Pekerjaan ini dilakukan sejak turun temurun. Mereka merupakan pewaris generasi pembuat khemah yang pernah menghasilkan khemah digunakan sewaktu pemerintahan Dinasti Uthmaniyah. Pemerintah pada zaman berkenaan banyak menggunakan khemah untuk aktiviti luar mereka seperti pemburuan, perkelahan di musim panas atau musim bunga, peperangan dan sebagainya. Khemah yang digunakan sewaktu pemerintahan Uthmaniyah boleh diteliti dalam lukisan miniatur yang dihasilkan pada zaman tersebut.

Khayamiya merupakan nama yang digunakan merujuk kepada panel sulaman tampal yang dihasilkan di Mesir. Panel sulaman ini sering digunakan sebagai hiasan khemah yang menjadi peralatan utama dalam sebarang aktiviti luar atau majlis dan keraian yang diadakan dalam masyarakat Arab khususnya di Mesir.

Antara keraian dan majlis yang menggunakan khemah dalam kehidupan masyarakat Mesir ialah seperti majlis keagamaan, perkahwinan, jamuan, dan juga pengebumian. Khemah digunakan sebagai tempat para tetamu duduk dan menjamu makanan sewaktu majlis berlangsung dan ia akan dibuka dengan segera sejurus selepas sesuatu majlis selesai.

 

MOTIF SULAMAN

Panel khayamiya dijahit menggunakan kain-kain pelbagai warna yang dipotong untuk membentuk corak tertentu seperti corak geometri, corak bunga-bungaan dan juga kaligrafi yang bersesuaian dengan sesuatu majlis. Panel ini berfungsi sebagai hiasan struktur khemah utama. Bahagian yang sering menjadi tumpuan dalam khemah yang dihiasi khayamiya ialah bumbung, dinding dan pintu khemah. Corak khayamiya dikatakan berasal daripada corak digunakan pada seni bina Islam yang merupakan khazanah berharga diwarisi oleh masyarakat Islam Mesir daripada pelbagai dinasti Islam.

Pada pertengahan abad ke-19 sehingga awal abad ke-20 Masihi, pembuat panel sulaman tampal khayamiya menggunakan panel tekstil daripada benang kapas yang diwarnakan dengan tangan dalam tona warna seperti merah, putih dan biru. Kadangkala lebihan tekstil turut digunakan dalam membuat khayamiya. Namun begitu pada hari ini, kain-kain yang dicetak menggunakan mesin telah menjadi saingan kepada kemahiran dan kepandaian tempatan masyarakat Islam Mesir sejak zaman berzaman itu.

Pada hari ini, khayamiya telah menjadi salah satu produk pelancongan yang dikeluarkan dalam pelbagai bentuk selain untuk digunakan sebagai hiasan khemah. Ia juga telah boleh diperoleh sebagai hiasan sarung kusyen dan tirai hiasan dinding. Panel khayamiya ini telah menarik perhatian dan menjadi cenderamata pilihan pelancong Barat yang sampai ke Mesir pada abad ke-19. Para peminat seni Islam boleh mengunjungi Muzium Kesenian Islam Malaysia bagi menyaksikan pameran khayamiya yang dibuka sehingga bulan Januari 2016.