Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kini menyiasat kes itu yang berlaku di premis Persatuan Islam Palm Springs dengan anggota jawatankuasa masjid tersebut menyalahkan pendahulu pemilihan calon Presiden AS bagi Parti Republikan, Donald Trump memburukkan lagi keadaan.

Trump dalam kempennya mahu melarang orang Islam daripada memasuki AS, satu kenya-taan yang menerima bukan sahaja kecaman masyarakat dunia malah, pemimpin politik dari negara itu sendiri.

Portal Press TV melaporkan, Kakitangan Persatuan Islam Palm Springs di Coachella memberitahu media tempatan bahawa terdapat individu yang melontar bom petrol di masjid itu pada waktu tengah hari ketika solat Jumaat hendak dimulakan.

Sekurang-kurangnya empat jemaah dan seorang imam masjid melarikan diri selepas bahagian hadapan masjid terbakar.

Namun tiada kecederaan dilaporkan selepas bomba berjaya memadam kebakaran dalam tempoh setengah jam.

Sejumlah penduduk Islam kemudiannya berkumpul di hadapan masjid yang terbakar bagi melahirkan kebimbangan berhubung apa telah berlaku.

“Terima kasih Donald Trump…Anda mendatangkan masalah ke tempat kami di Persatuan Islam Palm Springs, Coachella,’’ tulis status Facebook milik Salah Alwishah yang dipetik Daily Beast.

Jurucakap bagi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Los Angeles, Laura Eimiller berkata, pasukan penyiasat agensi itu akan membantu polis dalam siasatan kes tersebut.

Insiden itu berlaku selepas sembilan hari sepasang suami isteri menyerang sebuah majlis di San Bernardino yang mengakibatkan kematian sebanyak 14 orang manakala 22 lagi cedera dalam serangan yang disifatkan FBI sebagai satu serangan pengganas. – AGENSI/AFP