Tidak ramai yang mengetahui bahawa negara itu sebenarnya turut mempunyai komuniti Islam.

Daripada kira-kira 24 juta penduduk Nepal, empat peratus daripadanya adalah beragama Islam dan mereka menghuni beberapa tempat di negara itu.

Sejarah menunjukkan komuniti Islam telah menghuni bumi Nepal sejak 600 tahu dahulu. Buktinya ialah melalui kewujudan masjid seperti Masjid Jamek Kashmiri yang hanya terletak beberapa ratus meter daripada istana raja Nepal.

Kemudiannya sebuah lagi masjid dibina tidak jauh daripada masjid yang pertama itu dikenali sebagai Masjid Jamek Nepal.

Islam masuk ke Nepal melalui pedagang-pedagang terutama ketika pemerintahan Raja Ratna Mala pada abad ke-15 Masihi.

Malah, sejak berabad lamanya, peniaga Islam dari Kashmir dan kawasan sekitarnya menggunakan Nepal sebagai laluan perdagangan dengan Tibet. Ramai daripada pedagang ini telah berkahwin dengan wanita tempatan dan bermastautin di Nepal.

Pada tahun 1857 terdapat kemasukan besar-besaran dari India apabila pejuang-pejuang Islam melarikan diri bersembunyi di kawasan pergunungan setelah diasak oleh tentera British.

Nepal dibahagikan kepada 75 daerah dan menurut bancian, boleh dikatakan setiap daerah ini mempunyai penduduk beragama Islam. Populasi Islam terbesar di Nepal terdapat di daerah Rautahat.

Beberapa kawasan lain yang turut mempunyai ramai penduduk Islam ialah Nepalgunj, Birgunj, Janakpurdham, Biratnagar, Rajbiraj, Krishnanagar, Bhairahwa selain Kathmandu sendiri.

Sebagai kaum minoriti, sudah tentu umat Islam di Nepal tidak mendapat layanan istimewa.

Mereka bebas untuk mengamalkan ajaran agama, namun dengan sumber kewangan yang terhad mereka perlu berusaha sendiri memastikan syiar Islam terus bertapak di bumi Nepal.

Antara cabaran utama mereka ialah untuk memiliki masjid yang selesa selain kemudahan kelas agama untuk mendidik generasi muda Islam.

Sehubungan itu sumbangan daripada umat Islam di negara ini dalam membantu membina dan membesarkan masjid selain menyediakan kelas-kelas agama amat diharapkan.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan dan bantuan boleh menghubungi Islamic Aids Malaysia (IAM) yang mempunyai jalinan kerjasama dengan beberapa pertubuhan Islam di Nepal.

IAM yang berpejabat di C-1-56A, Jln SP 5/4, Seksyen 5, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangang, Selangor boleh dihubungi di talian 03-8948 5939