Jihad muamalat memberi fokus kepada kepatuhan piawaian syariah dalam kegiatan ekonomi dan kewangan. Ianya bukan sekadar patuh syariah malahan dapat memperkasakan ekonomi umat Islam khususnya di Malaysia dan di dunia amnya. Pada masa yang sama dengan kepatuhan syariah ini dapat membendung amalan riba daripada terus berlaku dan seterusnya menjamin keberkatan hidup dan kesejahteraan ummah.

Apakah yang perlu 
dijihadkan?

Kesedaran untuk memilih hanya yang halal dalam aktiviti perniagaan perlu dijihadkan atau diperjuangkan. Sebagai contoh, ahli perniagaan wajib untuk menjalankan perniagaan dan pelaburan hanya dalam sektor-sektor yang diiktiraf oleh syariah. Sebarang kegiatan perniagaan yang bercanggah dengan syariah seperti pembuatan arak dan perdagangan daging khinzir wajib dijauhi.

Dalam sektor kewangan pula, sistem kewangan Islam boleh dijadikan pilihan. Hal ini selaras dengan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan sejak sekian lama oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Majlis-Majlis Agama Negeri yang secara jelasnya mengharamkan keterlibatan umat Islam dalam perbankan dan insurans konvensional. Ini kerana hampir semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perbankan dan insurans konvensional tidak patuh syariah disebabkan oleh kewujudan unsur-unsur riba dan gharar.

Bagaimanakah caranya untuk terlibat dalam jihad muamalat?

Sebagai permulaan, kita bo­leh berjihad secara lisan atau me­lalui perbualan. Ini boleh di­mulakan dengan topik perbualan bersama kenalan rapat kita berkaitan kepentingan memilih yang halal dalam kehidupan. Dalam pada itu juga, kita boleh menyebarkan maklumat mengenai kepentingan ini melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, sekurang-kurangnya usaha ter­­se­but dapat mengubah pandangan segelintir masyarakat apabila membaca status atau perkongsian di laman-laman sosial ini.

Pada peringkat umum, media arus perdana seperti stesen televisyen, radio, akhbar dan majalah perlu memainkan peranan memupuk kesedaran untuk menembusi minda penonton atau pembaca mereka untuk berjihad dalam aspek muamalat ini. Ini adalah antara cara yang terbaik bagi menerangkan secara terperinci mengenai jihad muamalat.

Bagi peringkat masyarakat setempat pula, masjid yang merupakan pusat berkumpulnya umat Islam turut boleh memainkan peranan dengan menyediakan kelas muamalat selepas solat Maghrib, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Inisiatif ini boleh dilakukan secara berterusan tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk setiap sesi perkongsian tersebut. Para imam dan juga pendakwah perlu diberi bimbingan khusus dalam memahami ilmu muamalat semasa supaya dapat berinteraksi dengan masyarakat setempat mengenai sistem ekonomi dan kewangan Islam secara terperinci.

Pendekatan seperti ini boleh dilakukan secara berperingkat dan perlahan-lahan masyarakat akan beralih kepada kewangan Islam yang disebutkan tadi. Dengan cara ini pengisian kelas-kelas ilmu di masjid-masjid tidak sekadar tertumpu kepada subjek fekah ibadah dan kekeluargaan semata-mata; malah dikembangkan merangkumi aspek fekah muamalat yang juga merupakan salah satu kunci untuk mencari keredaan Allah SWT.

Penuntut lepasan universiti seperti golongan mahasiswa dalam bidang syariah dan muamalat juga boleh turut sama menjadi ejen perubahan ini. Para ustaz yang terdiri daripada golongan muda ini berupaya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat sekeliling.

Walau bagaimanapun, perubahan hanya akan terjadi jika seseorang individu itu yang mahu berubah. Masakan negara akan berubah jika masyarakat tidak berubah. Masakan masyarakat akan berubah jika sebuah keluarga tidak berubah. Maka, individu seperti ibu bapa seharusnya antara yang terawal mempunyai kesedaran muamalat ini. Jelas kesedaran berkaitan muamalat ini harus bermula daripada peringkat awal lagi iaitu institusi keluarga itu sendiri.

Saling menasihati antara ahli keluarga, ahli kariah, saudara-mara, sahabat-handai, jiran tetangga dan rakan kerja agar mereka tidak terjebak dengan salah satu dosa besar di sisi Allah SWT iaitu amalan riba yang sememangnya bertentangan dengan jihad muamalat ini. Ia perlu dilakukan secara berterusan kerana tugas kita sesama Islam untuk sama-sama menasihati kepada yang lebih baik dan menyampaikan kebenaran. Semoga akan ada sinar di hujung­nya.