Merujuk kepada isu seorang jururawat di sebuah hospital swasta mendakwa diberhentikan kerja kerana tidak mematuhi kod etika pakaian yang mengkehendakinya berpakaian baju lengan pendek, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) perlu sensitif dengan setiap kenyataan yang dikeluarkan. Ketidakcermatan mengeluarkan kenyataan akan memberi imej yang tidak baik ter­hadap kredibiliti pihak yang terbabit.

Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) sudah tentu saja bersuara dan tampil dengan pandangan lebih lunak dan memberi faham kepada pelbagai pihak. Sememangnya tujuan Perdim muncul pada tahun ini juga untuk memberi pandangan demi penambahbaikan sistem perkhidmatan kesihatan kita di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Islam itu mudah tetapi janganlah dipermudahkan. Mudahnya Islam itu adalah apabila dalam hal bekerja kita diberi kelonggaran berpakai­an sehingga adanya istilah “aurat bekerja”. Contohnya: seorang doktor wanita diharuskan menyingsing lengan hingga ke siku semasa membuat prosedur seperti MRP (manual removal of placenta), atau memasukkan tudungnya ke dalam jubah atau apron untuk meminimumkan risiko jangkitan kuman (infection control).

Namun demikian, kelonggaran tersebut hanya dibolehkan di dalam beberapa situasi atau keadaan-keadaan yang amat tertentu sahaja dan janganlah mengambil kesempatan untuk meringan-ringankan hukum menjaga aurat terutama sekali dalam kalangan petugas wanita. Sebagai contohnya doktor wanita dipaksa memakai ‘cap’ sahaja yang mendedahkan bahagian leher yang berupa aurat bagi wanita sedangkan perkara itu boleh diatasi dengan menggunakan tudung yang dimasukkan ke dalam gaun atau apron semasa pembedahan.

Bagi penguasa hospital yang tidak beragama Islam sudah tentulah perkara ini tidak difahami namun ada sesetengah penguasa yang beragama Islam sendiri masih lemah dalam memahami perkara ini. Islam adalah untuk seluruh umat tak mengira apa bangsa dan keturunan. Islam mengajarkan yang baik untuk semua orang. Begitu juga al-Quran merupakan kitab rujuk yang utama bagi umat Nabi Muhammad SAW tanpa mengira latar belakang sosial dan budaya.

Masalah umat di akhir zaman ini, kita terlalu dimomokkan dengan perihal yang zahir namun kurang mengambil berat persoalan yang batin. Zahirnya segala rupa bentuk pakaian menutup aurat bagi umat Islam itu dilihat sebagai menyusahkan dan menyebabkan penyebaran jangkitan kuman. Pada hal dari segi batinnya, segala usaha ikhtiar kita ini tiada langsung berbekas jika tidak dengan izin dan kehendak Tuhan.

Jika Allah mengkehendaki akan mudaratnya sesuatu keadaan itu, walau disingsing lengan hingga ke bahu sekali pun akan tetap menyebabkan penyebaran kuman jika Tuhan mentakdirkan sedemikian. Bukanlah doktor yang menjaga nyawa manusia tetapi Tuhan yang memegang kekuasaan-Nya. Meninggalkan amalan batin dan mengetepikan perintah Tuhan melalui al-Quran sudah menjadi masalah utama umat zaman sekarang.

Kenyataan tegas yang membataskan pekerja Islam atau pesakit Islam untuk menggunakan perkhidmatan hospital swasta hanya kerana institusi tersebut tidak mahu bertolak ansur di dalam menghormati sosiobudaya atau memahami keperluan asas tuntutan di dalam agama itu sendiri akan membawa kesan hilang hormat dan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan hospital swasta. Di saat Jakim sedang berusaha dengan kerjasama kementerian untuk mengajarkan bagaimana solat ketika pesakit terlantar di dalam wad, persoalan aurat ini pula janganlah hendaknya diperkecilkan dan merosakkan niat baik untuk memperbaiki sistem kesihatan di negara ini dari segi penjagaan agama.

Pandangan ini bertujuan memberi peringatan kepada pihak MMA dan Kementerian Kesihatan agar lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap isu yang melibatkan umat Islam sama ada sebagai petugas mahupun sebagai pesakit tak kira di mana jua peringkat perkhid­matan perubatan dan kesihatan yang ditawarkan di dalam negara ini.