi memakan harta zakat dengan cara yang salah. Tentulah mereka takut untuk mengambilnya melainkan mereka benar-benar dalam keadaan yang sangat memerlukan.

Malah Allah SWT juga pasti akan menegur perbuatan nabi itu jika ternyata ia suatu keputusan yang salah.

Maka, berdasarkan hadis di atas fuqaha merumuskan, orang yang sihat tubuh badannya masih layak mendapat zakat, sekiranya pekerjaan yang mereka lakukan masih tidak mampu memenuhi keperluan diri dan tanggungannya. Ini kerana, mereka bukanlah orang yang malas berusaha, tetapi kerana memang tidak mempunyai kecukupan harta biar pun setelah berusaha. Inilah antara pandangan yang muktabar termasuklah yang pernah dikemukakan oleh Imam Nawawi sendiri.

Oleh itu, suka ditegaskan kembali bahawa jumhur fuqaha memang menyatakan, zakat adalah haram bagi orang yang sengaja malas untuk berusaha dan bekerja, walhal kesempatan bekerja terbuka luas di depan matanya.